Musim
kehamilan
kali ini sungguh-sungguh mencabar buat Regina. Alahan di waktu pagi itu sudah
wajib. Namun alahan itu tidak sekadar di waktu pagi. Sepanjang hari menyeksanya
dengan rasa sakit kepala dan muntah. Lintang pukang hidup dibuatnya.
Namun Iqmal tetap sabar melayan kerenah wanita itu. Walaupun
masih belum begitu kelihatan kandungannya namun Regina kerap mengambil cuti
sakit. Dalam keadaan dirinya lemah tidak tertanggung, segala urusan rumahtangga
tidak mampu disentuhnya termasuklah Arabella. Semua Iqmal yang uruskan.
Jam dua petang itu panggilan daripada seorang
kakitangan hospital membuatkan Iqmal panas punggung di pejabat. Sudahnya ruangan
kerjanya ditinggalkan begitu sahaja untuk mendapatkan isterinya di PPUM. Di unit
kecemasan dia bertemu dengan seseorang yang membawa dia kepada Regina. Isterinya
sedang berehat di katil rawatan seorang diri.
“Gina..” panggil Iqmal lantas mendekati sang isteri.
Regina mula membuka mata saat kepalanya disentuh
seseorang. Terlihat Iqmal di situ kelopak matanya kian membesar.
“Gina nak balik abang. Tak tahan dah duduk sini,”
ujar wanita itu lemah. Bau ubat di sekelilingnya benar-benar membuatkan dia tidak
tahan. Naik sakit tekaknya akibat asyik muntah.
“Ya. Abang nak bawa Gina baliklah ni.”
Berpusu-pusu mata kakitangan memandang Regina dibawa
pergi oleh Iqmal. Sibuk masing-masing memandang sambil berbisik sesama sendiri.
“Itu suami baru dia rupanya. Boleh tahan juga
orangnya. Baiknya laki dia. Kalau laki aku, lantak kaulah nak pengsan ke apa! Sok..
sek.. sok.. sek..”
Setiba di rumah, Regina dibawa naik ke atas. Iqmal
duduk di sisi sang isteri setelah wanita itu dibaringkan.
“Gina nak makan tak?”
“Gina tak boleh nak makan,” jawab wanita itu
perlahan. Makan pun tiada guna. Habis semuanya keluar semula.
“Abang buatkan Gina bubur ya? Boleh isi perut,” ucap
Iqmal lagi. Tanpa menunggu jawapan Regina dia terus bangun.
Di dapur lelaki itu bersungguh-sungguh menyediakan
makanan buat sang isteri. Segala macam sayur disumbatnya ke dalam bubur itu. Hirisan
daging ayam turut dicampur sekali di dalam bubur itu. Teringat pesanan emak
mertuanya sebelum ini, Regina paling suka ikan bilis goreng dimakan bersama
bubur. Iqmal menggoreng ikan bilis di dalam kuali sambil bubur dibiarkan di
atas dapur. Selesai memasak dia membawa bubur naik ke atas.
“Sayang..” wanita itu disentuh lembut.
Regina pantas membuka mata.
“Abang buatkan bubur. Ada ikan bilis goreng. Nak tak?”
tanya Iqmal sekadar mahu mengumpan selera isterinya.
Mendengar itu Regina mengangguk perlahan. Walaupun agak
payah, dia cuba juga bangun. Melihat bubur itu berseri-seri dengan segala macam
ramuan seleranya terbuka serta merta.
“Abang tiup dulu ya? Panas ni..”
Regina sekadar memandang. Seharian tidak makan
tubuhnya mula terasa menggigil. Namun suapan pertama, wajah Regina berkerut
seolah-olah bubur itu terlalu masin. Baru separuh bubur itu masuk ke perutnya,
Regina sudah bangun dari tilam. Mulutnya ditekup sambil berjalan laju ke kamar
mandi. Sudahnya apa yang masuk ke perutnya tadi dimuntahkan semula di dalam
sinki. Iqmal hanya mampu mengeluh melihat Regina muntah lagi. Belakang isterinya
ditepuk lembut.
Sudahnya baki bubur itu terbiar begitu sahaja tanpa
mahu ditelan lagi oleh Regina. Sakit di kepalanya semakin kuat.
“Gina tak larat sangat ni, abang. Seksanya..” rayu
perempuan itu hampir mahu menangis. Sukar benar dia menahan diri. Kenapa kehamilan
kali ini terlalu mencabar? Sedangkan ketika dia mengadungkan Arabella, semuanya
tidak sedahsyat ini.
“Sabar, sayang. Ini ujian Allah. Abang ada. Abang akan
jaga Gina baik-baik. Gina rehat ya?” bisik Iqmal perlahan.
“Bella..”
“Jangan risau pasal Bella. Abang ambil dia sekejap
lagi. Gina tidur ya?” pujuk sang lelaki tanpa jemu. Rambut isterinya diusap
penuh kasih sayang.
Regina sekadar mengangguk. Tanpa lelaki ini entah
macam manalah hidupnya.
Malam itu Arabella sendirian lagi tanpa perhatian
sang ibu. Kasihan anak itu. Ketika dia mahu menghampiri Regina, Iqmal melarang
anak itu mengusik lena Regina.
"Arabella.." Panggil Iqmal lembut.
"Mama mana?"
Iqmal segera meletakkan jari telunjuk di bibirnya.
Meminta anak itu diam.
"Papa cedokkan nasi ya?" ucap Iqmal lembut.
"Mama?" tanya Arabella lagi.
"Mama tak sihat tu, sayang. Jom.." Ajak
Iqmal lantas mencapai tangan anak itu. Arabella sekadar menurut ajakan Iqmal.
"Nape dengan mama?" Tanya Arabella lagi.
Aneh rasanya. Selalunya mamanya yang melayan dia di meja makan. Tetapi semenjak
tadi dia hanya keseorangan.
"Mama demam. Bella makan ya? Papa temankan
Bella makan," ujar Iqmal sambil
kepala anak itu diusapnya.
Sedang dia sibuk melayan Arabella, telefon rumah itu
dihubungi seseorang. Iqmal terus bangun. Suara Puan Iffah kedengaran di
telinganya.
"Gina tak sihat lagi?"
"Belum, mama." Iqmal menjawab lembut.
"Mana Bella?"
"Tengah makan tu."
"Teruk ke alahannya tu?" Puan Iffah terus
menyoal risau mengenangkan anaknya itu.
"Teruk juga. Langsung tak mahu makan,"
jawab Iqmal lantas menghela nafas perlahan.
"Paksa dia makan. Cakap dengan Gina, mama suruh
Abang Iqbal ambil Bella esok. Biar Bella dengan mama. Kamu jaga Gina baik-baik.
Jangan lupa pesan mama tadi. Suruh dia makan juga. Sikit pun jadilah."
"Yalah.."
Iqmal menghela nafas perlahan usai bercakap dengan
emak mentuanya. Mahu anak mudah sahaja. Tapi ragamnya benar-benar menguji.
Simpati Iqmal tiada berbatas mengenang Regina. Pengorbanan yang tidak mampu
dibalas dengan apa pun di atas dunia ini.
Setelah menguruskan Arabella, Iqmal naik semula
menjengah sang isteri. Regina terjaga tiba-tiba saat ada beban terhenyak di
sebelahnya. Biarpun agak payah dia cuba juga membuka mata. Namun sakit
kepalanya benar-benar membuatkan dia mengeluh sendiri. Tidak tahu mengapa sakit
kepalanya ini seperti tidak mahu berhenti.
“Gina nak makan tak?”
Cepat sahaja Regina memberi jawapan tidak. Mendengar
istilah makan sahaja pun sudah membuat dia merasa tidak selesa.
“Dari petang tadi Gina tak makan. Abang risau tengok
Gina macam ni,” ucap Iqmal sambil kepala sang isteri diusap lembut.
“Gina nak bangun sekejap, abang.” Wanita itu
berbisik perlahan sambil tangannya terus mencapai lengan sang suami untuk
berpaut.
“Nak bangun?” bahu sang isteri diangkatnya penuh
hati-hati. Terhegeh-hegeh Regina menurunkan kedua-dua belah kakinya dari katil.
Dunia di sekelilingnya terasa berputar ligat.
“Gina..” panggil Iqmal semakin risau melihat Regina
tunduk memegang kepalanya. Bahu wanita itu dipegangnya erat. Regina tidak mampu
menjawab. Lubang tekaknya mula terasa mual tanpa sebab.
“Gina nak pergi mana?”
“Toilet,” balas Regina tanpa memandang. Kepalanya
dipicit kuat sambil menunduk di birai katil.
“Abang hantarkan ya?” ucap Iqmal lembut.
Lelaki itu segera mendekati Regina. Wanita itu
dibantunya bangun. Regina hanya mampu membiarkan tubuhnya dicempung Iqmal.
Entah kenapa saat ini, dia teringat kepada Zahnita. Adakah seperti ini layanan
Iqmal sehingga membuatkan wanita itu tidak pernah bersangka buruk kepada Iqmal?
Lelaki itu menemaninya sepanjang masa. Buat apa sahaja untuk dirinya dalam
keadaan dirinya tidak berdaya. Tanpa sedar semakin erat leher lelaki itu
dipeluknya sehingga Iqmal menurunkan dia di dalam kamar mandi.
“Abang keluarlah. Gina boleh buat sendiri,” ucap
Regina hairan melihat Iqmal tercegat di hadapannya.
“Tak boleh. Abang risau biarkan Gina sorang-sorang
dalam ni,” ucap Iqmal tetap pegun di situ.
“Gina seganlah..” rungut Regina perlahan. Urine yang
ditahan hampir sahaja mahu terkeluar. Iqmal pula sibuk mahu menemankan dia di
situ. Manalah dia tidak segan?
“Nak segan buat apa? Abang ni bukannya orang lain,”
jawab Iqmal langsung tidak kisah.
Sudahnya Regina menebalkan muka melepaskan hajat dek
kerana rasa nak terkucil itu sudah tidak mampu ditahan.
“Abang tolong cebokkan ya?” ucap Iqmal lantas
mencapai saluran paip air di tepi Regina.
“Tak payahlah! Gina boleh buat,” getus wanita itu
lantas getah paip air itu cuba dicapainya.
“Biarlah abang buat. Gina tak sihat ni. Gina duduk
diam aja,” jawab Iqmal selamba.
“Setakat bercebok, Gina boleh buat!” ucap wanita itu
semakin tidak tentu arah. Bukan makin kuat dia mengepit pahanya. Malu benar dia
dengan lelaki itu. Sampai nak tolong cucikan? Oh tidak! Gelihati pun ada
melihat kesungguhan Iqmal mahu membantunya.
“Gina, jangan degil cakap abang,” tegur Iqmal tidak
senang melihat isterinya tidak mahu memberikan kerjasama.
“Gina nak buat sendiri. Bak sini benda tu,” balas
Regina lantas meminta saluran air itu daripada Iqmal. Sudahnya Iqmal akur juga
dengan kehendak isterinya.
“Pandang sana!” ucap Regina lagi. Segannya masih
bersisa melihat Iqmal pegun menatap dirinya.
Lambat-lambat Iqmal berpaling ke belakang.
“Dah.” Laju kepala Iqmal memandang ke arah Regina
semula setelah terdengar sepatah kata itu. Tanpa disuruh dia mendekati Regina. Apa
yang tidak betul, dia pula yang sibuk tolong betulkan sehingga tangannya
dicubit halus oleh Regina.
“Sibuknya dia ni! Benda yang tak perlu di sentuh,
tak payah berlama-lama kat situ!” marah Regina.
“Apa dia?” balas Iqmal tidak mengerti. Tolong pun
marah? Tercengang Iqmal memandang isterinya.
“Tak payah sibuk nak pegang sana pegang sini. Gina
tahu abang sengaja nak ambil kesempatan,” tuduh Regina selamba.
Terkulat-kulat Iqmal mendengar kata-kata isterinya.
“Kenapa? Tak mahu mengaku?” sergah perempuan itu
geram melihat reaksi Iqmal.
“Gina ni tak baik tuduh abang macam tu. Mana ada
abang ambil kesempatan. Dah kesempatan tu sendiri yang datang kat abang. Nak buat
macam mana? Takkan abang nak tolak,” jawab Iqmal macam bersungguh aja.
Makin meruap-ruap Regina memandang muka selamba
Iqmal. Sedap aja dia bercakap. Peluang yang datang kat dia konon!
“Jom..” spontan isterinya itu dicempung semula
keluar dari kamar mandi. Tubuh Regina diletakkan elok di atas tempat tidur. Kemudian
Iqmal duduk menghadap wanita itu bersandar di kepala katil.
“Kalau nak pergi tandas lagi, cakap dengan abang ya?”
Regina sekadar mengangguk. Namun dalam hati dia
menjawab lain. Memang taklah..
“Gina nak makan? Abang boleh ambilkan.”
“Tak nak. Tak boleh terima langsung tekak ni. Gina
nak minum aja,” balas perempuan itu perlahan.
“Abang ambilkan air ya?” ucap lelaki itu lantas
bangun mendapatkan bekas air masak di atas meja kecil di tepi katil itu. Setiap
perbuatan lelaki itu terus dipandang Regina penuh kasih sayang. Seorang lelaki
yang telus dalam perbuatannya. Jika sayang, nyata sekali kasih sayang itu
melalui tindak tanduknya. Begitu juga sebaliknya. Iqmal lelaki yang tidak mampu
berpura-pura hanya dengan kata-kata. Itulah istimewa Iqmal di matanya.
“Minum, sayang.”
“Terima kasih..” ucap Regina lantas menyambut gelas
putih yang dihulurkan Iqmal.
“Gina betul tak mahu makan? Petang tadi pun sikit
sangat Gina makan. Kalau Gina tak sihat, nanti baby kita pun tak sihat. Bubur petang
tadi banyak lagi. Abang boleh panaskan sekejap,” pujuk Iqmal saat isterinya
meneguk perlahan air putih.
Regina menghela nafas perlahan. Setelah gelas jernih
itu diletakkan di tepi dia mencapai tangan Iqmal.
“Abang dah makan?” tanya Regina pula.
“Belum. Abang susah hati tengok Gina macam ni, macam
mana abang nak makan? Abang makan kenyang-kenyang. Tapi isteri abang tak mampu
makan.”
Lama pandangan Regina singgah ke wajah itu. Entah kenapa
hatinya sayu. Sekarang dia mengerti mengapa arwah Zahnita tidak pernah bercakap
buruk tentang lelaki ini. Lelaki ini sentiasa terbaik di mata Zahnita. Dia tidak
pernah melihat betapa besarnya pengorbanan yang dilakukan Iqmal buat Zahnita
suatu masa dulu. Tetapi dia telah melihat betapa bersungguhnya lelaki ini
menjaga dirinya sehingga melupakan kepentingan diri sendiri. Disaat dia tidak
lena, Iqmal juga tidak lena. Tangan lelaki itu sentiasa mengusap kepalanya agar
dia dapat lena.
Sungguh. Dia rela bertahan akan segala macam pahit
getir demi melahirkan cahaya mata buat lelaki yang paling istimewa di hatinya.
“Kenapa Gina pandang abang macam tu?”
“Gina sayang abang sangat-sangat,” ucap Regina
tiba-tiba. Jemari lelaki itu diramas lembut.
“Abang pun sayang Gina. Abang nak tengok Gina kuat
menghadapi keadaan ini,” balas Iqmal perlahan.
“Kita makan sama ya?” kali itu sedikit senyuman
diukir buat sang suami. Agar gusar di hati sang lelaki beransur pergi.
Mendengar itu cerah wajah Iqmal. Kebimbangannya beransur
pergi. Permintaan itu, kecil tapak tangan.. dunia ini mahu ditadahkan!
Bestnya. Kalau boleh memang nak hubby macam Iqmal.
BalasPadamAda ke suami yg mcm ni kt luar sana..baik melayan kerenah istri
BalasPadam