Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Rabu, 20 Mei 2015

Bab 31 BUTAKAH CINTA


“Papa..” dua anak itu terpekik teruja saat melihat kelibat Iqmal di rumah itu. Lelaki itu diterjah penuh kerinduan. Seminggu tidak bertemu seperti bertahun rasanya.
Iqmal membalas pelukan dua anak itu penuh kasih sayang. Wajah Zayn dan Zeyad dikucup berkali-kali.
“Siapa potongkan rambut?” tanya Iqmal senang hati melihat dua anak itu kelihatan kemas dengan rambut pendek.
“Potong kat salon.”
“Baru handsome macam tu,” komen Regina. Zayn menyengih sambil tergaru saat dipanah senyuman Regina. Iqmal mula memandang isterinya.
“Mana Bella?”
“Salam mama dulu,” ucap Iqmal lantas memandang ke belakang mencari Arabella. Teguran Iqmal lantas menggerakkan dua anak itu ke arah Regina.
“Mana Bella?” kini Iqmal pula yang bertanya. Tadi anak itu ada mengekori mereka. Regina ikut memandang sekeliling, mencari kelibat Arabella. Namun tiada.
“Budak bertuah!!! Habis dipetiknya bunga aku. Nak kena titik jari dia tu.” Satu suara kedengaran lantang dari arah luar. Iqmal dan Regina pantas menerpa semula ke arah pintu. Terkedu Regina memandang anaknya sedang memegang kuntuman bunga ros. Tidak perlulah ditanya dari mana Arabella mendapat bunga itu. Terkebil-kebil Arabella memandang mamanya dan wanita tua itu.
“Bella! Kenapa petik bunga nenek??” tegur Regina mula serba salah kepada emak mentuanya itu.
“Bella suka bunga tu,” jawab anak itu perlahan. Kemudian dengan perasaan bersalah melata di hatinya, bunga itu dicampak ke lantai. Terbeliak mata Regina melihat kelakuan anaknya. Arabella terus mendapatkan Regina. Paha sang ibu dipeluknya.
“Dah dibuangnya pulak bunga aku!” getus Puan Sri Bainun.
“Mama, bunga aja pun. Nanti pokok tu boleh berbunga lagi,” tegur Iqmal lembut.
“Kau ingat pokok bunga ni siapa yang tanam? Nenek yang tanam pokok tu tahu! Sedap aja jari dia memetik bunga, kan?” marah Puan Sri Bainun kepada Arabella.
“Minta maaf pada nenek,” ucap Regina lembut.
Walaupun agak gentar Arabella tetap mendekati Puan Sri Bainun. Tangannya dihulurkan kepada wanita tua itu.
“Bella minta maaf,” ucap Arabella perlahan.
“Lain kali kalau nak bunga cakap dengan nenek. Jangan petik macam tu aja. Patah pokok nenek nanti tahu tak?”
Arabella hanya mampu mengangguk dengan wajah mendung.
“Pergi ambil balik bunga tu. Jangan buang merata-rata,” ucap Puan Sri Bainun mula sejuk hati melihat gelagat Arabella. Manis sungguh anak kecil itu. Perlahan wanita tua itu tunduk mengucup pipi Arabella.
“Jangan degil cakap nenek. Nanti nenek tak mahu sayang,” ucap Puan Sri Bainun lagi. Kepala anak itu diusap lembut.
Arabella mula mengukir senyuman kepada wanita tua itu. Lega hatinya melihat kemarahan sang nenek tidak semana.
“Dah. Pergi masuk dalam. Kawan dengan abang Zayn dengan abang Zayed. Tak mahu gaduh-gaduh ya?” seru Puan Sri Bainun kembali melembutkan suaranya. Regina dan Iqmal sempat berpandangan.
“Mama..” tegur Regina lantas mendekati emak Iqmal. Tangannya dihulurkan kepada wanita itu.
“Hmm.. makin berseri-seri pula kamu ni. Mengandung ke?” ucap Puan Sri Bainun dengan pandangan atas bawah kepada menantunya itu.
“Taklah. Belum ada lagi,” ucap Regina sedikit segan ditegur Puan Sri Bainun begitu.
“Ia ke?” balas Puan Sri Bainun macam tidak percaya. Pandangannya masih melekap pada tubuh Regina.
“Mama sihat ke?” tanya Iqmal ikut bersalam dengan mamanya.
“Sihat,” jawab wanita itu selamba.
“Jom masuk, ma. Papa mana?” tanya Iqmal hairan dengan ketiadaan ayahnya.
“Papa belum balik. Sekarang dia ada hobi baru. Pergi join kelas senam aerobik. Nak jaga kesihatan konon,” jawab Puan Sri Bainun sedikit jengkel mengenang gelagat suaminya itu. Entah ialah pergi ke sana sebab nak menjaga kesihatan. Takut-takut ada perempuan-perempuan seksi di sana yang membuatkan suaminya asyik nak ke sana. Lelaki itu bukannya boleh percaya kalau bab perempuan!
“Aik?” Iqmal mula berpandangan dengan isterinya.
“Dia ada betina lainlah tu..” ujar Puan Sri Bainun lantas masuk ke dalam rumah. Wajah Iqmal mula berubah lain macam mendengar tuduhan mamanya.
“Mama yakin ke?”
“Habis tu kalau dah hari-hari nak ke sana, apa lagi? Nak jaga kesihatan tak semestinya ke gym. Dulu boleh aja dia jogging di kawasan sini. Sekarang ni sibuk pulak nak ke gym bagai,” jawab Puan Sri Bainun sedikit kuat suaranya.
Iqmal mula menghela nafas kuat. Mulalah dia merasa tidak senang dengan keadaan itu. Ayahnya sudah pernah membuat hal dengan mamanya dahulu. Takkan sekali lagi papanya menyimpan perempuan di belakang mamanya? Dalam keadaan diri sudah tidak begitu berdaya? Mustahil! Regina hanya membisu mendengar celoteh emak mentuanya itu. Takut juga mahu memberi komen. Bimbang wanita itu tidak senang dengan kata-katanya.
Jam sebelas pagi itu barulah wajah Tan Sri Ansur kelihatan di rumah itu. Muka main ceria lagi dia membuatkan Iqmal mula merasa tidak senang.
“Papa ke mana?” tanya Iqmal sedikit curiga.
“Papa baru balik dari gym.”
“Ada apa sampai ke gym?” balas Iqmal masih tidak puas hati.
“Aik? Lain macam aja cara kamu bertanya ni? Mama dah mengadu apa-apa ke?” balas Tan Sri Ansur lantas ketawa dan menggeleng.
“Papa takde buat apa-apa yang pelik pun, Mal. papa pergi gym pun atas nasihat doctor. Papa ni dah tua. Perempuan muda-muda di sana tu tak sesuai untuk papa lagi,” jelas lelaki tua itu bersungguh.
“Senaman berat tak baik untuk papa,” ucap Regina pula.
“Papa tahu. Ada beberapa jenis senaman yang instructor sarankan untuk papa. Dia yang pantau. Dan instructor tu pun lelaki. Bukannya perempuan. Jangan fikir yang bukan-bukan. Penghujung hidup papa ni bukan semua itu lagi yang papa kejar. Papa cuma nak umur panjang untuk keluarga papa sendiri,” ujar Tan Sri Ansur kepada Iqmal dan Regina.
Iqmal akhirnya mengangguk akur. Terdetik rasa bersalah di hatinya. Tidak seharusnya dia mengangggap yang bukan-bukan kepada ayahnya.
Saat sekeluarga itu menikmati makan tengahari di meja makan, soal Tan Sri Ansur tidak timbul langsung. Namun soal fizikal Regina pula yang menjadikan keadaan di meja itu hangat. Hangat sebab malu!
“Sikit sangat makannya, Gina? Tak sedap ke lauk ni semua?” tegur Puan Sri Bainun kepada Regina. Menantunya itu lebih banyak berdiam dan kelihatan tidak berselera.
“Perut rasa tak selesa, ma. Ada yang tak kena,” jawab Regina perlahan.
“Hmm.. biasalah tu. Entah-entah dah ada isi. Punggung tu bulat semacam aja mama tengok? Badan tu pun dah montok macam dipam-pam. Yalah.. yang tukang pam pun tengoklah siapa. Terbaik dari ladang!”
Kata-kata Puan Sri Bainun hampir sahaja air yang sedang dihirup Iqmal tersembur keluar. Tan Sri Ansur tergelak kuat mendengar kata-kata isterinya. Gelihati. Namun wajah Regina serta merta menghangat di hadapan semua orang. Siapa yang terbaik dari ladang tu? Iqmal?
“Mama ni.. ada ke cakap macam tu?” gerutu Iqmal tidak senang. Kasihan melihat isterinya tidak mampu mengangkat wajah.
“Salah ke apa mama cakap ni? Yang kau terasa sangat tu kenapa? Sebab kau yang buat Gina jadi begitu, kan? Buat-buat terkejut pulak!” cebir Puan Sri Bainun lantas menjeling anaknya.
Iqmal dan Regina berpandangan. Kelat wajah Iqmal melihat senyum memerli di bibir Regina. Namun riak yang terpamer wajah lelaki itu benar-benar membuat Regina gelihati.
“Montok tu apa, nenek?” tiba-tiba Zayed menyampuk. Macam nak tahu benar apa cerita orang dewasa di sekelilingnya itu.
“Eh! Budak bertuah ni. Menyampuk pulak dia. Budak-budak jangan menyibuk hal orang tua. Makan cepat! Lepas tu ajak adik-adik pergi duduk kat depan,” sambut Puan Sri Bainun pantas.
“Bella, nak nasi lagi?” tanya Tan Sri Ansur.
“Nak!” jawab Arabella dengan mata membulat memandang sudunya. Sudu dengan nasi separuh di atasnya disuap ke mulut. Regina tersenyum sendiri memandang anaknya. Tak kisahlah rumah siapa pun. Dia tetap berselera.
“Sedap ke nenek masak ni?” tanya Tan Sri Ansur lantas mencedokkan sedikit nasi berani ke dalam pinggan anak itu.
“Sedap. Nak ayam lagi, atuk. Nak yang besar.” Tanpa segan silu dia membuat permintaan itu pula.
“Alah.. alah.. nanti atuk cedokkan ayam ya? Nak yang merah ke atau yang coklat ni?” seronok orang tua itu melayan kerenah cucu tirinya itu.
“Nak yang cekelat!”
Tergelak orang tua itu memandang anak kecil itu. Pandai membawa diri, mengambil hati orang dengan kecerdikannya. Iqmal tersenyum-senyum sendiri memandang Arabella. Penerimaan orang tuanya kepada Regina dan Arabella semakin menyenangkan hati. Harap-harap mereka mampu hidup aman damai sebagai satu keluarga.
Puan Sri Bainun ralik memandang Arabella. Kelakuan anak itu mencuit hati tuanya. Senang benar anak itu dijaga. Tidak banyak songel. Makan pun tidak cerewet. Bertuah Regina ada anak seperti itu. Tidak banyak menyusahkan mamanya.

 “Gina?” tegur Iqmal hairan melihat Regina termenung di hadapan sinki.
“Ya..” Regina menoleh kepada sang suami.
“Kenapa?” tanya Iqmal hairan. Semenjak pulang dari rumah orang tuanya, sikap Regina kelihatan aneh. Kecil hatikah isterinya?
“Abang tengok Gina ni dah gemuk ya?” tanya Regina kepada suaminya.
“Takdelah. Janganlah ambil hati sangat apa kata mama tu. Mama bukannya nak mengata Gina.”
“Tak. Bukan pasal itu. Gina rasa semacamlah. Perut ni lain macam sangat,” ujar Regina lantas keluar dari kamar mandi.
“Gina pregnant ke?” teka Iqmal bersungguh.
“Rasanya.” Sepatah sahaja jawapan wanita itu. Selain daripada perasaannya sendiri yang merasakan dia sedang hamil, perubahan pada fizikalnya yang baru disedari seolah-olah mengiakan apa yang sedang disangka.
“Tolong ambilkan beg hitam dalam kereta Gina boleh tak?” pinta wanita itu.
“Sekejap. Abang turun bawah.” Cepat sahaja Iqmal keluar semula dari kamar. Seketika kemudian dia naik semula dengan beg hitam yang diminta isterinya. Setelah mengucapkan terima kasih Regina menghilang lagi di dalam kamar mandi.
Iqmal di luar menunggu macam sedang menunggu isteri sedang bersalin pula lagaknya. Ke hulu ke hilir tidak tentu arah. Berdebar dadanya mengharap apa yang disangka oleh Regina itu benar.
Seketika kemudian pintu yang bertutup itu terbuka tiba-tiba. Iqmal segera memandang ke arah isterinya.
“Macam mana?” tanya Iqmal penuh harap.
Anehnya Regina keluar dengan senyum di bibir. Tanpa sepatah kata dia sekadar mengangguk tanda mengiakan.
“Serius?”
“Ia..” jawab Regina perlahan.
Iqmal tidak terkata lagi. Betapa gembiranya dia saat ini sungguh tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Akhirnya wanita itu didekatinya lalu didakapnya erat. Pipi Regina dikucup bertalu-talu sehingga wanita itu kelemasan.
“Dahlah!!” rengus wanita itu tidak tahan. Lemas.

“Terima kasih, Ya Allah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah..” ucap lelaki itu penuh rasa bahagia.

2 ulasan:

  1. Amboiiii....Puan seri punya muluttt...direct to the point....hihihi....mmg terbaik dr ladang kan....

    BalasPadam
  2. Best. Mulut Puan Seri sangat direct.

    BalasPadam