Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Isnin, 18 Mei 2015

Bab 29 BUTAKAH CINTA


“Rasanya tak payahlah saya nak bersyarah panjang-panjang lagi tentang tanggungjawab ketua keluarga yang diberatkan ke atas suami. Kita semua dah tahu tentang itu. Cumanya.. keberkatan rumahtangga ni takkan datang begitu sahaja kalau kita tidak ingat pada Allah.”
Iqmal mengangguk setuju dengan kata-kata kadi itu.
“Bolehlah kita mulakan ya?” ucap Tuan Kadi itu lantas memandang Farouqe di sebelahnya.
“Ya, tuan kadi..” jawab lelaki itu dengan senyum simpul.
“Silalah..”
Farouqe menghulur tangannya kepada Iqmal.
“Ahmad Norman Iqmal bin Ahmad Ansur,” ucap abang sulung Regina itu sambil memandang Iqmal di hadapannya.
“Saya.”
“Aku nikah akan dikau dengan Regina Fatyma Khan binti Rehmar Waleq Khan dengan mas kahwinnya Ringgit Malaysia 80, tunai!”  cukup lancar lidah Farouqe memandangkan ini bukan kali pertama dia menikahkan adik-adik perempuannya. Regina lebih hebat. Ini kali ketiga dia menikahkan Regina.
“Aku terima nikahnya Regina Fatyma Khan binti Rehmar Waleq Khan dengan mas kahwinnya Ringgit Malaysia 80 tunai!” akad itu disambut sempurna oleh Iqmal dalam masa beberapa saat sahaja.
“Sah?” Farouqe memandang dua saksi yang mendengar.
“Sah!” dua saksi itu segera menyambut pasti.
“Alhamdulillah..” ucap Kadi itu penuh kelegaan. Tidak susah untuk menyudahkan upacara ini. Seterusnya tangan ditadahkan untuk membaca doa.
Iqmal sekadar tunduk sambil mengaminkan doa. Di dalam hati dia berharap perkahwinannya kali ini akan kekal sehingga ke akhir hayat. Di harap dia mampu memikul tanggungjawab kepada orang-orang di bawah jagaannya dengan baik. Insya-Allah..

Tiada majlis sanding bagai nak rak. Hanya kenduri doa selamat setelah selesai upacara nikah siang tadi. Sebelum maghrib rumah itu sudah kembali seperti biasa. Yang tinggal hanya ahli keluarga.
Zayn dan Zayed pada mulanya mahu bersama Iqmal. Namun Puan Sri Bainun dan Tan Sri Ansur tidak membenarkan pasangan suami isteri itu diganggu dalam saat-saat begini. Arabella tidak ketinggalan menerima tempiasnya. Keesokan petang, saat Regina meminta untuk pulang ke rumahnya, Arabella tidak dibenarkan balik bersama dia dan Iqmal oleh Puan Iffah.
“Bella?” tanya anak itu dengan mata membulat.
“Bella tidur rumah nenek malam ni. Esok petang nenek suruh pak ngah hantar Bella balik rumah mama ya? Mama dengan papa Iqmal nak honeymoon,” pujuk Puan Iffah.
“Bella tak boleh ikut mama dengan uncle? Bella pun nak honeymoon,” jawab anak itu tanpa mengetahui apa maksud perkataan itu. Tergelak Puan Iffah memandang cucunya.
“Mama, tak payahlah. Mengarut aja honeymoon tu semua. Gina nak bawak Bella balik sekali,” ucap Regina tidak sanggup mahu membiarkan anaknya di situ. Bukannya dia hendak pergi berbulan madu bagai.
“Biarlah Bella temankan mama kat rumah ni. Gina pergilah ajalah dengan Iqmal balik rumah sana,” ujar Puan Iffah penuh makna.
Regina mendengus tidak senang. Macamlah ini pertama kali dia berkahwin sampai semua orang kena jauhkan diri daripada dia dan Iqmal.
“Bella temankan nenek ya? Lagipun Nisha dengan Maryam balik esok. Takkan Bella nak balik awal pulak, kan? Rugi Bella nanti,” umpan Puan Iffah lagi.
Arabella mula terdiam memikir. Betul kata neneknya. Macam rugi pula balik awal. Mulalah anak itu tidak tetap pendirian.
“Okaylah. Bella nak duduk dengan nenek!” ucap anak itu tanpa mahu berfikir panjang lagi.
“Jangan nak mengada-ada. Ikut mama balik,” tegas Regina.
“Tak naklah. Kalau Bella ikut mama balik, siapa nak kawan dengan Nisha? Kesian Nisha.”
“Alah.. biarlah dia dengan mama. Esok abang Iqbal hantarkan balik. Gina pergi ajalah balik dengan Iqmal,” ucap Puan Iffah lembut.
“Bella ni saja aja tau!” desis Regina lantas menjeling anaknya itu. Macamlah Nisha sendirian aja di rumah ini.
Puan Iffah tersenyum-senyum memandang anaknya berlalu. Konon macam tak suka aja. Entah-entah suka dapat berdua-duaan dengan Iqmal.
“Mana Bella?” tanya Iqmal hairan melihat Regina sendirian sahaja bersiap.
“Dia tak mahu ikut,” jawab Regina perlahan. Beg pakaiannya diambil. Beberapa helai pakaian disumbat masuk ke dalam beg itu.
Iqmal mula tersenyum sendiri dengan jawapan sang isteri. Adalah tukang hasut agaknya tu. Tadi anak itu berkobar benar mahu pulang ke rumah mereka.
“Esok kita ambil dia ya?” ucap Iqmal sambil mendekati Regina.
“Hmm..” jawab Regina acuh tidak acuh.
“Macam tak happy aja ni? Tak suka ke berdua aja dengan abang?”
“Gina tengah kemas bajulah. Tak sabar nak berdua-duaan aja!” perli Regina lantas mendekati meja solek pula setelah beg itu siap dikemas. Segala macam harta bendanya di atas meja itu diambilnya untuk dibawa pulang bersama.
“Abang tunggu Gina di bawah ya?” ucap Iqmal seketika kemudian.
“Tolong bawak beg tu sekali, abang.”
“Boleh. Tolong bawakkan Gina ke bawah pun boleh,” sambut Iqmal selamba.
“Gina ada kaki. Tahu jalan sendiri,” cebir wanita itu perlahan sambil menunduk membuka laci meja solek. Tidak sedar Iqmal sedang mendekat. Spontan ada kucupan singgah di pipinya.
“Menjawab!” ucap Iqmal sepatah sebelum menjauh. Regina hanya mampu mengertap bibir memandang Iqmal pergi sambil menjijing dua beg di tangan.
Di bawah sekali lagi Arabella diajak pulang oleh Iqmal. Namun ajakannya tidak dilayan oleh anak itu. Tumpuannya lebih kepada sepupunya. Nisha sememangnya semenjak kecil amat rapat dengan Arabella. Sudahnya Iqmal dan Regina pulang berdua semata.
Ketika sampai di rumah hari sudah gelap. Di atas wanita mereka terus bersiap untuk menunaikan solat maghrib yang sudah tinggal sedikit sebelum menyambung ke solat isyak pula.
“Abang nak makan? Mama ada bagi lauk sikit. Gina boleh panaskan untuk abang.”
“Nak..” jawab Iqmal sepatah. Sejadah disangkut semula ditempat tadi. Kemudian dia membuntuti Regina ke bawah.
“Biar abang masak nasi,” pelawa Iqmal ketika mereka di dapur.
“Takpe. Gina boleh buat. Abang duduk dulu. Sekejap lagi Gina panggil abang.” Regina hanya menoleh seketika kepada Iqmal sambil tangannya memunggah bekas-bekas Tupperware yang dibawa dari rumah mamanya.
“Buat sama-sama apa salahnya? Cepat sikit siap. Cepat kita dapat makan,” jawab Iqmal tidak peduli kepada tegahan sang isteri.
Sudahnya Regina membiarkan saja lelaki itu membasuh beras. Lauk pauk yang dibawa tadi segera ditenggek di atas dapur. Sesudah selesai kerjanya, Iqmal mula menghadap isterinya itu pula.
“Abang tunggu depan ya?” ucap Iqmal sambil meletakkan tangannya di pinggang wanita itu. Regina sekadar mengangguk. Namun sebelum berlalu, tangan lelaki itu melarat pula sehingga ke perutnya. Berderau darah perempuan itu dibuatnya. Iqmal selamba saja berlalu macam tiada apa-apa berlaku.
“Naquib ada datang jenguk Bella lepas Gina berpisah dengan dia dulu?”
Regina segera mengangkat pandangan kepada Iqmal di hadapan sambil menggeleng.
“Kenapa?” tanya Iqmal hairan. Tidak rindu anakkah lelaki itu? Anak secerdik itu sanggup dibiarkan tanpa kasih sayang?
“Dia memang macam tu. Tanya pasal Bella sekali sekala aja. Bella pun dah terbiasa dengan keadaan ni,” jawab Regina rendah. Namun walaupun Naquib tidak begitu peduli kepada Arabella, duit saraan anak mereka tetap diberi setiap bulan melalui akaun bank. Dia sedar Naquib bukan persis lelaki yang sarat dengan sifat kebapaan. Dunia lelaki itu hanya kerjayanya sahaja. Dahulu pun bukan lelaki itu yang mahu benar ada anak. Kehadiran Arabella tidak dirancang. Hadir begitu sahaja.
Melihat wajah Regina layu semacam mulalah hati lelaki itu dijentik rasa simpati. Kasihan Arabella. Namun dia kagum. Anak itu seperti ibunya. Tabah dengan keadaan yang datang.
“Kalau ayah kandung dia tak mahu sayang dia, biar abang yang beri kasih sayang tu.”
Regina hanya diam. Dia tahu Iqmal sudah semakin rapat dengan Arabella. Cara Iqmal melayan Zayn dan Zayed juga membuatkan hatinya sejuk. Dua kembar itu nampak ceria sepanjang bersama Iqmal.
Jam sebelas malam Iqmal naik ke atas. Regina baru sahaja selesai mengemas baju Iqmal ke dalam almari.
“Hmm.. mata ni belum mengantuk. Tapi kaki abang ni gatal nak naik atas aja. Tak tahulah kenapa. Mungkin sebab bosan duduk sorang di bawah,” ucap Iqmal saat merapatkan pintu.
Regina mula menoleh kepada Iqmal. “Dah mulalah tu..”
“Memang nak mulalah ni. Malam tadi tak dapat nak mula apa-apa. Bella ada dengan kita. Sekarang?” giat Iqmal ala-ala kemiangan.
Regina mula tidak tentu arah saat Iqmal mendekatinya. Pantas tangannya mencapai sehelai baju tidur lelaki itu dari dalam almari.
“Baju abang..”
Iqmal memandang baju itu seketika sebelum diambilnya. “Baru ke?” tanyanya. Tidak pernah pula dia lihat pijama itu sebelum ini.
“Barulah..” jawab Regina sekadar sambil lewa.
Namun Iqmal tiba-tiba menarik tangan Regina lebih dekat kepadanya. Sesuatu dibisikkan ke telinga isterinya itu. Buat seketika Regina terpempan sendiri. Kemudian wajah Iqmal dicari oleh dua bola matanya. Melihat lelaki itu sedang menyengih nakal, spontan baju ditangan Iqmal dirampas. Pijama itu dilibasnya ke arah lelaki itu. Iqmal tergelak besar sambil melarikan diri. Geram punya pasal baju itu dilempar pula ke arah Iqmal.
“Malas nak layan!” gerutu Regina sambil menjeling.
Tersengih-sengih Iqmal memandang Regina berjalan ke kamar mandi dengan tuala di tangan. Sebaik sahaja pintu kamar mandi di tutup, Iqmal meluru ke arah almari. Pintu almari dibukanya pantas. Baju tidur Regina yang dilihat bergantungan di satu bahagian terus dikautnya semua sekali. Mulalah dia menggelupur mencari tempat untuk menyorokkan pakaian itu. Biar biru mata hitam Regina mencari bajunya. Iqmal tergelak dalam hati. Siaplah perempuan itu nanti..
Regina terkedu melihat sebahagian pakaiannya di dalam almari lesap. Nampak macam ada makhluk sudah mengusiknya. Pantas dia memandang ke arah Iqmal.
“Mana baju Gina, abang?”
“Abang dah suruh jiran sebelah tolong simpankan,” jawab Iqmal selamba.
“Jahat betullah dia ni! Gina nak pakai baju apa kalau macam ni!” getus Regina mula meninggikan suara. Namun Iqmal hanya tersengih memandang isterinya itu.
“Kan abang dah bisik tadi. Pedulikanlah pasal baju tu. Baju-baju tu semua selamat dalam jagaan jiran sebelah,” jawab Iqmal lantas tergelak sendiri.
Regina hanya mampu menghela nafas. Serius benar Iqmal dengan kehendaknya. Sampai sanggup menyorokkan baju tidurnya. Apa yang diucapkan Iqmal di telinganya tadi??
‘Malam ni Bella takde. Jadi kita boleh tidur bogel sampai pagi..’

Begitulah bunyinya yang membuatkan darahnya menyirap!

1 ulasan:

  1. Haiyoooo....hahaha....tu dia aih, ayat hat last tu...tak menahan, patut la kena libas pun....hahaha😀😀😀😀

    BalasPadam