“Iqmal
ada
call mama sebelum ni.”
Terbeliak mata Regina mendengar itu. “Apa dia cakap
dengan mama?” tanya Regina pantas.
“Takde apa. Sekadar bertanya khabar. Dia ada
bagitahu mama yang dia berkawan dengan Gina semula,” ujar Puan Iffah tenang
sahaja.
Berdebar dada Regina melihat ketenangan di wajah
emaknya. Bimbang emaknya tidak suka biarpun tidak begitu ketara rasa itu.
“Lagi dia ada cakap apa dengan mama?”
“Maksud Gina? Ada sesuatu yang lain patut mama
dengar ke?” telah Puan Iffah selamba.
“Emm…” Regina terdiam sekejap. Patutkah dia berterus
terang saja?
“Iqmal melamar Gina ke?” teka Puan Iffah mudah.
Perlahan Regina mengangguk. “Tapi Gina tak bagi
jawapan apa-apa pun.”
“Kenapa?”
“Kenapa apa?” hairan Regina dengan pertanyaan
mamanya.
“Kenapa masih tak bagi jawapan? Ada masalah lagi ke?
Kalau Gina memang tak mahukan Iqmal, mama rasa awal-awal lagi Gina dah kata
tidak pada lamaran dia tu, kan? Jadi apa masalahnya?” duga Puan Iffah. Bukankah
selama ini Regina paling memuja lelaki itu? Apa lagi yang kurang?
“Gina nak tanya pendapat mama dulu,” ujar Regina
perlahan.
Puan Iffah menghela nafas perlahan saat merenung
tampang sang anak. Biarlah kali ini dia akur kalau sudah itu kehendak Regina.
Dia tahu tiada gunanya dia menegah. Itu hanya akan memburukkan lagi hidup
Regina. Lihat perkahwinan Regina sebelum ini sahaja sudah cukup.
“Mama tak
kisah, Gina. Gina rasa yakin dengan Iqmal, mama ikut aja. Yang nak hidup dengan
dia Gina. Bukan mama. Mama hanya mampu mendoakan kalian berdua.” Puan Iffah
segera meluahkan pendiriannya.
“Kalau mama jadi Gina, apa mama akan jawab pada
Iqmal?” tanya Regina lagi.
“Jangan tanya mama. Sebab Gina yang ada perasaan tu.
Mama hanya memandang selama ini. Macam yang mama katakan tadi, kalau Gina yakin
dengan Iqmal teruskanlah. Gagal sekali dua tak semestinya kita akan gagal
selalu. Lagipun kamu berdua bukan di zaman remaja lagi. Masing-masing dah
berumur. Rasanya dah cukup matang untuk belajar dari kesilapan lalu,” jawab
Puan Iffah bersungguh.
Regina membisu sambil memikir kata-kata sang ibu.
“Bila mama tengok Gina berdiam begini, mama faham
sesuatu. Keraguan tu sentiasa ada. Gina, apa-apa pun bersangka baik sajalah.
Bila buat pertimbangan, jangan campur adukkan dengan segala macam andaian yang
belum tentu akan terjadi. Kehidupan ni kita yang memilihnya dan kita yang
berusaha untuk membentuknya. Tanya hati Gina sendiri. Apa sebenarnya yang Gina
mahukan selama ini. Jika dengan Naquib pun tidak berjaya, dengan Iqmal pun Gina
pernah gagal.. apa sebenarnya yang Gina nakkan pada sebuah rumahtangga? Allah
tidak minta kita berserah begitu sahaja. Sebaliknya kita juga kena berusaha
untuk dapatkan rumahtangga yang kekal sehingga ke akhir hayat. Tepuk dada..
dengarlah suara hati yang paling dalam. Jangan berpegang kepada keraguan tu.
Ini masa terbaik untuk kamu perbaiki segala kekurangan waktu dulu,” ujar Puan
Iffah lagi.
Regina menghela nafas perlahan. Terbayang lelaki
seorang itu. Sudah lebih sebulan lamaran Iqmal terbiar begitu sahaja. Lelaki
itu tidak ada mengungkitnya. Dia tahu Iqmal tidak mahu mendesak dia sangat.
Tetapi memikirkan kesudahan hubungannya dengan Iqmal, dia rasa dia perlu
meminta pendapat orang lain.
“Gina cuma tak mahu menjadi buta lagi kerana cinta,
mama. Gina takut nak mencuba sekali lagi. Sakitnya tak tertanggung.”
“Kalau sikap Iqmal masih tidak mampu meyakinkan
Gina, kenapa Gina nak membuang masa dengan dia lagi? Atau Gina yang bermasalah
di sini? Jangan kenang sangat benda yang lepas-lepas tu, sayang. Semua orang
melalui kepahitan masa lalu. Ada yang mampu meneruskan hidup kali kedua dengan
orang yang sama. Tak kurang juga beralih pada orang lain. Pokok pangkalnya
ialah diri kita. Berfikirlah yang baik-baik. Jangan campur adukkan semua
kenangan tu dalam kehidupan Gina sekarang. Iqmal yang mama kenal, dia memang
sayangkan Gina. Cuma di antara kamu berdua Allah letakkan Nita sebagai ujian.
Kamu berdua pernah mengalah kepada keadaan. Berpisah sudah. Bertemu pun sudah.
Itu semua masih tak cukup untuk Gina buat keputusan yang terbaik untuk diri
Gina?” nasihat sang emak lembut.
“Abang Iqmal okay. Gina rasa ni cuma perasaan Gina
aja. Kadang-kadang Gina rasa susah nak maafkan dia.”
“Macam yang mama katakan tadi, berfikir yang
baik-baik. Selagi Gina berfikiran negative, keadaan tak akan berubah. Biar
seratus kali Gina gagal dalam rumahtangga, mama tetap nak Gina mencuba sekali
lagi. Kalau bukan dengan Iqmal atau Naquib, dengan orang lain! Mama tak mahu
tengok Gina terus hidup dalam kenangan tu. Lepaskan semua tu pergi. Berdendam
takkan menguntungkan sesiapa, Gina. Jika Iqmal lelaki terbaik untuk Gina, mama
tiada masalah untuk terima dia semula sebagai menantu mama.”
Regina membisu seketika sambil merenung permukaan
meja di hadapannya itu.
“Mama Iqmal macam mana?”
“Gina tak tahu. Abang Iqmal takde sebut pun pasal
mama dia,” jawab Regina perlahan.
“Seeloknya selesaikan dulu masalah itu. Mama tak
mahu perkara yang dianggap enteng sebaliknya semua itu yang menjadi barah dalam
rumah tangga. Restu emak dan ayah penting. Mama pun tak mahu anak mama jadi
seteru kepada mentua sendiri,” komen Puan Iffah lembut.
Regina sekadar mengangguk. Diperdengarkan tentang bekas
emak mertuanya itu membuatkan dia mula seriau sendiri. Sudah lama dia tidak
melihat wanita itu. Entah apa khabar Puan Sri Bainun sekarang.
Malam itu Regina sekadar mahu menguji. Dia tahu
Iqmal berada di rumah orang tuanya sepanjang hujung minggu ini. Jadi dia
menelefon ke sana. Tepat dugaannya, panggilannya disambut oleh seorang wanita.
“Siapa ni?” tanya wanita itu setelah Regina meminta
untuk bercakap dengan Iqmal.
“Gina, auntie..” ucap Regina dalam ketenangan yang
dibuat-buat.
“Ha.. lama tak dengar cerita? Tiba-tiba timbul pula
kamu ya? Hmm.. bila boleh kami ni masuk meminangnya?” balas wanita itu selamba.
Berdesing juga telinga Regina mendengar nada sedikit
sinis wanita itu.
“Meminang siapa??” tanya Regina semula.
“Hai.. takkanlah nak meminang anak dara kamu tu
pulak? Datang bulan pun belum lagi. Si Zayn dengan si Zayed tu belum pun
bersunat!” balas Puan Sri Bainun sedikit meninggi.
Terkedu lagi Regina dibuat wanita tua itu. Kepala yang
tidak gatal digaru. Puan Sri ni merepek apa entah! Blur dia sekejap.
“Tunggu sekejap. Mama panggilkan Iqmal,” ucap Puan
Sri Bainun tanpa menanti jawapan Regina.
“Zayn.. pergi panggil papa kat atas, sayang. Auntie Gina
call ni,” suara Puan Sri Bainun kedengaran sayup-sayup.
“Cepat sikit! Budak bertuah ni. Orang tengah menunggu,
dia boleh tersengih-sengih pulak. Macam dia pulak yang sibuk nak kahwin!”
Sketsa kecil di hujung sana sempat kedengaran
melalui corong itu oleh Regina. Regina terdiam memikir sendiri dalam pada dia
menanti suara Iqmal menerjah talian itu. Mama? Panggilan itu masih sebati
dengan Puan Sri Bainun sedangkan dia sudah menukar kepada panggilan auntie. Adakah
keluarga Iqmal sudah tahu yang Iqmal ada melamar dia? Kalau benar dia tersalah
tafsir.. soal meminang tadi ditujukan kepada siapa? Iqmal anak tunggal. Takkanlah
kembar Zayn dan Zayed pulak yang nak kahwin, kan? Bersunat pun belum lagi. Ah! Dia
sudah pening.
“Sayang.. abang mandi kejap tadi. Kenapa tak call
handphone abang?” suara Iqmal tiba-tiba menerpa di talian.
“Emm.. err..” Regina mula kalut sendiri. Apa alasan
nak diberinya?
“Gina pinjam telefon rumah mama. Handphone Gina
tertinggal kat rumah,” jawab Regina akhirnya.
“Jangan nanti abang pun Gina terlupa. Tertinggal entah
kat mana-mana,” usik lelaki itu lantas ketawa sendiri.
Regina tersenyum sendiri mendengar usikan lelaki
itu.
“Ara mana?”
“Tidur.”
“Kirim salam rindu pada dia ya? Cakap I love you kat
dia untuk abang.” Nada lunak Iqmal terus kedengaran membuatkan wanita itu
tersenyum sendiri.
“Mama abang tak marah ke Gina call ni?” tanya Regina
perlahan.
“Dia tak sempat nak marah. Sibuk dengan cucu dia,”
jawab Iqmal lantas ketawa sendiri mengenang ibunya itu.
“Mama abang ada cakap masuk meminang. Gina tak faham
apa maksud mama. Mama abang dah tahu pasal kita ke?” ujar Regina lagi.
“Dah.” Sepatah sahaja jawapan Iqmal.
“Habis tu apa komen dia?”
“Gina jangan tanya abang apa komen mama. Lebih baik
Gina tak tahu.”
Jawapan Iqmal mula membuatkan Regina tidak sedap
hati. sudah diagaknya. Puan Sri Bainun mesti tidak sukakan dia.
“Cakaplah. Gina nak tahu sama ada mama masih
bencikan Gina atau tak,” ujar Regina sedikit kelat.
“Takde kena mengena dengan benci atau tak. Cuma dia
kata pada abang sebelum ni, tolong kahwin cepat sikit sebab dia nak Zayn dan
Zayed tinggal dengan dia. Sekarang dalam kepala mama tu hanya ada Zayn dan
Zayed aja. Yang lain dia tak peduli. Dia suruh abang kahwin cepat supaya abang
tak sunyi bila dua kembar tu mama dah ambil nanti. Sekarang ni pun abang kena
berebut dengan mama. Pantang lepa aja, dua anak abang tu lesap diculiknya,”
ujar Iqmal mula tersenyum sendiri mengenang mamanya. Mabuk melayan cucu pula
sekarang. Tanpa dapat ditahan Regina tergelak mendengar cerita Iqmal tentang
bekas emak mentuanya itu.
“Mama dah tak macam dulu, sayang. Dia dah malas nak
sibuk-sibuk hal kita. Gina jangan bimbang. Mama tak bencikan Gina lagi,” ucap
Iqmal cuba menyakinkan wanita itu.
“Mama tak kisah ke Gina ni..”
“Janda?” pintas Iqmal lebih pantas.
“Betul..” jawab Regina agak rendah.
“Abang pun apa kurangnya? Dah dua kali berkahwin. Kedua-duanya
tak kekal.”
Regina menghela nafas perlahan. Makin banyak dia
berfikir, makin serabut otaknya. Sedangkan Iqmal elok sahaja. Dia yang takut
tak tentu pasal.
“Gina dah fikir habis-habis. Gina nak terima lamaran
abang,” ucap Regina akhirnya.
“Alhamdulillah.. terima kasih atas peluang ni,
sayang. Akhirnya doa abang dimakbulkan Allah,” ucap Iqmal penuh kesyukuran.
“Tapi dengan syarat..”
“Apa syaratnya?”
“Tak perlulah rombongan meminang tu semua ya? Gina
malu nak naik pelamin banyak kali. Sebelum ni dah merasa naik pelamin dengan
abang. Cukuplah tu,” ujar Regina perlahan.
“Naik pelamin banyak kali dengan abang pun kenapa? Kita
berdua aja. Orang lain tak payah tengok kita. Abang tengok Gina, Gina tengok
abang,” jawab Iqmal selamba.
“Dah nama pun naik pelamin mestilah orang tengok! Lainlah
kalau kita buat majlis tak jemput orang,” tukas perempuan itu hairan. Ada ke
bersanding olok-olok? Entah ke manalah agaknya melencong fikiran Iqmal.
“Pelamin tu kita suruhlah wedding planner pasang
dalam bilik tidur kita. Jadi kita bersanding berdua aja. Lepas puas bersanding
kita boleh terus lompat naik atas katil.”
“Eee.. tak kuasa nak main lompat-lompat ni,” gerutu
perempuan itu mula terasa segan dengan usikan Iqmal. Kalau masih anak dara
mungkinlah dia teruja. Masalahnya dia dah mak orang! Tak sesuailah nak gelojoh
sangat ni. Sakan Iqmal tergelak di hujung talian. Hati sedang berbungalah katakan.
“Gina serius ni, abang! Jangan nak tergelak-gelak
suka sangat.”
“Abang faham. Abang tak kisah asalkan itu baik untuk
kita. Kalau Gina tak mahu majlis besar,
kita buat yang kecil-kecilan sudahlah. Abang pun tak mahu menyusahkan orang tua
kita. Diorang tu dah tua. Lagipun macam yang Gina kata, ini kali kedua, kan? So
semua tu tak begitu penting,” ucap Iqmal mula serius.
Regina membisu seketika dalam suasana damai itu. Hatinya
juga merasa amat damai sekali. Utama sekali, dia merasa dirinya kuat untuk
menghadapi segala ujian yang bakal mendatang.
“Jadi bila agak-agaknya abang boleh nak pindah duduk
dengan Gina?”
“Manalah Gina tahu. Nikah pun belum nak pindah
apanya,” jawab wanita itu selamba.
“Yalah. Maksud abang nikahnya bila? Janganlah jauh
sangat tarikhnya. Seksa abang nanti,” sambut Iqmal mula berubah lain macam
nadanya. Macam gedik aja!
“Tak tahu. Kalau ikut Gina, eloknya pertengahan tahun
depan aja.”
“Ha?” Iqmal tersentak. Pertengahan tahun depan? Mulalah
dia membuat simpan kira dalam otaknya. Sekarang baru bulan Jun. bermakna lagi
enam bulan lagi baru menjelang hujung tahun. Kalau pertengahan tahun depan,
bermakna ada tambahan lagi enam bulan atau lebih senang kira.. lebih kurang setahun
lagi baru mereka akan bernikah.
“Lamanya? Gina tak kasihankan, abang?”
“Gina rasa mengantuk pulak ni. Okay, bye..”
“Gina.. janganlah tahun depan. Bulan depan bolehlah.
Okay. Okay. Biar abang yang tentukan tarikhnya.” Iqmal mula menggelupur kalut sendiri.
“Ahhhh.. mengantuknya. Selamat malam, bang..” Regina
buat-buat menguap tanda malas mahu mendengar lagi.
“Hello! Hello! Gina, abang belum..” Iqmal terpaku
memandang telefon di tangan. Talian sudah terputus. Serius ke tahun depan?? Kena
buat solat hajatlah kalau macam ni. Hajat nak menikah cepat!
best 3x.
BalasPadam