Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Sabtu, 16 Mei 2015

BAB 26 BUTAKAH CINTA


“Good night, papa..” ucap anak-anak itu kepada sang ayah.
“Good night.” Iqmal membalas dengan senyum mekar. Melihat anak itu sudah mula memejamkan mata, Iqmal segera meninggalkan kamar itu. Lampu kamar dipadamkan. Buat seketika dalam kelam itu dia memandang lagi. Zayn dan Zayed sudah tidak bergerak di atas katil masing-masing.
Seterusnya Iqmal masuk ke dalam kamarnya. Lelaki berusia 35 tahun itu duduk di birai katil sambil membelek telefonnya. Ada satu mesej tertera di skrin menunggu untuk dibukanya. Iqmal mula bersandar ke kepala katil sambil menekan-nekan telefonnya. Mesej itu datang daripada Ariya.

Tolong jangan mempermainkan perasaan dia lagi.

Hanya itu yang kelihatan di muka telefonnya. Malas mahu menaip, Iqmal segera menghubungi wanita itu. Sekejap sahaja taliannya berjawab oleh orang di sana.
“Ary sibuk ke?” tanya Iqmal lembut.
“Tak.” Jawab Ariya sepatah cuma.
“Apa maksud Ary bagi mesej macam tu pada abang?”
Ariya menghela nafas perlahan sebelum memulakan bicara. “Ary bercakap pasal Gina.”
“Abang tahu.” Iqmal menyambut pantas.
“Lepas bercerai dulu, dia kena paksa kahwin dengan Naquib. Mama Gina yang paksa sebab nak dia lupakan abang. Dia setuju juga atas sebab yang sama. Tapi keadaan tu tak berubah. Dia tak mampu jadi macam abang. Dia tak mampu beri sepenuh hati kepada suami dia sampai Naquib berubah. Suami dia cari lain. Naquib memang dah lama nak ceraikan Gina. tapi Gina berkeras tak mahu sebab kesiankan Arabella. Takut Arabella kehilangan ayah. Tapi akhirnya mereka berdua bercerai juga,” jelas Ariya tenang.
Iqmal terdiam mendengar cerita itu. Sungguh dia tidak tahu menahu langsung tentang semua itu.
“Gina tu nampak kuat. Tapi perasaan dia rapuh, abang Iqmal. Ary kesian tengok dia. Ary tahu dia masih sayangkan abang. Kalau abang benar-benar dah takde hati lagi pada dia, jangan dekati dia lagi. Ary tak mahu tengok dia melalui keadaan macam dulu. Ary sayangkan dia,” ucap Ariya lagi.
“Abang faham, Ary. Abang pun takde niat nak mempermainkan perasaan dia.”
“Ke mana abang selama ni? Kenapa langsung tak hubungi kami?”
Iqmal menghela nafas panjang mengenang kehidupannya selama lebih lima tahun ini.
“Abang menetap di luar negara. Mencari pengalaman kerja di luar. Memenuhi cita-cita abang semenjak dulu. Abang travel sana sini untuk mengisi kekosongan hidup abang. Abang tak hubungi sebab abang tak mahu menambah luka yang ada. Perasaan dia terluka, begitu juga abang, Ary. Tak mudah untuk abang lalui selama ini,” jelas Iqmal lembut.
“Kebetulan ke abang duduk di kawasan yang sama dengan Gina?”
“Kebetulan. Abang memang tak tahu dia menetap di kawasan ini. Abang beli rumah abang ni dari lelongan bank. Rumah lama abang dah jual sebelum abang dan Gina bercerai. Abang tak sangka langsung yang abang akan jumpa Gina semula di sini. Mungkin Allah ada aturan lain untuk kami,” jawab Iqmal.
“Kata orang kalau dah jodoh, lari biar ke mana pun suatu hari nanti pasti akan bersatu juga,” komen Ariya perlahan.
“Ya, mungkin..”
Ariya membisu seketika.
“Kalau sebab abang dia tak bahagia, abang memang bersalah pada dia, Ary. Hidup abang dulu tak indah. Tapi abang cuba cantikkan ikut citarasa abang sendiri. Abang tak sangka ada seseorang akan terus menunggu abang.”
“Dia takkan mampu lupakan abang. Kalau dia mampu, tujuh tahun dia berada di Ireland dah cukup masa untuk dia lupakan abang. Tapi tak boleh. Kali ni abang dan Gina terpisah lagi. Tapi sikap dia berubah lepas dia jumpa abang. Sebab tu Ary kata Gina ni rapuh. Dengan abang dia amat rapuh. Betapa mudah dia marah, menangis, suka, ketawa jika mendengar nama abang. Tapi dengan Naquib hati dia keras.”
Iqmal pula yang memilih untuk membisu. Kata-kata Ariya teramat mudah untuk difahaminya. Namun hatinya sayu mendengar kenyataan itu.
“Abang Iqmal, seumur hidup Ary tak pernah sekali Ary melihat seseorang begitu teguh memegang cintanya kepada orang yang disayanginya. Regina Fatyma Khan seorang perempuan yang sangat istimewa. Dan Ary tahu dia juga istimewa buat abang, kan?” suara Ariya kedengaran lagi.
“Ya.. dia cinta pertama abang, Ary. Dia selalu ada dalam doa dan kenangan abang. Cuma suatu masa dahulu abang pernah tewas mengemudi bahtera kehidupan.”
“Bahtera bila-bila masa saja boleh tersalah arah. Cuma sesetengah dari manusia dalam dunia ni lekas kembali kepada arah yang sebenar. Begitu juga antara abang dan Gina, antara abang dan Nita. Nita tu kenangan abang. Tapi Gina adalah kenyataan. Allah sentiasa membawa dia di hadapan abang. Apa maknanya tu semua?”
Iqmal tersenyum sendiri. Keresahan hatinya semenjak kali pertama dia bertemu Regina di taman permainan itu, sudah ditafsirkan oleh Ariya. Nampaknya bukan hanya dia yang beranggapan begitu. Pada mulanya dia bimbang mahu mendekat. Kerana Regina isteri orang. Tetapi dari seseorang dia terdengar cerita yang Regina telah bercerai. Entah kenapa hatinya kembali berdenyut dengan berita itu.
“Ary harap kali ni segala-galanya dipermudahkan untuk Gina dan abang. Ary selalu berharap abang dan Gina akan bersama juga akhirnya,” kata Ariya dicelah kebisuan Iqmal.
“Abang harap harapan Ary akan jadi kenyataan tak lama lagi. Abang takkan selamanya mampu membiarkan keadaan terus begini,” sambut Iqmal tulus. Jika benar Regina teruntuk buatnya, dia sedia menerima Regina seadanya. Dia mahu membahagiakan wanita itu semampunya. Dia harap Regina akan tersenyum sepanjang hidupnya. Dia tidak ingin membiarkan Regina menangis lagi. Kerana.. hatinya juga sudah puas menangis sendiri.
“Baguslah kalau itu janji abang. Dia pernah mengaku dengan Ary. Dia menangis sebab termimpikan abang. Ary tahu dia rindukan abang sangat-sangat. Orang yang ada di depan mata tak mampu kita pandang. Tapi orang yang dah takde kita kenang sampai merana. Betullah kata orang.. cinta tu memang buta. Bertahun-tahun melalui segala macam dugaan tapi cinta tu tetap tidak bertemu jalan keluar dari hati,” ucap Ariya lagi.
Betapa sayunya hati lelaki itu mendengar cerita Ariya. Tidak. Cinta itu tidak buta. Cinta akan mencari hati untuk berlabuh dengan izin dari Allah. Tetapi yang buta selama ini adalah dia. Kerana mati hatinya yang buta, dia dan Regina jadi begini. Namun biarlah berjuta orang bermadah yang cinta itu buta. Dia tidak ingin membutakan mata hatinya kepada kesetiaan Regina.
 Di penghujung malam itu, lelaki itu masih tidak terlena. Sebaliknya dia merenung kegelapan malam di luar sana penuh asyik. Mengenang semula kisah hidupnya bersama Regina semenjak mula. Betapa hebatnya cinta itu bertahan. Berdiri begitu sahaja sedangkan mereka tidak pernah bersatu. Namun kali ini janganlah anugerah itu terbiar sia-sia. Kerana dia juga mahu bahagia seperti insan lain.

Ketiadaan sang ayah di dalam rumah itu langsung tidak mencacatkan emosi anak kecil itu. Selama ini dia memang kurang bergaul dengan ayah kandungnya memandangkan lelaki itu jarang berada di rumah. Arabella lebih rapat dengan ibunya. Semenjak ada kekasih baru, hubungan Naquib dan Arabella bertambah renggang sehinggakan bayang seorang ayah langsung tidak jejak dalam fikiran anak itu.
Pagi itu riuh rendah di dapur saat menyediakan sarapan pagi. Dua beranak itu seronok bergurau senda. Anak itu sibuk menemankan mamanya di dapur. Selesai menyediakan pancake kegemaran Arabella, Regina membawa anaknya ke meja makan. Anak itu ditatang bagai minyak yang penuh. Satu-satunya harta yang Naquib serahkan kepadanya selepas penceraian mereka. namun sedang mereka berdua sibuk di meja makan, kedengaran bunyi hon kereta di hadapan rumah. Pada mulanya dia menyangka hon itu dibunyikan untuk jiran sebelah. Namun bunyi hon kali ketiga membuatkan Regina kian tertanya. Siapa pula yang datang pagi-pagi buta begini.
“Stay here!” ucap Regina kepada anaknya. Arabella yang sedang asyik mengunyah tidak begitu mempedulikan arahan mamanya. Pancake di dalam pinggannya itu lebih menyelerakan.
Regina segera menjenguk ke hadapan. Keningnya berkerut sendiri. Macam kenal kereta itu. Sedang dia terintai-intai, cermin sedikit gelap kereta itu mula meluncur ke bawah. Terkejut Regina melihat wajah yang sedang dipandangnya. Iqmal menekan hon lagi sambil memandang ke rumah itu. Mahu tidak mahu Regina segera keluar.
“Hai.. selamat pagi.”
Regina tidak menjawab ucapan selamat itu. Macam poyo aja!
“Gina ada kelas tak hari ni?”
“Takde. Ada apa abang datang rumah Gina?” tanya Regina. Tidak perlulah dia bertanya bagaimana Iqmal tahu di mana rumahnya. Sudah pasti ada tukang lapor tak bergaji yang bagitahu.
“Abang nak minta tolong sikit. Kedai makan kat depan tu tutuplah pulak. So abang nak tumpang breakfast kat rumah Gina, boleh? Abang dengan anak-anak abang. Gina ada masak lebih tak hari ni?” ujar Iqmal.
Terkedu Regina mendengar ucapan yang kedengaran cukup selamba itu. Seumur hidupnya dia tidak pernah melihat ada mana-mana manusia yang sungguh tidak malu seperti lelaki ini. Mintak tumpang sarapan di rumah dia?? Siap angkut anak-anak dia sekali pulak tu!
“Boleh ke? Kami memang tengah lapar sangat ni,” ucap Iqmal mula menayang sengih.
“Boleh. Lain kalau nak makan tengahari, makan petang, makan malam, makan tengah malam, sahur, berbuka puasa… datang aja! Memang ini tempatnya,” ucap Regina separuh memerli.
Iqmal tersengih-sengih mendapat perlian itu. Cepat sahaja dia mengajak anak-anak lelakinya memenuhkan rumah perempuan seorang itu. Dua kanak-kanak lelaki itu mula teruja saat diperkenalkan dengan teman baru. Arabella juga lekas mesra dengan orang sekelilingnya. Regina sempat tersenyum melihat tiga kanak-kanak itu berborak lebih rancak berbanding dia dan Iqmal. Sudahnya dua orang dewasa itu lebih banyak berpandangan daripada bercakap.
“Gina free tak hari ni?” tanya Iqmal setelah sekian lama mereka hanya berpandangan.
“Kenapa?” soalan Iqmal dibalas juga dengan soalan. Berat mahu menjawab soalan itu.
“Abang nak ajak Gina keluar dengan abang,” jawab Iqmal perlahan saat Regina ditemui di dapur.
Regina menghela nafas perlahan. Iqmal mengajak dia keluar untuk apa? Apa sebenarnya yang Iqmal mahukan darinya? Dia tidak berpisah dengan Naquib demi Iqmal. Sama sekali tidak. Dengan lelaki ini dia tahu dia harus berhati-hati menjaga perasaannya. Bimbang terjatuh lagi sedangkan Iqmal tidak sudi. Dia sudah letih dengan kekecewaan lepas.
“Gina, abang tahu apa yang Gina fikirkan tentang abang. Abang tak datang sini semata-mata untuk menyakiti hati Gina semula. Percayalah..” ucap Iqmal lagi.
“Kenapa baru sekarang?” balas Regina hampir sahaja tidak kedengaran suaranya. Entah kenapa hatinya pedih. Suatu masa dulu dia dibiarkan saat hatinya penuh harapan. Sekarang Iqmal tiba semula setelah dia dikecewakan sekali lagi. Apa makna semua ini?
“Sebab abang dah jumpa diri abang yang hilang suatu masa dulu. Sebab dua mata ni tak mampu memandang perempuan yang ada depan mata abang begitu saja. Sebab mata yang ada di kepala abang ni memandang Gina terus sehingga ke hati. Pertama kali abang terpandangkan Gina di taman dulu, abang sedar inilah Regina yang abang sayang semenjak dari zaman sekolah. Alasan tu cukup untuk buat Gina percayakan abang?” ujar Iqmal lembut.
Air mata Regina hampir keluar mendengar ucapan Iqmal. Pantas dia berpaling membelakangi lelaki itu. Sengaja buat-buat sibuk agar lelaki itu tidak mengesan kesedihan yang sedang ditahan.
“Abang percaya mesti ada sebab mengapa Allah temukan kita semula. Abang tak mahu sia-siakan peluang ni lagi. Gina tahu tak.. hari tu waktu abang dapat tahu Gina dah bersuami, nyawa ni seolah-olah sudah terlepas dari tubuh. Hati abang pedih. Tapi abang tak patut menghalang Gina pilih jalan hidup Gina sendiri,” jawab Iqmal bersungguh.
Lama pandangan Iqmal singgah kepada wanita itu. Regina masih membisu seolah-olah sengaja memberi dia peluang untuk dia meluahkan isi hatinya.
“Gina, abang takkan biarkan keperitan masa lalu kembali semula kepada kita. Lima tahun dah cukup lama untuk kita berubah. Abang sedar kesilapan abang dulu buat kita jadi begini. Abang mahu berikan kasih sayang abang sepenuh hati pada wanita yang cukup istimewa untuk abang,” ujar Iqmal lagi.
“Gina istimewa untuk abang ke selama ini?”
“Gina..” Iqmal menarik bahu wanita itu agar Regina memandang kepadanya. Namun sedih hatinya melihat Regina menangis. Mahu sahaja wanita itu dipeluknya agar Regina tenang. Namun dia sedar, Regina bukan isterinya. Benarlah kata Ariya sebelum ini. Regina masih tidak mampu melupakan dia biar sekeras mana dia mencuba.
“Abang tak mahu tengok Gina menangis kerana abang lagi. Berilah abang peluang, sayang. Abang nak tunaikan janji-janji kita dulu. Sepatutnya diusia begini kita bersama-sama membesarkan anak-anak kita. Tapi sayangnya kita jadi begini. Abang terima Gina seperti mana Gina sekarang. Abang harap Gina juga akan terima abang seadanya. Kita sama-sama lepaskan kenangan dulu. Abang janji keadaan tidak akan sama lagi macam dulu,” ucap Iqmal lembut.
Regina sekadar membisu. Namun riak di wajahnya memberikan sedikit harapan kepada Iqmal untuk meneruskan apa yang sedang dicarinya dalam diri wanita itu.
“Abang tahu Gina masih berbelah bahagi. Bukan kerana dah tidak sayangkan abang. Sebaliknya kerana serik dengan peristiwa dulu. Abang yang harus memimpin Gina keluar dari semua tu. Percayalah.. kali ini takkan sama lagi seperti dulu. Tuhan dah bagi cukup banyak ujian buat kita untuk kita sama-sama belajar. Beri abang sedikit kepercayaan tu. Sikit pun jadilah untuk kita berdua teruskan kehidupan bersam,” pujuk Iqmal cukup lembut.
“Gina dah lalui kekecewaan berkali-kali. Gina takut sangat-sangat dengan gambaran masa depan. Dulu Gina sendiri, abang. Tapi sekarang Gina ada Ara. Kalau Gina kalah sekali lagi apa akan jadi pada dia?”
“Gina takkan kalah. Abang ada kat sini. Abang takkan pergi mana-mana. Gina pegang tangan abang. Jangan sesekali lepaskan. Insya-Allah kita akan selamat,” ucap Iqmal bersungguh.

Regina meraup wajahnya perlahan. Dalam rasa yang masih berbelah bahagi ini, hatinya sedikit terubat dengan pujukan lelaki itu. Mungkin juga dia harus memberikan Iqmal sedikit peluang untuk memperbetulkan keadaan mereka. Juga ruang buat dirinya untuk kembali meletakkan cinta itu di atas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan