Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Sabtu, 16 Mei 2015

Bab 24 BUTAKAH CINTA


Pengakhiran itu mereka yang memilihnya. Reda dengan kenyataan bahawa cinta tak semestinya bersatu akhirnya talak diletakkan di atas ikatan itu. Memisahkan dua hati. tiada air mata mengalir lagi biarpun hati tetap perit menerima kenyataan itu. Sesingkat itu hubungan mereka. Tidak ada gunanya juga diteruskan jika masing-masing sudah melepaskan talinya.
Hidup tetap harus diteruskan. Regina meneruskan kehidupannya seperti biasa. Namun Iqmal menghilang entah ke mana sehari selepas dia menceraikan Regina di hadapan hakim. Regina tahu, Iqmal sudah meninggalkan Malaysia. Doanya selalu.. agar lelaki itu baik-baik sahaja. Biarpun hakikat ini amat pahit namun hatinya lebih tenang. Biarlah Iqmal pergi. Dia berharap lelaki itu akan pulang setelah dia menemui dirinya yang hilang selama ini. Dan dia tidak mahu menunggu lagi.


Kawasan taman permainan itu sedikit lengang. Masih awal untuk kanak-kanak bermain di situ. Namun Arabella asyik merengek mahu keluar berjalan dalam keadaan sang ibu baru sahaja pulang dari kerja. Masih keletihan. Akhirnya Regina mengheret anaknya itu ke taman permainan dekat dengan rumahnya. Mereka berdua mencari kawasan yang redup. Dari jauh Regina terlihat gerangan manusia lain. Ada dua kanak-kanak berusia hampir sebaya sedang bermain jongkang-jongkit. Seketika kemudian anak-anak itu berlari mendapatkan seorang lelaki dewasa yang sedang memerhatikan dua anak itu.
“Papa!!” jerit anak-anak itu cukup ceria. Lelaki itu diterjahnya penuh riang. Lelaki itu ketawa tanpa menyedari ada langkah sudah mula terpasak di tanah memandang dia. Menyedari ada kehadiran seseorang, lelaki itu mula menoleh. Lamgat-lambat lelaki itu bangun membiarkan anak-anaknya menyambung main.
Nafas Regina sesak. Pandangan matanya tidak mampu lari daripada lelaki itu. Detak perasaannya berubah deras. Iqmal! Bisik hati Regina. Lelaki itu juga terpaku memandang wanita itu. Masih dikenalinya. Masih cantik seperti lima tahun dulu.
“Gina..” tegur lelaki itu perlahan.
“Abang Iqmal..” sambut Regina agak payah. Pernah dia berharap mereka tidak akan bertemu lagi. Tetapi takdir tetap menemukan mereka.
“Anak Gina ke?” tanya Iqmal kepada kanak-kanak perempuan yang dipegang Regina.
Spontan Regina memandang anaknya. Arabella asyik merenung lelaki asing itu.
“Ya..”
Alhamdulillah.. bisik hati Iqmal perlahan. Harap-harap Regina bahagia dengan kehidupannya.
“Abang?” tanya Regina pula. Sebentar tadi dia melihat ada dua kanak-kanak lelaki mendekati lelaki itu. Pasti anak-anak Iqmal. Tetapi rambut sedikit keperangan anak-anak itu menimbulkan tanda tanya. Iqmal berkahwin dengan minah salih ke?
Iqmal menoleh ke arah dua kanak-kanak yang masih ralik bermain di taman permainan itu. Kanak-kanak yatim piatu kelahiran negara Bosnia itu membuatkan dia tersenyum. Itulah permata hatinya kini.
“Anak-anak abang..” ucap Iqmal bangga.
“Oh..” ucap Regina perlahan. Pedih hatinya. Iqmal dah berkahwin rupanya. Ah! Apa lagi nak dikesalkan? Dia juga sudah memilih jalan hidupnya sendiri. Kisah itu sudah lama berlalu. Untuk apa dia mengenang lagi.
“Isteri abang mana? Tak mahu kenalkan dengan Gina?” ucap Regina cuba memandang anak mata lelaki itu. Namun Iqmal lebih suka memandang ke arah lain.
“Isteri?” Iqmal ketawa perlahan.
“Abang takde isteri nak dikenalkan pada Gina. Mungkin jodoh belum sampai. Budak berdua tu anak angkat abang. Dia orang kembar. Mak dan ayah dah takde. Abang ambil mereka berdua waktu abang ke Bosnia dulu,” jawab lelaki itu seketika kemudian. Hidupnya selalu terisi dengan kehadiran anak-anak itu membuatkan dia terlupa hal yang lain. Anak-anak itu peneman suka dan dukanya. Biarlah dia begini sahaja. Keperitan masa lalu sudah cukup untuk dirinya. Impian dia tiada lain. Dia hanya mahu membesarkan Zayn dan Zayed sebaik-baiknya.
Terpaku Regina mendengar penjelasan Iqmal. Jadi Iqmal masih sendiri? Perlahan Regina mengalihkan pandangannya. Air matanya terasa mahu mengalir saat memandang Iqmal.
“Gina tinggal di sini ke?”
“Ya. Rumah Gina kat depan tu aja. Abang buat apa kat sini?” tanya Regina semula.
“Abang baru aja pindah di kawasan ni. Saja singgah sekejap. Anak-anak abang tak biasa di sini. Kami baru balik Malaysia minggu lepas.”
“Oh.. so abang akan menetap di sini?” tanya Regina agak payah. Betapa dekatnya dia dan Iqmal selepas ini kalau benar Iqmal akan menetap di kawasan ini.
“Ya. Abang akan mula kerja dengan papa. Papa dah tak berapa sihat. Abang terpaksa balik,” jelas Iqmal lembut. Regina sekadar mengangguk tidak tahu mahu berkata apa.
“Kehidupan Gina sekarang macam mana?” lelaki itu kembali bersuara. Canggung dengan suasana asing antara mereka.
“Alhamdulillah.. Gina baik-baik aja.”
“Baguslah..” Iqmal mengangguk perlahan bersama sebuah helaan nafas panjang. Pedih hatinya saat memandang raut Regina. Jodoh mereka memang tiada. Namun dia lega. Regina sudah dimiliki oleh lelaki lain. Harap-harap lelaki itu mampu menjaga Regina sebaik-baiknya.
“Gina, maafkan segala kesalahan abang. Abang harap Gina bahagia dengan keluarga Gina. Abang akan selalu doakan kebahagiaan Gina,” ucap Iqmal tulus. Jika Regina tidak bahagia bersamanya suatu masa dulu. Biarlah Regina bahagia dengan lelaki lain. Dia yakin apa yang Allah tentukan hari ini, itulah yang terbaik buat mereka.
“Gina dah lama maafkan abang. Gina doakan semoga ada perempuan hadir dalam hidup abang. Gina pun mahu abang bahagia,” sambut Regina perlahan. Sayu hatinya memandang bekas suaminya itu. Tidak sangka Iqmal memilih untuk menyendiri sehingga kini.
“Insya-Allah..” jawab Iqmal perlahan. Tangannya dilambai kepada dua anaknya itu. Dua kanak-kanak itu berlarian mendapatkan sang ayah.
“Abang nak balik ni. Kirim salam abang pada suami Gina,” ucap Iqmal setelah kembali memandang Regina. Namun rautnya berubah sedikit saat memandang renungan perempuan itu. Regina sekadar mengangguk. Lidahnya benar-benar kelu mahu membalas. Entah kenapa dia terasa mahu menangis. Sehingga Iqmal berlalu dia terus membisu.
Beginikah akhir kisah mereka? Cinta lalu sudah tidak ada ertinya lagi. Dia dan Iqmal kini berada di jalan hidup masing-masing. Mungkin kalau Iqmal sudah dimiliki oleh wanita lain tidaklah hatinya jadi begini. Sayangnya Iqmal memilih untuk hidup begitu. Adakah dia tersilap membuat perhitungan selama ini?
Langit di atas dipandang lama oleh Regina. Pedih hatinya tidak terucap. Apakah maknanya ini wahai Tuhan? Berilah aku petunjuk-Mu.. bisik hati Regina hiba.
“Mama..” ucap Arabella lantas menggoyang tangan Regina.
“Ya, sayang.” Regina kembali teringatkan permata hatinya itu. Pantas dia memandang Arabella.
“Kenapa mama menangis?”
“Takde apa-apa, sayang..” ucap Regina sambil menyeka air matanya. Bibirnya tersenyum kepada sang anak.
Arah pemergian Iqmal sempat dipandang Regina lagi. Namun baying Iqmal sudah tiada di sana. Gina tak pernah berhenti sayangkan abang. Maafkan Gina, abang. Abang satu-satunya lelaki yang selalu ada di hati Gina.. ucap Regina sendiri.
Puas menemankan anak di situ, Regina memimpin Arabella pulang ke rumah. Ironinya Naquib ada di rumah pula saat itu. Regina bersandar di ambang pintu memandang suaminya mengemas pakaian ke dalam beg. Kerja luar lagilah tu.. detik hatinya sendiri.
“You nak pergi mana pulak kali ni?”
“Egypt.” Lelaki itu menjawab tanpa memandang Regina.
“Naquib, I setuju..” ucap Regina seketika kemudian.
Pantas Naquib menoleh kepada isterinya. Bibirnya tersenyum tiba-tiba. Macam suka benar mendengar apa yang dipersetujui Regina. “You setuju?” tanya lelaki itu sekali lagi.
Perlahan Regina mengangguk. Jika lelaki ini tidak mampu setia, untuk apa dia menahan lagi. Biarlah lelaki ini memilih jalan hidupnya. Mungkin sudah nasibnya. Bahagia yang diharap tidak menjelma juga. Perkahwinan ini sedang menanti rebah. Naquib sudah tidak sudi lagi kepadanya.
“I setuju kita bercerai tapi dengan syarat. I nak Bella dengan I,” ucap Regina tenang.
“Boleh. Takde masalah.” Naquib menjawab senang. Terbayang sudah wajah kekasih hatinya yang sedang menanti untuk hidup bersama.
Betapa mekarnya senyuman lelaki itu membuatkan hati Regina menjadi kosong. Bukan salah lelaki ini semata jika mereka berpisah juga akhirnya. Tetapi salah dia juga. Sebaris nama Norman Iqmal masih tidak mampu dilepaskan sepenuhnya dari hati. sekarang dia mengerti apa yang pernah Iqmal lalui dahulu. Bukan mudah memaksa diri menerima orang lain dalam keadaan hati masih menyayangi orang lain.
“Ceraikan I. Pergilah pada dia. I takkan tahan kebahagiaan you, Naquib.”
Spontan lelaki itu terus mendekati Regina. Tubuh Regina dipeluknya erat. Akhirnya Regina akur juga untuk menamatkan kesengsaraan ini. Dia tahu hati mereka tidak pernah bersatu. Jadi biarlah mereka memilih jalan hidup sendiri.
“Maafkan I kalau I tak mampu buat you bahagia. I banyak kekurangan.”
“No. I tak salahkan you. Jodoh kita hanya setakat ini. Gina, pergilah cari kebahagiaan you. Bila dah dapat, pertahankan. Jangan mudah mengalah. I nak you happy, Gina. I tak mahu tengok you bersedih lagi.”
Regina mengangguk perlahan. Sayu hatinya mendengar ucapan sang suami. Ya.. dia akan mencari bahagianya. Dan akan dipertahankannya sehingga ke akhir hayat. Seraut wajah itu menari lagi di ruang mata. Masihkah ada bahagianya dengan lelaki itu? Insya-Allah.. dia akan terus mencarinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan