Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Sabtu, 16 Mei 2015

BAB 23 BUTAKAH CINTA


Sepi ruangan itu. Tiada lagi jejak Regina. Tiada juga bayang Zahnita. Iqmal terperuk sendiri dalam kesepian hidupnya. Lama pandangan matanya singgah ke ruangan kecil itu. Sesungguhnya hatinya sayu tidak terucap. Namun dia pasrah. Jika itulah yang terbaik untuk Regina, dia tidak akan berlaku kejam lagi kepada wanita itu.
Tengahari itu Iqmal melarikan keretanya ke rumah emak mertuanya. Sekadar mahu bertanya tentang Regina setelah lebih dua minggu menyepikan diri daripadanya. Sms dan panggilannya langsung tidak dilayan. Puan Iffah hanya tenang menyambut kehadiran Iqmal. Setelah sekian lama dia mendengar Iqmal dan Regina berpisah, baru ini Iqmal sanggup bertemu dengannya.
“Mama takkan tak tahu Gina di mana?”
“Gina ada masih berkerja di tempat lama. Tapi mama betul-betul tak tahu di mana dia tinggal sekarang,” jawab Puan Iffah tanpa jemu memandang raut itu.
“Dia ada call mama?”
“Ada. Petang semalam dia ada call. Dia baik-baik aja. Dia minta kita semua jangan bimbang. Dia akan jaga diri.” Lembut nada Puan Iffah kepada menantunya itu.
Iqmal mengangguk perlahan. Segan mahu memandang raut emak mertuanya, sudahnya dia hanya tunduk.
“Mal, mama dengar Gina kata dia nak bercerai,” ujar Puan Iffah seketika kemudian.
Iqmal mengangguk. Itu dia memang sudah tahu. Cuma saat ini dia perlu bertemu dengan Regina untuk berbincang dari hati ke hati. Berbincang disaat hati masing-masing sedang tenang. Malangnya Regina tidak mahu berhubung langsung dengannya.
“Mama, pulangkan kepada kamu berdua untuk buat keputusan. Fikirlah baik-baik segala buruk baiknya. Dah terlalu lama kisah ni berlarutan. Perlu ada penghujungnya, Iqmal.”
“Mal faham, ma. Mal pun tak berniat nak menyeksa hidup dia.”
Puan Iffah menghela keluhan sendiri. Antara perkahwinan Iqmal dan Regina, dia lebih sayangkan Regina. Jika benar Iqmal tidak mampu menyayangi anaknya dengan sepenuh hati, dia redha Iqmal menceraikan Regina. Pasti ada orang lain yang lebih baik untuk Regina. Cuma masanya saja belum tiba untuk Regina bertemu dengan orang itu.
“Mal minta maaf banyak-banyak, ma. Semenjak dulu Mal memang tak layak untuk Gina. Mal tak pandai jaga perasaan dia. Mal tak pernah berlaku adil pada dia.”
“Dulu dan sekarang memang dah tak sama, Iqmal. Zaman bercinta dan berkahwin itu lagilah tak serupa. Hanya orang yang tabah dan kuat saja mampu bertahan dengan segala cabaran yang ada dalam perkahwinan. Bercinta tak semestinya bersatu. Begitu juga kamu dengan Regina. Kegagalan dalam rumahtangga itu lumrah. Satu masa dia akan sembuh juga.”
Iqmal mengangguk lagi walaupun hatinya pedih mendengar bait-bait itu. Kata-kata emak mertuanya jelas seolah memberi gambaran adalah lebih elok dia menceraikan sahaja Regina. Tiada restu untuknya. Tiada harapan diberikan kepadanya oleh Puan Iffah.
Setelah meninggalkan rumah Puan Iffah, Iqmal memandu lagi. Kali ini dia nekad mahu menjejaki tempat kerja isterinya. Setahunya Regina bertugas di unit kecemasan. Di hadapan pintu masuk itu dia bertanya tentang Regina. Seorang kakitangan memberitahu Regina berada di unit rawatan kritikal. Iqmal terus pergi ke satu pintu lain. Namun tiba-tiba keberaniannya menghilang. Seorang pengawal keselamatan wanita yang berkawal di hadapan pintu itu terus memandang hairan.
“Tunggu siapa?” tegur wanita itu.
“Err.. saya nak jumpa Dr. Regina. Dia kerja di sini.”
“Awak ni siapa? Pesakit dia ke?”
“Saya suami dia. Ada hal penting,” ucap Iqmal perlahan.
“Tunggu sekejap. Saya panggil dia.”
Ke hulu ke hilir lelaki itu berjalan di hadapan pintu berwarna kuning pudar itu. Debar di dadanya sudah tidak terucap. Seketika kemudian muncul semula perempuan tadi.
“Doktor ada kes sekarang. Dia tak mahu diganggu,” ujar perempuan itu membuatkan bahu Iqmal melurut jatuh menahan kecewa.
“Saya nak masuk dalam jumpa dia, boleh?” tanya Iqmal bersungguh.
“Tak boleh.”
“Sekejap aja. Ada hal penting.”
“Encik sakit ke? Dia kata kalau encik sakit nak mati sangat, dia suruh encik bagi IC kat kaunter depan. Nanti ada doktor layan. Bukan dia aja doctor kat sini,” ucap wanita itu selamba.
Terkedu Iqmal mendengar pesanan Regina. Merah mukanya di hadapan wanita itu.
“Dia isteri saya. Bolehlah. Sekejap aja,” rayu Iqmal.
“Bini tak bini! Ini zone merah, encik. Mana boleh masuk sesuka hati. Lagipun doktor memang tengah sibuk. Ada kecemasan sekarang,” ucap wanita itu sambil menjeling sekilas lelaki itu.
Entah kenapa Iqmal merasa wanita itu semacam sengaja mahu mengejeknya. Atau mungkin perasaannya sahaja? Cara macam mana lagi untuk dia bertemu Regina?
“Takpelah kalau macam tu,” ucap Iqmal perlahan.
Tidak tahu ke mana lagi dia mahu pergi akhirnya Iqmal pulang ke rumah orang tuanya. Namun di sana dia disambut dengan leteran mamanya pula. Hanya papanya sahaja yang tenang meladeni situasi itu.
“Jangan putus asa. Cari dia sampai dapat. Pujuk dia!”
“Mal dah cuba pergi tempat kerja dia. Dia langsung tak mahu jumpa Mal, papa.”
Tan Sri Ansur mula menghela nafas perlahan. “Jadi Mal langsung tak tahu di mana dia tinggal sekarang?”
Iqmal menggeleng.
“Dah tanya mama Gina dah?” tanya lelaki tua itu lagi.
“Itulah.. nak sangat kahwin dengan perempuan macam tu. Dulu dia dah buat sekali. Ni dia buat lagi. Senang-senang aja tinggalkan suami. Kalau dah itu perangainya, sampai ke sudahlah memang tak baik! Bla..bla..bla..”
Iqmal menggeleng sambil menghela nafas. Sesak lubang telinganya disumbat kata-kata tajam berbisa mamanya. Spontan dia menekup kedua-dua belah telinganya sekuat-kuat hati.
“Bainun!! Sudahlah tu!!” jerkah Tan Sri Ansur geram melihat isterinya. Bercakap ikut sedap perasaan. Puan Sri Bainun menjeling tidak puas hati.
“Iqmal tengah serabut, awak lagi nak menambah stress dia,” gerutu lelaki tua itu geram dengan isterinya.
Iqmal terus membisu. Akalnya ligat memikir sediri. Di mana Regina sekarang?? Tiba-tiba Iqmal bangun.
“Eh! Nak ke mana tu? Nak buat apa terhegeh-hegeh lagi pada..”
“Diam, Bainun!! Jangan kusutkan keadaan lagi!!” tengking Tan Sri Ansur. Wanita tua itu membisu serta merta diterpa mata cerlang suaminya.
Iqmal menoleh kepada ayahnya dari muka pintu. “Mal pergi dulu, papa.”
“Iqmal, jangan ke mana-mana. Tidur sini. Papa risaukan kamu,” ucap Tan Sri Ansur lantas mendekati anak lelakinya itu.
“Papa jangan risau. Mal tahu jaga diri. Mal nak pergi kubur Nita sekejap. Maafkan Mal, pa. selama ini Mal tak mampu jadi anak yang baik untuk papa dan mama,” ucap Iqmal lembut.
“Kenapa kamu cakap begini, Iqmal?” tekan Tan Sri Ansur benar-benar tidak senang.
Iqmal sekadar berdiam memandang ke luar. Puan Sri Bainun juga mula berubah riak melihat anaknya.
“Iqmal.. yang sakit selama ini Zahnita. Yang kecewa dengan keputusan kamu adalah Regina. Kenapa kamu yang paling khilaf di sini. Hidup mesti diterukan, Mal! Jangan putus asa!”
“Kerana hidup Mal dah lama hilang semenjak Gina pergi tinggalkan Mal dulu. Hidup Mal musnah selepas Nita disahkan menghidap barah. Kekuatan ni lenyap selepas Nita diambil Tuhan. Takde apa lagi yang tinggal lepas Gina menghilang. Memang Mal khilaf, pa. kalau diri Mal sendiri pun Mal tak mampu pujuk, macam mana Mal nak teruskan hidup bersama perempuan lain?” ucap Iqmal perlahan.
Jawapan Iqmal membuatkan Tan Sri Ansur diam menahan kesedihan. Ya Allah.. permudahkanlah jalan hidup anakku ini. Kasihanilah dia, bisik hati sang ayah hiba. Pemergian Iqmal sekadar mampu dipandang. Seksa hatinya melihat Iqmal terus melara sendirian. Mahu membantu bagaimana pun dia tidak tahu.
Di kuburan sepi itu Iqmal duduk merenung pusara itu. Doa tidak putus-putus dialunkan oleh hati kecilnya.
“Maaf kalau abang tak mampu jadi seperti yang Nita harapkan. Abang cuma manusia biasa. Terlalu banyak kesilapan yang abang buat sepanjang hidup abang. Dulu Nita selalu tegur abang bila abang buat salah. Sekarang abang hanya sendirian,” ucap Iqmal tiba-tiba. Nesan kaku itu disentuh perlahan. Namun air mata lelakinya mula bergenang sendiri.
“Abang tak jujur pada Gina dan Nita selama ini. Nita, abang sebenarnya tak layak untuk perempuan sebaik Gina. Hidup dengan abang, kebahagiaan dia akan ada cacat cela. Sebab abang Iqmal yang dia sayang dulu, dah takde lagi. Perasaan abang dah berubah. Hidup abang juga dah berubah, Nita. Abang minta maaf banyak-banyak. Harapan Nita tak mampu abang pikul. Kehidupan Gina akan lebih baik tanpa abang. Maafkan abang kalau abang tak datang ke sini lagi selepas ini. Abang sayangkan Nita selama ini. Dan abang juga pernah sayangkan Gina sepenuh hati. Cuma abang tak mampu jadi lelaki yang sempurna untuk dia. Abang kira dengan kehadiran dia semula, semuanya akan kembali pulih. Tapi tidak. Kehadiran dia hanya membuatkan abang semakin ingat pada Nita. Itu tak adil untuk dia. Abang malu pada semua orang, Nita. Abang malu pada mama Gina, abang malu pada Ary. Abang seorang kekasih yang tak setia. Abang balas kesetiaan dia dengan kesakitan ni,” ujar Iqmal sedikit serak suaranya.

Lewat petang itu barulah Iqmal bergerak meninggalkan pusara itu. Pusara itu dipandang lagi setelah beberapa langkah dia berlalu. Rindu di hatinya akan selalu ada. Kerana Zahnita adalah isterinya. Namun dia sedar hidup perlu diteruskan. Dia tidak boleh selamanya begini.

2 ulasan:

  1. Casinos: Casino, Video & Video - Dr.MCD
    Explore video, slots, video poker, 하남 출장마사지 Play casino games and bet on games 동해 출장안마 online 거제 출장안마 and 충청북도 출장샵 track your betting patterns. Learn 서울특별 출장샵 about the various ways to play.

    BalasPadam