Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Jumaat, 15 Mei 2015

BAB 21 BUTAKAH CINTA.


Lama pandangan Iqmal singgah kepada isterinya. Cantik Regina dilihatnya hari ini. Disaat Regina menoleh dia mula datang mendekat. Kunci kereta disangkut di tempat kunci.
“Gina kerja malam lagi?” tanya Iqmal sekadar mahu berbasi basa.
“Ya..” jawab Regina perlahan. Tiada satu pun tentang dia yang Iqmal ingat agaknya. Hampir setiap hari bertanyakan soalan yang sama.
“Lauk ada atas meja. Malam nanti abang makan ya?” ucap Regina lembut.
“Gina masak apa?”
“Masak apa lagi selain sambal tumis. Tak habis-habis dengan sambal!” rungut Regina perlahan. Dia tahu lelaki ini hantu sambal tumis. Cuma hari ini menu ditukar sedikit. Sambal tumis telur pula dimasakkan buat Iqmal.
Iqmal sekadar mengangguk. Tali lehernya dicampakkan ke atas sofa. Namun baru sahaja dia mahu melabuhkan duduk suara Regina kedengaran lagi.
“Abang, penat ke? Hantarkan Gina sekejap boleh tak?” pinta wanita itu.
“Kereta Gina mana?” tanya Iqmal hairan.
“Abang ni dah kenapa? Semuanya lupa! Kan Gina dah cakap kereta kat bengkel. Kereta tu dah lama tak servis!” rungut perempuan itu semakin geram.
Iqmal terdiam menayang wajah tanpa perasaan. Kunci kereta diambil dari penyangkut semula sebelum keluar.
“Kunci pintu. Abang tunggu kat dalam kereta,” ucap Iqmal saat melintasi Regina.
Sambil menanti Iqmal terus memerhatikan isterinya itu. Dalam diam dia menilai. Regina dilihatnya tidak banyak kira. Diminta menghuni kamar lama dia dan Zahnita dahulu pun wanita itu tidak merungut. Sesetengah wanita lain pasti tidak mahu menggunakan katil yang pernah dihuni oleh wanita lain suatu masa dahulu. Apatah lagi kawan baik sendiri.
“Balik pukul berapa?” tanya Iqmal setelah isterinya masuk ke dalam kereta.
“Pukul 7 pagi nanti,” jawab Regina sambil menarik tali pinggang keselamatan ke tubuhnya.
Iqmal diam lagi. Kereta terus dilarikan pergi. Seketika kemudian Regina mula menoleh. Sudah beberapa minit berlalu namun langsung tiada perbualan antara mereka. Iqmal jelas sekali Nampak canggung dengannya. Wajahnya tegang selalu.
Dia?? Macam manusia yang tidak berperasaan di samping suami sendiri. Melihat Iqmal begitu dia juga seakan mati kutu. Tidak tahu mahu bereaksi seperti apa. Orang di sebelah jelas sekali cakna tidak cakna sahaja kepadanya.
“Abang asyik termenung aja sekarang. Ada apa-apa yang patut Gina tahu ke?” Regina akhirnya meringankan lidah untuk memulakan bicara.
Iqmal menoleh seketika. Kemudian dia menggeleng. “Takde apa-apa yang serius pun,” jawab Iqmal perlahan.
“Jadi kenapa buat muka bengang macam hajat tak kesampaian malam tadi. Ada apa-apa yang abang nak Gina tak bagi? Rasanya tak. Abang yang jual mahal,” ujar Regina selamba.
Iqmal menoleh lagi kepada isterinya. Kali itu renungannya tertusuk lama kepada raut itu. Namun Regina sengaja buat-buat memandang ke luar.
“Malam tadi Gina kat sebelah abang atau di hospital?” tanya Iqmal bersungguh.
Regina tersentak. Ya tak ya? Aku kerjalah semalam!!! Jerit hatinya mula dihambat rasa malu.
“Alasan! Minggu ni memanglah Gina kerja malam. Yang sebelum-sebelum ni Gina ada aja dengan abang, kenapa abang buat tak tahu?” ucap Regina sedikit sinis.
Iqmal mengusap tengkuknya perlahan. Ada keresahan mula bertandang apabila soal itu dihidupkan Regina. Apa mahu dijawabnya?
“Dah orang tak sudi, takkan nak paksa pulak, kan?” cebir Regina bersama kepedihan yang cukup dalam. Isteri mana yang tidak terasa apabila suami sendiri tidak sudi mahu menyentuhnya?
“Gina tak tahulah sampai bila kita akan hidup macam ni. Tapi Gina memang tak faham abang sebenarnya.”
“Apa yang Gina tak faham?”
“Apa salah Gina sebenarnya sampai abang langsung tak mahu dekat dengan Gina?”
“Abang perlukan masa, Gina.”
Regina menggeleng pula. Jawapan itu sudah didengarinya sebelum ini. Iqmal memang memerlukan masa untuk menerima dirinya sebagai isteri baru. Tetapi mengapa Iqmal menjauhkan diri daripadanya?
“Berterus teranglah, bang. Apa sebenarnya yang abang harapkan daripada perkahwinan ni? Kenapa abang jauhkan diri dari Gina seolah-olah Gina ada buat salah pada abang? Gina ni orang asing ke?” tekan Regina.
Iqmal diam tekun memandang ke hadapan. Fikirannya terus meliar memikirkan apa yang diucapkan oleh Regina. Satu persatu masuk ke benaknya. Namun entah kenapa jiwanya kosong sama sekali. Kata-kata itu tidak memberikan dia apa-apa rasa.
“Berdiamlah. Kalau itu abang rasa baik, teruskan berdiam!” bentak Regina semakin tidak tertahan dengan keadaan mereka berdua.
Perlahan Iqmal menoleh. Seraut wajah itu cuba ditatap lama. Cuba dikenang betapa wajah inilah yang pernah membuatkan jiwanya membara oleh cinta. Mengapa semua itu tidak mampu hadir semula? Kerana Zahnita, kah? Atau dia yang bermasalah di sini?
“Esok abang ambil Gina,” ucap Iqmal lembut.
Regina pula memilih untuk membisu. Berkoyan-koyan kata diucapkan. Hanya itu yang Iqmal ucapkan kepadanya. Jiwanya yang luka tetap tidak terpujuk. Entah kenapa dia terasa mahu menangis semahu-mahunya. Sampai bila lelaki ini mahu mempersendakan perasaannya?
Setiba di hadapan lobi Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Regina terus membuka pintu kereta tanpa kata-kata pamit buat suaminya. Saat ini dia hanya mahu berlalu segera.
“Gina..” panggil Iqmal lembut. Pergelangan tangan isterinya sempat dicapainya.
“Lepaslah! Pergilah balik,” rengus wanita itu tidak sudi. Tangannya direntap kuat daripada lelaki itu.
“Gina, dengar dulu apa yang abang nak cakap ni..” ucap Iqmal bersungguh.
“Abang kata abang perlukan masa. Abang memang memaksudkan kata-kata tu. Abang tak mahu dekati Gina dalam keadaan fikiran abang sarat dengan bayangan orang lain. Abang harap Gina faham,” ujar Iqmal akhirnya.
Regina ketawa perlahan. Pahit. Sakit. Meminta dia yang faham? Apakah selama ini dia tidak faham? Sesungguhnya kata-kata itu langsung tidak mudah untuk ditelannya. Jadi memang benarlah Iqmal mengahwininya hanya kerana wasiat itu. Sebaliknya bukan untuk menunaikan janji-janji dulu. Mungkin segala janji dulu sudah tidak ada di dalam fikiran Iqmal. Hanya dia yang masih setia memegang semua itu. Betapa kejamnya kau wahai lelaki!
“Macam biasa.. Gina yang harus faham. Gina kena faham dan abang boleh buat apa saja yang abang suka walaupun Gina berada di sebelah abang. Ambillah selama mana pun masa yang abang perlukan. Itu hak abang. Tapi jangan paksa Gina menunggu selama itu. Gina ni manusia yang ada perasaan!” ucap Regina sebelum Iqmal ditinggalkannya begitu sahaja.
Iqmal hanya mampu menghela nafas perlahan melihat Regina berlalu dengan wajah mencuka. Sayangnya ketika itu dia tidak melihat, betapa lajunya air mata Regina gugur di pipi. Semakin jauh dia berjalan, esakannya tidak mampu dikawal. Biarpun banyak mata mula memandang hairan kepadanya, Regina tidak peduli. Sesungguhnya hari ini Iqmal benar-benar telah menghancurkan hatinya.

Kemelut itu tidak mudah untuk diurai..
Pulang dari kerja, badan sememangnya letih dengan segala macam ragam dan tanggungjawab. Bertugas di unit kecemasan yang sentiasa sibuk memang mencabar. Keletihan dan dicampur dengan masalah rumahtangga yang masih tidak bertemu jalan keluar, mudah membuatkan mood Regina lintang pukang.
Pulang ke rumah petang itu Regina terus membersihkan diri. Kemudian dia ke dapur untuk menyediakan makan malam. Iqmal masih belum pulang. Semenjak pertengkaran petang itu, hubungan mereka benar-benar renggang. Iqmal sering lewat pulang.
Sedang dia sibuk di dapur telefon rumah berbunyi. Merasakan panggilan itu daripada Iqmal, dia segera pergi menjawab. Namun suara seorang wanita yang kedengaran.
“Iqmal mana?” tanya Puan Sri Bainun cukup serius. Langsung tiada salam atau berbasi basa kepada Regina.
Tersentak Regina diterpa suara emak mertuanya. “Abang Iqmal belum balik,” ujar Regina perlahan.
“Belum balik? Dah pukul berapa masih belum balik??” melengking tinggi nada Puan Sri Bainun membuatkan Regina kelu untuk menjawab.
“Dulu takde pula dia buat perangai macam tu.” Kedengaran lagi suara Puan Sri Bainun. Regina yang mendengar segera mengerti. Ialah.. dahulu Iqmal sayangkan isterinya. Sebab tu tak sanggup pulang lewat. Sekarang?
“Itulah.. nak sangat kahwin. Suruh dia call mama lepas dia balik nanti,” ucap Puan Sri Bainun malas mahu berlama-lama dengan Regina di talian.
“Yalah..” jawab Regina perlahan. Apa maksud emak mertuanya meluahkan ayat awalan tadi? Adakah dia yang tidak elok di sini. Entah. Dia sudah malas mahu berfikir. Biarlah.. biarlah apa sahaja yang dihadapkan kepadanya. Dia sudah tidak kuasa mahu menafsirkan semua itu.
Usai memasak Regina ke kamar semula. Selepas dia selesai menunaikan solat isyak barulah wajah sang suami menjelma di rumah. Iqmal menegur biasa isterinya itu.
“Abang dah makan?”
“Belum..” jawab Iqmal perlahan.
“Mandilah dulu. Gina siapkan makan malam untuk abang,” ujar Regina sambil menanggalkan marhananya.
Tiada jawapan kedengaran daripada Iqmal. Sebelum keluar Regina sempat menitipkan pesanan emak mertuanya kepada Iqmal. Iqmal terpaku lama memandang Regina dalam pada dia memikir sendiri. Apa lagi yang mamanya ucapkan kepada Regina. Regina nampak murung. Tidak sempat dia bertanya, Regina sudah lesap dari kamar itu.
Ketika Iqmal masuk ke dapur, Regina dilihatnya sedang memotong epal di hadapan sinki. Dia sekadar memandang. Ruang dapur itu terus hening saat Iqmal mengambil gelas.
“Aduh!!” pisau di tangan terlepas serta merta ke dalam sinki. Darah merah mula keluar dari hujung jari Regina.
“Nita!” spontan Iqmal meluru ke arah wanita itu.
Regina terpaku memandang Iqmal. Terlupa sudah dia kepada jari yang terluka. “Nita?”
Wajah Iqmal berubah habis mendengar nama itu. Dia tersalah sebut ke? Liur diteguk payah saat menentang pandangan Regina kepadanya.
“Nita ke yang ada depan abang sekarang?” tanya Regina bersungguh.
“Abang tersalah, Gina.”
“Memang mudah tersalah kalau abang tak mampu membezakan mana satu khayalan dan mata satu reality! Depan abang sekarang ni reality. Nita hanya khayalan! Sampai bila abang nak hidup macam ni?” tekan Regina mula meninggi. Iqmal segera riak-riak lemas dibebel isterinya itu.
“Kenapa abang sampai jadi macam ni? Sampai bila abang nak seksa perasaan Gina?”
“Gina, abang tak sengaja. Maafkan abang. Jangan besarkan hal ni lagi,” tekan Iqmal cuba meredakan keadaan yang sudah mula tegang.
“Semudah itu? Abang ingat maaf tu cukup? Abang sendiri memang tak pernah cuba untuk melepaskan dia. Untuk apa Gina ada dalam hidup abang?”
Iqmal membatu menadah kemarahan isterinya. Nafas dihela berkali-kali agar dirinya tenang. Namun kata-kata penuh sindiran yang diasak oleh Regina ke telinganya mula membuatkan dia panas hati.
“Abang dah kata sebelum ni keadaan takkan sama lagi macam dulu. Kenapa? Sekarang Gina dah menyesal ke?” balas Iqmal tajam.
Kata-kata itu kedengaran amat mudah untuk diluahkan. Senang sekali mengenakan perasaannya yang sedang hancur lebur. Seluruh tubuhnya terbakar oleh rasa amarah dan tercabar.
“Gina ke yang paksa abang kahwin dengan Gina? Gina yang terhegeh-hegeh merayu supaya dikahwini?” tekan Regina. Tanpa dapat ditahan air matanya berderai di hadapan Iqmal. Dia masih mampu menerima Iqmal tidak mampu melupakan Zahnita. Dia tahu bukan mudah perasaan sayang itu mampu dikikis dalam masa yang singkat. Tetapi dia tidak mampu menerima apabila Iqmal tersebut nama ‘Nita’ saat memanggilnya sebentar tadi. Dia bukan Zahnita! Sekarang dia mengerti apa perasaan yang pernah dilalui oleh Zahnita suatu masa dulu. Mengapa Zahnita masih mahu mengagungkan lelaki ini!
Iqmal terdiam menahan nafas yang diatur berat. Pandangannya masih tidak mampu dikalihkan daripada raut Regina.
“Kalau abang tak mahu Gina, kenapa kahwin dengan Gina? Abang nak hidup dengan bayangan Nita.. teruskan. Kenapa seret Gina sekali dalam semua ni. Perasaan Gina ni tak penting ke?” suara Regina menggigil menahan kepiluan.
Iqmal mendengus sambil mengalihkan tubuhnya menghadap ke arah tingkap di hadapan sinki itu. Matanya merenung khusyuk melalui cermin hitam di hadapannya.
“Hidup Gina.. selama ni dalam hidup Gina hanya ada abang. Kenapa abang sampai hati buat Gina macam ni?” tekan Regina semakin tidak tertahan.
“Cakaplah sesuatu!!! Jangan berdiam diri macam tunggul!!” jerit Regina semakin tidak sabar melihat Iqmal membatu.

“Diam!!” jerkah Iqmal dengan mata mencerlang. Pantas dia keluar dari ruangan dapur itu. Regina terus menangis sendiri di situ. Lemah hatinya membuatkan dia tidak mampu menampung diri. Sudahnya dia terduduk di lantai. Kenapa Iqmal berubah terlalu banyak? Apa salah dia??

Tiada ulasan:

Catat Ulasan