Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Jumaat, 15 Mei 2015

Bab 20 BUTAKAH CINTA


Resam manusia yang baru berkahwin sudah pastinya indah. Tetapi keadaan itu tidak mampu dirasakan oleh Regina biarpun inai masih merah menyala di jari. Hari pertamanya di rumah itu barulah dia perasan sebahagian pakaian Zahnita masih ada di dalam almari. Betapa dia terkedu dan terkejut besar melihat itu.
“Abang memang sengaja biarkan di situ ke?” tanya Regina saat terlihat wajah Iqmal di dalam kamar itu.
Wajah Iqmal berubah sedikit. “Abang tak tahu nak buat apa dengan semua pakaian tu. Jadi abang biarkan ajalah kat situ.”
Hampir ternganga Regina mendengar jawapan Iqmal. Jadi di mana dia harus meletakkan pakaiannya pula? Di stor? Melihat reaksi Regina sudah berubah semacam, Iqmal segera mendekati almari itu.
“Abang takde masa nak kemas baju Nita ni. Sebab tu abang biarkan semua baju tu di situ. Gina jangan salah faham,” jelas Iqmal amat perlahan.
“Apa yang Gina salah faham kalau abang tahu?” selar Regina pantas.
Kali itu Iqmal membeku. Pergerakannya juga serta merta pegun sambil menatap reaksi Regina. “Abang tak mahu Gina anggap yang bukan-bukan. Abang bukannya sengaja nak membiarkan pakaian ni semua kat sini,” jelas Iqmal lembut.
“Sepanjang lima bulan ni abang memang langsung tiada masa?” balas Regina sedikit tidak percaya. Bukan baru semalam Zahnita meninggalkan mereka. Tetapi sudah lima bulan!
“Gina, hal yang kecil jangan jadikan punca pergaduhan kita. Abang memang takde masa. Balik kerja abang dah penat, abang terus tidur. Abang tak terfikir tentang ni semua. Bagi abang kain baju ni tak menganggu pun!” jawab Iqmal mula kedengaran serius nadanya.
“Yalah..” sambut Regina sambil tersenyum pahit. Nampak macam tiada alu-aluan dia di rumah ini sehingga ruangan untuk dia meletakkan kain baju pun tiada. Apatah lagi ruang di dalam hati Iqmal buat dirinya. Semuanya masih penuh dengan gambaran arwah Zahnita. Betapa betuahnya Zahnita. Dia yang merana selama ini Iqmal tidak peduli.
“Apa yang paling abang suka tentang Nita selama ini?”
Iqmal menghela keluhan perlahan. Serabut fikirannya apabila Regina sudah mula menghidupkan kisah Zahnita. Macam sengaja mahu mencari gaduh pun ada.
“Gina saja nak tahu. Manalah tahu Gina boleh jadi macam dia. Sama serupa macam dia!”
“Untuk apa Gina nak tiru Nita?” tekan Iqmal semakin tidak senang.
Regina tersenyum pahit sendiri. “Gina tahu Nita isteri yang baik. Sebab itu kehadiran dia terlalu bermakna buat abang. Tanpa dia abang rasa kehilangan. Gina Cuma nak jadi isteri yang baik macam dia,” jawab Regina amat perlahan.
Iqmal terus berdiam. Hatinya tersiat pedih saat nama Zahnita kedengaran lagi. Ada rasa di dalam jiwa yang menyesakkan. Tidak mampu lepas. Malas mahu melayan bicara Regina, Iqmal mengaut kain baju Zahnita lalu dibawa keluar.
“Letak ajalah atas lantai tu. Biar Gina yang kemas.”
Iqmal kembali menoleh kepada isterinya. Buat seketika wajah itu dipandang. Cuba mencari keikhlasan Regina.
“Sebelum simpan kena lipat dulu, susun elok-elok. Takkan nak peruk aja macam tu,” ucap Regina lembut.
Bagaikan lembu dicucuk hidung, langkah diatur semula mendekati Regina. Kain baju itu diletakkan di atas lantai di hadapan almari. Regina tersenyum sedikit kepada lelaki itu.
“Abang keluar dulu. Kalau perlukan apa-apa, panggil abang kat luar.”
“Okay..” sambut Regina lembut.
Pemergian lelaki itu dipandang sehingga Iqmal menghilang. Regina terus pegun memikir sendiri. Seketika kemudian bola matanya singgah pada longgokan kain baju milik sahabatnya. Sebahagiannya masih ada di dalam almari. Tiba-tiba hatinya diketuk oleh rasa rindu. Dia terlalu ingin mengerti. Kalau dia sendiri masih sukar menghalau cebisan perasaan itu, apatah lagi Iqmal yang hidup bersama Zahnita. Dia sedar Iqmal sengaja tidak mengalih pakaian Zahnita supaya dia dapat merasakan kehadiran wanita itu di sekelilingnya. Iqmal masih tidak mahu melepaskan sebahagian daripada diri Zahnita. Dia tahu! Tidak perlu Iqmal beralasan segala. Tidak tanduk lelaki itu selalu ada dalam permerhatiannya.
Pagi tadi sebelum lelaki itu keluar, dia terpandangkan Iqmal merenung bingkai gambar Zahnita saat dia mahu mengambil kunci keretanya. Bingkai gambar itu masih ada di situ seperti mana pertama kali dia melihatnya hampir setahun yang lalu. Iqmal tidak perasan dia memandang. Namun tidak mampu dielak, hatinya benar-benar dijeruk oleh rasa cemburu melihat Iqmal lebih senang memandang lama kepada gambar kaku itu berbanding merenung ke dalam matanya. Dia seorang manusia yang masih bernyawa. Dia tidak pernah berhenti mencintai lelaki itu selama ini. Namun sekarang entah apa salahnya dia terpinggir daripada lelaki itu.
Dengan helaan nafas perlahan, Regina mula melipat pakaian Zahnita. Sejam kemudian pakaian itu sudah elok bersusun. Menunggu masa untuk dipindahkan.
Petang itu Regina meminta Iqmal menghantar dia pulang ke rumah mamanya untuk mengambil keretanya. Lusa dia akan mula berkerja semula. Tanpa kereta itu mati langkah dia jadinya. Tanpa banyak kira Iqmal akur dengan permintaan sang isteri.
Namun lewat petang itu Regina kehairanan melihat kereta Iqmal tiada di garaj. Sangkanya Iqmal terlebih dahulu sampai ke rumah. Sebelum maghrib barulah Iqmal muncul semula di rumah.
“Abang pergi mana? Kenapa lambat sangat sampai rumah?” tanya Regina hairan dengan tindak tanduk lelaki itu. Macam ada yang tidak kena.
“Emm.. abang pergi kubur Nita sekejap tadi,” jawab Iqmal agak serba salah. Ada tertera sedikit kebimbangan Regina tidak suka dengan perbuatannya.
Terdiam Regina mendengar itu. Namun sekadar menziarahi pusara masakan itu pun mahu dijadikan masalah? Sudahnya soal itu mati di situ sahaja.
Apabila malam nan syahdu menjelma, Regina sempat membayangkan sesuatu yang indah bakal berlaku setelah beberapa malam berlalu tanpa apa-apa. Sengaja dia menempel kepada sang lelaki saat lelaki itu sedang duduk bersantai di katil. Iqmal sempat tersenyum melihat isterinya bergaun tidur singkat.
“Semalam abang mengantuk sangat. Hari ni?” ucap Regina manja.
Senyum Iqmal sedikit melebar dalam pada dadanya mula bergendang hebat. Resah asmara tidak pernah dilaluinya ketika bersama Zahnita dahulu. Bukan tiada keinginan itu. Tetapi dia tidak tergamak meminta haknya dalam keadaan Zahnita tidak berdaya.
Regina? Kecantikan yang dimiliki Regina masih tidak memudar di matanya. Suatu masa dahulu dia memuja keindahan bola mata coklat terang yang dipunyai Regina. Gadis kacukan Melayu dan Pakistan ini memang jelita walau roman wajahnya tidaklah menyalin heroin-heroin Hindustan seperti Manisha Koirala atau Madhuri Dixit. Namun hidung mancung ala-ala pakistannya memang menawan.
Melihat Iqmal asyik merenung wajahnya, Regina tersenyum bahagia. Baru kini dia merasa dirinya dekat dengan Iqmal. Baru kini dia terlihat senyuman lelaki itu kepadanya.
“Tak mahu tidur awal ke malam ni?” tanya Regina sekadar mahu menduga.
“Orang dewasa nak buat apa tidur awal sangat? Lainlah baby,” jawab Iqmal lembut. Perlahan rambut wanita itu diusapnya. Kemudian tanpa disuruh sebuah kucupan berlabuh di atas ubun-ubun si isteri.
“Dulu waktu Gina balik, Gina sangka kita akan ikut haluan masing-masing sehingga akhir hayat kita. Takde lagi Abang Iqmal yang dulu. Gina tak pernah terfikir hari ni Gina akan duduk sebelah abang sebagai isteri,” ujar Regina perlahan.
Iqmal terus membisu. Usapannya terus berlabuh lembut di kepala Regina. Sedetik dua itu keheningan merajai antara mereka. Iqmal terus termenung sendiri. Khayalannya membawa dia jauh ke masa-masa dulu. Kepala Zahnita diusap setiap kali isterinya dilanda kesakitan. Isterinya itu perlu didukung setiap kali mahu bergerak kesan daripada ubat kemoterapi yang diberikan oleh doktornya. Kesengsaraan Zahnita tidak mampu dipandang begitu sahaja. Namun ketabahan Zahnitalah yang membuatkan dia kuat dan berani. Dia masih terlalu ingat. Betapa pemalunya Zahnita. Ketika disahkan lumpuh sebahagian besar badannya, Iqmal terpaksa menguruskan dirinya sehinggalah kepada lampin pakai buangnya.
Regina akhirnya mengangkat pandangan kepada sang suami. Jauh menungan Iqmal dilihatnya. Riak di wajah Iqmal entah kenapa memudarkan keceriaan di hatinya. Dia tahu Iqmal sedang memikirkan tentang orang lain. Bukan tentang dirinya atau tentang mereka berdua.
“Abang fikir apa?” tegur Regina tibaa-tiba.
“Ha?” Iqmal tersentak. Pandangannya kembali dihalakan kepada sang isteri di dadanya. Namun seketika kemudian wajahnya dihalakan ke arah lain. Tidak sanggup membiarkan Regina merenung jauh ke dalam matanya. Perlahan Regina menjarakkan dirinya daripada Iqmal. Sedih hatinya melihat Iqmal langsung tidak menghalang. Fahamlah dia.. Iqmal tidak kisah pun dengan kehadiran dia.
“Perasaan yang pernah ada dulu tu, dah takde lagi pada abang, kan? Gina masih ingat apa yang Nita kata pada Gina dulu. Abang masih sayangkan Gina walaupun dia isteri abang. Tapi sekarang Gina rasa apa yang dia kata tu salah,” ujar Regina agak kelat.
“Gina.. janganlah cakap macam tu. Abang tak suka membandingkan perasaan abang pada Gina dan Nita,” jawab Iqmal separuh memujuk.
“Tapi waktu dengan Gina pun abang ingat dia,” ucap Regina dalam rasa sendu yang terkulum sendiri. Tiada ertinya wasiat Zahnita jika perasaan Iqmal kepadanya langsung menghilang. Kehadiran dia di dalam hidup Iqmal seolah tidak membawa makna. Iqmal sengaja membataskan diri. Iqmal yang dikenalinya dahulu sudah jauh berubah.
“Bukan sehari dua abang dengan Nita, Gina. Sehari dua tak cukup untuk abang lupakan semuanya tentang dia,” jawab Iqmal lagi.
“Gina tak pernah suruh abang lupakan Nita. Cuma yang Gina tak faham, kenapa dulu abang tak katakan saja yang abang dah takde perasaan pada Gina? Kenapa bagi harapan kosong? Gina pun tak mahu rumitkan keadaan kita kalau benar antara kita dah tak macam dulu.”
Iqmal terdiam dibidas isterinya. Terkebil-kebil matanya memandang Regina.
“Mungkin salah Gina juga. Gina takde di sisi Nita waktu dia perlukan Gina. Sampai abang yang perlu berada di sisi dia. Gina Berjaya capai cita-cita Gina. Tapi Gina hilang lelaki yang paling Gina sayang,” tokok Regina semakin kelat.
“Gina, tak payahlah sebut semua tu lagi. Abang masih ada dengan Gina, kan?”
Senyum pahit mula terukir di bibir wanita itu. Iqmal memang masih ada dengan dia. Tapi hanya jasadnya. Fikirannya entah di mana. Entahkan sedang berada di kayangan bersama Zahnita.
“Kadang-kadang abang tak mampu berhenti memikirkan tentang Nita. Kenangan-kenangan tu sentiasa hidup dalam fikiran abang. Kenangan tu tidaklah semanis waktu kita bercinta dulu. Tapi kenangan tu membawa erti yang besar pada abang.” Iqmal bersuara sambil menghela keluhan panjang.
Regina terus mendengar biarpun hatinya bagai disiat kala itu. Dia sedar mengapa keadaan itu terjadi. Dia pernah mendengar kata-kata Ariya sebelum ini. Zahnitalah wanita yang bersama Iqmal saat susah dan senang lelaki itu. Dia? Dia tidak mampu begitu ketika jasadnya berada di jauh di Ireland dahulu.
“Gina, tidurlah. Abang nak keluar sekejap.” Iqmal tiba-tiba memilih untuk menjauh pula.
Regina sekadar memandang lelaki itu bangun dari katil. Saat itu dia seperti mahu menangis sahaja. Masih dia ingat kata-kata Iqmal ketika di hospital beberapa bulan dulu. Iqmal meminta dia menjauhkan diri. Hidup lelaki itu hanya untuk Zahnita. Seharusnya waktu itu dia sedar kata-kata Iqmal memang benar. Bukan kerana Iqmal serba salah dengan sisa kasih yang ada kepada dirinya. Tetapi sebenarnya Iqmal serba salah kepada dirinya yang masih berharap sedangkan namanya sudah lama mati dalam diri lelaki itu!

Rindunya telah lama berlabuh di pantai. Sayangnya lautan tetap sepi.
Sikap suka termenung lelaki itu terus-terusan menjeruk perasaan Regina. Biarpun tidak secara jelas, namun dia tetap merasakan penolakan lelaki itu kepadanya. Kusam warna hidupnya. Keindahan berumahtangga langsung tidak mahu singgah di hadapan pintu rumahnya. Regina tidak tahu apa sebenarnya yang dimahukan Iqmal daripadanya. Dan dia tidak tahu mengapa lelaki itu jadi begitu.
Kalau sebelum ini Iqmal sengaja membiarkan pakaian Zahnita terletak elok di dalam almari, kali ini pertengkaran mereka berdua berkisar lagi tentang pakaian-pakaian itu. Puncanya apabila dia meminta izin Iqmal untuk memberikan beberapa helai pakaian Zahnita kepada Ariya.
“Kenapa pulak tak boleh? Ary nak simpan sebagai kenangan,” ucap Regina kepada lelaki itu.
“Biarkan baju tu kat situ. Jangan usik! Jangan ada sehelai pun pakaian Nita keluar dari rumah ni,” ucap Iqmal cukup serius.
“Abang ni dah kenapa? Ary nak baju tu. Simpan banyak-banyak nanti buruk macam tu aja. Sekurang-kurangnya baju tu boleh digunakan,” tekan Regina.
“Dia dah takde duit ke nak beli baju sendiri?” balas Iqmal. Spontan baju di tangan Regina diambilnya lalu dimasukkan semula ke dalam kotak. Kotak itu diangkutnya naik ke kamar atas. Regina yang memandang terasa mahu menjerit kepada lelaki itu. Mengapa sampai begitu sekali Iqmal sensitive tentang Zahnita? Apa salahnya jika sebahagian pakaian yang masih elok diberikan kepada Ariya? Bukankah Zahnita juga sahabat kepada Ariya?
Sudahnya Regina terduduk di birai katil. Nafas dihela berkali-kali agar dia bertenang. Entah mengapa, hidup berdua bersama Iqmal. Namun dia terasa seperti ada orang ketiga di antara mereka. Sakit jiwakah lelaki itu sebenarnya? Bukan sekali dua dia melihat sikap Iqmal aneh begitu. Kadang kala dia merasakan Iqmal seperti hidup dalam dunianya sendiri. Jadi untuk apa sebenarnya Iqmal mengahwini dia?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan