Bertunangnya tidak. Kahwin aja terus! Begitulah keadaan Regina dan Iqmal.
Bagaimana orang tua mereka boleh bersetuju untuk mempercepatkan perkahwinan? Jawapannya
mudah sahaja. Mereka takut dilanda masalah yang sama seperti dahulu sekiranya
rancangan perkahwinan itu dilewat-lewatkan. Tempoh tiga bulan itu tidaklah
lama. Namun sepasang manusia itu tidak juga seperti orang yang teruja mahu
bernikah. Boleh dikira berapa kali mereka bertemu atau keluar bersama. Salah satu
sebabnya, Regina bertugas di hospital mengikut shif.
Tidak seperti
perkahwinan yang dahulu. Kali ini ada sambutan diadakan sempena penyatuan
kedua-dua mempelai. Dek kerana jarak yang tidak begitu jauh, sambutan kedua-dua
belah pihak dibuat selang sehari kemudian.
“Siap sekarang. Abang
nak bawa Gina balik rumah sana,” ucap Iqmal kepada isterinya.
Regina yang baru
sahaja mahu melabuhkan tubuh ke tilam terkedu. Dah nak balik?? Mulutnya terbuka
sedikit memandang sang suami. Serius sahaja wajah Iqmal.
“Kenapa?” tanya
Regina hairan.
“Kita tidur rumah
sana. Cepat siap,” ajak Iqmal lantas menanggalkan baju di tubuhnya. Tanpa mempedulikan
Regina yang masih memandang, dia terus mencapai tuala dan ke kamar mandi.
Regina terus terpana tidak tahu hujung pangkal. Esok saja tak boleh ke? Bisik hatinya
sendiri. Namun dia bangun juga. Tuala diambil dari dalam begnya. Pakaian di
tubuhnya ditanggalkan satu persatu sebelum dia duduk di birai katil menanti
Iqmal siap menggunakan kamar mandi.
Seketika kemudian
pintu kamar mandi terbuka. Iqmal melangkah keluar. Namun sesaat kemudian
dadanya berderau saat terpandangkan Regina sedang meniarap di atas katil dengan
hanya tuala pada tubuhnya. Bohonglah kalau dia kata dia jakun melihat semua
itu. Dahulu dia pun beristeri. Memandikan isteri itu semua sudah biasa. Tetapi ketika
itu Zahnita sakit. Lain pula perempuan yang seorang ini. Gebu-gebasnya memang
tidak mampu disangkal. Itu yang membuatkan pandangannya melekat ke arah wanita
itu tanpa sengaja.
“Dah habis ke guna
bathroom?” tanya Regina lantas membiarkan telefonnya di atas katil. Dia bangun
semula untuk ke kamar mandi. Iqmal kala itu buat-buat tidak memandang.
Regina terus sahaja
ke kamar mandi tanpa mempedulikan reaksi lelaki itu. Sebaik sahaja pintu kamar
mandi ditutup, Iqmal menghela nafas perlahan. Mencabar sungguh!
Sejam kemudian
sepasang suami isteri itu turun ke bawah. Tan Sri Ansur agak terkejut melihat
Iqmal sudah mahu membawa pulang isterinya ke rumah sana dalam jam segini. Kenapa
tidak esok sahaja. Puan Sri Bainun menjeling tidak suka.
“Dah malam ni, Mal?
Kenapa tak esok aja?”
“Orang tu nak
bersendirian. Biarlah.. baru kahwin, kan?” ucap Puan Sri Bainun separuh
memperli. Tanpa mempedulikan dua manusia itu, dia terus menuju ke dapur.
Iqmal hanya diam.
Regina semakin tidak sedap hati mendengar nada emak mertuanya. Namun seperti
mana Iqmal, dia juga memilih untuk membisu.
“Balik dulu, pa. Nanti
ada masa Mal balik sini.” Iqmal terus mendekati ayahnya. Tangan dihulurkan
kepada lelaki tua itu.
Mahu tidak mahu Tan
Sri Ansur akur juga. Melihat wajah kelat Iqmal dia jatuh simpati. Pasti ada
kata-kata isterinya yang membuatkan hati anaknya terusik.
“Jangan ambil hati
dengan mama tu. Lama-lama nanti dia okaylah,” nasihat Tan Sri Ansur lembut
kepada anak dan menantunya.
“Hal kecil aja, pa.”
Regina terus memilih
untuk membisu sehinggalah mereka keluar dari perkarangan rumah itu. Iqmal terus
memandu ke arah rumahnya. Sesekali kedengaran keluhan lelaki itu terhela entah
kenapa.
“Mama abang masih tak
suka Gina,” ucap Regina tidak lama kemudian. Dari siang tadi dia perasan emak
mertuanya langsung tidak mahu dekat dengannya. Senyum pun macam tidak ikhlas. Bercakap
asyik nak memperli dia.
“Biarkan aja mama tu.
Lama-lama nanti eloklah. Dulu dengan arwah Nita pun dia buat macam tu. Ada aja
yang tak kena. Lepas dah kenal lama baru dia suka,” jawab Iqmal lembut.
Regina diam mendengar
bicara suaminya. Kata-kata itu langsung tidak mampu memujuk hatinya. Kisah Zahnita
lain. Kisah dia lain. Keadaannya nanti mungkin takkan semudah Zahnita. Tanpa dapat
ditahan wanita muda itu menghela keluhan. Majlis resepsi mereka baru aja
selesai. Iqmal sudah mengajak dia balik ke rumah sana. Tentu sebab emak
mertuanya.
“Abang ajak Gina
balik rumah sana sebab nak jauh dari mama ke?” tanya Regina lantas menoleh
kepada suaminya.
Iqmal pula yang
berdiam. Matanya tekun memandang ke hadapan dalam pada fikirannya ligat
berfikir. Suara emaknya mengutuk Regina sebentar tadi terngiang-ngiang. Dia tidak
sampai hati.
“Sayang juga abang
pada Gina ya? Ingat tak sayang,” ucap Regina lantas menempel di bahu lelaki
itu.
Iqmal tersentak saat
ada tangan berlabuh elok di atas pahanya. Serta merta gambaran Regina meniarap
di atas katil tadi terimbau semula. Lambat-lambat dia menoleh ke sebelahnya.
Regina sedang tersenyum merenung wajahnya.
“Gina tak pernah
lupakan abang selama ni. Walaupun abang dah kahwin dengan orang lain, perasaan
tu tetap ada dalam diri Gina. Kata orang cinta pertama memang susah nak
dilupakan. Tapi cinta pertama takkan sama dengan perkahwinan pertama, kan?”
“Benda dah lepas
janganlah ungkit lagi. Kita dah kahwin pun,” jawab Iqmal mula resah apabila hal
itu disebut. Serta merta dia teringat semula kepada Zahnita.
Regina kembali tegak
di kerusinya. Kelat melanda perasaan. Tidak dapat tidak, dia sering membuat
perbandingan. Cara Iqmal bercakap dengan Zahnita berlainan dengan dirinya. Dengan
dia lagak Iqmal keras dan kaku walaupun tidaklah kasar. Dengan Zahnita lembut
macam menatang minyak yang penuh.
Iqmal mula menoleh ke
sebelah. Regina sudah mula berubah riak. Isterinya lebih suka termenung sendiri
melayan perasaan.
“Nak makan lagi tak? Kita
boleh singgah dulu kat mana-mana,” ucap Iqmal.
Regina sekadar
menggeleng tanda menolak. Perutnya masih kenyang. Hati pula sedang meragam. Manalah
dia lalu mahu makan. Iqmal hanya menggeleng dengan sedikit keluhan. Perempuan dan
merajuk memang tidak boleh dipisahkan!
Sudahnya mereka
berdua membisu sehingga tiba di hadapan pintu pagar rumah. Iqmal keluar dari
kereta untuk membuka pagar. Regina terus memandang rumah itu. Kali terakhir dia
berada di rumah ini, dia dan Iqmal bertengkar tentang wasiat Zahnita. Sekarang dia
dan Iqmal sudah berkahwin. Dia akan hidup di rumah ini sebagai isteri. Mungkin juga
sebagai pengganti Zahnita.
Seketika kemudian
kereta itu merangkak masuk ke kawasan garaj.
“Jom..” ajak Iqmal
sambil keluar dari kereta. Lambat-lambat Regina keluar dari kereta itu.
“Masuklah dulu. Barang
Gina nanti abang bawa masuk,” ucap Iqmal lantas menuju ke arah pintu pagar
rumah. Regina sekadar mengangguk. Dengan berbekal beg tangannya dia masuk ke
dalam rumah. Lampu ruang tamu terbuka. Mungkin Iqmal sengaja membiarkan lampu
itu bernyala sepanjang dia tiada di rumah itu. Persekitaran ruang tamu itu
kemas sahaja. Tidak lama kemudian Iqmal muncul dengan dua beg pakaian milik
isterinya. Tanpa diajak Regina mengekori suaminya ke arah sebuah kamar di
bawah.
“Ni bilik kita,” ujar
Iqmal sambil menolak pintu.
Regina terdiam. Iqmal
masih menetap di kamar kecil itu? Mengapa tidak di atas sahaja? Dahulu Iqmal
memilih tinggal di bilik bawah kerana isterinya lumpuh. Sekarang apa pula
alasannya? Sebab masih tidak mampu melupakan isteri yang pernah hidup
bersamanya selama lebih enam tahun?
Melihat Regina
membisu Iqmal bersuara. “Kalau Gina tak suka duduk bilik ni, bilik atas ada.”
“Abang?” tanya Regina
perlahan.
“Abang suka bilik ni,”
jawab Iqmal tanpa memandang lagi raut itu. Dia terus masuk ke dalam.
“Pembantu rumah dah
tak berkerja lagi di sini. Jadi faham-faham ajalah,” ujar Iqmal lagi.
Tapa kata Regina
masuk juga ke dalam kamar itu. Memilih tinggal di kamar lain bermakna dia dan
Iqmal akan berpisah kamar tidur. Itu dia tidak mahu! Biarlah dia berkorban
sahaja.
“Gina tak mahu tidur
di tingkat atas?”
“Apa nikmatnya tidur
di kamar yang besar kalau sendirian? Apa Gina patut kata kalau bilik ni lebih
bermakna untuk abang. Mestilah ada kenangan yang indah yang tak mahu abang
lupakan,” jawab Regina sedikit pedas.
“Gina, bukan macam
tu..”
“Takpe. Gina dah
letih. Malas nak bergaduh dengan abang selalu.” Regina segera memintas.
Sudahnya Iqmal
terkebil-kebil memandang isterinya menuju ke arah katil. Lambat-lambat pintu
kamar itu dirapatkan. Regina menyelongkar begnya untuk mencari baju tidur
kegemarannya. Melihat ada seorang wanita di dalam kamar itu, Iqmal resah entah
kenapa. Dia terasa aneh. Keadaan ini tidak pernah berlaku dahulu. Tambah pula
wanita itu dengan selamba menarik blaus dari tubuhnya sambil membelakangi
lelaki itu. Terkedu Iqmal memandang belakang Regina hanya berbalut tali coli. Usai
menyalin pakaian, Regina berpaling. Sempat dia terpandangkan Iqmal melarikan
pandangan.
“Pandanglah nak
pandang. Tak payah curi-curi macam pencuri,” perli Regina lantas mencari kamar mandi di luar.
Terkulat-kulat Iqmal
dismash isterinya. Sudahnya dia pula
yang menukar baju. Penat tubuhnya sudah tidak terkira. Kemudian dia terus
mencari tempat tidurnya. Beberapa hari tidak jejak tempat tidurnya, dia
benar-benar rindu. Sehingga terlupa.. dia lebih mengutamakan lenanya daripada
Regina yang baru dinikahi. Wanita itu mengeluh sebal saat masuk ke dalam kamar.
Iqmal dilihatnya sudah berdengkur!
Iqmal....kenapa perlu mengahwini Regina jika hanya menyakiti hatinya... masih tak pandai menghargai cinta dan wanita sebaik Regina... patutnya Iqmal menjaga perasaan dan hati Regina... namun sebaliknya dia mahukan bilik tidurnya bersama Zahnita dulu... sgt menjengkelkan...
BalasPadam