Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Rabu, 13 Mei 2015

Bab 18 BUTAKAH CINTA


Pelik dua orang tua itu tatkala melihat Iqmal pulang ke rumah mereka tanpa mereka bertegang leher memaksanya. Dengan wajah selamba, Iqmal duduk di ruang tamu selepas bersalaman dengan emak dan ayahnya. Mahu menonton tv pulak ke? Macamlah rumah dia tiada tv.
“Mal..” tegur sang emak kehairanan dengan gelagat Iqmal.
“Ya..” Iqmal sekadar menjawab dengan sedikit tolehan. Namun dia tidak berminat mahu mendekati emaknya yang sedang bersarapan pagi berdua dengan ayahnya.
“Mari makan sekali, Mal.”
“Mal baru aja lepas makan, papa. Makanlah..” ucap Iqmal sebelum kembali menoleh kea rah tv di hadapan mata.
Tan sri Ansor berpandangan berdua dengan isterinya. Pasti ada hal penting jika Iqmal sanggup pulang.
“Mal ada nak cakap apa-apa dengan papa ke?”
Iqmal mengangguk terlebih dahulu. “Papa habiskan makan dulu. Mal nak bincang sikit dengan papa,” ujar Iqmal.
Betapa tenang hati sang ayah mendengar suara Iqmal sudi bercakap dengannya. Kalau tidak mahu menjawab ya pun susah. Hanya digantikan dengan anggukan. Memandang apatah lagi. Tetapi kali ini Iqmal mahu berbincang pula. Tentang apa? Pasti penting.
“Aik? Dengan papa aja? Mama dah tak penting?” Puan Sri Bainun mula menyampuk.
Iqmal diam memandang emaknya. Kata-kata ibunya tidak berjawab. Sengaja. Berbincang dengan papanya sekaligus dengan mamanya. Sama saja. Bukannya dia nak berbincang secara rahsia. Cuma dia mahu mendengar buah fikiran ayahnya terlebih dahulu berbanding mamanya yang jelas ada menyimpan prejudis tentang Regina.
Usai bersarapan, Tan Sri Ansor mengangkut cawan kopinya ke hadapan. Kepada pembantu rumah dia meminta air dihidangkan buat Iqmal.
“Mal macam mana sekarang?” tanya sang ayah lembut. Harap-harap Iqmal sudah mampu menerima hakikat pemergian isterinya dua bulan lalu.
“Biasa aja, pa.”
“Ada masalah apa, Mal?” tanya Tan Sri Ansor lagi.
Iqmal diam seketika sambil menghela nafas. Sekalian itu kepala digaru. Serba salah. Bimbang dirinya disalah tanggapan.
“Mal nak kahwin, papa.” Iqmal segera membuka isi hatinya tanpa berbasi basa lagi.
“Alhamdulillah.. baguslah. Dengan siapa?”
“Gina..”
Tan Sri Ansor terus mengangguk tanpa sedikit pun merasa terkejut mendengar suara Iqmal mengalunkan nama bekas kekasihnya. “Bila nak kahwinnya?”
“Bila tu Mal tak tahulah. Belum jumpa keluarganya lagi.”
“Lah.. kenapa tak jumpa?”
Iqmal terkedu sekejap. Takkan dia pula yang nak kena pergi menebeng muka di sana untuk meminang Regina sedangkan dia masih punya orang tua? Bukankah seharusnya itu tugas papa dan mamanya?
“Mal ke yang kena pergi meminang? Bukan sepatutnya papa yang kena pergi tanyakan untuk Mal ke?” tanya Iqmal.
“Ya tak ya juga. Papa lupa!” serentak itu Tan Sri Ansor tergelak sendiri.
“Papa takde masalah nak pergi ke rumah mama Gina tu. Nanti papa akan call mama Gina dulu,” ujar Tan Sri Ansor lembut. Namun kala itu gembira hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Bertemanlah Iqmal selepas ini. Dia tidak mahu Iqmal hidup sendiri membilang kesepian selepas ditinggalkan Zahnita. Dia mahu melihat Iqmal bahagia dengan wanita yang disukainya.
“Cerita pasal apa ni?” sampuk Puan Sri Bainun setelah mendekati dua beranak itu di ruang tamu.
“Mal ni ha.. nak kahwin. Kita kenalah bersiap-siap bawak tepak sirih pergi meminang,” jawab Tan Sri Ansor cukup ceria.
Tiba-tiba wajah wanita tua itu berubah. “Dengan Gina?” teka Puan Sri Bainun pantas.
“Ha’ah.. akhirnya. Dapat juga kita bermenantukan Gina tu,” komen Tan Sri Ansur lembut. Puan Sri Bainun merenung tidak senang suaminya. Siapa yang mahu bermenantukan gadis seperti itu. Sombong! Mementingkan diri sendiri!
“Dah takde orang lain ke nak dijadikan bini selain daripada budak tu?”
“Dah kenapa pulak? Gina tu bukannya isteri orang. Apa salahnya? Lagipun Iqmal dah kenal dia lama. Eloklah tu.” Masih juga Tan Sri Ansor yang menjawab.
“Itu yang asyik mengendeng aja dekat Mal waktu kenduri malam tu, kan? Mal pun suka benar melayan. Tak ingat ke apa yang dia dah buat pada Mal dulu?” selar Puan Sri Bainun meluat. Bukannya dia tidak nampak Regina cuba mendekati anak lelakinya ketika malam tahlil dulu. Berbulu biji matanya memandang.
“Kami Cuma berbincang malam tu, ma. Nita sendiri pun ada tinggalkan pesan, dia nak Mal jaga Gina selepas dia takde. Mal nak tunaikan hasrat Nita. Lagipun Gina tu..”
“Dia ada adik beradik. Mama dia ada. Buat apa sibuk-sibuk Mal pulak yang nak kena jaga?” bantah Puan Sri Bainun tetap tidak suka.
Bicara Iqmal terkulum dipintas kata-kata mamanya. Sudahnya dia sekadar menghela nafas perlahan.
“Apa masalahnya kalau Iqmal nakkan si Gina tu pun. Biarlah! Gina tu elok perangainya. Elok asal usulnya. Tinggi pelajarannya,” celah Tan Sri Ansor.
“Tak hairanlah saya, bang! Biarlah setinggi mana pelajaran dia. Kalaulah nama lain yang disebut sekarang juga saya cakap ya, bang. Tapi kalau itulah budaknya, saya tak berkenan! Sungguh! Saya memang tak suka Regina tu,” ucap Puan Sri Bainun geram. Tinggi pelajaran? Dahulu kerana mengejar cita-cita, Regina sanggup membiarkan Iqmal terkapai-kapai sendiri. Sekarang mahu pula!
“Mal jangan jadi bodoh. Banyak lagi perempuan lain yang boleh dipilih. Dulu dia buat Mal macam sampah. Tak ingat ke?” leteran Puan Sri Bainun kedengaran meninggi. Tan Sri Ansur hanya mampu menggeleng.
“Entah-entah Mal masih ada hati pada si Gina tu tak? Mal dah lupakan Nita! Selama ni yang banyak bersusah payah dengan Mal, si Nita. Bukannya Gina. Dia tu tahunya.. balik sini dok kejar Mal macam perempuan takde maruah! Konon nak melawat kawan baik. Laki kawan sendiri pun dia berkenan ke?” cela Puan Sri Bainun semakin lancang.
Iqmal mula mendengus tidak senang mendengar kata-kata emaknya. Entah kenapa hatinya pedih mendengar mamanya mencela Regina. Dia tahu Regina bukan begitu. Selama arwah Nita masih ada, Regina selalu menjauhkan diri daripadanya untuk menjaga perasaan Nita. Dia juga begitu.
“Mama bukannya buta. Dulu dia buat tak peduli pada Nita. Sekarang ni konon prihatin sangat. Dah terlambat. Mama tak suka dia, Mal!”
"Bainun.. Yang nak kahwin anak kita. Biarlah dia nak kahwin dengan siapa pun. Kenapa kita nak jadi batu penghalang," tekan Tan Sri Ansor sambil menggeleng sendiri.
"Kenapa mesti dengan si Gina tu? Kubur masih merah dah nak berbini lagi? Apa orang akan kata?" ucap Puan Sri Bainun mula bengangkan Iqmal pula.
"Pedulikan apa yang orang kata. Dah dia kata begitu wasiat Nita. Apa salahnya? Lagipun anak kita lelaki. Mana ada edah. Orang tak tahu apa masalah kita. Lantakkan apa anggapan orang. Bukan kita nak mintak duit orang pun!" Tegas Tan Sri Ansor.
"Saya tak kisah Iqmal nak kahwin lagi. Tapi bukan Regina!"
Iqmal mula menoleh. "Dulu mama sukakan Gina. Kenapa sekarang tak boleh terima dia lagi?" Iqmal kembali bersuara setelah sekian lama dia hanya menadah diri kepada bebelan mamanya.
"Sebab dia tu mementingkan diri sendiri. Kalau bukan sebab dia nak sangat pergi Ireland, keadaan takkan jadi macam ni!" Balas Puan Sri Bainun.
Iqmal tiba-tiba bangun. Sesak dadanya dengan masalah yang baru timbul ini.
"Nak pergi mana tu?? Mama belum habis bercakap lagi ni. Iqmal!" Panggil wanita tua itu meninggi.
Tan Sri Ansor menggeleng. "Kalau anak tak mahu balik lagi ke rumah ini, awak terimalah akibatnya!" Getus sang ayah kesal.
"Saya cakap yang betul. Salah ke?"
"Jangan ungkit lagi benda yang dah lepas. Iqmal tu tengah terumbang-ambing, awak lagi nak kusutkan hidup dia. Dia nak kahwin, biarkan! Dia tu perlukan teman. Bukan sekadar untuk memenuhi hasrat arwah Nita. Tapi dia sendiri perlu seseorang untuk jaga dia," ucap Tan Sri Ansor sambil menggeleng.
"Saya tak kisah dia nak kahwin. Asalkan bukan dengan Gina!"
"Susahlah awak ni!" getus Tan Sri Ansor. Dia juga ikut bangun menjejaki anaknya. Iqmal dilihatnya sedang duduk di luar rumah sendirian. Termenung tidak sudah-sudah.
“Mal..” panggil Tan Sri Ansor.
Iqmal menoleh kepada sang ayah. “Mal minta maaf kalau permintaan Mal ni menyusahkan papa dan mama,” ujar anak muda itu perlahan.
“Tak perlu minta maaf. Mal tak buat salah pun. Sudahlah. Jangan difikirkan apa yang mama kata tadi. Papa takde halangan. Papa tak kisah siapa pun pilihan Mal. Dah sampai masanya Mal memilih jalan hidup Mal sendiri. Ikut suara hati. Papa tak mahu Mal terus berkorban untuk menyenangkan perasaan orang lain. Yang sudah tu sudahlah. Papa mahu Mal bina hidup baru. Tak guna terus meratapi pemergian Zahnita. Dia dah takde. Dia takkan kembali lagi pada kita. Soal mama tu jangan bimbang. Papa akan pujuk dia.” Lembut nasihat itu dialunkan buat sang anak.
“Terima kasih, pa.”
Sepeninggalan anaknya Tan Sri Ansor mencari semula isterinya. Puan Sri Bainun mencuka. Geram dengan Iqmal. Sengaja pulang tanpa bertemu dengannya terlebih dahulu.
“Eloklah. Dulu saya yang korbankan hidup dia semata-mata kerana nafsu serakah. Sekarang awak pulak ikut jalan yang sama semata-mata kerana nafsu amarah. Hancur hidup anak kita nanti, takde orang lain yang perlu kita salahkan. Salahkan diri kita sendiri! Saya dah tak sanggup tengok dia terus terumbang ambing begitu, Bainun. Apa saja yang baik bagi Iqmal, saya nak sokong dia. Itu tujuannya kita ni hidup sebagai mak bapak dia. Bukannya untuk menjahanamkan lagi hidup anak-anak kita hanya kerana ego! Awak fikirlah sebelum terlambat. Sesal kemudian dah tak guna lagi kalau Iqmal dah tak mahu balik jumpa kita langsung.” Sehabis ceramah pendek itu diberikan kepada isterinya, Tan Sri Ansor terus melangkah ke arah tangga.
Puan Sri Bainun menghela nafas keras. Namun memikirkan ugutan suaminya itu dia mula seram sendiri. Iqmal satu-satunya zuriatnya. Masakan dia rela kehilangan Iqmal sekali lagi hanya kerana rasa tidak berkenannya kepada Regina? Ah! Apa nak susah. Dia hanya sayangkan Iqmal Yang penting perempuan tu bukannya duduk di hadapan mata dia selepas berkahwin dengan Iqmal. Apa nak jadi dengan Regina, apa dia peduli. Yang penting Iqmal tetap pulang kepadanya.


“Iqmal ada call Gina?” tanya Puan Iffah awal pagi itu. Mereka sekeluarga baru memulakan sarapan pagi.
“Kenapa pulak dia nak call Gina. Gina tak penting pun untuk dia,” jawab Regina dalam nada rungutan.
“Merajuklah tu,” ejek Iqbal lantas ketawa melihat gelagat adiknya. Regina sekadar mencebik. Rajuknya tiada makna. Iqmal tak peduli pun apa yang terjadi kepada dia.
“Mama ada terdengar-dengar tentang surat yang Nita tulis untuk Iqmal tu. Dengarnya ada disebut juga nama Gina,” luah Puan Iffah sambil memandang anak daranya.
“Mana mama tahu?” membuntang mata Regina serta merta.
“Ary yang cerita pada mama sebelum ni. Kenapa Gina tak cerita pada mama tentang itu?”
Regina mula menghela nafas panjang. Ariya ni memang! Pasal itu pun nak bercerita pada mamanya. Malu mukanya pada semua orang.
“Tak penting pun. Benda tu tak serius,” jawab Regina malas mahu menjelaskan panjang lebar.
“Tak serius sampai bertengkar dengan Iqmal?” telah Puan Iffah. Mudah sahaja melihat kekecewaan di wajah Regina apabila perkara itu berkaitan dengan Iqmal. Dia sendiri tidak faham mengapa anaknya begitu susah mahu melepaskan Iqmal dari hatinya.
 Kata-kata mamanya membuatkan Regina berdiam memandang pinggan yang masih penuh.
“Patutnya Gina bincang dengan mama. Ini bukan soal main-main. Iqmal kena beritahu orang tuanya. Gina pun kena berbincang dengan mama. Jangan sampai mama tahu dari mulut orang lain. Itu adabnya,” ujar Puan Iffah lembut.
“Mama, nak berbincang buat apa? Bukan kami nak kahwin pun!” tekan Regina tidak senang mahu berbual tentang itu. Rajuknya makin panjang. Iqmal kata mahu berbincang semula. Tetapi sampai sekarang lelaki itu hanya berdiam di sana. Takkan dia nak memalukan muka menagih janji Iqmal tempohari?
“Aik? Hari tu Ary kata lain. Katanya mama dengan papa Iqmal dah tahu pasal ni. Keluarga Iqmal nak datang meminang Gina!”
“Ha?” Regina mula tercengang.
“Gina dengan Iqmal takde berpakat ke pasal ini? Mama Nampak Gina macam terkejut sangat,” ujar Puan Iffah lagi.
“Dia terkejut sebab terlampau excited bila dengar Iqmal nak masuk meminang, ma. Biasalah tu. Lupa nak buat ekspresi malu-malu kucing,” sampuk Iqbal lantas tersengih kepada adiknya.
“Abang Iqbal ni kenapa nak sakitkan hati Gina!” tempelak Regina mula bengang dengan abangnya.
“Abang bergurau aja. Alahai.. sentaplah pulak,” gerutu Iqbal masih lagi menyengih kepada jelingan tajam Regina.
“Sudahlah. Mama nak berbincang ni. Jangan main-main boleh tak? Serius sikit, Iqbal!” tegur Puan Iffah geram melihat pertelingkahan kecil antara dua anaknya itu.
“Sorry, ma..” ucap Iqbal perlahan.
“Gina tak bincang apa-apa lagi dengan Iqmal pasal ni, ma. Serius. Gina tak tahu langsung,” ujar Regina kepada emaknya. Kata-kata itu cukup membuatkan Puan Iffah termenung sendiri. Macam mana boleh jadi begitu? Seorang tahu. Seorang lagi tak tahu cerita.
“Habis tu Gina nak ke Iqmal tu?”
Kali itu Regina pula terdiam.
“Diam maknanya setujulah tu, ma.”
“Jangan nak memandai, Iqbal. Mama tak mahu teka-teka macam tu. Mama nak dengar dari mulut Gina sendiri. Mama tak mahu tersalah buat andaian,” jawab Puan Iffah tidak setuju.
“Abang tahu Gina masih sayangkan Iqmal, kan? Inilah masanya Gina cari kebahagiaan Gina semula,” ujar Iqbal kepada adiknya itu pula.
“Memang. Tapi mama tak mahu soal surat Nita tu mempengaruhi keputusan Gina. Jangan buat keputusan sebab terpaksa. Mama mahu Gina fikir masak-masak,” ucap Puan Iffah. Kali itu Iqbal memilih untuk berdiam. Ada benarnya juga kata-kata mamanya. Dia pun tidak mahu adiknya mengahwini Iqmal hanya kerana terpaksa.
“Gina call abang Iqmal dulu, ma.”
“Sebaiknya begitu. Bincang elok-elok. Selami dari hati ke hati. Ini tentang masa depan Gina. Takde kena mengena dengan wasiat arwah Nita. Mama sedia terima Iqmal sekiranya dia mahukan Gina sebab masih sayangkan Gina. Bukan sebab nak ikut kata-kata dalam surat tu,” sambut Puan Iffah serius. Regina terus mengangguk.
Malam itu sebelum tidur entah apa anginnya Regina melihat telefonnya dihubungi seseorang. Ada dua panggilan tidak dijawab dari Iqmal. Dia terlupa, semenjak tadi telefonnya terbiar di dalam kamar sedangkan dia di bawah dengan ahli keluarganya. Baru sahaja Regina mahu mendail semula, nama Iqmal tertera lagi sebagai pemanggil. Pantas sahaja panggilan itu dijawab. Salam kedengaran dihulurkan oleh Iqmal.
“Abang menganggu Gina? Dah tidur ke tadi?” dua pertanyaan Iqmal teralun lembut lewat corong itu.
“Taklah. Gina belum sempat tarik selimut pun. Ada apa abang call Gina? Sorry. Tadi Gina kat bawah. Phone kat atas katil.”
Tiada kata-kata terluah saat itu. Hanya helaan nafas Iqmal kedengaran berkali-kali. Membuatkan wanita itu kian tertanya-tanya apa tujuan Iqmal menghubunginya. Ini pertama kali Iqmal menelefonnya semenjak pemergian Zahnita lebih dua bulan yang lalu. Sesungguhnya dia benar-benar takut kata-kata yang bakal ditelan oleh deria pendengarannya nanti akan merobek perasaannya yang sedia kala robek.
“Abang asyik terfikirkan Nita semenjak kebelakangan ni. Abang rasa bersalah pada dia, pada Gina.”
“Kenapa pulak?” balas Regina hairan.
“Gina nak kahwin dengan abang?” itu pula yang diucapkan Iqmal.
“Abang nak kahwin dengan Gina sebab apa? Sebab Nita yang mahu atau sebab abang masih sayangkan Gina?” mereka berdua terus berbalas soalan. Sayang benar mahu membuka isi kandungan di dalam dada.
“Apa yang Nita tuliskan dalam surat tu bersebab. Abang memang bersalah pada Gina selama ini. Inilah peluangnya untuk abang perbetulkan kesalahan abang pada Gina.” Iqmal diam seketika sambil menghela keluhan.
“Keputusan abang tiada patah balik. Inilah masanya untuk kita bermula semula. Tapi abang tak mahu buat macam dulu. Abang nak kita mulakan dengan ikatan pernikahan. Bukan macam masa kita mula-mula kenal. Itu semua dah lapuk untuk abang,” jelas Iqmal tidak lama kemudian.
“Kalau kita tak serasi?”
“Soal serasi atau tidak abang nak tolak ke tepi. Dulu waktu abang nikahi Nita, soal serasi dah letak di tangga terakhir. Abang nekad atas nama tanggungjawab..”
“Dan akhirnya abang jatuh cinta juga pada dia. Sekaligus perasaan untuk Gina pun memudar. Betul, kan?” Regina terus memintas sebelum lelaki itu habis berkata-kata.
Iqmal terus terdiam. Kata-kata Regina lama sudah berada di fikirannya. Dia sendiri keliru.
“Betul ke, abang?”
“Dia dah takde, Gina. Jangan sebut lagi pasal dia,” ucap Iqmal rendah.
“Tapi Gina tak mahu abang kahwini Gina hanya semata-mata kerana wasiat dia!” tekan Regina bersungguh.
“Abang perlukan seseorang untuk buat abang lupa segala kesakitan yang ada dalam diri abang. Memang abang sedih Nita dah takde. Abang tak boleh terus hidup macam ni. Wasiat tu sekadar kebetulan aja, Gina. Kalau Nita tak tulis surat tu sekalipun, abang yakin suatu hari nanti abang akan cari Gina semula. Bohong kalau abang katakan yang abang tak pernah tak memikirkan tentang Gina. Keadaan hidup abang selama ini membuatkan abang lupa bagaimana rasanya perasaan cinta yang pernah abang rasa pada Gina dulu.”
Seperenggan kata-kata itu sudah cukup membuatkan perasaan yang menglibar libur tadi melenyap semuanya. Regina tersenyum sendiri entah kenapa. Masih ada harapankah untuk cinta Iqmal berbunga lagi buat dirinya? Rasanya macam ada. Jangan mudah mengalah, Gina. Dia tetap milik kau selamanya! Bisik hatinya puas.
“Abang dah berbincang dengan papa abang. Papa nak jumpa mama Gina hujung minggu ni.”
“Abang tak cakap dengan Gina pun!” rengus Regina sedikit terkejut. Minggu ini? Oh tidak! Kenapa tak malam ini saja??
“Ni bukan cakap ke? Kalau ini bukan dinamakan bercakap, habis tu apa?” balas Iqmal pantas.
Regina terus menghempaskan kepalanya ke bantal. Wajahnya yang merona ditekup dengan sebelah tangan. Malu sendiri dengan kegelojohannya.
“Gina setuju?” tanya Iqmal setelah beberapa ketika jawapan yang dinanti masih tidak didengari.
“Setuju.” Suara Regina antara dengar dan tidak. Teruja punya pasal! Jantungnya di dalam macam sedang bermain pancaragam.
“Alhamdulillah..” sambut Iqmal lega. Selesai sudah satu masalah.
“Gina harap kata-kata abang tadi benar.”
“Maksud Gina?”
“Takde patah balik bila abang dah buat keputusan. Antara Gina dan Nita, kami dua individu yang berbeza. Jangan anggap Gina ni sama macam Nita. Apa yang paling Gina tak mahu.. Gina tak mahu abang pandang Gina seolah-olah Gina ni Nita,” ucap Regina perlahan.
Iqmal di hujung sana bagaikan terkedu mendengar kata-kata itu. Dia terus tidak memberikan jawapan sehingga akhirnya dia meminta untuk memutuskan talian. Regina termenung sendiri memandang telefonnya. Kini dia tahu di mana letak kelemahan lelaki itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan