Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Isnin, 11 Mei 2015

Bab 17-BUTAKAH CINTA


Alunan surah Yassin itu semakin mendayu sehingga ke penghujungnya. Sebak yang mencengkam dada tidak mampu diurai dengan kata-kata. Malam yang asing buat dirinya. Tidak mudah rupanya untuk mendepani hakikat ini. Entah kenapa dia merasakan kesunyian ini teramat dalam. Teramat menyakitkan.
Iqmal mula berbaring di tempat tidurnya. Namun kali itu dia melihat pembaringan di sebelahnya kosong setelah selama bertahun-tahun ini dia ditemani seseorang. Aneh rasanya perasaan ini. Ingatannya kepada Zahnita semakin ditarik-tarik sehingga mata lelaki itu tidak mampu berhenti merenung ruangan kosong itu. Zahnita isteri yang baik. Seorang wanita yang selalu reda dengan nasibnya.
Sudahnya jemari Iqmal mula merayap ke sebelah sana. Permukaan tilam itu diusap lembut. Hati Iqmal semakin sayu. Siapa temannya berbicara selepas ini? Mampukah dia menelan kesepian ini seorang diri? Entahlah. Kenangan demi kenangan sepanjang dia hidup bersama wanita itu terus bergolak dalam dirinya. Kehibaan itu masih tidak mampu lepas. Iqmal mengambil bantal di sebelahnya itu. Bantal itu dipeluknya erat. Tiba-tiba dia terasa ada sesuatu disebalik sarung bantal itu. Iqmal menyeluk tangannya masuk ke dalam sarung bantal sehingga matanya tertancap kepada sekeping sampul surat yang sudah sedikit renyuk.
Iqmal bangun sambil memandang surat itu. Di luar sampulnya tertulis perkataan ‘abang’ bermakna surat itu adalah untuk dirinya. Pantas isi kandungan sampul itu dikeluarkan. Lampu di sisi ketil itu diterangkan lagi sebelum bola matanya mula meneliti bait demi bait yang tertera di atas kertas itu.
Assalamualaikum suamiku..
Semoga abang berada di dalam keadaan tenang selalu. Ketika abang menatap warkah ini, Nita percaya Nita sudah tiada di sisi abang lagi. Kerana warkah ini Nita titipkan untuk abang selepas ketiadaan Nita. Sudah lama Nita menulis warkah ini. Nita simpan di situ agar mudah abang menjumpainya nanti.
Banyak yang ingin Nita katakan kepada abang. Tetapi Nita tak mampu meluahkan ketika masih ada nyawa di tubuh ini. Nita tak mahu abang terus bersedih dengan keadaan hidup kita. Tetapi percayalah.. abanglah lelaki yang paling mulia yang pernah Nita kenali. Alangkah bersyukurnya Nita dapat merasai hidup di bawah naungan kasih sayang dan bakti abang. Nita selalu berdoa suatu hari nanti abang akan bertemu dengan kebahagiaan yang abang cari selama ini.
Abang Iqmal,
Pemergian arwah mak dan abah Nita suatu masa dulu adalah sebahagian dari takdir Allah. Kenyataan yang dihadapkan kepada Nita juga takdir Allah. Nita tak pernah menyalahkan sesiapa atas semua itu. Jauh sekali membenci orang tua abang. Kerana membenci itu salah satu petanda yang kita tidak reda dengan ujian Allah. Nita mahu abang berbaik kepada orang tua abang. Jadilah anak yang taat. Semua manusia boleh berbuat silap. Namun tidak semua mampu bertaubat. Tetapi papa abang sudah lama sedar akan kesalahannya. Berilah dia peluang untuk menjadi seorang ayah kepada anaknya. Dan Nita terlalu ingin melihat abang kembali menjadi Norman Iqmal yang dulu. Lupakan semua kisah dulu, abang. Kembalilah pada orang tua abang selagi mereka diberikan kesempatan untuk menyayangi abang sebagai anak. Jangan sampai abang melalui kehilangan yang memilukan seperti yang pernah Nita lalui dulu. Ketika itu Nita tidak bersedia. Nita ditinggalkan kosong begitu saja. Hanya Allah yang mengerti kepiluan Nita waktu itu.
Tetapi itu hakikat untuk Nita. Abang masih ada kesempatan untuk mengubah kepincangan hubungan abang dan papa. Tiada ayah yang tidak sayangkan anaknya. Seperti yang pernah Nita katakan pada abang dulu. Kemarahan seorang ayah tidak akan semana. Tetapi selalunya seorang anak lebih tega untuk mendendami orang tuanya. Jangan begitu, abang. Hidup akan lebih indah jika tiada dendam melingkari kita.
Suamiku tersayang..
Sepanjang hidup Nita bersama abang, biarpun sakit, biarpun kita pernah menderita.. Nita tetap merasa bahagia. Abang seorang lelaki yang teguh dalam apa jua keadaan. Abang tak pernah mengeluh. Tak pernah mengungkit segala kebaikan abang. Tetapi Nita tahu dalam hati abang masih ada seseorang yang abang kenang selama ini. Kahwinilah Regina, abang. Nita tahu dalam hati dia masih ada rasa cinta yang begitu menebal kepada abang. Tidak adil jika hanya abang yang berkorban untuk Nita. Nita tak pernah membayangkan keadaan diri Nita akan membuatkan orang lain berduka nestapa sepanjang hidupnya. Regina tak bersalah kepada kita. Dia seorang perempuan yang baik, yang ikhlas mencintai abang walaupun abang bukan lagi Iqmal yang dulu. Hargailah dia. Nita percaya dia akan menerima abang seadanya. Regina yang Nita kenali selama ini tidak pernah membayangkan abang seorang lelaki sempurna serba serbi dan dia tidak mencintai abang kerana abang anak kepada seorang tan sri. Suatu masa dulu semua orang pernah membayangkan abang dan dia akan bersatu akhirnya. Nita masih berharap angan-angan itu akan menjadi nyata suatu hari nanti. Tolong lakukan demi Nita, bang. Jangan biarkan dia terkapai-kapai lagi. Tolonglah fikirkan perasaan dia. Dia pernah terluka kerana kita. Tidak selayaknya dia diberikan kekecewaan itu di atas kejujuran dia bersahabat dengan kita selama ini. Kahwinilah dia. Biarpun ketika itu tanah pusara Nita masih merah, kahwinilah dia. Jangan lepaskan dia lagi.
Akhir kata, Nita minta ampun pada abang jika ada kesalahan dari Nita sepanjang kita hidup bersama. Terlalu banyak kekurangan perempuan ini untuk seorang lelaki sebaik Norman Iqmal. Sayangnya sepanjang hidup kita bersama Nita tak mampu memberikan apa-apa kepada abang sebagai balasan. Jika diizinkan Allah, Nita mahu bersama-sama abang, Gina, Ariya dan semua sahabat Nita di syurga nanti. Semoga Allah memberikan belas kasihan-Nya dan menempat kita semua di syurga. Salam sayang dari Nita buat abang dan semua. Semoga kalian bahagia selalu.
Yang benar,
Nita
Air mata Iqmal kian murah di keheningan malam itu. Saat membaca warkah bertulisan tangan itu, dia merasakan seolah-olah arwah Zahnita sedang berada di hadapannya. Berkata-kata kepadanya dengan suara tenang. Lelaki muda itu terus teresak-esak sendiri. Kata Zahnita dia seorang lelaki yang kuat. Tidak! Sebenarnya dia lemah. Saat ini ada kerinduan yang amat hebat membadai perasaannya. Mungkin dia tidak mencintai Zahnita selama ini. Namun perasaan sayang kepada wanita itu tetap ada. Kerana Zahnita adalah isterinya.
“Ya Allah.. tawarkanlah keperitan perasaanku ini. Bantulah aku untuk melawan perasaan ini. Tunjukkanlah aku jalan yang benar,” rintihan Iqmal berlagu sendiri.

Pandangan matanya masih tidak mampu lari daripada lelaki itu. Semenjak tadi tidak banyak yang dapat dibualkan dengan Iqmal. Lelaki itu sibuk menguruskan majlis tahlil untuk Zahnita.
“Mama baliklah dulu. Gina nak jumpa abang Iqmal sekejap,” ucap Regina saat emaknya mengajak dia pulang usai majlis itu.
“Gina nak balik macam mana nanti?” tanya Puan Iffah sambil memandang jam di pergelangan tangannya. Sudah hampir jam 10. Bimbang juga mahu meninggalkan anak daranya di situ.
“Gina tumpang Ary nanti. Mama jangan risau ya? Gina tahu nak balik macam mana,” balas Regina dengan sedikit senyuman.
“Kalau ada apa-apa call mama atau abang Iqbal,” pesan Puan Iffah dengan usapan lembut di bahu sang anak.
Regina mengangguk akur. Pemergian emak dan abangnya dihantar ke luar pagar sehingga kelibat kereta yang dipandu Iqbal menghilang. Kemudian langkah kembali di atur ke arah rumah teres. Bahagian dalam rumah itu sedikit lengang. Kebanyakan tetamu sudah pulang. Iqmal masih sibuk bersalaman dengan tetamu lain. Iqmal sempat menoleh saat Regina berdiri di belakangnya.
“Tunggu kejap. Ada tetamu lagi,” ucap Iqmal kepada gadis itu. Regina sekadar mengangguk. Susuk sang lelaki berbaju melayu kuning itu dipandang dari arah belakang.
Lebih setengah jam kemudian barulah Iqmal mencari Regina semula. Wanita itu ditemuinya didapur bersama Ariya sedang membantu membasuh pinggan.
“Gina..” panggil Iqmal dari ambang dapur. Regina pantas menoleh. Iqmal sekadar membuat isyarat agar mengikutnya ke luar rumah.
“Aku keluar sekejap,” ucap Regina kepada Ariya.
Di halaman rumah Iqmal duduk di buaian. Regina mengambil tempat di sebelah, sedikit jarak daripada lelaki itu. Tanpa sebarang mukadimah, sepucuk surat diambil dari saku baju melayunya lalu diberikan kepada Regina.
“Bacalah. Abang jumpa surat tu dua hari lepas di tempat tidur Nita,” ucap Iqmal perlahan.
Surat di tangan Iqmal itu membuatkan Regina terpaku pada permulaannya. Lambat-lambat sampul itu disambutnya.
“Nita yang tulis?” tanya Regina mula dihambat sayu. Iqmal mengangguk dengan sedikit helaan nafas.
“Surat tu untuk abang sebenarnya. Tapi abang nak Gina baca,” ucap Iqmal seketika kemudian.
Buat seminit dua itu kebisuan terhias antara mereka. Regina asyik menatap ayat demi ayat yang dilakarkan Zahnita. Semakin lama semakin menghebat kehibaannya sehingga ada air mata mula bergenang di pelupuk mata. Saat warkah itu memperkatakan tentang dirinya, bola mata Regina mula bergerak laju. Berkali-kali ayat-ayat itu diulang baca dan difahaminya. Rupanya ada sebab mengapa Iqmal memberikan surat ini kepadanya.
Regina kembali memandang Iqmal setelah warkah itu selesai dibacanya. Terharu benar hatinya dengan kebaikan hati Zahnita. Itulah sahabatnya dunia dan akhirat. Ya.. Insya-Allah dengan izin dan belas kasihan dari Allah mereka akan diketemukan semula di syurga suatu masa nanti.
"Gina tak tahu nak komen apa. Gina tak tahu patut atau tidak kita ikutkan apa yang Nita hajatkan," luah Regina di celah kebisuan lelaki itu.
"Fikirlah. Abang tak paksa Gina ikut kehendak Nita. Abang bagi Gina baca surat itu supaya Gina tahu apa yang Nita tulis tentang kita. Tentang hasrat dia." Iqmal menjawab tanpa menoleh.
"Abang sendiri macam mana?"
Kali itu Iqmal membisu. Dia sendiri masih serba salah.
"Kalau abang menolak, apa perlunya abang beritahu tentang surat ini pada Gina?" ucap Regina perlahan. Sekadar mahu meneka perasaan Iqmal yang sebenarnya.
"Gina nak ke kahwin dengan abang? Hidup abang masih terumbang ambing. Gina nak kahwin semata-mata kerana kehendak Nita?"
"Dulu Abang kahwin dengan Nita sebab nak bantu dia. Bukan sebab cinta. Tapi abang tetap sayangkan dia. Apa bezanya?" Sambut wanita itu pantas.
Iqmal membisu semula. Fikir tak habis-habis. Sehari dua ini hidupnya terasa kusut. Tidak terurus.
"Gina kesiankan abang. Mungkin juga masih sayangkan abang. Itu tak cukup untuk abang?" Tambah Regina lagi.
"Abang bukan Iqmal yang dulu, Gina. Gina jangan menyesal nanti. Sebab tu abang minta Gina fikir dulu sebelum buat keputusan. Abang tak mahu kita buat sebab terpaksa. Semua ni tak semudah bayangan kita."
Regina terus membisu sehingga dirinya ditinggalkan sendirian di situ. Fikirannya menerawang jauh mencari bayang sahabatnya. Kenapa perlu begini, Nita? Aku sayangkan Iqmal. Tapi dalam hati dia ada kau.. Bisik Regina sendiri.
Sebelum pulang bersama Ariya, Regina bertemu Iqmal semula. Sekadar mahu memberitahu tuan rumah yang dia mahu pulang. Iqmal sekadar akur. Namun dia ikut menghantar Regina dan Ariya ke kereta.
“Gina..” panggil Iqmal ketika gadis itu mahu masuk ke dalam kereta. Regina kembali memandang lelaki itu.
“Abang tahu abang dah lama melukai hati Gina. Tapi keadaan abang selama ini bukan mudah. Abang minta maaf banyak-banyak pada Gina kalau Gina rasa abang seorang lelaki yang menghampakan. Di luar sana mesti ada seseorang yang lebih baik berbanding abang. Abang tak kecil hati kalau Gina tak mahu kahwin dengan abang. Abang terima apa saja keputusan Gina nanti. Ambil masa. Fikirkan baik-baik. Abang tunggu jawapan Gina,” ucap Iqmal kepada wanita itu.
Regina sekadar mengangguk. Namun sekali lagi dia terhenti di ambang pintu kereta itu.
“Ary.. tunggu sekejap. Aku nak bercakap dengan abang Iqmal,” pinta Regina kepada Ariya di dalam kereta. Ariya sekadar mengangguk. Regina menutup pintu itu perlahan.
“Semenjak arwah Nita masih ada dia selalu memuji abang. Kadang-kadang Gina cemburu. Gina sayang abang tapi abang suami dia. Perasaan Gina pada abang tak pernah berubah. Gina cuba terima hakikat yang abang suami orang. Tapi betapa susahnya Gina nak berdepan dengan abang selama ini. Gina tahu abang bukan lagi lelaki yang Gina sayang dulu. Tapi hati Gina ni degil. Tetap sayangkan abang. Salah ke perasaan Gina ni, abang? Dalam keadaan ini, Gina ke yang harus berfikir sebenarnya? Selama ni arwah Nita selalu kata pada Gina yang abang tak pernah berhenti sayangkan Gina. Tapi sekarang Gina keliru. Gina rasa abang dah berubah terlalu banyak.”
“Keadaan memang dah merubah apa yang ada pada abang dulu, Gina.”
“Kerana itu abang memilih untuk menjauhkan diri dari Gina? Dulu sebab Nita. Sekarang sebab apa pulak?” balas Regina pantas.
Iqmal mula menghela nafas perlahan. “Abang minta maaf. Abang tahu abang tak berlaku adil pada Gina selama ni. Abang akan jumpa mama Gina nanti. Gina baliklah dulu. Kita bincang semula nanti,” putus Iqmal lembut.
“Semudah itu ke?”
“Habis tu apa yang Gina nak dengar sebenarnya?”
“Gina nak tahu sama ada abang masih ada perasaan pada Gina atau tidak. Gina pun tak mahu paksa abang kahwin dengan Gina hanya disebabkan arwah Nita. Gina ada maruah, abang!” tegas Regina.
“Kalau Gina tanya pendirian abang sekarang.. abang tak tahu nak jawab apa! Abang sendiri pun masih keliru. Abang masih belum mampu melupakan semuanya termasuklah Zahnita,” jawab Iqmal pantas.
Kata-kata lelaki itu cukup membuatkan Regina terpaku di situ. Begitu mudah Iqmal mengucapkan kata-kata itu. Dia yang mendengar terasa seperti baru sahaja dihempas oleh sebuah batu yang amat besar.
“Terima kasihlah sebab berterus terang. Sekarang Gina dah tahu di mana tempat Gina dalam hati abang selama ni. Gina aja yang terhegeh-hegeh. Abang tak pentingkan perasaan Gina pun.” Tanpa pamitan Regina kembali membuka pintu. Tubuhnya dihenyuk masuk ke dalam kereta.
“Gina..” panggil Iqmal. Namun akhirnya dia sekadar berdiri di tepi kereta itu memandang ke dalam.
“Jalanlah cepat. Malas nak pandang muka dia tu,” balas Regina dengan wajah mencuka.

“Gaduhlah tu..” komen Ariya sambil menggeleng sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan