Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Ahad, 10 Mei 2015

BAB 16-BUTAKAH CINTA


“Nita, bangun sembahyang subuh,” ucap Iqmal. Sekalian tubuh wanita itu digerakkan perlahan. Anehnya tiada sebarang reaksi pada Zahnita.
Iqmal memandang seketika wajah itu. Tenang sahaja dalam lenanya. Namun entah kenapa hati Iqmal merasa tidak sedap. Selalunya Zahnita amat senang dikejutkan dari lena.
“Nita!!” tubuh itu digoyang lagi bersama perasaan yang bercampur baur.
Iqmal terus bangun. Nombor talian kecemasan hospital dihubunginya untuk meminta ambulan. Seketika kemudian lelaki itu kembali mendekati isterinya. Zahnita terus kaku di atas katil. Kalau semalam tubuh itu begitu panas membahang. Tapi pagi ini tubuh itu hanya suam-suam kuku.
“Nita, jangan buat abang macam ni. Bangun.. jangan tinggalkan abang seorang. Abang masih perlukan Nita,” ucap Iqmal sedikit kalut. Kali itu pipi isterinya ditepuk lembut. Iqmal terasa mahu meraung melihat Zahnita terus bisu. Terasa gelap dunianya seketika. Tidak tahu apa yang harus dibuatnya sementara menunggu ambulan tiba.
Setibanya ambulan di rumah itu beberapa petugas hospital masuk ke dalam kamar. Iqmal terus ke tepi. Beberapa minit bantuan diberikan sebelum Zahnita diangkat naik ke ambulan. Iqmal terus mendapatkan keretanya.
Namun saat tiba di hadapan hospital itu, mata Iqmal tidak berkelip memandang jasad bertutup sehingga ke hujung rambut diturunkan dari ambulan itu. Tubuhnya terasa seperti melayang jauh saat itu.
“Encik Iqmal, maaf kita dah cuba segalanya. Tapi Allah lebih sayangkan dia. Bersabar ya?”
Sebaris dua kata-kata itu terlalu pahit untuk ditelan Iqmal begitu sahaja. Ketabahannya entah hilang di mana. Lututnya lemah longlai. Mati itu pasti. Berkali-kali kata-kata itu diucapkan oleh Zahnita sepanjang hidupnya. Kini Zahnita sudah tiada. Kepastian buat wanita itu sudah pun Allah buktikan pada pagi Jumaat yang mulia ini.
“Ya Allah.. Nita..” air mata Iqmal gugur satu persatu saat memandang jasad tanpa nyawa itu dibawa masuk ke unit kecemasan. Akhirnya.. apa yang paling ditakutinya terjadi juga. Dia sudah ditinggalkan sendiri.

Akhirnya kau pergi jua..
“Maafkan papa, Nita. Papa yang membuatkan kamu hidup begini. Banyak kesalahan papa pada kamu selama ini.” Tan Sri Ansor berbisik sendiri tanpa dapat mematikan pandangan kepada wajah tenang itu. tidak sangka akhirnya mereka semua diberikan takdir ini hari ini. Puan Sri Bainun hanya mampu mengusap belakang suaminya agar lelaki itu tenang.
Seterusnya Arya menempatkan diri di sisi jenazah itu. Tanpa setitispun air mata, dia tunduk mengucup dahi Zahnita. Wajah itu ditatap sepuas-puas hatinya. Namun betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu berat tanggungannya di dalam dada. Dia terlalu ingin menangis. Namun tidak mampu. Pergi sudah sahabatnya. Tinggallah dia sendiri meneruskan hidup yang masih bersisa.
Seterusnya Regina pula mengambil peluang untuk menatap wajah Zahnita.
 “Jangan menangis. Tak elok,” tegur salah seorang wanita kepada Regina. Bahu Regina ditepuknya lembut agar Regina tenang.
“Meninggal hari Jumaat ni khusnul khatimah. Jangan kita meratap kebaikan yang Allah dah beri pada arwah ni,” tambah wanita itu lagi.
Regina terus menyeka air matanya. Perlahan dia tunduk mengucup dahi sahabatnya itu. Lama bibirnya melekap di situ.
Aku akan terus rindukan kau, Nita.. bisik Regina dalam hati. Betapa sayu hatinya melihat wajah itu cukup tenang. Habis sudah deritanya. Kini kehidupan baru bermula di alam yang lain. Semoga Allah memberikan darjat yang tinggi kepada wanita yang baik ini.
“Ada sesiapa lagi? Kita nak cepatkan kebumi jenazah ni lepas zohor,” ucap wanita itu setelah Regina puas menatap wajah itu. Regina mengangkat kepala mencari wajah Iqmal. Lelaki itu sekadar termenung memandang ke arah luar melalui jendela tidak jauh dari situ.
“Iqmal..”
Iqmal menoleh saat terdengar namanya diseru oleh seseorang. Namun pandangannya terus singgah kepada jasad di tengah rumah itu. Perlahan lelaki itu menapak di celahan manusia untuk mendapatkan jenazah itu.
“Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa isteriku. Dialah temanku dikala susah dan senangku. Berikanlah dia kebahagiaan di alam sana, Ya Allah. Jagakanlah dia untukku,” rintih Iqmal sayu saat tangannya memegang wajah itu.
Pemergian Zahnita di hari Jumaat. Hujan renyai di luar sana seolah-olah membawa petanda kemuliaan di atas kematian ini. Air mata Regina gugur laju saat mendengar kata-kata Iqmal.
“Teruskan. Saya tak mahu berlambat-lambat lagi. Dah nak zohor ni,” ucap Iqmal setelah dahi Zahnita selesai dikucupnya. Pergilah wahai isteri. Insya-Allah suatu hari nanti aku juga mengikutmu.. bisik hati Iqmal terus dibalut kehibaan.
Iqmal terus memandang sehingga keseluruhan wajah sang isteri ditutup dengan kain putih. Beberapa jemaah masjid mula memasuki ruang tamu rumah itu untuk mengangkat jenazah sebelum dibawa ke masjid. Iqmal ikut membantu mengangkat jenazah isterinya ke dalam pengusung.
Sesudah disembahyangkan di masjid, jenazah itu dibawa ke tanah perkuburan. Selama itu sang lelaki setia menemani di sisi jenazah. Bertungkus lumus dia membantu menguruskan pengkebumian sehinggalah tanah merah mula menimbusi jasad kaku itu.
Air mata Regina mengalir bagaikan bah saat menyaksikan tanah merah itu memisahkan dia dan sahabatnya. Pandangan matanya sempat singgah di wajah Arya tidak jauh dari situ. Namun temanya itu hanya tenang memerhatikan liang lahat itu ditimbusi tanah. Semenjak tadi Arya terus membisu kepadanya. Regina hanyut dalam kesedihan sendiri. Puan Iffah segera memeluk bahu anaknya itu.
“Sabar, ya? Allah sayang Nita,” ucap Puan Iffah lembut.
Regina menoleh kepada emaknya. Akhirnya kepala dianggukkan. Pergilah, Nita. Aku reda akan kepulanganmu. Aku percaya di sana lebih baik untukmu.
Usai bacaan talkin, seorang demi seorang manusia meninggalkan kawasan itu. Namun Regina dan Puan Iffah terus menunggu. Akhirnya tinggal mereka berenam di situ. Iqmal tenang saat menyiram air mawar ke atas pusara itu. Seterusnya Puan Sri Bainun pula sebelum jug kaca itu diberikan kepada Regina.
“Abang nak bercakap sikit dengan Gina dan Arya..” ucap Iqmal sambil memandang Regina dan Arya secara bergilir.
Regina sekadar mengangguk. Arya terus membisu memandang Iqmal berdiri menyelok poket baju Melayunya.
“Abang tahu banyak yang kita dah lalui selama bertahun-tahun ni. Tak semuanya menggembirakan. Hari ini Allah dah ambil salah seorang daripada kita. Beberapa hari yang lepas Nita ada bercakap dengan abang tentang Arya dan Gina. Arwah sampaikan hasrat untuk lihat kamu berdua berbaik semula. Tapi perancangan Allah lebih cepat. Hasrat dia tak kesampaian. Jadi abang harap lepas ini kamu berdua jangan bersengketa lagi kerana kisah lama tu. Yang dah lepas, kita lepaskan pergi. Nita takkan kembali semula pada kita. Tapi abang nak tengok hasrat arwah tertunai. Takde guna lagi kita semua nak bermusuhan,” jelas Iqmal.
Regina memandang Arya seketika. Bola mata Arya terpasak kukuh kepada timbunan tanah di hadapan mereka.
“Ary..” panggil Regina perlahan. Bahu Arya disentuhnya lembut.
“Sekarang hanya tinggal kita berdua aja. Aku tak mahu kehilangan kau lagi. Tolonglah maafkan aku. Aku selalu rindukan kau, Ary. Aku tak sanggup terus dibenci. Aku dah kehilangan Nita. Aku tak mahu kehilangan kau juga,” ucap Regina lembut.
“Ary..” tegur Iqmal pula. Arya dilihatnya masih membisu.
“Aku tak tahu macam mana nak teruskan hidup tanpa Nita,” luah Arya perlahan.
“Kau masih ada aku, Ary. Aku masih sahabat kau yang dulu,” balas Regina.
Lambat-lambat Arya memandang sahabatnya itu. Ajaibnya kala itu bola matanya berkaca lebat. Setitis demi setitis air matanya jatuh tidak terseka. Sehingga akhirnya Arya menarik Regina ke dalam pelukannya. Dua sahabat itu bertangisan hebat.
“Maafkan aku, Gina.”
“Aku tak pernah tak maafkan kau, Ary. Aku sayangkan kau.”
Tangisan Arya semakin hebat tatkala tubuhnya dipeluk erat oleh Regina. Jika pemergian Zahnita dapat mengembali ukhuwah antara mereka berdua, makanya mereka harus reda dengan pemergian ini. Sesungguhnya rencana dari Allah lebih hebat dari apa yang mereka bayangkan selama ini.
“Alhamdulillah..” Puan Iffah mengucap syukur melihat keadaan itu. Air matanya jatuh lagi tanda terharu.
Iqmal mengangguk puas hati melihat keutuhan dua sahabat itu kembali terjalin. Tinggal satu lagi permintaan arwah Zahnita yang masih belum ditunaikan. Dia sendiri tidak tahu adakah dia sanggup memikirkan permintaan itu.
“Mal.. kita balik?” ajak Puan Sri Bainun kepada anak lelakinya itu.
“Mama baliklah dulu. Mal nak duduk sini sekejap,” ucap Iqmal tanpa memandang tampang sang ayah di sisi mamanya. Dia kembali duduk di atas tikar di sisi pusara itu.
“Iqmal, papa pun tak mahu terus dibenci oleh anak papa sendiri. Papa dah cuba buat segalanya. Tapi Allah lebih sayangkan Nita,” ucap Tan Sri Ansor pula kepada anaknya.
“Mal tak layak nak benci sesiapa.” Iqmal menjawab perlahan. Naskah yassin dibuka semula untuk dilagukan. Baru sekejap Zahnita pergi meninggalkan dia, dia sudah terasa amat kosong. Saat ini dia hanya mahu bersendirian.
Tan Sri Ansor memegang kuat pundak anaknya itu. Tidak tergamak dia untuk membiarkan Iqmal meniti hidupnya sendiri lagi. Iqmal menoleh sedikit. Jemari kasar di atas bahunya itu ditepuk lembut.
“Jangan bimbangkan Mal. Mal tak apa-apa. Papa bawalah mama balik,” ucap lelaki muda itu perlahan.

Regina memandang lama lelaki itu. Kehibaan di wajah Iqmal membuatkan dia percaya Iqmal sungguh-sungguh menyayangi Zahnita selama ini. Mungkin sudah tiada namanya di dalam hati lelaki itu lagi. Mungkin..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan