Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Jumaat, 22 Mei 2015

AKHIR-BUTAKAH CINTA


Selepas maghrib barulah wajah Regina muncul di rumah. Iqmal hanya mampu memandang isterinya pulang dengan wajah berseri-seri. Terkedek-kedek perempuan seorang itu mendekati suaminya dengan perut ke depan.
“Lama ke abang tunggu? Sorry.. jalan sesak tadi,” sapa perempuan itu sambil tangan lelaki itu dikucupnya.
“Ke mana ajalah Gina dengan Ary pergi berjalan ya? Bukan main senang hati lagi isteri abang ni,” balas Iqmal biasa.
Regina hanya tersenyum-senyum sambil menanggalkan tudung di kepalanya. “Abang dah makan ke? Gina ada bungkuskan abang makan malam. Hari ni kuali dengan periuk kita cuti ya?” ucap Regina lantas memandang suaminya semula. Pakaian ditubuh dilepaskan satu persatu.
“Gina nak mandi ke tu?”
“Yalah..”
“Jangan mandi malam. Kan mama dah pesan? Tak elok mandi malam,” tegur lelaki itu.
“Tak selesa, bang. Gina mandi sekejap aja.”
“Mama pesan untuk kebaikan Gina dengan baby kita.”
Regina membisu dalam keakuran. Bersama sehelai tuala bersih dia masuk ke kamar mandi. Sudahnya dia hanya membersihkan diri ala kadar. Kemudian dia keluar. Iqmal sudah tiada di dalam kamar itu. Cepat-cepat dia mengambil sejadah dan marhana. Solat isyak ditunaikan seorang diri.
Di bawah Iqmal termenung seorang diri di hadapan tv. Terdengar derap sang isteri dia terus menoleh.
“Jom makan, bang.”
Tanpa suara lelaki itu bangun untuk menyertai Regina di meja makan. Perut sememangnya sudah lapar.
“Abang buat. Gina duduklah.”
“Biar Gina yang buat. Abang pergilah duduk. Gina kena banyak bergerak. Kalau tidak susah nak bersalin nanti. Setakat menghidangkan makanan untuk abang, Gina tak apa-apa, bang.” Regina menahan pinggan mangkuk yang mahu diambil oleh Iqmal dari tangannya.
Tanpa bantahan Iqmal mengambil tempat di meja makan. Regina mampir membawa pinggan dan mangkuk. Kemudian dia ke dapur lagi, melengkapkan apa yang tidak ada di meja makan itu.
“Nak pergi ambil Bella esok?” tanya Iqmal saat sang isteri kembali berada di sebelahnya.
“Nak. Gina rindu sangat dengan dia,” ucap Regina perlahan. Sudah hampir seminggu anak itu menjadi peneman mamanya. Kadang kala mereka terpaksa berebut anak itu dengan mamanya. Sup dan beberapa jenis lauk lain yang sudah terhidang di dalam mangkuk disorong dekat dengan Iqmal.
“Hmm.. besar tulang ni. Sambal takde?”
“Abang ni.. Tak habis-habis dengan sambal. Selalu sangat makan pedas nanti perut abang meragam. Malam ni Gina belikan abang sup tulang istimewa dengan sayur kalian goreng,” ucap perempuan itu lunak. Kemudian pinggan nasi pula didekatkan kepada suaminya.
“Esok lepas maghrib kita pergi rumah mama ya? Bella pun mesti rindukan mama dia ni,” balas Iqmal.
“Makanlah, bang.”
“Mana nasi Gina? Takkan abang aja makan?”
“Gina dah makan petang tadi dengan Ary.”
“Makanlah sikit lagi. Lauk banyak ni. Mana abang larat nak habiskan semua ni,” ujar lelaki itu sambil sup itu mula dijamahnya. Sedap pula rasa sup itu.
“Gina kenyang lagi. Abang makanlah. Gina temankan abang.” Wanita itu ralik memandang sang lelaki di sebelahnya itu.
“Gina makan apa petang tadi, sayang?” tanya Iqmal lantas tunduk menghirup lagi kuah supnya.
“Sup gear box.”
Jawapan isterinya membuatkan sup di dalam mulut Iqmal tersembur keluar sebahagiannya. Spontan dia terbatuk kecil.
“Apa dia?” terbeliak mata Iqmal memandang isterinya.
“Sup gear box. Sedap, bang. Ary bawak Gina pergi tempat yang special. Memang sedap.”
Terkedu lelaki memandang Regina. Apa kebenda sup gearbox tu? Auto ke manual punya gearbox? Ah! Sudah. Takkanlah gearbox kereta orang letak dalam sup pulak, kan?
“Sup gearbox tu apa benda? Gina ni makan yang bukan-bukan aja. Apalah rasa makan gearbox,” ucap Iqmal separuh berseloroh. Kuah sup tadi mula dipunggah ke atas nasi. Regina sekadar memandang lelaki itu menikmati sup di hadapan mereka sambil tersenyum sendiri. Apalah rasa makan gearbox konon. Dia nampak tulang sebesar penumbuk itu pun macam mahu ditelan Iqmal. Sedaplah tu agaknya.
“Sedap?” tanya Regina tidak lama kemudian.
“Sedap. Lain kali kita pergi kedai ni,” ujar Iqmal semakin berselera.
“Depan mata abang tulah sup gearbox. Apa rasanya makan gearbox? Sedap?” perli Regina.
Terpaku Iqmal memandang tulang yang tinggal tulang semata di tangannya itu. Inikah yang dipanggil gearbox? Patutlah Regina sampai tak sempat menunggu dia untuk pergi ke tempat itu.
“Kalau abang nak tahu, isi kat tengah tulang tu orang sedut dengan straw. Tapi Gina tak makan pun isi dalam tulang tu. Ary yang sedut bagai nak rak sampai licin.”
Iqmal mula membelek tulang lembut itu. Nak mencuba punya pasal, hujung tulang itu didekatkan ke mulutnya lalu disedut kuat. Nak sedut pakai straw, mana ada straw di rumah mereka saat ini. Gelagat lelaki itu membuat Regina terpaku. Namun sesaat kemudian gelaknya terhambur tidak tertahan melihat Iqmal bersungguh-sungguh menyedut.
“Sedaplah, Gina. Rasa macam nak telan dengan tulang ni terus,” komen lelaki itu bersungguh.
“Abang jangan nak mengarut. Gearbox punya pasal, tak pasal-pasal kita kena pergi hospital nanti.”
Selesai mengerjakan tulang temulang di dalam sup itu, Iqmal sudah tersandar keletihan di ruang tamu. Regina di dapur mengemas pinggan mangkuk yang baru dibasuh. Kemudian dia membancuhkan lelaki itu air panas. Dan seterusnya mereka berdua duduk di sofa berdua. Menikmati sisa-sisa hari sebelum kelopak mata melabuhkan tirainya.
“Kenyang ke?” usik Regina sambil mengusap mesra perut lelaki itu. Gelihati pula mengenang gelagat Iqmal sebentar tadi.
“Abang yang kenyang. Perut Gina yang ke depan.”
Regina ketawa perlahan sebelum tangannya beralih ke perutnya pula. Insya-Allah tidak lama lagi bayi ini bakal dikendongnya. Perhatian Iqmal ikut beralih. Telapak tangannya diletakkan di atas tangan sang isteri.
“Baby banyak bergerak tak hari ni?”
“Banyak. Sampai sesak nafas Gina dibuatnya. Entah apalah dibuatnya di dalam ni.”
Iqmal ketawa perlahan. Bahagia rasanya mendengar khabar itu. Dia yakin segalanya baik-baik sahaja.
“Anak lelaki agaknya. Sebab tulah ganas semacam,” ucap lelaki itu perlahan.
Regina sekadar mengiakan dalam hati. Soal jantina anak, dia memang tidak pernah mencari tahu melalui kaedah scaning. Dia lebih suka menanti sehingga anak mereka ada di hadapan mata.
Penat bersandar tegak, Regina akhirnya melabuhkan kepalanya di bahu Iqmal. Lengan lelaki itu dipeluknya. Sepanjang hari ini dia sesak oleh tuntutan pengajian dan latihan di hospital. Waktu senggang begini teramat bermakna buat tubuh badannya yang lekas merasa letih.
“Gina nak tidur ke?”
“Nak rehat sekejap.”
“Ayat tu macam dah biasa dengar. Mula-mula cakap nak rehat aja. Lepas tu tidur terus,” komen Iqmal cuba mencari pandangan isterinya.
Regina ketawa lagi. Kali itu pandangannya dihalakan kepada lelaki itu. “Gina dah berat ya? Abang tak larat nak angkat Gina lagi,” katanya lembut.
“Agak-agak dengan sup gearbox semangkuk dan entah apa-apa lagi yang Gina makan petang tadi, berapa kilo dah bertambah daripada semalam? Kalau macam ni kita pindah duduk bilik bawahlah. Senak juga perut abang ni angkat Gina naik atas. Boleh kena buasir abang kalau hari-hari macam ni. Dulu waktu perut Gina tak macam ni, bolehlah abang tunjuk kuat. Sekarang kena angkut dua orang sekali. Pengsan abang, sayang.”
“Mengada abang ni!” Makin kuat tawa perempuan itu meledak dengan usikan sang suami. Lengan lelaki itu dicubit halus.
Namun saat ini hati perempuan itu mudah disapa bahagia dengan ketenangan di antara mereka. Semakin hari semakin serasi dengan hidup ini. Semakin kelihatan bahagia yang ingin benar digenggamnya. Kembalinya Iqmal kepada hidupnya, benar-benar membawa sinar yang dulu pernah hilang.
“Sayang abang.”
Ucapan penuh kemanisan itu membuatkan Iqmal tersenyum senang. Tubuh sang isteri dipeluk penuh rasa cinta.
“Abang lagilah sayang!”

Hadir dia penyeri. Pengubat duka lama. Pengikat kasih keluarga.
“Encik Iqmal..”
Iqmal segera menghulurkan tangan. Berdegup kencang jantungnya. Semacam mimpi. Inilah zuriatnya.
“Tengok kaki baby ni. Anak apa?” ucap jururawat itu lagi.
Kain pembalut itu diselak oleh jururawat. Iqmal memandang kaki sang anak yang bergerak-gerak perlahan. Jantina sang anak kelihatan jelas di mata. Membuatkan dia tersenyum.
“Alhamdulillah.. anak lelaki,” ucap Iqmal penuh kesyukuran. Namun saat memandang raut kecil itu hatinya teramat-amat sayu. Sehinggakan suaranya menggigil tidak mampu menahan sebak saat mengalunkan azan dan iqamat di telinga bayi itu. Betapa indahnya hidup ini. Diberikan peluang menatap wajah zuriatnya yang selama ini dinanti.
Regina hanya mampu memandang dari jauh. Kesakitan tadi melenyap entah ke mana. Sebaliknya hatinya puas dan penuh rasa lega. Anak yang dikandungkan penuh kepayahan selama sembilan bulan kini sudah berada di hadapan mata. Sihat dan cukup sifatnya. Pertama kali melahirkan anak melalui kaedah normal. Rupanya apa yang dihadapkan kepada wanita-wanita lain yang bersalin di hadapan matanya selama ini, segalanya lebih dari itu. Mudah sahaja dia meminta mereka semua bersabar. Hakikatnya hanya Tuhan sahaja tahu peritnya.
“Anak kita..” ucap Iqmal kepada isterinya.
Regina tidak mempedulikan apa yang dilakukan oleh para doctor dan pembantu perubatan di bawah sana. Bayi itu disambutnya dengan linangan air mata.
“Abang memang mengimpikan anak lelaki. Tuhan dah makbulkan doa abang selama ini. Jika ditakdirkan abang dah takde atas dunia ni, anak ini akan menjaga ibu dan adik beradiknya yang lain,” ucap Iqmal semakin membuatkan air mata wanita itu laju mengalir.
“Jangan cakap macam tu. Abang buat Gina sedih,” sambut wanita itu semakin sebak.
Iqmal tunduk mengucup dahi isterinya. Betapa mekarnya kasih sayangnya kepada wanita ini hanya Tuhan sahaja yang tahu. Semoga dia mampu menjadi ayah yang sempurna buat anak-anaknya. Semoga jiwanya kental, tidak pernah merasa letih dengan amanah yang telah diberikan kepadanya. Selagi ada usia diberikan kepadanya, Zayed Eshanovic, Zayn Eshanovic, Arabella dan Ahmad Nurhan Iman akan diberikan kasih sayang seadil-adilnya. Akan dijaga mereka berlima seperti dia menjaga nyawanya sendiri. Tiada beza biarpun sekadar anak angkat, anak tiri atau anak kandungnya. Anak-anak itu adalah permata hati mereka.
Ketika di wad, anak kecil itu asyik dibelek oleh ahli keluarga yang lain. Arabella ikut teruja saat adik lelakinya dibawa dekat kepadanya. Betapa dia tidak pernah menyedari hari ini dia akan menjadi seorang kakak.
“Ini adik Bella?” tanya anak itu sekali lagi. Semuanya macam sekelip mata sahaja.
“Ia. Adik Bella ni. Suka tak?” tanya Iqmal.
“Suka. Tapi bila adik nak besar? Bila adik nak pandai jalan?” omel anak itu masih tidak mengerti. Iqmal terus ketawa.
“Lambat lagi sayang oi. Bella ni ada-ada ajalah!” Puan Sri Bainun tergelak dengan keletah anak itu.
“Nanti Bella nak bawak adik pergi main kat taman,” ucap Arabella lagi.
Puan Iffah sekadar tersenyum memandang suasana gembira di dalam wad itu. Puas hatinya. Akhirnya.. Regina bertemu dengan kebahagiaannya sendiri setelah berbelas tahun diuji dalam cinta. Butakah cinta itu sebenarnya?
Cinta memang tidak bermata. Cinta mencari hati yang boleh dihuninya. Cinta akan masuk setelah pintu hati dibuka. Dan cinta akan terus berada di dalam sana selama mana cinta itu terkunci di dalam hati. pokok pangkalnya dari manusia itu juga. Seperti mana Regina tidak pernah merelakan cintanya kepada Iqmal pergi jauh dari hatinya biar apa pun yang terjadi kepada lelaki itu. Itulah yang dinamakan cinta itu buta. Biarpun dia pernah beranggapan cinta pernah membuatkan Regina menjadi buta untuk menilai. Namun akhirnya dia tersilap.
Cinta tidak pernah membuatkan Regina buta. Sebaliknya nilai lelaki itu yang membuatkan cinta di hati Regina tidak pernah kunjung padam sehingga kini. Mungkin inilah takdir. Mereka berdua memang ditakdirkan bersama. Ke mana pun mereka pergi, akhirnya mereka akan kembali. Saling mencari.
Harapan seorang ibu sepertinya tiada lain. Moga kegembiraan di wajah anak itu akan kekal sehingga ke akhirnya. Semoga diberikan kebahagiaan yang kekal abadi sehingga ke jannah setelah apa yang diharungi oleh mereka berdua. Semoga Allah memberikan syurga kepada arwah Zahnita juga.
Biar kelat hidup ini, berpatah arah jangan. Berkerat rotan tidak. Kerana akhirnya cinta mereka akan tetap kembali bersemi.


-TAMAT-

7 ulasan:

  1. TERBAIK.. T.Q
    👍👍👍👍👍

    BalasPadam
  2. tq tq tq kak fazlyn best best sgt ,,,

    BalasPadam
  3. Wooww kak fazlyn best sangat2... thumbs up!

    BalasPadam
  4. Superb....
    Cik writer... semoga terus hasilkan karya yg bagus...

    BalasPadam
  5. Iqmal xtau apa itu sup gearbox?sama kitee..hahahha..sbb kami panggil sup kaki lembu..

    Akhirnya bahagia milik mereka.. ^_^

    BalasPadam
  6. Memang superb. Sedih citer nih mmg mnusuk ke kalbu.

    BalasPadam
  7. Tetiba jumpa cerita ni..
    YaAllah best gila..maraton baca.baru je habis.

    BalasPadam