Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Ahad, 10 Mei 2015

15-BUTAKAH CINTA


Regina memandang lama lelaki itu yang duduk termenung sendirian di sofa. Jauh perginya menungan Iqmal menembusi pintu gelangsar. Dia perasan semenjak dia hadir di rumah ini, biarpun sekali, tidak pernah dia melihat ada senyuman sempat singgah di bibir lelaki itu. Tidak pernah biarpun sekadar senyuman kosong! Iqmal dilihatnya hanyut dengan dunianya sendiri. Perlahan kaki dihayun mendekati ruang tamu itu.
“Nita dah tidur,” sapa Regina lembut.
Iqmal menoleh pantas ke tepinya. Kepala dianggukan.
“Macam mana keadaan dia tadi?” tanya Iqmal perlahan.
“Bila tak selera nak makan memang badan akan cepat lemah. Bila lemah begitu penyakit senang hinggap, susah nak pergi. Pujuklah dia lagi,” ucap Regina lantas mengambil tempat di sofa tidak jauh dari Iqmal.
Iqmal diam sambil mengalihkan pandangan. Soal makan itu bukan baru kali ini dia melihat Zahnita tidak mahu makan. Baru-baru ini dia mendengar Zahnita meminta supaya rawatan kimoterapi dihentikan. Zahnita sudah tidak sanggup berulang alik ke Hospital Kuala Lumpur itu. Iqmal sedar kesan kimoterapi itu bukan mudah untuk ditahan Zahnita. Tetapi apa lagi yang harus dia lakukan? Hanya itu jalan yang tinggal.
“Abang tak pernah cuba rawatan alternatif ke selama ini?” tanya Regina tiba-tiba.
“Dah puas. Macam tu jugak keadaannya.” Iqmal menjawab sambil mengeluh sendiri memikirkan tentang keadaan isterinya itu.
Jawapan Iqmal segera membuatkan Regina ikut menghela nafas sendiri. Kalau sudah itu kata-kata Iqmal dia sudah tidak tahu apa cadangan lagi yang hendak dilontarkan melainkan redha.
Dalam kebisuan Iqmal tiba-tiba menghela nafas perlahan sambil meraup wajahnya. Terlalu banyak yang bermain di fikirannya saat ini. Mengenai Zahnita.. mengenai apa yang diucapkan oleh isterinya itu sebelum ini. Semua itu tidak pernah lepas dari pemikirannya. Dia serba salah. Mahu berhadapan dengan Regina pun dia tidak tahu macam mana.
“Abang ada masalah ke? Nampak macam stress aja?” tanya Regina ikut terkesan kekusutan yang sedang dipendam lelaki itu.
“Takde apa-apa. Abang cuma fikir tentang keadaan Nita. Abang tak tahu apa nak buat sekarang ni. Abang tak sampai hati tengok dia begitu,” ucap Iqmal dan tiba-tiba dia bangun dari situ.
“Abang..” panggil Regina sebelum lelaki itu menjauh.
Iqmal sekadar menoleh dari tempat dia berdiri.
“Melarikan diri dari Gina takkan menyelesaikan masalah yang ada. Gina tahu abang cuma mengelak daripada Gina. Gina tak datang sini semata-mata untuk buat kehidupan abang dan Nita semakin kusut,” ucap gadis itu rendah.
“Abang nak pergi tengok Nita sekejap. Takde siapa temankan dia di dalam sana,” jawab Iqmal tanpa memandang lama gadis itu. Dia tahu Regina sedang membaca apa yang terpeta di wajahnya saat ini.
“Gina akan mula bertugas hari  Isnin ni. Mungkin Gina tak selalu dapat ke sini. Gina janji bila ada masa Gina datang jenguk Nita,” luah Regina lembut. Tampang tanpa senyum lelaki itu singgah seketika pada pandangan matanya. Wajah sarat dengan penderitaan itu membuatkan hatinya dipalu kesedihan yang amat dalam.
Iqmal sekadar mengangguk tanpa sepatah kata sebelum meninggalkan Regina terkebil-kebil sendiri di situ. Bersendirian di ruang tamu Regina memikir sendiri lagi. Keadaan Zahnita benar-benar menganggu emosinya. Ketabahan temannya itu meneruskan sisa hidup dalam keadaan begini benar-benar membuatkan hatinya digayuti kepedihan. Dia rindukan Zahnita yang dulu. Dia juga merindui keindahan masa lalu. Ketika mereka bertiga masih akrab. Namun Regina sedar. Semua itu dulu. Kenyataannya hari ini sudah jauh berbeza.

“Nita tidur ya?” ucap Iqmal sambil dahi sang isteri diusap lembut.
Zahnita hanya membisu tanpa putus memandang lelaki itu. Namun tiada apa-apa yang kelihatan dalam pandangannya melainkan gelap gelita. Betapa mulianya hati lelaki ini. Jasa Iqmal kepadanya selama ini tidak akan mampu dibalas sampai bila-bila. Dia sedar masanya sudah tinggal terlalu sedikit. Kalau boleh dia tidak mahu meninggalkan kesedihan semata.
“Nita sedih tengok abang. Nita tahu abang sengsara dengan semua ni,” ucap Zahnita tidak lama kemudian.
“Nita, jangan cakap macam tu. Abang buat semua ni sebab sayangkan Nita,” jawab Iqmal lembut.
Ya. Dia tahu Iqmal sayangkan dia. Sayang yang lahir dari rasa simpati dan tanggungjawab. Lelaki seperti Iqmal tidak mudah untuk dicari. Tetapi dia tahu masih kekosongan dalam diri Iqmal. Masih ada yang kurang.
“Ambillah dia semula, abang. Itu permintaan akhir Nita. Nita nak tengok abang bersatu semula dengan perempuan yang abang sayang.”
“Nita.. cukuplah bercakap soal ini. Abang dah cakap hari tu, kan? Abang tak mahu,” jawab Iqmal perlahan.
“Kenapa? Nita tahu Gina masih cintakan abang. Dan Nita tahu abang pun tak semudah itu dapat melepaskan dia dari hati abang. Jangan bohongi diri sendiri. Kalau bukan sebab masih cintakan dia kenapa abang masih tak mampu berdepan dengan Gina,” ucap Zahnita serak suaranya. Nafas yang diatur amat payah untuk dihela.
“Abang tak layak untuk dia, Nita. Memang abang pernah sayangkan dia. Tapi abang tak pandai jaga hati dia. Abang tahu di luar sana ada lelaki lain yang lebih layak untuk Gina,” ucap Iqmal tenang.
“Nita minta pada abang, kepulangan Nita nanti kepada pemilik jasad dan roh Nita. Nita tak mahu kerana itu kehidupan abang terhenti. Nita tak mahu sesiapa bersedih untuk Nita. Mati itu pasti untuk semua orang. Antara abang dan Nita, mungkin dah ditakdirkan Nita yang pergi dulu. Nita mahu abang teruskan kehidupan macam orang lain,” ucap Zahnita sedikit lemah nadanya.
“Nita, janganlah cakap macam ni. Abang tak pernah fikir sampai ke situ.”
“Maafkan segala kesalahan Nita, abang. Segala jasa baik abang tak mampu Nita balas. Nita minta abang halalkan semuanya. Abang seorang suami yang baik. Nita harap ada seseorang akan hadir dan bahagiakan abang nanti.” Zahnita menokok lagi. Entah bila peluangnya untuk berkata-kata akan diambil semula. Selagi ada nyawa, dia mahu meluahkan apa yang dipendamkan selama ini.
“Nita, sudahlah. Jangan banyak fikir. Nita tak pernah buat salah dengan abang. Jangan fikir pasal Regina lagi. Dia akan ketemu kebahagiaan dia sendiri suatu hari nanti.”
“Boleh abang peluk Nita?” pinta wanita itu amat perlahan.
“Boleh. Nita tidur ya? Abang akan temankan Nita.”
Zahnita mengangguk. Walaupun agak payah namun bibirnya cuba untuk tersenyum saat tubuhnya didakap oleh sang suami. Damai rasa perasaan ini, ya Allah. Kau kurniakanlah syurga-Mu buat suamiku ini. Ampunilah aku, Ya Allah.. bisik hatinya sendiri.
“Nita pun sayangkan abang.”
Sayu hati Iqmal mendengar ucapan Zahnita. Ya Allah.. kau permudahkanlah penderitaan isteriku ini. Kurangkan kesakitannya. Redhakanlah dia, Ya Allah.. air mata Iqmal bergenang saat mendakap tubuh Zahnita.
“Allah.. Allah.. Allah..” nama Tuhan yang Esa terus dibisikkan lembut oleh lidah wanita itu. Sehingga matanya terpejam dengan sendiri. Nama Tuhan terus dibawa ke dalam lena. Lena yang amat panjang..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan