Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Jumaat, 22 Mei 2015

AKHIR-BUTAKAH CINTA


Selepas maghrib barulah wajah Regina muncul di rumah. Iqmal hanya mampu memandang isterinya pulang dengan wajah berseri-seri. Terkedek-kedek perempuan seorang itu mendekati suaminya dengan perut ke depan.
“Lama ke abang tunggu? Sorry.. jalan sesak tadi,” sapa perempuan itu sambil tangan lelaki itu dikucupnya.
“Ke mana ajalah Gina dengan Ary pergi berjalan ya? Bukan main senang hati lagi isteri abang ni,” balas Iqmal biasa.
Regina hanya tersenyum-senyum sambil menanggalkan tudung di kepalanya. “Abang dah makan ke? Gina ada bungkuskan abang makan malam. Hari ni kuali dengan periuk kita cuti ya?” ucap Regina lantas memandang suaminya semula. Pakaian ditubuh dilepaskan satu persatu.
“Gina nak mandi ke tu?”
“Yalah..”
“Jangan mandi malam. Kan mama dah pesan? Tak elok mandi malam,” tegur lelaki itu.
“Tak selesa, bang. Gina mandi sekejap aja.”
“Mama pesan untuk kebaikan Gina dengan baby kita.”
Regina membisu dalam keakuran. Bersama sehelai tuala bersih dia masuk ke kamar mandi. Sudahnya dia hanya membersihkan diri ala kadar. Kemudian dia keluar. Iqmal sudah tiada di dalam kamar itu. Cepat-cepat dia mengambil sejadah dan marhana. Solat isyak ditunaikan seorang diri.
Di bawah Iqmal termenung seorang diri di hadapan tv. Terdengar derap sang isteri dia terus menoleh.
“Jom makan, bang.”
Tanpa suara lelaki itu bangun untuk menyertai Regina di meja makan. Perut sememangnya sudah lapar.
“Abang buat. Gina duduklah.”
“Biar Gina yang buat. Abang pergilah duduk. Gina kena banyak bergerak. Kalau tidak susah nak bersalin nanti. Setakat menghidangkan makanan untuk abang, Gina tak apa-apa, bang.” Regina menahan pinggan mangkuk yang mahu diambil oleh Iqmal dari tangannya.
Tanpa bantahan Iqmal mengambil tempat di meja makan. Regina mampir membawa pinggan dan mangkuk. Kemudian dia ke dapur lagi, melengkapkan apa yang tidak ada di meja makan itu.
“Nak pergi ambil Bella esok?” tanya Iqmal saat sang isteri kembali berada di sebelahnya.
“Nak. Gina rindu sangat dengan dia,” ucap Regina perlahan. Sudah hampir seminggu anak itu menjadi peneman mamanya. Kadang kala mereka terpaksa berebut anak itu dengan mamanya. Sup dan beberapa jenis lauk lain yang sudah terhidang di dalam mangkuk disorong dekat dengan Iqmal.
“Hmm.. besar tulang ni. Sambal takde?”
“Abang ni.. Tak habis-habis dengan sambal. Selalu sangat makan pedas nanti perut abang meragam. Malam ni Gina belikan abang sup tulang istimewa dengan sayur kalian goreng,” ucap perempuan itu lunak. Kemudian pinggan nasi pula didekatkan kepada suaminya.
“Esok lepas maghrib kita pergi rumah mama ya? Bella pun mesti rindukan mama dia ni,” balas Iqmal.
“Makanlah, bang.”
“Mana nasi Gina? Takkan abang aja makan?”
“Gina dah makan petang tadi dengan Ary.”
“Makanlah sikit lagi. Lauk banyak ni. Mana abang larat nak habiskan semua ni,” ujar lelaki itu sambil sup itu mula dijamahnya. Sedap pula rasa sup itu.
“Gina kenyang lagi. Abang makanlah. Gina temankan abang.” Wanita itu ralik memandang sang lelaki di sebelahnya itu.
“Gina makan apa petang tadi, sayang?” tanya Iqmal lantas tunduk menghirup lagi kuah supnya.
“Sup gear box.”
Jawapan isterinya membuatkan sup di dalam mulut Iqmal tersembur keluar sebahagiannya. Spontan dia terbatuk kecil.
“Apa dia?” terbeliak mata Iqmal memandang isterinya.
“Sup gear box. Sedap, bang. Ary bawak Gina pergi tempat yang special. Memang sedap.”
Terkedu lelaki memandang Regina. Apa kebenda sup gearbox tu? Auto ke manual punya gearbox? Ah! Sudah. Takkanlah gearbox kereta orang letak dalam sup pulak, kan?
“Sup gearbox tu apa benda? Gina ni makan yang bukan-bukan aja. Apalah rasa makan gearbox,” ucap Iqmal separuh berseloroh. Kuah sup tadi mula dipunggah ke atas nasi. Regina sekadar memandang lelaki itu menikmati sup di hadapan mereka sambil tersenyum sendiri. Apalah rasa makan gearbox konon. Dia nampak tulang sebesar penumbuk itu pun macam mahu ditelan Iqmal. Sedaplah tu agaknya.
“Sedap?” tanya Regina tidak lama kemudian.
“Sedap. Lain kali kita pergi kedai ni,” ujar Iqmal semakin berselera.
“Depan mata abang tulah sup gearbox. Apa rasanya makan gearbox? Sedap?” perli Regina.
Terpaku Iqmal memandang tulang yang tinggal tulang semata di tangannya itu. Inikah yang dipanggil gearbox? Patutlah Regina sampai tak sempat menunggu dia untuk pergi ke tempat itu.
“Kalau abang nak tahu, isi kat tengah tulang tu orang sedut dengan straw. Tapi Gina tak makan pun isi dalam tulang tu. Ary yang sedut bagai nak rak sampai licin.”
Iqmal mula membelek tulang lembut itu. Nak mencuba punya pasal, hujung tulang itu didekatkan ke mulutnya lalu disedut kuat. Nak sedut pakai straw, mana ada straw di rumah mereka saat ini. Gelagat lelaki itu membuat Regina terpaku. Namun sesaat kemudian gelaknya terhambur tidak tertahan melihat Iqmal bersungguh-sungguh menyedut.
“Sedaplah, Gina. Rasa macam nak telan dengan tulang ni terus,” komen lelaki itu bersungguh.
“Abang jangan nak mengarut. Gearbox punya pasal, tak pasal-pasal kita kena pergi hospital nanti.”
Selesai mengerjakan tulang temulang di dalam sup itu, Iqmal sudah tersandar keletihan di ruang tamu. Regina di dapur mengemas pinggan mangkuk yang baru dibasuh. Kemudian dia membancuhkan lelaki itu air panas. Dan seterusnya mereka berdua duduk di sofa berdua. Menikmati sisa-sisa hari sebelum kelopak mata melabuhkan tirainya.
“Kenyang ke?” usik Regina sambil mengusap mesra perut lelaki itu. Gelihati pula mengenang gelagat Iqmal sebentar tadi.
“Abang yang kenyang. Perut Gina yang ke depan.”
Regina ketawa perlahan sebelum tangannya beralih ke perutnya pula. Insya-Allah tidak lama lagi bayi ini bakal dikendongnya. Perhatian Iqmal ikut beralih. Telapak tangannya diletakkan di atas tangan sang isteri.
“Baby banyak bergerak tak hari ni?”
“Banyak. Sampai sesak nafas Gina dibuatnya. Entah apalah dibuatnya di dalam ni.”
Iqmal ketawa perlahan. Bahagia rasanya mendengar khabar itu. Dia yakin segalanya baik-baik sahaja.
“Anak lelaki agaknya. Sebab tulah ganas semacam,” ucap lelaki itu perlahan.
Regina sekadar mengiakan dalam hati. Soal jantina anak, dia memang tidak pernah mencari tahu melalui kaedah scaning. Dia lebih suka menanti sehingga anak mereka ada di hadapan mata.
Penat bersandar tegak, Regina akhirnya melabuhkan kepalanya di bahu Iqmal. Lengan lelaki itu dipeluknya. Sepanjang hari ini dia sesak oleh tuntutan pengajian dan latihan di hospital. Waktu senggang begini teramat bermakna buat tubuh badannya yang lekas merasa letih.
“Gina nak tidur ke?”
“Nak rehat sekejap.”
“Ayat tu macam dah biasa dengar. Mula-mula cakap nak rehat aja. Lepas tu tidur terus,” komen Iqmal cuba mencari pandangan isterinya.
Regina ketawa lagi. Kali itu pandangannya dihalakan kepada lelaki itu. “Gina dah berat ya? Abang tak larat nak angkat Gina lagi,” katanya lembut.
“Agak-agak dengan sup gearbox semangkuk dan entah apa-apa lagi yang Gina makan petang tadi, berapa kilo dah bertambah daripada semalam? Kalau macam ni kita pindah duduk bilik bawahlah. Senak juga perut abang ni angkat Gina naik atas. Boleh kena buasir abang kalau hari-hari macam ni. Dulu waktu perut Gina tak macam ni, bolehlah abang tunjuk kuat. Sekarang kena angkut dua orang sekali. Pengsan abang, sayang.”
“Mengada abang ni!” Makin kuat tawa perempuan itu meledak dengan usikan sang suami. Lengan lelaki itu dicubit halus.
Namun saat ini hati perempuan itu mudah disapa bahagia dengan ketenangan di antara mereka. Semakin hari semakin serasi dengan hidup ini. Semakin kelihatan bahagia yang ingin benar digenggamnya. Kembalinya Iqmal kepada hidupnya, benar-benar membawa sinar yang dulu pernah hilang.
“Sayang abang.”
Ucapan penuh kemanisan itu membuatkan Iqmal tersenyum senang. Tubuh sang isteri dipeluk penuh rasa cinta.
“Abang lagilah sayang!”

Hadir dia penyeri. Pengubat duka lama. Pengikat kasih keluarga.
“Encik Iqmal..”
Iqmal segera menghulurkan tangan. Berdegup kencang jantungnya. Semacam mimpi. Inilah zuriatnya.
“Tengok kaki baby ni. Anak apa?” ucap jururawat itu lagi.
Kain pembalut itu diselak oleh jururawat. Iqmal memandang kaki sang anak yang bergerak-gerak perlahan. Jantina sang anak kelihatan jelas di mata. Membuatkan dia tersenyum.
“Alhamdulillah.. anak lelaki,” ucap Iqmal penuh kesyukuran. Namun saat memandang raut kecil itu hatinya teramat-amat sayu. Sehinggakan suaranya menggigil tidak mampu menahan sebak saat mengalunkan azan dan iqamat di telinga bayi itu. Betapa indahnya hidup ini. Diberikan peluang menatap wajah zuriatnya yang selama ini dinanti.
Regina hanya mampu memandang dari jauh. Kesakitan tadi melenyap entah ke mana. Sebaliknya hatinya puas dan penuh rasa lega. Anak yang dikandungkan penuh kepayahan selama sembilan bulan kini sudah berada di hadapan mata. Sihat dan cukup sifatnya. Pertama kali melahirkan anak melalui kaedah normal. Rupanya apa yang dihadapkan kepada wanita-wanita lain yang bersalin di hadapan matanya selama ini, segalanya lebih dari itu. Mudah sahaja dia meminta mereka semua bersabar. Hakikatnya hanya Tuhan sahaja tahu peritnya.
“Anak kita..” ucap Iqmal kepada isterinya.
Regina tidak mempedulikan apa yang dilakukan oleh para doctor dan pembantu perubatan di bawah sana. Bayi itu disambutnya dengan linangan air mata.
“Abang memang mengimpikan anak lelaki. Tuhan dah makbulkan doa abang selama ini. Jika ditakdirkan abang dah takde atas dunia ni, anak ini akan menjaga ibu dan adik beradiknya yang lain,” ucap Iqmal semakin membuatkan air mata wanita itu laju mengalir.
“Jangan cakap macam tu. Abang buat Gina sedih,” sambut wanita itu semakin sebak.
Iqmal tunduk mengucup dahi isterinya. Betapa mekarnya kasih sayangnya kepada wanita ini hanya Tuhan sahaja yang tahu. Semoga dia mampu menjadi ayah yang sempurna buat anak-anaknya. Semoga jiwanya kental, tidak pernah merasa letih dengan amanah yang telah diberikan kepadanya. Selagi ada usia diberikan kepadanya, Zayed Eshanovic, Zayn Eshanovic, Arabella dan Ahmad Nurhan Iman akan diberikan kasih sayang seadil-adilnya. Akan dijaga mereka berlima seperti dia menjaga nyawanya sendiri. Tiada beza biarpun sekadar anak angkat, anak tiri atau anak kandungnya. Anak-anak itu adalah permata hati mereka.
Ketika di wad, anak kecil itu asyik dibelek oleh ahli keluarga yang lain. Arabella ikut teruja saat adik lelakinya dibawa dekat kepadanya. Betapa dia tidak pernah menyedari hari ini dia akan menjadi seorang kakak.
“Ini adik Bella?” tanya anak itu sekali lagi. Semuanya macam sekelip mata sahaja.
“Ia. Adik Bella ni. Suka tak?” tanya Iqmal.
“Suka. Tapi bila adik nak besar? Bila adik nak pandai jalan?” omel anak itu masih tidak mengerti. Iqmal terus ketawa.
“Lambat lagi sayang oi. Bella ni ada-ada ajalah!” Puan Sri Bainun tergelak dengan keletah anak itu.
“Nanti Bella nak bawak adik pergi main kat taman,” ucap Arabella lagi.
Puan Iffah sekadar tersenyum memandang suasana gembira di dalam wad itu. Puas hatinya. Akhirnya.. Regina bertemu dengan kebahagiaannya sendiri setelah berbelas tahun diuji dalam cinta. Butakah cinta itu sebenarnya?
Cinta memang tidak bermata. Cinta mencari hati yang boleh dihuninya. Cinta akan masuk setelah pintu hati dibuka. Dan cinta akan terus berada di dalam sana selama mana cinta itu terkunci di dalam hati. pokok pangkalnya dari manusia itu juga. Seperti mana Regina tidak pernah merelakan cintanya kepada Iqmal pergi jauh dari hatinya biar apa pun yang terjadi kepada lelaki itu. Itulah yang dinamakan cinta itu buta. Biarpun dia pernah beranggapan cinta pernah membuatkan Regina menjadi buta untuk menilai. Namun akhirnya dia tersilap.
Cinta tidak pernah membuatkan Regina buta. Sebaliknya nilai lelaki itu yang membuatkan cinta di hati Regina tidak pernah kunjung padam sehingga kini. Mungkin inilah takdir. Mereka berdua memang ditakdirkan bersama. Ke mana pun mereka pergi, akhirnya mereka akan kembali. Saling mencari.
Harapan seorang ibu sepertinya tiada lain. Moga kegembiraan di wajah anak itu akan kekal sehingga ke akhirnya. Semoga diberikan kebahagiaan yang kekal abadi sehingga ke jannah setelah apa yang diharungi oleh mereka berdua. Semoga Allah memberikan syurga kepada arwah Zahnita juga.
Biar kelat hidup ini, berpatah arah jangan. Berkerat rotan tidak. Kerana akhirnya cinta mereka akan tetap kembali bersemi.


-TAMAT-

Khamis, 21 Mei 2015

Bab 32 BUTAKAH CINTA


Musim kehamilan kali ini sungguh-sungguh mencabar buat Regina. Alahan di waktu pagi itu sudah wajib. Namun alahan itu tidak sekadar di waktu pagi. Sepanjang hari menyeksanya dengan rasa sakit kepala dan muntah. Lintang pukang hidup dibuatnya.
Namun Iqmal tetap sabar melayan kerenah wanita itu. Walaupun masih belum begitu kelihatan kandungannya namun Regina kerap mengambil cuti sakit. Dalam keadaan dirinya lemah tidak tertanggung, segala urusan rumahtangga tidak mampu disentuhnya termasuklah Arabella. Semua Iqmal yang uruskan.
Jam dua petang itu panggilan daripada seorang kakitangan hospital membuatkan Iqmal panas punggung di pejabat. Sudahnya ruangan kerjanya ditinggalkan begitu sahaja untuk mendapatkan isterinya di PPUM. Di unit kecemasan dia bertemu dengan seseorang yang membawa dia kepada Regina. Isterinya sedang berehat di katil rawatan seorang diri.
“Gina..” panggil Iqmal lantas mendekati sang isteri.
Regina mula membuka mata saat kepalanya disentuh seseorang. Terlihat Iqmal di situ kelopak matanya kian membesar.
“Gina nak balik abang. Tak tahan dah duduk sini,” ujar wanita itu lemah. Bau ubat di sekelilingnya benar-benar membuatkan dia tidak tahan. Naik sakit tekaknya akibat asyik muntah.
“Ya. Abang nak bawa Gina baliklah ni.”
Berpusu-pusu mata kakitangan memandang Regina dibawa pergi oleh Iqmal. Sibuk masing-masing memandang sambil berbisik sesama sendiri.
“Itu suami baru dia rupanya. Boleh tahan juga orangnya. Baiknya laki dia. Kalau laki aku, lantak kaulah nak pengsan ke apa! Sok.. sek.. sok.. sek..”
Setiba di rumah, Regina dibawa naik ke atas. Iqmal duduk di sisi sang isteri setelah wanita itu dibaringkan.
“Gina nak makan tak?”
“Gina tak boleh nak makan,” jawab wanita itu perlahan. Makan pun tiada guna. Habis semuanya keluar semula.
“Abang buatkan Gina bubur ya? Boleh isi perut,” ucap Iqmal lagi. Tanpa menunggu jawapan Regina dia terus bangun.
Di dapur lelaki itu bersungguh-sungguh menyediakan makanan buat sang isteri. Segala macam sayur disumbatnya ke dalam bubur itu. Hirisan daging ayam turut dicampur sekali di dalam bubur itu. Teringat pesanan emak mertuanya sebelum ini, Regina paling suka ikan bilis goreng dimakan bersama bubur. Iqmal menggoreng ikan bilis di dalam kuali sambil bubur dibiarkan di atas dapur. Selesai memasak dia membawa bubur naik ke atas.
“Sayang..” wanita itu disentuh lembut.
Regina pantas membuka mata.
“Abang buatkan bubur. Ada ikan bilis goreng. Nak tak?” tanya Iqmal sekadar mahu mengumpan selera isterinya.
Mendengar itu Regina mengangguk perlahan. Walaupun agak payah, dia cuba juga bangun. Melihat bubur itu berseri-seri dengan segala macam ramuan seleranya terbuka serta merta.
“Abang tiup dulu ya? Panas ni..”
Regina sekadar memandang. Seharian tidak makan tubuhnya mula terasa menggigil. Namun suapan pertama, wajah Regina berkerut seolah-olah bubur itu terlalu masin. Baru separuh bubur itu masuk ke perutnya, Regina sudah bangun dari tilam. Mulutnya ditekup sambil berjalan laju ke kamar mandi. Sudahnya apa yang masuk ke perutnya tadi dimuntahkan semula di dalam sinki. Iqmal hanya mampu mengeluh melihat Regina muntah lagi. Belakang isterinya ditepuk lembut.
Sudahnya baki bubur itu terbiar begitu sahaja tanpa mahu ditelan lagi oleh Regina. Sakit di kepalanya semakin kuat.
“Gina tak larat sangat ni, abang. Seksanya..” rayu perempuan itu hampir mahu menangis. Sukar benar dia menahan diri. Kenapa kehamilan kali ini terlalu mencabar? Sedangkan ketika dia mengadungkan Arabella, semuanya tidak sedahsyat ini.
“Sabar, sayang. Ini ujian Allah. Abang ada. Abang akan jaga Gina baik-baik. Gina rehat ya?” bisik Iqmal perlahan.
“Bella..”
“Jangan risau pasal Bella. Abang ambil dia sekejap lagi. Gina tidur ya?” pujuk sang lelaki tanpa jemu. Rambut isterinya diusap penuh kasih sayang.
Regina sekadar mengangguk. Tanpa lelaki ini entah macam manalah hidupnya.
Malam itu Arabella sendirian lagi tanpa perhatian sang ibu. Kasihan anak itu. Ketika dia mahu menghampiri Regina, Iqmal melarang anak itu mengusik lena Regina.
"Arabella.." Panggil Iqmal lembut.
"Mama mana?"
Iqmal segera meletakkan jari telunjuk di bibirnya. Meminta anak itu diam.
"Papa cedokkan nasi ya?" ucap Iqmal lembut.
"Mama?" tanya Arabella lagi.
"Mama tak sihat tu, sayang. Jom.." Ajak Iqmal lantas mencapai tangan anak itu. Arabella sekadar menurut ajakan Iqmal.
"Nape dengan mama?" Tanya Arabella lagi. Aneh rasanya. Selalunya mamanya yang melayan dia di meja makan. Tetapi semenjak tadi dia hanya keseorangan.
"Mama demam. Bella makan ya? Papa temankan Bella makan," ujar  Iqmal sambil kepala anak itu diusapnya.
Sedang dia sibuk melayan Arabella, telefon rumah itu dihubungi seseorang. Iqmal terus bangun. Suara Puan Iffah kedengaran di telinganya.
"Gina tak sihat lagi?"
"Belum, mama." Iqmal menjawab lembut.
"Mana Bella?"
"Tengah makan tu."
"Teruk ke alahannya tu?" Puan Iffah terus menyoal risau mengenangkan anaknya itu.
"Teruk juga. Langsung tak mahu makan," jawab Iqmal lantas menghela nafas perlahan.
"Paksa dia makan. Cakap dengan Gina, mama suruh Abang Iqbal ambil Bella esok. Biar Bella dengan mama. Kamu jaga Gina baik-baik. Jangan lupa pesan mama tadi. Suruh dia makan juga. Sikit pun jadilah."
"Yalah.."
Iqmal menghela nafas perlahan usai bercakap dengan emak mentuanya. Mahu anak mudah sahaja. Tapi ragamnya benar-benar menguji. Simpati Iqmal tiada berbatas mengenang Regina. Pengorbanan yang tidak mampu dibalas dengan apa pun di atas dunia ini.
Setelah menguruskan Arabella, Iqmal naik semula menjengah sang isteri. Regina terjaga tiba-tiba saat ada beban terhenyak di sebelahnya. Biarpun agak payah dia cuba juga membuka mata. Namun sakit kepalanya benar-benar membuatkan dia mengeluh sendiri. Tidak tahu mengapa sakit kepalanya ini seperti tidak mahu berhenti.
“Gina nak makan tak?”
Cepat sahaja Regina memberi jawapan tidak. Mendengar istilah makan sahaja pun sudah membuat dia merasa tidak selesa.
“Dari petang tadi Gina tak makan. Abang risau tengok Gina macam ni,” ucap Iqmal sambil kepala sang isteri diusap lembut.
“Gina nak bangun sekejap, abang.” Wanita itu berbisik perlahan sambil tangannya terus mencapai lengan sang suami untuk berpaut.
“Nak bangun?” bahu sang isteri diangkatnya penuh hati-hati. Terhegeh-hegeh Regina menurunkan kedua-dua belah kakinya dari katil. Dunia di sekelilingnya terasa berputar ligat.
“Gina..” panggil Iqmal semakin risau melihat Regina tunduk memegang kepalanya. Bahu wanita itu dipegangnya erat. Regina tidak mampu menjawab. Lubang tekaknya mula terasa mual tanpa sebab.
“Gina nak pergi mana?”
“Toilet,” balas Regina tanpa memandang. Kepalanya dipicit kuat sambil menunduk di birai katil.
“Abang hantarkan ya?” ucap Iqmal lembut.
Lelaki itu segera mendekati Regina. Wanita itu dibantunya bangun. Regina hanya mampu membiarkan tubuhnya dicempung Iqmal. Entah kenapa saat ini, dia teringat kepada Zahnita. Adakah seperti ini layanan Iqmal sehingga membuatkan wanita itu tidak pernah bersangka buruk kepada Iqmal? Lelaki itu menemaninya sepanjang masa. Buat apa sahaja untuk dirinya dalam keadaan dirinya tidak berdaya. Tanpa sedar semakin erat leher lelaki itu dipeluknya sehingga Iqmal menurunkan dia di dalam kamar mandi.
“Abang keluarlah. Gina boleh buat sendiri,” ucap Regina hairan melihat Iqmal tercegat di hadapannya.
“Tak boleh. Abang risau biarkan Gina sorang-sorang dalam ni,” ucap Iqmal tetap pegun di situ.
“Gina seganlah..” rungut Regina perlahan. Urine yang ditahan hampir sahaja mahu terkeluar. Iqmal pula sibuk mahu menemankan dia di situ. Manalah dia tidak segan?
“Nak segan buat apa? Abang ni bukannya orang lain,” jawab Iqmal langsung tidak kisah.
Sudahnya Regina menebalkan muka melepaskan hajat dek kerana rasa nak terkucil itu sudah tidak mampu ditahan.
“Abang tolong cebokkan ya?” ucap Iqmal lantas mencapai saluran paip air di tepi Regina.
“Tak payahlah! Gina boleh buat,” getus wanita itu lantas getah paip air itu cuba dicapainya.
“Biarlah abang buat. Gina tak sihat ni. Gina duduk diam aja,” jawab Iqmal selamba.
“Setakat bercebok, Gina boleh buat!” ucap wanita itu semakin tidak tentu arah. Bukan makin kuat dia mengepit pahanya. Malu benar dia dengan lelaki itu. Sampai nak tolong cucikan? Oh tidak! Gelihati pun ada melihat kesungguhan Iqmal mahu membantunya.
“Gina, jangan degil cakap abang,” tegur Iqmal tidak senang melihat isterinya tidak mahu memberikan kerjasama.
“Gina nak buat sendiri. Bak sini benda tu,” balas Regina lantas meminta saluran air itu daripada Iqmal. Sudahnya Iqmal akur juga dengan kehendak isterinya.
“Pandang sana!” ucap Regina lagi. Segannya masih bersisa melihat Iqmal pegun menatap dirinya.
Lambat-lambat Iqmal berpaling ke belakang.
“Dah.” Laju kepala Iqmal memandang ke arah Regina semula setelah terdengar sepatah kata itu. Tanpa disuruh dia mendekati Regina. Apa yang tidak betul, dia pula yang sibuk tolong betulkan sehingga tangannya dicubit halus oleh Regina.
“Sibuknya dia ni! Benda yang tak perlu di sentuh, tak payah berlama-lama kat situ!” marah Regina.
“Apa dia?” balas Iqmal tidak mengerti. Tolong pun marah? Tercengang Iqmal memandang isterinya.
“Tak payah sibuk nak pegang sana pegang sini. Gina tahu abang sengaja nak ambil kesempatan,” tuduh Regina selamba.
Terkulat-kulat Iqmal mendengar kata-kata isterinya.
“Kenapa? Tak mahu mengaku?” sergah perempuan itu geram melihat reaksi Iqmal.
“Gina ni tak baik tuduh abang macam tu. Mana ada abang ambil kesempatan. Dah kesempatan tu sendiri yang datang kat abang. Nak buat macam mana? Takkan abang nak tolak,” jawab Iqmal macam bersungguh aja.
Makin meruap-ruap Regina memandang muka selamba Iqmal. Sedap aja dia bercakap. Peluang yang datang kat dia konon!
“Jom..” spontan isterinya itu dicempung semula keluar dari kamar mandi. Tubuh Regina diletakkan elok di atas tempat tidur. Kemudian Iqmal duduk menghadap wanita itu bersandar di kepala katil.
“Kalau nak pergi tandas lagi, cakap dengan abang ya?”
Regina sekadar mengangguk. Namun dalam hati dia menjawab lain. Memang taklah..
“Gina nak makan? Abang boleh ambilkan.”
“Tak nak. Tak boleh terima langsung tekak ni. Gina nak minum aja,” balas perempuan itu perlahan.
“Abang ambilkan air ya?” ucap lelaki itu lantas bangun mendapatkan bekas air masak di atas meja kecil di tepi katil itu. Setiap perbuatan lelaki itu terus dipandang Regina penuh kasih sayang. Seorang lelaki yang telus dalam perbuatannya. Jika sayang, nyata sekali kasih sayang itu melalui tindak tanduknya. Begitu juga sebaliknya. Iqmal lelaki yang tidak mampu berpura-pura hanya dengan kata-kata. Itulah istimewa Iqmal di matanya.
“Minum, sayang.”
“Terima kasih..” ucap Regina lantas menyambut gelas putih yang dihulurkan Iqmal.
“Gina betul tak mahu makan? Petang tadi pun sikit sangat Gina makan. Kalau Gina tak sihat, nanti baby kita pun tak sihat. Bubur petang tadi banyak lagi. Abang boleh panaskan sekejap,” pujuk Iqmal saat isterinya meneguk perlahan air putih.
Regina menghela nafas perlahan. Setelah gelas jernih itu diletakkan di tepi dia mencapai tangan Iqmal.
“Abang dah makan?” tanya Regina pula.
“Belum. Abang susah hati tengok Gina macam ni, macam mana abang nak makan? Abang makan kenyang-kenyang. Tapi isteri abang tak mampu makan.”
Lama pandangan Regina singgah ke wajah itu. Entah kenapa hatinya sayu. Sekarang dia mengerti mengapa arwah Zahnita tidak pernah bercakap buruk tentang lelaki ini. Lelaki ini sentiasa terbaik di mata Zahnita. Dia tidak pernah melihat betapa besarnya pengorbanan yang dilakukan Iqmal buat Zahnita suatu masa dulu. Tetapi dia telah melihat betapa bersungguhnya lelaki ini menjaga dirinya sehingga melupakan kepentingan diri sendiri. Disaat dia tidak lena, Iqmal juga tidak lena. Tangan lelaki itu sentiasa mengusap kepalanya agar dia dapat lena.
Sungguh. Dia rela bertahan akan segala macam pahit getir demi melahirkan cahaya mata buat lelaki yang paling istimewa di hatinya.
“Kenapa Gina pandang abang macam tu?”
“Gina sayang abang sangat-sangat,” ucap Regina tiba-tiba. Jemari lelaki itu diramas lembut.
“Abang pun sayang Gina. Abang nak tengok Gina kuat menghadapi keadaan ini,” balas Iqmal perlahan.
“Kita makan sama ya?” kali itu sedikit senyuman diukir buat sang suami. Agar gusar di hati sang lelaki beransur pergi.

Mendengar itu cerah wajah Iqmal. Kebimbangannya beransur pergi. Permintaan itu, kecil tapak tangan.. dunia ini mahu ditadahkan!

Rabu, 20 Mei 2015

Bab 31 BUTAKAH CINTA


“Papa..” dua anak itu terpekik teruja saat melihat kelibat Iqmal di rumah itu. Lelaki itu diterjah penuh kerinduan. Seminggu tidak bertemu seperti bertahun rasanya.
Iqmal membalas pelukan dua anak itu penuh kasih sayang. Wajah Zayn dan Zeyad dikucup berkali-kali.
“Siapa potongkan rambut?” tanya Iqmal senang hati melihat dua anak itu kelihatan kemas dengan rambut pendek.
“Potong kat salon.”
“Baru handsome macam tu,” komen Regina. Zayn menyengih sambil tergaru saat dipanah senyuman Regina. Iqmal mula memandang isterinya.
“Mana Bella?”
“Salam mama dulu,” ucap Iqmal lantas memandang ke belakang mencari Arabella. Teguran Iqmal lantas menggerakkan dua anak itu ke arah Regina.
“Mana Bella?” kini Iqmal pula yang bertanya. Tadi anak itu ada mengekori mereka. Regina ikut memandang sekeliling, mencari kelibat Arabella. Namun tiada.
“Budak bertuah!!! Habis dipetiknya bunga aku. Nak kena titik jari dia tu.” Satu suara kedengaran lantang dari arah luar. Iqmal dan Regina pantas menerpa semula ke arah pintu. Terkedu Regina memandang anaknya sedang memegang kuntuman bunga ros. Tidak perlulah ditanya dari mana Arabella mendapat bunga itu. Terkebil-kebil Arabella memandang mamanya dan wanita tua itu.
“Bella! Kenapa petik bunga nenek??” tegur Regina mula serba salah kepada emak mentuanya itu.
“Bella suka bunga tu,” jawab anak itu perlahan. Kemudian dengan perasaan bersalah melata di hatinya, bunga itu dicampak ke lantai. Terbeliak mata Regina melihat kelakuan anaknya. Arabella terus mendapatkan Regina. Paha sang ibu dipeluknya.
“Dah dibuangnya pulak bunga aku!” getus Puan Sri Bainun.
“Mama, bunga aja pun. Nanti pokok tu boleh berbunga lagi,” tegur Iqmal lembut.
“Kau ingat pokok bunga ni siapa yang tanam? Nenek yang tanam pokok tu tahu! Sedap aja jari dia memetik bunga, kan?” marah Puan Sri Bainun kepada Arabella.
“Minta maaf pada nenek,” ucap Regina lembut.
Walaupun agak gentar Arabella tetap mendekati Puan Sri Bainun. Tangannya dihulurkan kepada wanita tua itu.
“Bella minta maaf,” ucap Arabella perlahan.
“Lain kali kalau nak bunga cakap dengan nenek. Jangan petik macam tu aja. Patah pokok nenek nanti tahu tak?”
Arabella hanya mampu mengangguk dengan wajah mendung.
“Pergi ambil balik bunga tu. Jangan buang merata-rata,” ucap Puan Sri Bainun mula sejuk hati melihat gelagat Arabella. Manis sungguh anak kecil itu. Perlahan wanita tua itu tunduk mengucup pipi Arabella.
“Jangan degil cakap nenek. Nanti nenek tak mahu sayang,” ucap Puan Sri Bainun lagi. Kepala anak itu diusap lembut.
Arabella mula mengukir senyuman kepada wanita tua itu. Lega hatinya melihat kemarahan sang nenek tidak semana.
“Dah. Pergi masuk dalam. Kawan dengan abang Zayn dengan abang Zayed. Tak mahu gaduh-gaduh ya?” seru Puan Sri Bainun kembali melembutkan suaranya. Regina dan Iqmal sempat berpandangan.
“Mama..” tegur Regina lantas mendekati emak Iqmal. Tangannya dihulurkan kepada wanita itu.
“Hmm.. makin berseri-seri pula kamu ni. Mengandung ke?” ucap Puan Sri Bainun dengan pandangan atas bawah kepada menantunya itu.
“Taklah. Belum ada lagi,” ucap Regina sedikit segan ditegur Puan Sri Bainun begitu.
“Ia ke?” balas Puan Sri Bainun macam tidak percaya. Pandangannya masih melekap pada tubuh Regina.
“Mama sihat ke?” tanya Iqmal ikut bersalam dengan mamanya.
“Sihat,” jawab wanita itu selamba.
“Jom masuk, ma. Papa mana?” tanya Iqmal hairan dengan ketiadaan ayahnya.
“Papa belum balik. Sekarang dia ada hobi baru. Pergi join kelas senam aerobik. Nak jaga kesihatan konon,” jawab Puan Sri Bainun sedikit jengkel mengenang gelagat suaminya itu. Entah ialah pergi ke sana sebab nak menjaga kesihatan. Takut-takut ada perempuan-perempuan seksi di sana yang membuatkan suaminya asyik nak ke sana. Lelaki itu bukannya boleh percaya kalau bab perempuan!
“Aik?” Iqmal mula berpandangan dengan isterinya.
“Dia ada betina lainlah tu..” ujar Puan Sri Bainun lantas masuk ke dalam rumah. Wajah Iqmal mula berubah lain macam mendengar tuduhan mamanya.
“Mama yakin ke?”
“Habis tu kalau dah hari-hari nak ke sana, apa lagi? Nak jaga kesihatan tak semestinya ke gym. Dulu boleh aja dia jogging di kawasan sini. Sekarang ni sibuk pulak nak ke gym bagai,” jawab Puan Sri Bainun sedikit kuat suaranya.
Iqmal mula menghela nafas kuat. Mulalah dia merasa tidak senang dengan keadaan itu. Ayahnya sudah pernah membuat hal dengan mamanya dahulu. Takkan sekali lagi papanya menyimpan perempuan di belakang mamanya? Dalam keadaan diri sudah tidak begitu berdaya? Mustahil! Regina hanya membisu mendengar celoteh emak mentuanya itu. Takut juga mahu memberi komen. Bimbang wanita itu tidak senang dengan kata-katanya.
Jam sebelas pagi itu barulah wajah Tan Sri Ansur kelihatan di rumah itu. Muka main ceria lagi dia membuatkan Iqmal mula merasa tidak senang.
“Papa ke mana?” tanya Iqmal sedikit curiga.
“Papa baru balik dari gym.”
“Ada apa sampai ke gym?” balas Iqmal masih tidak puas hati.
“Aik? Lain macam aja cara kamu bertanya ni? Mama dah mengadu apa-apa ke?” balas Tan Sri Ansur lantas ketawa dan menggeleng.
“Papa takde buat apa-apa yang pelik pun, Mal. papa pergi gym pun atas nasihat doctor. Papa ni dah tua. Perempuan muda-muda di sana tu tak sesuai untuk papa lagi,” jelas lelaki tua itu bersungguh.
“Senaman berat tak baik untuk papa,” ucap Regina pula.
“Papa tahu. Ada beberapa jenis senaman yang instructor sarankan untuk papa. Dia yang pantau. Dan instructor tu pun lelaki. Bukannya perempuan. Jangan fikir yang bukan-bukan. Penghujung hidup papa ni bukan semua itu lagi yang papa kejar. Papa cuma nak umur panjang untuk keluarga papa sendiri,” ujar Tan Sri Ansur kepada Iqmal dan Regina.
Iqmal akhirnya mengangguk akur. Terdetik rasa bersalah di hatinya. Tidak seharusnya dia mengangggap yang bukan-bukan kepada ayahnya.
Saat sekeluarga itu menikmati makan tengahari di meja makan, soal Tan Sri Ansur tidak timbul langsung. Namun soal fizikal Regina pula yang menjadikan keadaan di meja itu hangat. Hangat sebab malu!
“Sikit sangat makannya, Gina? Tak sedap ke lauk ni semua?” tegur Puan Sri Bainun kepada Regina. Menantunya itu lebih banyak berdiam dan kelihatan tidak berselera.
“Perut rasa tak selesa, ma. Ada yang tak kena,” jawab Regina perlahan.
“Hmm.. biasalah tu. Entah-entah dah ada isi. Punggung tu bulat semacam aja mama tengok? Badan tu pun dah montok macam dipam-pam. Yalah.. yang tukang pam pun tengoklah siapa. Terbaik dari ladang!”
Kata-kata Puan Sri Bainun hampir sahaja air yang sedang dihirup Iqmal tersembur keluar. Tan Sri Ansur tergelak kuat mendengar kata-kata isterinya. Gelihati. Namun wajah Regina serta merta menghangat di hadapan semua orang. Siapa yang terbaik dari ladang tu? Iqmal?
“Mama ni.. ada ke cakap macam tu?” gerutu Iqmal tidak senang. Kasihan melihat isterinya tidak mampu mengangkat wajah.
“Salah ke apa mama cakap ni? Yang kau terasa sangat tu kenapa? Sebab kau yang buat Gina jadi begitu, kan? Buat-buat terkejut pulak!” cebir Puan Sri Bainun lantas menjeling anaknya.
Iqmal dan Regina berpandangan. Kelat wajah Iqmal melihat senyum memerli di bibir Regina. Namun riak yang terpamer wajah lelaki itu benar-benar membuat Regina gelihati.
“Montok tu apa, nenek?” tiba-tiba Zayed menyampuk. Macam nak tahu benar apa cerita orang dewasa di sekelilingnya itu.
“Eh! Budak bertuah ni. Menyampuk pulak dia. Budak-budak jangan menyibuk hal orang tua. Makan cepat! Lepas tu ajak adik-adik pergi duduk kat depan,” sambut Puan Sri Bainun pantas.
“Bella, nak nasi lagi?” tanya Tan Sri Ansur.
“Nak!” jawab Arabella dengan mata membulat memandang sudunya. Sudu dengan nasi separuh di atasnya disuap ke mulut. Regina tersenyum sendiri memandang anaknya. Tak kisahlah rumah siapa pun. Dia tetap berselera.
“Sedap ke nenek masak ni?” tanya Tan Sri Ansur lantas mencedokkan sedikit nasi berani ke dalam pinggan anak itu.
“Sedap. Nak ayam lagi, atuk. Nak yang besar.” Tanpa segan silu dia membuat permintaan itu pula.
“Alah.. alah.. nanti atuk cedokkan ayam ya? Nak yang merah ke atau yang coklat ni?” seronok orang tua itu melayan kerenah cucu tirinya itu.
“Nak yang cekelat!”
Tergelak orang tua itu memandang anak kecil itu. Pandai membawa diri, mengambil hati orang dengan kecerdikannya. Iqmal tersenyum-senyum sendiri memandang Arabella. Penerimaan orang tuanya kepada Regina dan Arabella semakin menyenangkan hati. Harap-harap mereka mampu hidup aman damai sebagai satu keluarga.
Puan Sri Bainun ralik memandang Arabella. Kelakuan anak itu mencuit hati tuanya. Senang benar anak itu dijaga. Tidak banyak songel. Makan pun tidak cerewet. Bertuah Regina ada anak seperti itu. Tidak banyak menyusahkan mamanya.

 “Gina?” tegur Iqmal hairan melihat Regina termenung di hadapan sinki.
“Ya..” Regina menoleh kepada sang suami.
“Kenapa?” tanya Iqmal hairan. Semenjak pulang dari rumah orang tuanya, sikap Regina kelihatan aneh. Kecil hatikah isterinya?
“Abang tengok Gina ni dah gemuk ya?” tanya Regina kepada suaminya.
“Takdelah. Janganlah ambil hati sangat apa kata mama tu. Mama bukannya nak mengata Gina.”
“Tak. Bukan pasal itu. Gina rasa semacamlah. Perut ni lain macam sangat,” ujar Regina lantas keluar dari kamar mandi.
“Gina pregnant ke?” teka Iqmal bersungguh.
“Rasanya.” Sepatah sahaja jawapan wanita itu. Selain daripada perasaannya sendiri yang merasakan dia sedang hamil, perubahan pada fizikalnya yang baru disedari seolah-olah mengiakan apa yang sedang disangka.
“Tolong ambilkan beg hitam dalam kereta Gina boleh tak?” pinta wanita itu.
“Sekejap. Abang turun bawah.” Cepat sahaja Iqmal keluar semula dari kamar. Seketika kemudian dia naik semula dengan beg hitam yang diminta isterinya. Setelah mengucapkan terima kasih Regina menghilang lagi di dalam kamar mandi.
Iqmal di luar menunggu macam sedang menunggu isteri sedang bersalin pula lagaknya. Ke hulu ke hilir tidak tentu arah. Berdebar dadanya mengharap apa yang disangka oleh Regina itu benar.
Seketika kemudian pintu yang bertutup itu terbuka tiba-tiba. Iqmal segera memandang ke arah isterinya.
“Macam mana?” tanya Iqmal penuh harap.
Anehnya Regina keluar dengan senyum di bibir. Tanpa sepatah kata dia sekadar mengangguk tanda mengiakan.
“Serius?”
“Ia..” jawab Regina perlahan.
Iqmal tidak terkata lagi. Betapa gembiranya dia saat ini sungguh tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Akhirnya wanita itu didekatinya lalu didakapnya erat. Pipi Regina dikucup bertalu-talu sehingga wanita itu kelemasan.
“Dahlah!!” rengus wanita itu tidak tahan. Lemas.

“Terima kasih, Ya Allah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah..” ucap lelaki itu penuh rasa bahagia.

Selasa, 19 Mei 2015

BAB 30 BUTAKAH CINTA


“Sayang abang..” bisik lelaki itu lantas telapak tangannya dilabuhkan ke belakang pinggul isterinya. Pipi Regina dikucup sekilas sebelum mendapatkan pakaiannya di atas katil. Bahagia benar perasaannya hari ini. Maklumlah hajat nak tidur bogel sampai ke pagi dah terlaksana semalam. Macam mimpi pula rasanya. Mimpi bercanda ria di sebalik awan yang indah.
Regina mengerling lelaki itu melalui cermin di hadapannya. “Mama call tadi. Abang Iqbal hantar Bella balik. Bella ikut pak ngah dia berjalan dulu,” beritahu wanita itu lembut.
Serta merta Iqmal berpaling memandang sang isteri. 
“Tak jadi ke nak pergi sana?”
“Tak payahlah. Takut nanti kita sibuk pergi sana , Abang Iqbal sibuk datang sini pulak. Lagipun Bella takde kat rumah mama. Dia ikut family abang Iqbal pergi berjalan,” jawab Regina lembut.
Iqmal diam memikir seketika. Namun seketika kemudian lelaki itu tersenyum sambil mendekati sang isteri. Dengan selamba pinggang Regina dipeluknya dari arah belakang.
“Macam pengantin baru aja kita ni, kan? Semua orang takut nak dekat dengan kita. Abang pun boleh buat apa yang abang suka pada isteri abang ni,” ucap Iqmal sedikit lunak.
“Pengantin basi..” cebir Regina perlahan.
“Mana ada basi. Perempuan depan abang ni masih segar, mengancam.. gebu! Makin dipeluk makin best pulak.”
Spontan Regina mengintai lelaki itu melalui cermin di hadapan. Gebu? Panas wajahnya serta mereta. Iqmal terus tunduk mengucup mesra bahunya sekali dua.
“Hidup ni rasa lengkap sekarang. Abang ada isteri yang cantik dan anak-anak yang comel.”
“Tak. Gina rasa abang masih belum lengkap. Tolong pergi pakai baju sekarang,” jawab Regina selamba.
Spontan Iqmal memandang dirinya. Hanya bertuala. “Kenapa? Rasa terancam ke… atau Gina rasa abang ni mengancam?” usik Iqmal lantas melepaskan gelak nakal.
“Tak kuasalah nak terancam ke mengancam ke.. pergilah pakai baju cepat. Gina dah lapar. Nak breakfast ni,” getus Regina malas mahu melayan usikan sang suami. Cepat-cepat dia berlalu dari situ. Namun belum sempat dia menjauh tangannya direntap kuat sehingga tubuhnya dan Iqmal bersatu secara berhadapan. Belum sempat dia berbuat apa-apa lelaki itu terlebih dahulu memulakan aksi panas.
“Dahlah tu!” getus perempuan itu lantas menolak sang lelaki.
“Belum habis lagi..” bisik Iqmal perlahan.
“Abang..” rengus Regina sudah mula tidak tentu arah. Takut dia pun sama terbabas di pagi hari begini.
“Abang sayang Gina. Abang tak boleh biarkan Gina macam tu aja,” keluh lelaki itu perlahan membuatkan perempuan itu kembali membisu. Sudahnya dia sekadar membiarkan apa sahaja yang dimahukan suaminya. Namun dia akui. Layanan Iqmal kepadanya hari ini, tidak sedetikpun dirinya mampu membawa dia pulang kepada kenangan lalu yang menyakitkan. Dalam tidak mahu melayan sekalipun hatinya teruja. Jiwanya terasa hidup.
“Seorang isteri belaian jiwa..” ucap Iqmal saat merenung dua bola mata tidak sampai seinci dari wajahnya itu. Menggebu-gebu rasa cinta di dalam hatinya.
Regina sekadar tersenyum lembut. Sayangnya belum sempat senyumannya mekar jauh, kucupan sang lelaki singgah pula di situ sesaat. Regina menggigit hujung bibir. Tidak pernah Iqmal melayan dia seromantis ini. Mudah sekali perasaannya terbang ke angkasa.
“Cuma yang masih kurang, semenjak kita berjumpa semula.. abang tak pernah dengar sekalipun Gina ucapkan sayang pada abang. Kenapa?” suara lelaki itu berbisik lagi.
“Mungkin sebab dulu Gina dah selalu ucapkan perkataan tu,” jawab Regina perlahan.
Lama Iqmal diam memandang raut isterinya. Ironinya tanpa kedengaran ucapan itu dia seperti terlihat rasa itu di mana-mana. Renungan Regina kepadanya sudah cukup membuktikan segala-galanya. Tidak perlu dia bertanya lagi.
“Kata orang, jika mulut selalu berbicara palsu. Mata selalu akan berkata benar. Itu yang abang nampak sekarang ni,” ucap Iqmal lantas tersenyum kepada sang isteri.
“Maksudnya?”
“Maksudnya.. biar sebanyak mana Gina marahkan abang sebab baju Gina dah hilang semalam, abang tahu Gina tetap sayangkan abang. Mata tidak mampu berbohong. Abang tahu kadang-kadang Gina sengaja tak mahu pandang abang sebab Gina tak mahu abang tahu apa yang Gina sembunyikan dalam hati. Bercinta tak semestinya bahagia. Bercinta tak semestinya bersatu. Tapi untuk kita berdua, Tuhan dah lorongkan jalan yang luas untuk kita merasa nikmat hidup bersama. Sama ada kita yang rela melepaskan peluang itu.. atau kita berusaha mengharungi masalah yang datang, itulah penentu takdir kita di akhirnya nanti. Ini baru permulaan hidup kita. Ujian pasti akan datang pada kita. Tapi abang pilih pendirian abang. Abang takkan lepaskan Gina jauh dari abang lagi. Dan abang mahu Gina letakkan kepercayaan pada abang. Nikmati keindahan hidup ni sebaik-baiknya,” ucap Iqmal. Bola mata sang isteri direnung dalam agar wanita itu mengerti apa yang tersimpan di dalam dadanya saat ini.
“Gina pilih untuk percayakan abang,” jawab Regina akur.
“Alhamdulillah.. itu yang abang nak dengar. Terima kasih, sayang. Insya-Allah kepercayaan tu takkan jadi sia-sia,” sambut Iqmal penuh kelegaan.
Perlahan Regina tersenyum sendiri. Inikah yang dia cari selama ini? Ya. Mungkin. Jika tidak dilayan persis seorang wanita yang istimewa di hati seorang lagi. Memadailah kehadirannya disedari dan dihargai Iqmal. Cukuplah dengan kenangan perit itu. Dia benar-benar mahu bahagia. Ya. Hidup ini mahu dinikmati semahu-mahunya.

Suatu malam..
“Banyaknya baju baby?” tegur Iqmal saat terlihat ada banyak pakaian bayi di atas katil. Tiba-tiba dia tersengih. Ah! Cemerlang rasa perasaannya hari ini saat melihat pakaian itu. Ada petanda baik ke? Macam ada aja nampaknya.
Regina memandang suaminya sekilas. “Lambatnya balik?” tanyanya tanpa menjawab teguran sang suami.
“Ada masalah kat ofis tadi. Papa suruh abang handle sampai selesai.”
Regina sekadar mendengar tanpa berminat mahu menanya lebih lanjut tentang itu. Iqmal mula duduk di sebelah sang isteri.
“Baru beli ke?” tanya Iqmal lunak. Mulalah tangannya merayap memeluk tubuh sang perempuan penuh kasih sayang.
“Taklah. Bella punya dulu.”
“Bagus. Recycle. Adik pakai baju kakak. Nak buat apa membazir, kan?” balas Iqmal ceria.
“Adik mana pulak abang ni?” getus Regina lantas mencari bola mata suaminya.
“Adik Bellalah. Gina pregnant ke?”
“Tak pun. Abang jangan nak mengarut. Gina keluarkan baju baby ni bukan sebab itu ya?” ujar Regina selamba.
Berubah wajah Iqmal mendengar itu. Kegembiraan tadi tiba-tiba meretak lalu berkecai sedikit demi sedikit. “Habis tu, buat apa Gina lipat baju ni semua? Saja nak bagi abang perasan?” cebir lelaki itu mula kecewa.
“Gina nak bagi oranglah! Siapa cakap Gina lipat baju ni semua sebab nak bagi abang perasan? Abang tu yang perasan sendiri,” jawab wanita itu lantas ketawa gelihati melihat wajah kelat Iqmal. Terkulat-kulat lelaki menadah gelak Regina. Nak bagi orang rupanya..
Regina tersenyum lagi memandang suaminya. “Masih awal, bang. Janganlah kecewa dulu,” ujarnya lembut. Perkahwinan mereka baru mencecah tiga bulan. Terlalu awal untuk putus harapan tentang itu.
“Yalah.. abang nak mandi. Bella cepatnya tidur? Dia demam ke?” tanya Iqmal lagi.
“Penat. Pengasuh bagitahu dia tak tidur siang tadi. Asyik bermain aja,” jawab Regina sambil meneruskan kerjanya. Baju-baju bayi itu disusun kemas untuk dimasukkan ke dalam satu kotak lain.
Selesai mengerjakan solat isyak, Iqmal turun ke bawah. Regina masih di dalam kamar. Di bawah dia mengemas rumah pula.
“Abang, Gina dah kemas ruang tamu tu,” ucap Regina dari atas. Wanita itu menggeleng sendiri melihat suaminya. Iqmal semakin banyak berubah sekarang. Tugas mengemas rumah dan menyediakan makanan kini lelaki itu yang melunaskannya. Dia dilarang membuat semua itu. Tugas dia hanya menjaga Arabella. Kadang-kadang mereka bertengkar kerana hal itu. Biarpun Iqmal mengatakan tanggungjawab itu diberatkan kepada suami namun dia tidak selesa membiarkan Iqmal mengemas rumah macam orang gaji. Sedangkan selama ini semua kerja itu dia yang melunaskannya. 
“Okay. Abang kemas dapur ya?” jawab Iqmal.
Dia ke dapur pula. Entah apa-apa yang dibuatnya di dapur itu. Regina di atas hampir kering menunggu. Sudahnya ketika hampir jam dua belas barulah Iqmal naik ke kamar. Sesudah membersihkan wajah, dia terus ke tilam. Tindak tanduknya terus diperhatikan Regina penuh minat.
“Fuh! Penatnya..” keluh Iqmal perlahan. Bukan senang rupanya menyelesaikan tugas yang selama ini ditanggung oleh wanita. Baru dia tahu kini. Pulang dari kerja harus mengemas, memasak, membasuh baju. Mahu pengsan dia dibuatnya.
“Itulah.. Gina dah cakap. Kita buat sama-sama apa salahnya? Bila Gina buat seorang, abang marah Gina. Gina nak tolong, abang tak bagi,” ucap Regina lembut. Rambut lelaki itu diusap penuh kasih sayang.
“Gina tolonglah belai-belai abang ni,” jawab Iqmal lantas menyengih.
“Boleh.. itukan tugas isteri?” ucap Regina sengaja mahu menyindir. Dia bangun untuk ke kamar mandi seketika. Selesai berhias apa yang perlu, Regina kembali mendekati sang suami. Namun dia terpaku di tepi katil memandang Iqmal.
“Macam ni rupa orang nak anak sangat-sangat tu?? Belum apa-apa dia dah terbongkang!” bentak Regina lantas menggoncang sang lelaki.
“Ha? Dah subuh ke? Abang mengantuk lagi ni, sayang. Esok abang kemas rumah ya?” Iqmal menceceh entah apa-apa.
“Itulah. Nak sangat buat kerja rumah sorang-sorang. Orang nak tolong dia tak bagi. Lepas tu nak buka mata pun tak boleh!” gerutu Regina geram melihat Iqmal sudah berdengkur. Berkecai sudah harapan. Sudahnya Regina terus berbaring di lengan Iqmal. Tubuh lelaki itu dipeluknya erat.
“Gina.. gebunya sayang abang ni,” rungut lelaki itu dalam mata terpejam.

Spontan Regina kembali mengangkat kepalanya memandang lelaki itu. Gebunya?? Mengigau apa entah tu! 

Isnin, 18 Mei 2015

Bab 29 BUTAKAH CINTA


“Rasanya tak payahlah saya nak bersyarah panjang-panjang lagi tentang tanggungjawab ketua keluarga yang diberatkan ke atas suami. Kita semua dah tahu tentang itu. Cumanya.. keberkatan rumahtangga ni takkan datang begitu sahaja kalau kita tidak ingat pada Allah.”
Iqmal mengangguk setuju dengan kata-kata kadi itu.
“Bolehlah kita mulakan ya?” ucap Tuan Kadi itu lantas memandang Farouqe di sebelahnya.
“Ya, tuan kadi..” jawab lelaki itu dengan senyum simpul.
“Silalah..”
Farouqe menghulur tangannya kepada Iqmal.
“Ahmad Norman Iqmal bin Ahmad Ansur,” ucap abang sulung Regina itu sambil memandang Iqmal di hadapannya.
“Saya.”
“Aku nikah akan dikau dengan Regina Fatyma Khan binti Rehmar Waleq Khan dengan mas kahwinnya Ringgit Malaysia 80, tunai!”  cukup lancar lidah Farouqe memandangkan ini bukan kali pertama dia menikahkan adik-adik perempuannya. Regina lebih hebat. Ini kali ketiga dia menikahkan Regina.
“Aku terima nikahnya Regina Fatyma Khan binti Rehmar Waleq Khan dengan mas kahwinnya Ringgit Malaysia 80 tunai!” akad itu disambut sempurna oleh Iqmal dalam masa beberapa saat sahaja.
“Sah?” Farouqe memandang dua saksi yang mendengar.
“Sah!” dua saksi itu segera menyambut pasti.
“Alhamdulillah..” ucap Kadi itu penuh kelegaan. Tidak susah untuk menyudahkan upacara ini. Seterusnya tangan ditadahkan untuk membaca doa.
Iqmal sekadar tunduk sambil mengaminkan doa. Di dalam hati dia berharap perkahwinannya kali ini akan kekal sehingga ke akhir hayat. Di harap dia mampu memikul tanggungjawab kepada orang-orang di bawah jagaannya dengan baik. Insya-Allah..

Tiada majlis sanding bagai nak rak. Hanya kenduri doa selamat setelah selesai upacara nikah siang tadi. Sebelum maghrib rumah itu sudah kembali seperti biasa. Yang tinggal hanya ahli keluarga.
Zayn dan Zayed pada mulanya mahu bersama Iqmal. Namun Puan Sri Bainun dan Tan Sri Ansur tidak membenarkan pasangan suami isteri itu diganggu dalam saat-saat begini. Arabella tidak ketinggalan menerima tempiasnya. Keesokan petang, saat Regina meminta untuk pulang ke rumahnya, Arabella tidak dibenarkan balik bersama dia dan Iqmal oleh Puan Iffah.
“Bella?” tanya anak itu dengan mata membulat.
“Bella tidur rumah nenek malam ni. Esok petang nenek suruh pak ngah hantar Bella balik rumah mama ya? Mama dengan papa Iqmal nak honeymoon,” pujuk Puan Iffah.
“Bella tak boleh ikut mama dengan uncle? Bella pun nak honeymoon,” jawab anak itu tanpa mengetahui apa maksud perkataan itu. Tergelak Puan Iffah memandang cucunya.
“Mama, tak payahlah. Mengarut aja honeymoon tu semua. Gina nak bawak Bella balik sekali,” ucap Regina tidak sanggup mahu membiarkan anaknya di situ. Bukannya dia hendak pergi berbulan madu bagai.
“Biarlah Bella temankan mama kat rumah ni. Gina pergilah ajalah dengan Iqmal balik rumah sana,” ujar Puan Iffah penuh makna.
Regina mendengus tidak senang. Macamlah ini pertama kali dia berkahwin sampai semua orang kena jauhkan diri daripada dia dan Iqmal.
“Bella temankan nenek ya? Lagipun Nisha dengan Maryam balik esok. Takkan Bella nak balik awal pulak, kan? Rugi Bella nanti,” umpan Puan Iffah lagi.
Arabella mula terdiam memikir. Betul kata neneknya. Macam rugi pula balik awal. Mulalah anak itu tidak tetap pendirian.
“Okaylah. Bella nak duduk dengan nenek!” ucap anak itu tanpa mahu berfikir panjang lagi.
“Jangan nak mengada-ada. Ikut mama balik,” tegas Regina.
“Tak naklah. Kalau Bella ikut mama balik, siapa nak kawan dengan Nisha? Kesian Nisha.”
“Alah.. biarlah dia dengan mama. Esok abang Iqbal hantarkan balik. Gina pergi ajalah balik dengan Iqmal,” ucap Puan Iffah lembut.
“Bella ni saja aja tau!” desis Regina lantas menjeling anaknya itu. Macamlah Nisha sendirian aja di rumah ini.
Puan Iffah tersenyum-senyum memandang anaknya berlalu. Konon macam tak suka aja. Entah-entah suka dapat berdua-duaan dengan Iqmal.
“Mana Bella?” tanya Iqmal hairan melihat Regina sendirian sahaja bersiap.
“Dia tak mahu ikut,” jawab Regina perlahan. Beg pakaiannya diambil. Beberapa helai pakaian disumbat masuk ke dalam beg itu.
Iqmal mula tersenyum sendiri dengan jawapan sang isteri. Adalah tukang hasut agaknya tu. Tadi anak itu berkobar benar mahu pulang ke rumah mereka.
“Esok kita ambil dia ya?” ucap Iqmal sambil mendekati Regina.
“Hmm..” jawab Regina acuh tidak acuh.
“Macam tak happy aja ni? Tak suka ke berdua aja dengan abang?”
“Gina tengah kemas bajulah. Tak sabar nak berdua-duaan aja!” perli Regina lantas mendekati meja solek pula setelah beg itu siap dikemas. Segala macam harta bendanya di atas meja itu diambilnya untuk dibawa pulang bersama.
“Abang tunggu Gina di bawah ya?” ucap Iqmal seketika kemudian.
“Tolong bawak beg tu sekali, abang.”
“Boleh. Tolong bawakkan Gina ke bawah pun boleh,” sambut Iqmal selamba.
“Gina ada kaki. Tahu jalan sendiri,” cebir wanita itu perlahan sambil menunduk membuka laci meja solek. Tidak sedar Iqmal sedang mendekat. Spontan ada kucupan singgah di pipinya.
“Menjawab!” ucap Iqmal sepatah sebelum menjauh. Regina hanya mampu mengertap bibir memandang Iqmal pergi sambil menjijing dua beg di tangan.
Di bawah sekali lagi Arabella diajak pulang oleh Iqmal. Namun ajakannya tidak dilayan oleh anak itu. Tumpuannya lebih kepada sepupunya. Nisha sememangnya semenjak kecil amat rapat dengan Arabella. Sudahnya Iqmal dan Regina pulang berdua semata.
Ketika sampai di rumah hari sudah gelap. Di atas wanita mereka terus bersiap untuk menunaikan solat maghrib yang sudah tinggal sedikit sebelum menyambung ke solat isyak pula.
“Abang nak makan? Mama ada bagi lauk sikit. Gina boleh panaskan untuk abang.”
“Nak..” jawab Iqmal sepatah. Sejadah disangkut semula ditempat tadi. Kemudian dia membuntuti Regina ke bawah.
“Biar abang masak nasi,” pelawa Iqmal ketika mereka di dapur.
“Takpe. Gina boleh buat. Abang duduk dulu. Sekejap lagi Gina panggil abang.” Regina hanya menoleh seketika kepada Iqmal sambil tangannya memunggah bekas-bekas Tupperware yang dibawa dari rumah mamanya.
“Buat sama-sama apa salahnya? Cepat sikit siap. Cepat kita dapat makan,” jawab Iqmal tidak peduli kepada tegahan sang isteri.
Sudahnya Regina membiarkan saja lelaki itu membasuh beras. Lauk pauk yang dibawa tadi segera ditenggek di atas dapur. Sesudah selesai kerjanya, Iqmal mula menghadap isterinya itu pula.
“Abang tunggu depan ya?” ucap Iqmal sambil meletakkan tangannya di pinggang wanita itu. Regina sekadar mengangguk. Namun sebelum berlalu, tangan lelaki itu melarat pula sehingga ke perutnya. Berderau darah perempuan itu dibuatnya. Iqmal selamba saja berlalu macam tiada apa-apa berlaku.
“Naquib ada datang jenguk Bella lepas Gina berpisah dengan dia dulu?”
Regina segera mengangkat pandangan kepada Iqmal di hadapan sambil menggeleng.
“Kenapa?” tanya Iqmal hairan. Tidak rindu anakkah lelaki itu? Anak secerdik itu sanggup dibiarkan tanpa kasih sayang?
“Dia memang macam tu. Tanya pasal Bella sekali sekala aja. Bella pun dah terbiasa dengan keadaan ni,” jawab Regina rendah. Namun walaupun Naquib tidak begitu peduli kepada Arabella, duit saraan anak mereka tetap diberi setiap bulan melalui akaun bank. Dia sedar Naquib bukan persis lelaki yang sarat dengan sifat kebapaan. Dunia lelaki itu hanya kerjayanya sahaja. Dahulu pun bukan lelaki itu yang mahu benar ada anak. Kehadiran Arabella tidak dirancang. Hadir begitu sahaja.
Melihat wajah Regina layu semacam mulalah hati lelaki itu dijentik rasa simpati. Kasihan Arabella. Namun dia kagum. Anak itu seperti ibunya. Tabah dengan keadaan yang datang.
“Kalau ayah kandung dia tak mahu sayang dia, biar abang yang beri kasih sayang tu.”
Regina hanya diam. Dia tahu Iqmal sudah semakin rapat dengan Arabella. Cara Iqmal melayan Zayn dan Zayed juga membuatkan hatinya sejuk. Dua kembar itu nampak ceria sepanjang bersama Iqmal.
Jam sebelas malam Iqmal naik ke atas. Regina baru sahaja selesai mengemas baju Iqmal ke dalam almari.
“Hmm.. mata ni belum mengantuk. Tapi kaki abang ni gatal nak naik atas aja. Tak tahulah kenapa. Mungkin sebab bosan duduk sorang di bawah,” ucap Iqmal saat merapatkan pintu.
Regina mula menoleh kepada Iqmal. “Dah mulalah tu..”
“Memang nak mulalah ni. Malam tadi tak dapat nak mula apa-apa. Bella ada dengan kita. Sekarang?” giat Iqmal ala-ala kemiangan.
Regina mula tidak tentu arah saat Iqmal mendekatinya. Pantas tangannya mencapai sehelai baju tidur lelaki itu dari dalam almari.
“Baju abang..”
Iqmal memandang baju itu seketika sebelum diambilnya. “Baru ke?” tanyanya. Tidak pernah pula dia lihat pijama itu sebelum ini.
“Barulah..” jawab Regina sekadar sambil lewa.
Namun Iqmal tiba-tiba menarik tangan Regina lebih dekat kepadanya. Sesuatu dibisikkan ke telinga isterinya itu. Buat seketika Regina terpempan sendiri. Kemudian wajah Iqmal dicari oleh dua bola matanya. Melihat lelaki itu sedang menyengih nakal, spontan baju ditangan Iqmal dirampas. Pijama itu dilibasnya ke arah lelaki itu. Iqmal tergelak besar sambil melarikan diri. Geram punya pasal baju itu dilempar pula ke arah Iqmal.
“Malas nak layan!” gerutu Regina sambil menjeling.
Tersengih-sengih Iqmal memandang Regina berjalan ke kamar mandi dengan tuala di tangan. Sebaik sahaja pintu kamar mandi di tutup, Iqmal meluru ke arah almari. Pintu almari dibukanya pantas. Baju tidur Regina yang dilihat bergantungan di satu bahagian terus dikautnya semua sekali. Mulalah dia menggelupur mencari tempat untuk menyorokkan pakaian itu. Biar biru mata hitam Regina mencari bajunya. Iqmal tergelak dalam hati. Siaplah perempuan itu nanti..
Regina terkedu melihat sebahagian pakaiannya di dalam almari lesap. Nampak macam ada makhluk sudah mengusiknya. Pantas dia memandang ke arah Iqmal.
“Mana baju Gina, abang?”
“Abang dah suruh jiran sebelah tolong simpankan,” jawab Iqmal selamba.
“Jahat betullah dia ni! Gina nak pakai baju apa kalau macam ni!” getus Regina mula meninggikan suara. Namun Iqmal hanya tersengih memandang isterinya itu.
“Kan abang dah bisik tadi. Pedulikanlah pasal baju tu. Baju-baju tu semua selamat dalam jagaan jiran sebelah,” jawab Iqmal lantas tergelak sendiri.
Regina hanya mampu menghela nafas. Serius benar Iqmal dengan kehendaknya. Sampai sanggup menyorokkan baju tidurnya. Apa yang diucapkan Iqmal di telinganya tadi??
‘Malam ni Bella takde. Jadi kita boleh tidur bogel sampai pagi..’

Begitulah bunyinya yang membuatkan darahnya menyirap!