Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Ahad, 25 Mei 2014

14-BUTAKAH CINTA

Masa terus berlalu..
“Kenapa Gina tak terima aja tawaran di UM tu? Kan dekat dengan abang? Tempoh pengajian pun sama aja. 5 tahun jugak,” ucap Iqmal lembut sahaja.
“Sebab Gina memang dah lama bercita-cita nak sambung study kat RCSI. Abang, bukan senang nak dapat tawaran kat Dublin. Sekarang ni student kebanyakannya di hantar ke Mesir dan cawangan universiti dia yang lain,” jawab Regina separuh memujuk.
Iqmal diam lagi memikir sendiri. Sebelum ini 3 tahun dia berjauhan dengan Regina. Jauh pun takdelah jauh benar. Sesekali dia ada meluangkan masa ke sana bertemu buah hatinya di Melaka. Tetapi 5 tahun di Ireland.. dia tidak tahu macamana nak menghadapi keadaan itu.
“Mama Gina cakap apa?” Iqmal menoleh sedikit kepada gadis di sebelahnya itu. Pujuk punya pasal, Regina sanggup menempel kepadanya.
“Mama bagi peluang pada Gina untuk putuskan sendiri apa yang terbaik untuk Gina. Mama tak kisah pun Gina nak pilih yang UM atau RCSI,” jawab Regina lembut sahaja.
“Belajar kat sini aja pun apa salahnya? Mana-mana U pun sama ajakan? Gina tak kesiankan abang ke? Macamana dengana abang nanti kalau kita dah berjauhan,” rendah sahaja suara lelaki itu.
“Tapi ini cita-cita Gina, abang. Please, faham Gina.. 5 tahun aja. Bukannya lama.” Mendayu-dayu suara perempuan itu memujuk si lelaki.
“5 tahun, sayang. Bukan 5 hari.. bukan 5 bulan. Macamana abang nak faham? Dalam 5 tahun tu macam-macam boleh jadi.” Iqmal mengeluh perlahan. Bukanya dia tidak faham cita-cita Regina mahu menjadi doktor. Dia terlalu faham dan dia terlalu suka. Tetapi dia tidak faham mengapa Regina mahu memilih belajar di tempat yang jauh itu sedangkan tawaran di tempat yang dekat ada. Hanya kerana kemegahan nama Royal Surgoen Collage Of Ireland itu? Malah jika Regina memilih belajar di UM, mereka bakal berada di bawah satu bumbung nanti.
“Habis tu abang tak sukalah ni? Abang tak bagi Gina pergi?” tanya Regina agak rendah. Macam mahu merajuk gayanya.
Iqmal menghela nafas panjang sambil meraup wajah sendiri. Serba salah! Mahu menghalang.. siapalah dia kepada Regina? Tetapi mahu menerima begitu sahaja. Faham-faham sendiri ajalah siksa hatinya nanti. Walaupun sekadar berjauhan antara KL dan Melaka, dia sudah nanar mencari Regina di sana bila ada masa terluang. Inikan pula kalau bertahun tidak bertemu muka.
“Abang.. walaupun Gina jauh dari abang tapi Gina tetap sayangkan abang. Abang ingat Gina tak risau bila abang jauh daripada Gina? Dulu abang kata abang akan tetap tunggu Gina sampai bila-bila. Selama ini Gina percaya pada abang. Abang takkan sakitkan hati Gina. Kenapa abang tak boleh letakkan kepercayaan tu pada Gina?” ucap Regina lembut.
“Tapi apa pentingnya Gina pilih yang jauh sedangkan yang dekat ni ada. Sama ajakan? Abang pun study kat UM. Takkan Gina tak suka ada dekat dengan abang? Hari tu bila Gina cakap Gina dapat offer dari UM, abang happy sangat. Sekarang ni dah lain pulak,” balas Iqmal bersungguh.
“Gina dah cakap tadikan apa sebabnya?”
“Hanya sebab RCSI tu nama besar?” teka Iqmal cukup mudah.
Terkebil-kebil Regina memandang wajah kusut buah hatinya itu.
“U dalam Malaysia ni tak cukup bagus ke, sayang? Kalau nak diikutkan abang pun ada cita-cita macam Gina. Dulu abang dapat tawaran ke London tapi abang tolak. Sebab siapa? Sebab Gina! Kenapa sekarang Gina tak boleh berkorban benda yang sama untuk abang?” balas Iqmal rendah.
“Tapi bukan Gina yang suruh abang tolak tawaran tu kan?” ucap Regina pantas.
Iqmal terus menoleh kepada gadis di sebelahnya. Kata-kata yang meluncur mudah itu tiba-tiba membuatkan hatinya terasa pedih. Ya! memang bukan Regina yang meminta dia berbuat begitu. Tetapi itu keputusan dia sendiri kerana dia terlalu sayang mahu meninggalkan Regina jauh di Malaysia.
“Takpelah.. Gina fikirlah apa yang terbaik untuk Gina. Apa aja yang Gina rasa baik, abang akan sokong,” ucapan itu diluahkan Iqmal perlahan. Dia tidak mahu kerana kehendak hatinya dia membuatkan Regina serba salah pula. Dia sedar dia tiada hak mahu menghalang Regina mencari cita-citanya.
“Gina janji lepas Gina balik nanti, kita terus kahwin..”
“Kahwin sekarang tak boleh ke?” tanya Iqmal semula. Sengaja dikeraskan riak wajahnya.
“Tak naklah sekarang!” getus Regina sedikit manja.
Iqmal tersenyum memandang wajah buah hatinya. Dalam keresahan hati, dia terasa sedikit damai tatkala memandang raut Regina. Sungguh! Dengan sepenuh hatinya dia menyayangi gadis ini. Terlalu sayang!
“Macamana? Boleh tak Gina pergi?” tanya Regina bersungguh.
“Abang akan tunggu Gina balik,” ucap Iqmal tanda rela dengan keputusan Regina. Namun hatinya kala itu seperti mahu menangis dengan keputusan yang diluahkan. Ikhlasnya tiada. Dia mengucapkannya kerana cinta. Tidak mahu kerana dia Regina menanggung beban kecewa akibat impian yang tidak kesampaian.
Jawapan itu cukup membuatkan bibir gadis itu tersenyum mekar. Ikutkan hatinya mahu sahaja tubuh lelaki itu didakapnya.
“Terima kasih, abang..” ucap Regina halus.
“Janji dengan abang, Gina akan selalu hubungi abang nanti,” ucap Iqmal lembut.
“Gina janji!”
Iqmal mengangguk perlahan. Bibirnya tersenyum kelat sendiri. Sebuah keluhan dilepaskan dalam pada dia memikirkan masa depan. Apa yang harus dia lakukan nanti. Ketiadaan Regina sudah tentu tidak mudah untuk diharunginya. Tetapi tidak mengapalah! Asalkan Regina gembira, dia rela mengorbankan kehendak dirinya.
Namun sayang seribu kali sayang. Takdir Allah mendahului impian mereka. Perpisahan datang juga tanpa rela. Kini dua manusia itu menjadi dua orang asing biarpun cinta masih bergunung di hati.

Itu cerita dulu..
Mata Iqmal terus segar mengenang setiap cebis kisah lalu itu. Pedih hatinya tidak terucap. Seolah-olah semua itu masih segar. Seperti baru semalam berlaku.
Regina Fatyma.. sebaris nama itu terus diseru oleh hati lelakinya penuh rasa sendu. Sayangnya impiannya kepada Regina sudah tidak mampu digapainya lagi.
Perlahan Iqmal menoleh ke sebelahnya. Tidur Zahnita tidak lena. Wanita itu sebenarnya masih belum mampu terlena. Batuknya kedengaran berkali-kali. Simpati Iqmal terus tumpah melihat keadaan isterinya yang kian uzur.
“Nita..” panggil Iqmal lembut. Perlahan bahu wanita itu disentuhnya.
“Ya..” Zahnita menoleh sedikit kepada suaminya. Namun wajah Iqmal tidak mampu kelihatan pada pandangannya lagi.
“Minum ubat batuk dulu,” pinta Iqmal lembut.
“Nita dah minum tadi. Biarlah dulu..” sambut Zahnita lembut.
Iqmal memandang lama wajah itu sambil menghela nafas perlahan. Kerisauan hatinya sudah tidak terucap lagi. Sedikit demi sedikit kekuatan Zahnita runtuh. Kini yang tinggal hanya sisa. Dia tersiksa melihatnya.
“Abang..” panggil Zahnita lembut.
“Ya..” perlahan sahaja jawapan Iqmal.
“Nita tahu abang susah hati. Tak perlu begitu, abang. Kita hanya perlu terima keadaan ni dengan hati yang terbuka. Mati tu dah pasti,” ujar Zahnita tenang sahaja.
Iqmal tidak menjawab. Namun keluhannya terhela perlahan.
“Bila Nita dah takde nanti, Nita nak abang teruskan kehidupan. Gapailah apa yang pernah abang impikan dulu. Tentang Gina.. Nita tak mahu abang sunyi.”
“Apa Nita cakap ni? Abang tak suka dengar apa yang Nita cakap ni!” tekan Iqmal pantas.
“Nita tahu, bang. Abang masih sayangkan dia. Kasihan dia. Dia tak bersalah langsung pada kita. Tak sepatutnya dia jadi mangsa keadaan. Dah sampai masanya abang cari kebahagiaan abang sendiri. Nita tak mahu abang terus bergelut dengan sengsara.”
“Nita.. jangan fikir banyak sangat. Abang tak apa-apa. Abang tak layak berharap apa-apa lagi pada dia. Dia lebih berhak mendapat lelaki yang baik berbanding abang.” Iqmal membalas perlahan.
“Tapi abanglah lelaki yang dia sayang selama ini. Jangan kerana Nita abang sia-siakan cinta abang pada dia. Nita tahu betapa besarnya kasih sayang abang pada dia. Semua tu besar maknanya, abang.”
“Nita, itu semua kisah dulu. Kita jangan bercakap lagi tentang itu,” ucap Iqmal lembut.
“Nita tahu abang mengelak sebab takut perasaan Nita terluka. Abang, Nita tak pernah salahkan sesiapa keadaan Nita jadi begini. Nita tak pernah salahkan ayah abang sebabkan Nita hilang tempat bergantung. Nita bahagia sebab Nita diberikan kesempatan untuk merasa kasih sayang seorang lelaki sebaik abang. Kisah dulu tu masih belum selesai, abang. Jangan dibuang perasaan tu sebab perasaan tu tak bersalah. Abang berhak untuk dapat apa yang abang mahukan dalam hidup abang. Dah terlalu banyak abang menderita kerana Nita selama ini. Nita cuma nak abang dapat satu-satunya perempuan yang abang sayang.”
Iqmal hanya diam. Tidak! Zahnita tidak tahu sebenarnya yang ada di dalam hatinya ini. Dia memang tidak pernah berharap untuk kembali bahagia dengan Regina seperti dulu. Semua itu sudah berlalu. Inilah hidupnya dan dia reda dengan ini semua.
Zahnita menggapai tubuh suaminya itu. Teraba-raba dia mencari wajah lelaki itu. Tangannya terhenti sebaik sahaja tiba di pipi Iqmal.
“Lelaki ni hanya ada seorang dalam sejuta. Nita tahu kerana itulah Gina cintakan abang dulu. Dan Nita tahu betapa payahnya abang nak lupakan dia. Nita tahu dia masih satu-satunya wanita yang abang sayang. Sehingga sekarang! Nita tak pernah kecil dengan kenyataan tu, abang. Apa yang abang dah beri pada Nita hari ni, tak terbalas. Hanya Allah saja yang mampu membalasnya untuk Nita,” sayu luahan Zahnita membuatkan hati Iqmal dilanda sebak.
“Nita pun tak mahu terus hidup sekadar untuk memberi rasa derita pada abang. Tapi Nita yakin, apa yang dah Allah tentukan untuk kita, itulah yang terbaik. Mungkin Nita hanya datang menyinggah dalam hidup abang. Terima kasih sebab abang sudi beri peluang pada Nita menumpang kasih sayang abang selama ini. Maafkan Nita kerana Nita tak mampu jadi isteri yang dapat membahagiakan abang selama ini. Kalaulah diberikan peluang oleh Allah, Nita nak jumpa abang di syurga,” ucap Zahnita perlahan.
Tanpa sedar air mata Iqmal mengalir juga kala itu. Tidak terdaya untuk terus menadah deria pendengarannya kepada setiap ucapan sayu wanita itu.
“Abang redhakan semuanya, Nita..” bergetar ucapan lelaki itu.
Zahnita terdiam seketika. Daripada suara itu dia tahu Iqmal sedang menahan kesedihannya.
“Menangislah, abang. Supaya beban di hati tu reda. Nita tahu abang dah lama simpan kesakitan tu. Cukuplah dengan semua tu. Nita tak mahu abang pendam perasaan sendirian,” pujuk Zahnita lembut.
Iqmal hanya diam menahan perasaan sendiri. Biarlah pecah benteng kesabarannya. Namun bukan di hadapan wanita ini.
“Janjilah dengan Nita, bang. Abang takkan sia-siakan Gina lepas ni.”
“Nita, abang tak mahu dia terus ber..”
“Kesian dia, abang. Dia sayangkan abang.” Zahnita segera memintas sebelum Iqmal habis meluahkan kata. Jawapan Iqmal sudah mampu dibacanya.
“Abang cuma tak mahu Nita tinggalkan abang. Selama bertahun-tahun ni susah senang kita kongsi bersama. Takde Regina antara kita. Abang dah terbiasa begini, Nita. Biarlah kita begini. Abang nak Nita sembuh dan hidup dengan abang.”
“Tapi kenyataannya lainkan?” ucap Zahnita diiringi senyum pahit.
“Abang tetap tak putus harap, Nita. Kisah abang dan Regina.. itu semua dulu. Dia dah takde lagi dalam hati abang.”
“Jangan tipu diri abang sendiri, abang..”
“Abang takde sebab nak menipu diri sendiri, Nita. Dunia dia lain. Dunia kita lain. Abang tak mahu dia terus bazirkan masa untuk lelaki macam abang. Seikhlas hati abang lepaskan dia pergi dari hati abang. Hidup abang sekarang dengan Nita. Selagi ada upaya abang akan terus berusaha untuk buat Nita sembuh,” balas Iqmal tenang.
Zahnita terdiam mendengar ujaran suaminya itu. Sukar untuk diteka keikhlasan hati lelaki itu dalam keadaan dia begini. Namun dalam hatinya dia tidak rela terus membiarkan Iqmal terseret oleh derita bersamanya. Kalaulah boleh.. dia mahu berkorban untuk lelaki ini. Buat kali yang pertama dan terakhir!