Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Rabu, 1 Januari 2014

Bab 32-AKHIR SI KOLOT SUAMI KU

32
“Abang tak sunyi ke bini abang tu ada di KL? Bila dia nak balik?” soal Lisa cukup ramah.
“Sunyi jugak. Tak tahu lagi bila nak balik. Papa dia masih dalam rawatan lagi,” jawab Kudin tanpa mengalihkan pandangannya daripada kerjanya.
Lisa tersenyum sendiri mendengar jawapan Kudin. Lelaki itu mula didekatinya. Dia melabuhkan duduknya di hadapan meja Kudin. Semenjak kebelakangan ini dia lihat Kudin sudah sedikit ‘slow’ dengan dia. Kudin tidak lagi menghalau dia setiap kali dia datang ke pejabat Kudin. Cumanya lelaki itu tetap tidak seramah dulu lagi apabila bercakap dengan dia. Lelaki itu hanya bersuara apabila perlu sahaja.
“Kesian Rinakan, bang? Mesti dia susah hati sekarang ni. Lisa sendiri pun tak dapat bayangkan macamana Lisa nak terima keadaan tu kalau benda tu jadi pada keluarga Lisa,” ujar Lisa cukup lembut mengalun suara sayunya. Macam ikhlas benarlah tu kononnya.
Kudin mengangguk sahaja dalam kesibukannya itu.
“Lisa harap dia tabah dengan semua dugaan ni,” tambah Lisa lagi.
“Dia okay. Mula-mula dulu dia memang sedih. Tapi semenjak kebelakangan ni dia dah mampu sesuaikan diri dengan keadaan. Hidup ni memang takkan selamanya macam tu aja,” jawab Kudin masih tidak memandang si Lisa.
Lisa mengangguk setuju dengan bicara lelaki itu.
“Abang, nampak buzy sangat. Ada apa-apa ke yang Lisa boleh tolong?” tanya Lisa lembut.
Kudin mula menoleh. Ada kerutan tergaris di dahinya mendengar kata-kata Lisa. Tiba-tiba Lisa baik hati pula mahu menyumbang tenaga di situ. Ikutkan kesibukan dia saat ini memang dia memerlukan bantuan seseorang.
“Betul ke nak tolong?” soal Kudin bersungguh.
“Ada apa-apa kerja yang abang nak Lisa buat?”
Kudin pantas mengambil sebuah buku dari dalam laci mejanya. Buku itu diserahkan kepada Lisa bersama sebatang pen. Kemudian dia mengambil sehelai kertas yang terselit di bawah buku di hadapannya itu lalu diserahkan kepada Lisa. “Nah.. isi semua yang terkandung dalam kertas ni dalam buku tu. Tahukan macamana nak buat?”
“Abang ajarkanlah..”
Kudin menghela nafas perlahan. Namun permintaan Lisa diturutinya juga. “Okay.. bukak bahagian report yang last sekali dibuat,” arah Kudin sambil menunjukkan buku yang diberikannya kepada gadis itu sekejap tadi.
Lisa terus melakukan apa yang disuruh oleh Kudin. “Yang ini?” lembut sahaja pertanyaannya. Kudin memandang seketika buku yang sudah terbentang luas itu. kemudian dia terus mengangguk.
“Angka yang ada dalam kertas tu kau isikan dalam kotak kosong tu ikut turutan. Kemudian ambil kalkulator ni. Angka yang terdahulu tu kau tolakkan dengan angka yang dalam kertas tu. Jawapannya nanti kau letak pada bahagian kosong yang last tu.”
“Okay.. Lisa dah faham,” jawab Lisa cukup senang dengan tugasan yang diberikan Kudin kepadanya. Senang sahaja baginya dan yang lebih bermakna lagi dengan tugasan ini dapatlah dia berlama-lama di dalam pejabat lelaki itu sambil meraih kepercayaan Kudin kepada kesungguhannya.
Kudin kembali kepada kerjanya tanpa sebarang perbualan lagi. Dia mahu segera menyelesaikan tugasnya di situ sebelum pergi menjenguk ladangnya pula. Namun sedang dia ralik menyudahkan kerjanya telefon di dalam poket seluarnya bergetar. Sebaik sahaja gadjet itu dikeluarkan Kudin melihat nama isterinya tetera sebagai pemanggil. Bibirnya segera tersenyum.
Dah rindu dengan Abang Kudin ke? Detik hatinya seronok. Baru beberapa hari mereka tidak bertemu dia sudah dicari-cari Edrina selalu. Pagi petang dan malam Edrina tidak pernah culas memanggilnya. Bahagia rasanya hati lelaki itu. Kudin sempat berlalu dari pejabat itu sebelum menjawab panggilan itu.
“Abang sibuk ke?” pertanyaan itu menerpa setelah salam dihulurkan Edrina.
“Sibuk jugak. Rina kat mana ni?”
“Kat rumah. Papa dah discharge semalam,” jawab Edrina lembut sahaja.
“Alhamdulillah.. sayang okay ke tu?”
“Hmm.. biasa je. Abang sihat?”
“Sihat. Baby abang sihat ke hari ni?”
“Semuanya okay. Abang jangan bimbang. Rina tak pernah abaikan pesanan abang hari tu,” jawab Edrina cukup mesra.
“Emm.. bila sayang nak balik? Dah lama sangat Rina kat sana.” Perlahan sahaja nada Kudin mengalunkan kata-katanya.
“Baru 4 hari je pun abang ni!” getus Edrina sambil ketawa.
“Dah lama sangat tu, yang. Abang ni pun macam nak demamlah pulak rasanya.” Tiba-tiba Kudin terbatuk-batuk.
“Ish! Batuk lagi. Tulah.. dah dua hari abang asyik batuk je. Tekak ni pun macam tak berapa sedap. Kepala sakit. Hidung ni pulak dah berapa hari asyik tersumbat aja. Selesema..” ujar Kudin sambil membuat nada paling polos di alam semesta ini.
“Hmm.. nak demam tu sebab kurang minum air masak kut. Cuaca panas sekarang ni. kena banyak minum air masak. Abang tu mesti asyik minum air kopi ajakan? Kopi tu bagi panas badan tau, bang!” komen Edrina sengaja buat tidak faham olah lelaki itu.
Kudin menggaru kepalanya. Alahai.. bini aku jawab macam tu pulak. “Emm.. abang dah minum banyak air masak. Betul, yang! Tapi masih nak demam jugak,” ucap Kudin bersungguh.
“Tadi Rina tanya, abang kata sihat. Sekarang mengadu nak demam pulak. Mana satu yang benar ni? Tadi suara tu sengau konon-konon macam tengah selesema. Ni elok balik dah suara tu?” desis wanita itu sudah cukup lama terhidu drama propaganda suaminya itu. Setiap olah Kudin sudah masak di benaknya ini.
Kudin terus terdiam dengan mata terbuntang sendiri. Aku dah terkantoi ke ni? detik hati Kudin dengan mulut sedikit ternganga. “Suara abang okay ke? Ni memang tengah tak sihatlah,” jawab Kudin bersungguh.
“Nak suruh Rina baliklah tu..” cebir Edrina di hujung sana.
“Yalah.. sunyilah abang Rina takde. Tak boleh tidur. Esok abang pergi ambil sayang ya?” jawab Kudin rendah sahaja.
“Mengada-ada betul. Hari tu abang cakap abang bagi Rina duduk sini jaga papa. Baru 4 hari dah suruh balik pulak,” desis Edrina semakin geram.
“Abang pun nak kena jaga jugak.” Kudin segera membuat suara meminta simpati.
“Yalah.. esok abang datang ambil Rina,” putus Edrina mengalah juga. Rasanya dengan keadaan ayahnya yang sudah tegap, dia harus mengutamakan suaminya pula. Lagipun ramai orang di rumah itu boleh menjaga ayahnya sedangkan suaminya hanya bersendirian di rumah mereka. Tambah lagi satu faktor, dia pun sebenarnya teramat rindukan lelaki itu.
“Betul, sayang? Esok sehabis saja abang solat subuh, abang pergi sana ya?” ucap Kudin mula ceria suaranya.
“Ya. Abang jangan lambat pulak.”
“Tak, sayang. Esok awal pagi abang bertolak. Ni yang buat abang bertambah sayang ni.” Kudin berbisik perlahan sambil menyeringai sendiri. Kakinya menyepak-nyepak tanah di hujung kakinya entah kenapa.
“Kalau Rina cakap tak mahu balik lagi tak bertambah sayang ke?” perli Edrina selamba. Saat mendengar nada suaminya dia macam dapat membayangkan rupa suaminya. Mesti tengah tersengih macam kerang sambil menguis-nguis sesuatu yang berdekatan dengan dia.
“Ish! Mana boleh tak bertambah sayang. Bertambah jugak tapi nanti lepas Rina balik sini, Rina jugak yang siksa,” jawab Kudin lembut.
“Siksa kenapa pulak?” sambut Edrina pantas.
“Siksalah..” jawab Kudin sedikit berlagu.
“Yalah.. siksa kenapa pulak?” getus Edrina malas mahu berteka teki.
“Alah.. sayang ni buat-buat tak faham pulak. Kita kan dah lama tak jumpa. Mestilah abang nak itu.. emm.. alah! Yang itu tu,” ucap Kudin terus menyeringai membayangkan apa yang sedang melintas di otaknya itu.
“Gatalkan?”
“Gatal apa pulak?” sambut Kudin sengaja menahan tawa.
“Yalah.. itu tu apa maksudnya? Dah lama tak jumpa nak itu-itu. Apa itu yang abang maksudkan ni?” Edrina mendegus geram. Tak habis-habis gatal si Kudin.
“Maksud abang tadi.. emm..”
“Apa yang emm?” pintas Edrina saat Kudin termanggu seketika.
“Emm.. baju abang yang bersih dah nak habis. Banyak yang lain tak basuh lagi. Rumah pun dah bersepah. Abang tak sempat nak kemas,” jawab Kudin selamba.
Edrina terdiam sambil menarik nafas dalam. Itu rupanya! Patutlah nak aku balik cepat! Nak suruh aku kemas rumah dengan kain baju dia. Kurang asam punya suami.
“Abang Kudin..” sapaan dari arah belakang itu merencatkan perbualan dua manusia itu. Kudin segera menekup corong sebelum memandang ke belakang.
“Ada apa?” rengusnya sedikit terkejut dengan panggilan Lisa yang menerpa tiba-tiba.
“Lisa dah siapkan kerja tadi. Ada apa-apa lagi yang abang nak Lisa buat?” ujar Lisa dengan segaris senyuman manis di bibir.
“Takde apa-apa. Kau pergi balik sekarang,” ucap Kudin serius.
Berubah wajah Lisa kala itu. Balik? Dia tak mahu balik! “Lisa nak tolong abang kat sini,” ujar Lisa agak rendah.
“Dah takde apa lagi yang kau boleh tolong. Tolong pergi balik aja sekarang ni,” ujar Kudin selamba.
Sebal Lisa dengan arahan Kudin. Sudahlah tiada terima kasih. Sekarang dengan senang hatinya dia dihalau Kudin. Namun mahu tidak mahu Lisa berlalu juga dengan wajah cemberut. Sebaik sahaja gadis itu berlalu Kudin kembali melekapkan gadjet itu ke telinga.
“Sayang..” tiada jawapan kedengaran sebaliknya hanya nada panjang kedengaran menandakan talian sudah tidak bersambung antara mereka berdua.
“Aik? Dah putus ke? Terputus ke atau dia memang sengaja putuskan?” Kudin memandang telefonnya. Memang tiada lagi nama Edrina dan simbol ganggang tertera di skrin.
Kali itu Kudin pula cuba memanggil nombor isterinya. Namun sebaik sahaja talian bersambung panggilannya itu terus dimatikan oleh orang di sebelah sana. Dua kali dia mencuba akhirnya Kudin sekadar memandang kosong telefonnya. Hairan melihat perubahan tiba-tiba isterinya itu.
Si lelaki muda itu termanggu seketika berfikir sendiri. “Kenapa tiba-tiba dia buat macam ni kat aku? Dia dengar ke suara Lisa tadi?” ucap Kudin sendiri. Pelik!
Dia marahkan aku ke? Kalau tak kenapa dia tak mahu jawab call aku? Kudin terus tertanya sendiri dalam rasa hati yang cukup gundah. Satu sms segera dikirimkan kepada wanita itu. Namun beberapa ketika dia menanti smsnya tidak berbalas. Bertambah kalut Kudin jadinya. Ikutkan hatinya sekarang juga dia mahu pergi mencari Edrina di sana. Namun memikirkan kerjanya di ladang masih banyak menunggu dia hanya mampu mengeluh sendiri.
Ah! Malam karang dia okaylah tu kut.. bisik hati Kudin sengaja mahu memujuk dirinya sendiri.

Panjang doa yang dipanjatkan oleh lelaki itu. Tatkala zikir diteruskan di atas sejadah tumpuannya diganggu oleh satu bunyi yang tidak asing lagi baginya. Kudin menoleh ke arah telefonnya di atas katil. Melihat kerdipan cahaya dari skrin itu Kudin terus bangun dan menyidai sejadah.
Sms yang masuk sebentar tadi itu membuatkan Kudin agak tergopoh-gopoh mencapai telefon untuk membaca isinya. Dia tahu dalam waktu-waktu seperti ini pasti Edrina yang menghantar pesanan itu. Laju bola mata Kudin membaca apa yang terlakar di skrin itu.
‘Abang, Rina balik kampung sekarang. Dah! Jangan banyak kompen!’ Kudin terkedu sambil menggaru kepalanya.
“Aik? Mana dia tahu aku nak komplen banyak? Ni sms ugut aku ke.. marah ke.. merajuk ke apa ni? Dia balik nak ajak aku gaduh ke?” desis Kudin sendiri.
Kudin termanggu seketika sambil memandang telefonnya. Dia hairan macamana Edrina mahu balik dalam waktu-waktu begini? Ada kerisauan menjenguk ke kamar hatinya memikirkan keputusan wanita itu. Lalu Kudin segera membalas sms itu semula.
‘Nak balik naik apa? Kan abang dah cakap nak ambil esok pagi? Tunggu abanglah..’
Kudin duduk di birai katil seketika memikirkan isterinya itu. Sebuah keluhan terhela dalam rasa hati yang tidak aman. Tidak lama kemudian smsnya mendapat balasan.
‘Driver hantarlah! Takkan jalan kaki pulak..’
Jawapan yang berbunyi agak kasar itu membuatkan Kudin menghela nafas perlahan. Kepalanya digaru lagi. Mahu melarang dia bimbang rajuk isterinya bertambah panjang. Buatnya Edrina tidak mahu balik langsung, dia juga yang merana nanti. Mahu bersetuju dia bimbangkan keselamatan isterinya. Ah! Takkanlah pemandu kepercayaan keluarga mertuanya itu sanggup mengapa-apakan isterinya? Tidak mungkin..
‘Yalah.. tapi cakap dengan Abang Roslan tu, bawak kereta hati-hati.’ Kudin mengirim sms itu pula. Tiada balasan daripada Edrina selepas itu.
Selesai makan malam Kudin melepas menonton tv seorang diri. Namun dalam pada matanya melekat kepada skrin fikirannya sedang terbang mencari bayangan isterinya. Sebahagian hatinya memang sudah tidak sabar menunggu Edrina pulang ke pangkuannya. Sebelah lagi hatinya bimbang. Bimbang Edrina pulang kerana mahu mengganyangnya akibat peristiwa petang tadi. Bukannya dia tidak tahu perangai Edrina kalau sudah naik angin. Kalah singa betina yang hilang anak.
Ketika dia sudah terlentok sendiri di sofa itu Kudin kembali dikejutkan dengan bunyi hon kereta di hadapan rumah. Kelam kabut dia bangun untuk melihat siapa empunya kereta yang datang malam-malam begini. sebaik sahaja pintu rumah dibuka dia melihat Edrina berjalan ke arahnya dengan sebuah bag baju di tangan. Kudin terus turun di ke bawah.
“Abang..” tanpa mempedulikan di mana mereka berada Edrina terus mencampak bagnya dan meluru memeluk lelaki itu. Lagaknya macam dah bertahun-tahun mereka telah terpisah.
Terkedu Kudin melihat aksi isterinya. Aneh! Dia tak marah aku ke? Tadi macam dah nak ganyang aku sangat. Namun pelukan wanita itu tetap disambut Kudin dalam keadaan dirinya terpinga-pinga. Dalam pada dia memaut tubuh wanita itu kereta yang dinaiki Edrina tadi sudah berundur untuk pergi.
“Kenapa tak ajak Abang Roslan tu singgah?” tanya Kudin hairan melihat lelaki itu sudah pergi.
“Tak payahlah. Dia kena balik cepat. Esok dia kerja,” jawab Edrina setelah dia memandang kelibat kereta itu seketika.
Kudin mengangguk sahaja. Kasihan Abang Roslan. Tak pasal-pasal kena berjalan sejauh ini.. detik hatinya sendiri.
“Jom naik?” ajak Kudin cukup senang hati. Lega benar hatinya melihat mood baik isterinya. Tadi dia sempat menyangka mereka akan berperang besar nanti. Bag Edrina yang terdampar di atas tanah terus diambil Kudin sebelum memimpin wanita itu untuk naik ke rumah.
“Kenapa balik tiba-tiba? Kan abang dah kata abang nak ke sana esok pagi?” tanya Kudin sebaik sahaja mereka masuk ke dalam rumah.
“Saja. Abang tak suka Rina balik cepat ke? Tadikan abang kata abang nak demam. Mestilah Rina risau abang kat sini sorang-sorang,” ujar Edrina dengan senyum manisnya. Macam takde apa-apa sahaja lagaknya.
Jawapan Edrina terlebih dahulu disambut oleh sengihan Kudin. “Mana boleh tak suka. Bantal peluk abang dah ada malam ni.” Dalam fikirannya sudah merangka apa yang patut dibuat sekejap lagi.
 Edrina ketawa perlahan. Tubuh lelaki itu dipeluknya tanpa segan silu. Tampang lelaki itu ditatap sepuas-puas hatinya. Manalah dia mampu menahan dirinya daripada mencari lelaki ini jika dia tahu ada wanita lain sedang senang lenang mencelah ruang dikala dia tiada bersama Kudin.
“Papa macamana?” tanya Kudin setelah pelukan dileraikan. Edrina mula berdiri di hadapan cermin meja solek. Jemarinya mula menanggalkan segala perhiasan yang ada pada dirinya.
“Papa okay. Dia dah boleh masuk kerja semula minggu depan.” Wanita itu menjawab sambil mengerling lelaki itu melalui cermin.
“Alhamdulillah..” sambut Kudin penuh kelegaan.
“Macamana dengan abang pulak?”
Jantung Kudin mula berdegup kencang mendengar pertanyaan yang kedengaran bernada aneh di telinga. “Kenapa dengan abang?” tanya Kudin semula.
“Selama Rina takde kat sini siapa yang selalu temankan abang?” soal Edrina mula menghadapkan tubuhnya kepada lelaki itu.
“Mana ada sesiapa,” jawab Kudin sambil meneguk liur. Melihat renungan tajam isterinya dia tiba-tiba menggelabah entah kenapa. Kegusaran tadi mula kembali kepadanya tanpa dapat ditahan.
“Really? Suara perempuan dalam telefon petang tadi tu suara siapa?” tanya Edrina sedikit tajam.
“Itu Lisa, sayang. Takkanlah Rina nak syak abang dengan dia pulak,” jawab Kudin lembut. Wanita itu semakin didekatinya. Makna pandangan Edrina tidak susah untuk dimaknakan Kudin. Dia tahu isterinya sudah mula curiga kepadanya.
Edrina tersenyum sambil menggeleng. “Abang tahukan Rina tak suka dia? Abang tahu Rina ni jenis orang yang susah nak kontrol perasaan cemburu. Abang fikir semudah itu perasaan Rina boleh tenang bila ada perempuan lain datang pada suami Rina waktu Rina takde?” ujar Edrina bersahaja. Namun pandangan yang dilontarkan agak aneh. Tiada kemesraan dalam bola mata itu.
“Abang tahu tu.. tapi dia yang beriya-iya datang. Bukan abang yang suruh. Abang sendiri pun dah tak larat nak halau. Lagipun dia tolong abang di kolam tadi. Takde apa-apa yang berlaku pun, sayang. Sungguh!” ucap Kudin dengan pandangan yang tertuntas redup, memohon agar wanita itu tidak mengaggap dia yang bukan-bukan. Tidak pernah terlintas di benaknya mahu menduakan isterinya. Sekurang-kurangnya bukan dengan si Lisa itu.
“Rina sakit jiwa bila memikirkan dia terus-terusan menggoda suami Rina. Abang takkan faham sebab abang anggap itu semua sekadar satu perkara yang remeh, takde apa-apa. Tapi yang kat dalam ni sakit sangat, abang tahu tak? Takde perempuan yang boleh hidup tenang kalau ada perempuan lain terus kacau suami dia!” ucap Edrina terus meletakkan telapak tangan di dadanya.
“Jangan fikir yang bukan-bukan..”
“Itu ajalah yang abang asyik cakap pada Rina. Rina tak faham.. kenapa dia suka sangat nak dekat dengan abang? Macam dah takde lelaki lain dalam kampung ni. Kalau sekadar sebagai abang, kenapa dia tak suka pada Rina? Kenapa dia tak pernah cuba dekat dengan Rina sebagai kakak?” pintas Edrina sebelum Kudin menghabiskan pujukannya.
Kali ini Kudin terus terdiam, terbedik-bedik memandang isterinya. Ucapan isterinya berlegar-legar dalam benaknya untuk ditafsirkan kebenarannya.
“Rina ajak abang pindah KL, abang tak mahu. Abang sayang nak tinggalkan business abang. Rina faham. Tapi abang faham ke apa pulak yang Rina rasa sekarang ni?”
“Rina, dia tak pernah buat apa-apa dengan abang. Dan abang tak pernah pandang dia melebihi daripada apa yang seharusnya. Kenapa Rina syak abang macam ni?” balas Kudin pantas.
Edrina menggeleng sambil membalikkan tubuhnya menghadap cermin. Wajahnya diraup perlahan untuk meredakan ketegangan perasaannya. Sudah diagaknya. Kudin memang seorang lelaki yang lembut. Tetapi jangan sangka lelaki ini tiada egonya.
“Sayang..” keluh lelaki itu sambil mendekati isterinya itu. Kedua-dua belah tangannya diletakkan di atas bahu wanita itu. “Jangan macam ni. Dia boleh datang pada abang bila-bila masa yang dia nak. Tapi perasaan abang bukan untuk dia. Tak semudah itu, sayang!” ucap Kudin bersungguh.
“Apa sebenarnya yang berlaku antara abang dengan dia dulu?” soal Edrina dengan lirikan melalui cermin di hadapannya.
“Astaghafirullah.. apa sayang cakap ni? Kan abang dah kata dulu yang abang..”
“Kalau betul takde apa-apa, kenapa Lisa tu hanya dekati abang seorang. Kenapa dengan Rina tak?” Edrina sekali lagi memintas kata-kata suaminya.
“Rina..”
“Abang tahu tak betapa kecewanya papa dengan kita berdua bila abang menolak untuk ambil alih jawatan papa? Papa sama sekali tak mahu beri ruang pada Bad atau mana-mana ahli keluarga Tan Sri Ghafur masuk ke syarikat kita. Tan Sri pun tak setuju untuk lantik anak dia untuk jadi CEO. Disebabkan hal itu papa terpaksa terus pikul tanggungjawab di Semarak Holding.” Kali ini suara Edrina mula meninggi menentang kelembutan Kudin.
Kudin terkedu memandang isterinya. “Kenapa tiba-tiba kita bercakap soal ini? Kan abang dah jelaskan hari tu apa sebabnya abang tak mahu masuk ke Semarak Holding? Kehidupan kita kat sini, sayang.”
“Memang kehidupan Rina di sini, dengan abang! Tapi salah ke apa yang ada dalam fikiran Rina ni? Rina nak kita keluar dari sini sebab Rina tak tahan tengok suami Rina diganggu perempuan lain. Abang faham ke tak apa yang ada dalam hati Rina sekarang? abang nak Rina bersabar, sampai bila? Makin lama dia makin dekat dengan abang. Abang tak rasa apa yang Rina rasa sekarang!” tekan Edrina semakin meninggi.
“Rina, janganlah macam ni. Semua ni cuma dugaan kecil untuk kita,” keluh lelaki itu mula risau melihat kemarahan isterinya. Bahu wanita itu dipicitnya lembut.
“Rina nak mandi, bang. Nak rehat. Kepala ni sakit sangat,” keluh Edrina perlahan. Tangan lelaki itu diturunkan dari bahunya perlahan.
“Tengok tu? Janganlah fikir yang bukan-bukan. Bila Rina banyak fikir, Rina jugak yang stress. Lepas tu sakit kepala,” ucap Kudin sambil menggeleng sendiri.
“Rina letihlah. Bukan sebab stress,” jawab Edrina lantas ke almari.
“Jom abang temankan..”
Wanita itu tidak menjawab. Namun pelawaan itu dialu-alukan dalam hati.
Di ranjang itu..
Sudah lebih 5 minit wanita itu berbaring di sebelahnya. Namun tiada sepatah kata dikeluarkan Edrina walaupun matanya masih terbuka luas. Kudin memandang isterinya itu. Edrina asyik memicit kepalanya.
“Kenapa diam aja ni?”
“Takde apa nak cakap,” jawab Edrina lantas memalingkan pandangan ke arah sana.
“Sakit kepala lagi?” tanya Kudin lembut.
“Sakit. Tak boleh tidur,” getus wanita itu perlahan.
Kudin bangkit separuh badan. Wanita itu didekatinya. Lalu jemari yang sedang rancak mengurut dahi itu dicapainya. “Abang picitkan ya?” ucap Kudin lembut.
Edrina menggeleng perlahan. “Abang tidurlah. Rina tak apa-apa.” macam orang tiada mood aja Edrina menjawab. Tubuhnya terus dialihkan menghadap sana.
“Yang, janganlah marah abang. Abang ingat Rina faham pendirian abang,” ucap Kudin. Bahu wanita itu disentuhnya.
“Rina faham. Abang tak suka bergantung dengan orang lainkan? Abang sayangkan ladang abang sebab itu semua hasil titik peluh abang sendiri,” jawab Edrina hambar.
Kudin terdiam memandang belakang tubuh wanita itu. Perlahan dia membaringkan tubuhnya semula. Kata-kata Edrina sebentar tadi kembali difikirkannya. Antara kehendak dirinya dan harapan orang lain, dia masih tidak tahu yang mana harus dipilihnya. Mampukah dia meninggalkan kehidupannya di sini dan membina hidup baru di KL sana? mampukah dia meninggalkan apa yang dicintainya dan memegang sesuatu yang tidak pernah berada dalam anganannya?
Entah.. Kudin tidak pasti. 
  
 Akhir

Tanpa memberitahu Kudin yang dia hendak keluar, Edrina mula menghidupkan enjin keretanya. Tujuannya tiada lain. Dia mahu menghendap suaminya dan Lisa di kolam ikan Kudin. Seperti yang sudah dijangkanya, Edrina ternampak kereta Lisa terpakir di hadapan pintu masuk kawasan itu. Berselang sebuah kereta daripada kereta suaminya. Tidak berlengah lagi Edrina terus mencari pejabat Kudin.
Namun saat dia sudah menghampiri pintu pejabat itu Edrina memandang sekeliling seketika, mencari tempat untuk berselindung. Dia mahu lihat sejauh mana kebenaran bicara Kudin tentang Lisa.
Akhirnya Edrina memilih untuk berselindung di sebalik dinding bersebelahan dengan pintu masuk ke ruangan itu. Dari situ dia nampak Kudin sedang berdiri menghadap seseorang. Siapa lagi kalau bukan Lisa! Memang sakit hati! Itulah yang dirasakannya saat melihat Lisa mengendeng lagi kepada Kudin. Dia tidak tahu apa urusannya Lisa terus mencari suaminya itu. Sabar.. dia sudah bersabar. Namun hatinya terus sakit melihat gadis itu dengan muka tidak tahu malunya terus mencari suaminya.
Edrina bungkam di situ menelinga perbualan dua manusia itu. demi untuk mendengar perbualan itu dengan jelas dia sanggup menahan nafas agar pendengarannya tidak diganggu oleh deruan nafasnya yang sedang menderu laju.
“Lisa, tak boleh buat apa yang abang suruh tu. Lisa minta maaf, abang. Lisa balik sini untuk abang.” Suara Lisa kedengaran mencelah masuk ke gegendang telinga wanita itu.
“Aku dah ada isteri! kau ni pekak ke apa? Ke kau tak faham bahasa Melayu. Aku mintak kau baliklah ke KL, Lisa. teruskan hidup kau di sana. biarkan aku aman kat sini. jangan ganggu aku lagi,” balas Kudin meninggi.
“Abang.. Lisa.. emm..”
“Aku takde masa nak dengar benda merepek ni lagi, Lisa. Pergilah balik!”
“Abang Kudin, Lisa betul-betul minta maaf. Lisa tak mampu lepaskan abang lagi. Lisa sayangkan abang dan Lisa tahu abang jugak pernah ada perasaan tu pada Lisa. Lisa memang tersilap selama ini, bang. Apa yang Lisa cari selama ini sebenarnya ada depan mata Lisa.”
Ucapan Lisa itu membuatkan Edrina menekup mulutnya tiba-tiba. Hatinya bak kata terhempas ke batu. Benarlah dugaannya selama ini, Lisa memang ada hati kepada suaminya.
“Apa yang kau nak lagi, Lisa? Kau yang tinggalkan aku dulu! Dah terlambat untuk aku terima apa yang kau katakan ni. Aku dah ada kehidupan aku sendiri sekarang,” balas Kudin terus meninggi.
Berderau darah Edrina mendengar ucapan Kudin. Dadanya berdegup kencang.
“Abang..” tanpa segan silu Lisa meluru memeluk lelaki itu. Namun Kudin terus menolak wanita itu jauh daripadanya.
“Lisa tahu Lisa pernah buat abang kecewa dengan Lisa dulu. Tapi itu dulu, bang. Lisa balik sini untuk abang. Lisa nak hidup dengan abang. Lisa tak mampu sayangkan abang sebagai seorang abang. Lisa nak lebih dari itu. Lisa tahu abang pernah cintakan Lisa dulu.” Teresak-esak Lisa menangis di hadapan Kudin.
“Ya! memang aku pernah cintakan kau. Tapi aku ni sekadar lelaki kampung, Lisa. Dulu waktu aku sayangkan kau, kau pandang rendah pada aku. Kau layan aku macam sampah. Kasih sayang aku takde harganya untuk kau. Kau kata lelaki macam aku tak layak untuk kau. Kenapa baru sekarang kau sedar yang aku ni bermakna bagi kau, Lisa? Apa sebenarnya yang kau nak dari aku?” jerkah Kudin tanpa menyedari ada orang ketiga sedang menelinga kata-katanya dengan hati yang sudah hancur berkecai.
“Air mata kau tak mampu melembutkan hati aku, Lisa. Pergilah.. jangan ganggu hidup aku lagi. Aku dah tak perlukan kau di sini atau di mana-mana pun,” sambung Kudin membuatkan tangisan Lisa semakin pecah di situ. Namun apa yang Kudin tidak nampak ada seorang lagi wanita juga sedang menahan tangisannya daripada pecah biarpun air matanya sudah jatuh di pipi. Betapa hancur hatinya mengenang hakikat dia sudah ditipu oleh suaminya selama ini.
“Pergilah.. aku tak mahu kau datang cari aku lagi. Aku dah cukup bosan dengan semua ni, Lisa! Aku tak mahu diganggu. Pergi sekarang sebelum aku tolak kau keluar,” jerkah Kudin lantas menunding ke arah pintu.
Lisa menggeleng sambil menyeka air matanya perlahan. “Maafkan Lisa, abang. Lisa takkan berhenti sayangkan abang sampai mati,” ucap Lisa.
“Aku tak nak dengar lagi. Berambus sekarang!” semakin naik suara Kudin kepada wanita itu. Hilang sudah perasaan belas kasihannya kepada Lisa.
Mahu tidak mahu Lisa berlalu juga dari situ. Kudin terus mendekati mejanya sambil menghela keluhan keras. Dia tengah banyak kerja, Lisa menyibuk datang lagi ke situ.
Edrina tidak masuk ke pejabat Kudin sebaliknya dia mengekori Lisa ke ke keretanya.
“Hei!” panggil Edrina lantas dia memintas Lisa.
Langkah Lisa terhenti serta merta. Berubah wajahnya melihat Edrina berada di situ. “Kau nak apa lagi?” tanyanya dengan nada meninggi. Jelingan tajamnya dihadiahkan kepada Edrina demi mahu menzahirkan kebencian yang sedang meluap-luap kepada wanita itu.
“Sepatutnya aku yang tanya kau, apa kau nak lagi dengan suami aku?” ucap Edrina meninggi. Dadanya turun naik menahan rasa. Kalaulah dia seekor naga, pasti ada api yang menyembur keluar dari dua lubang hidungnya. Ikutkan hatinya yang sedang sakit, wanita ini mahu dicincangnya lumat-lumat.
“Aku nak jumpa abang angkat aku. Salah ke?” jawab Lisa sinis.
“Kau ingat aku bodoh ke ha?” Edrina mula bercekak pinggang di hadapan wanita itu.
“Suka hati kaulah nak cakap apa. Malas aku nak layan perempuan gila macam kau ni,” ujar Lisa lantas mencelah di tepi untuk ke keretanya. Namun Edrina yang tidak berpuas hati kembali mengejar wanita itu.
“Aku tak habis dengan kau lagi. Kau nak ke mana?” tukas Edrina meninggi. Sebelum sempat Lisa membuka pintu kereta sepenuhnya dia terlebih dahulu berdiri di tepi pintu itu.
“Kau jangan nak sakitkan hati lagi, boleh tak? Aku nak balik!” jerkah Lisa sudah mula hilang sabar. Sudahlah tadi Kudin menyakitkan hatinya. Sekarang Edrina pula mahu menambah lagi.
“Aku tahu kau dengan Kudin memang ada apa-apa dulu, betulkan?”
“Baguslah kalau kau dah tahu. Kau tu perampas kekasih orang. Sekarang kau boleh berambus! Aku nak balik.” Spontan Lisa segera menolak pintu itu. Pintu yang dihayun sekuat-kuat hatinya itu terkena pinggang Edrina membuatkan wanita itu terhumban serta merta.
“Aduh..” Edrina cuba bangun. Namun pinggangnya terasa sakit yang teramat sangat. Tubuhnya rebah semula di tanah. Dia mula terasa ada sesuatu sedang berlaku kepada dirinya. Dua bola matanya berkaca saat memandang ke langit di atas sana. Kesakitannya yang dirasai separas pinggang itu membuatkan dia tidak terdaya untuk bergerak.
Lisa terpaku tidak terkata melihat Edrina jadi begitu kerana perbuatannya.
“Astaghafirullah-al-adzim.. Rina!!!” Kudin terus menjerit melihat wanita itu jatuh terlentang. Lintang pukang dia berlari mendapatkan Edrina. Tubuh wanita itu dipangkunya. “Sayang..” panggil Kudin kuat. Edrina dilihat sedang terkebil-kebil sendiri.
Lisa hanya terdaya menekup mulutnya dengan mata berkaca. Pucat wajahnya melihat Edrina tidak berdaya untuk bangun.
“Apa kau dah buat pada bini aku??” herdik Kudin cukup lantang. “Sayang..” panggil Kudin panik melihat Edrina tidak memberi reaksi kepadanya.
“Sakit, abang..” keluh wanita itu mula memegang perutnya. Akhirnya esakannya terhela akibat kesakitan yang sedang mencengkam organ peranakannya. Kudin mula memandang kaki wanita itu.
“Ya Allah.. darah!” Seperti mahu menangis lelaki itu melihat seluar Edrina basah oleh cecair merah itu. “Kita pergi hospital ya? Mokhtar, tolong aku!!!” Kudin dah macam orang gila memekik di situ.
“Astaghafirullah.. apa dah jadi ni, Kudin?” Mokhtar ikut panik sebaik sahaja melihat keadaan Edrina.
“Anak aku, Mokhtar. Anak aku!!!” jerit Kudin sudah tidak tahu apa yang harus dibuatnya saat itu. Dia benar-benar terasa meraung di situ.
“Abang..” Lisa cuba mendekat namun Kudin terus mengherdik kepadanya.
“Kau jangan dekat dengan aku lagi!!!” wajah Kudin sudah merah padam bersalut dengan peluh menandakan kemarahannya sudah naik ke kepala. Berderai air mata Lisa akibat dijerkah lelaki itu.
“Kudin, sabar. Kita pergi hospital lekas. Bagi kunci kereta kau. Aku drive,” ucap Mokhtar yang masih mampu berfikiran dengan waras.
Ucapan Mokhtar itu mula mengembalikan kewarasan Kudin. Kunci kereta dari dalam kocek seluarnya terus diberikan kepada Mokhtar. Tubuh Edrina dicempungnya.
“Abang, Lisa tak sengaja. Lisa takde niat nak buat Rina jadi macam ni. Lisa minta maaf,” luah Lisa tatkala dia mengekori Kudin ke keretanya. Namun bicaranya tidak dilayan oleh Kudin. Lelaki itu terus menutup pintu kereta tanpa memandang kepadanya.
“Sayang.. pandang abang. Tahan ya? Kita pergi hospital.” Suara Kudin bergetar saat memanggil isterinya itu. Rambut isterinya diusap lembut.
Namun seruan lelaki itu tidak mampu dibalas Edrina dalam keadaannya begini. Tangisannya semakin pecah mendengar suara Kudin. Hatinya benar-benar hancur dengan segala yang dihadiahkan kepadanya hari ini. Terlalu hancur. Entah bila dapat dicantum semula.
Dua jam kemudian seorang doktor wanita mula memanggil Kudin. Sebuah berita sedih diberitakan oleh doktor itu. Air mata Kudin mengalir juga tatkala berita itu diperdengarkan kepadanya. Bertambah pilu hatinya mendengar ucapan maaf daripada wanita itu kerana gagal menyelamatkan kandungan Edrina. Kini hakikat yang harus ditelannya, permata hati yang dijangka bakal dilahirkan 6 bulan akan datang sudah diambil semula oleh Maha Pencipta. Hatinya hancur. Tetapi tiada apa yang dapat dilakukannya lagi melainkan reda.
“Anak aku dah takde, Mokhtar. Semuanya dah hancur!” keluh Kudin. Dia tersandar ke dinding di belakangnya. Akhirnya tubuhnya melurut jatuh ke lantai. Kudin menangis teresak-esak.
“Sabar, Kudin. Ini semua kehendak Allah.” Mokhtar berkata lembut sambil memegang pundak sahabatnya.
Kudin menggeleng kesal. Sesungguhnya kegembiraanya sudah hancur begitu sahaja. Dia tidak tahu bagaimana penerimaan Edrina pula nanti. Dia tidak tahu bagaimana dengan harus berdepan dengan Edrina berserta dengan berita malang ini. Mampukah Edrina menerima semua ini begitu sahaja? Entah.. Dia sungguh-sungguh tidak tahu!
“Kau kena kuat, Din. Sabar banyak-banyak,” ucap Mokhtar lembut.
Kudin diam sambil menyeka air matanya. Tiada guna dia menangis. Semuanya sudah berlalu pergi. Dia tahu.. kebahagiaan yang pernah dirasainya juga sudah berlalu pergi bersama jasad zuriatnya itu.


Sebaik sahaja membuka matanya Edrina memandang sekeliling. Dia sedikit keliru melihat wajah mamanya berada di sisinya.
“Sayang..” ucap Toh Puan Siti Aisyah mula tersenyum penuh kelegaan.
“Baby Rina macamana mama?” panggilan si ibu tidak dihiraukannya sebaliknya dia terus memegang perutnya. Apa yang dirasainya di dalam sana ialah.. tiada apa-apa. Kosong! Apa yang sering dirasainya sebelum ini tidak lagi dapat dirasainya. Wajah Toh Puan Siti Aisyah mula berubah mendengar pertanyaan Edrina. Dia tidak terkata jadinya.
“Mama?” Edrina kembali memandang wajah ibunya.
Toh Puan Siti Aisyah memandang Mak cik Kunah seketika. Pahit benar rasanya untuk dia meluahkan bicara begitu sahaja. Seorang ibu seperti dia pasti mampu merasai kesedihan yang bakal dilalui anaknya. “Mama tak tahu apa nak cakap, sayang.” Toh Puan Siti Aisyah berkata perlahan.
“Baby Rina okaykan? Kenapa Rina dah tak rasa macam dulu? Mama, cakaplah!” lengan Toh Puan Siti Aisyah sempat digegar Edrina.
“Kudin!” panggil Mak cik Kunah kepada anaknya itu. Kudin dilihatnya terpaku begitu sahaja seolah-olah tidak ada kekuatan untuk bersuara. Wanita itu segera membuat isyarat agar Kudin memberitahu Edrina keadaan sebenarnya.
Mahu tidak mahu Kudin mendekati isterinya itu dengan perasaan serba salah. Dia juga tidak berani mahu mengungkapkan hakikat sebenarnya. “Sayang, baby kita dah takde. Rina keguguran. Doktor tak dapat selamatkan anak kita,” ucap Kudin cukup rendah.
Edrina tidak terkata mendengar bicara suaminya itu. Kepala yang tadi diangkat memandang Kudin kini terlepas ke bantal seolah-olah ada batu besar telah jatuh ke atasnya. Satu persatu kenangan yang lepas kembali semula kepada kesedarannya. Namun apa yang paling tidak mampu ditahannya mengenangkan apa yang berlaku di kolam ikan Kudin beberapa jam yang lepas. Akhirnya dia hanya mampu menekup wajahnya dengan kedua-dua belah tangannya untuk melindungi apa yang sedang menunggu masa untuk pecah.
“Sayang, abang tahu sayang sedih. Tapi sabar ya? Insya-Allah kita akan ada peluang yang lain,” ucap Kudin lembut.
Suara lelaki itu tiba-tiba sahaja menaikkan kemarahannya. Tiba-tiba dia merasa cukup benci dengan nada seperti itu. Hipokrit! “Apa kau cakap?” soal Edrina setelah dia kembali memandang Kudin.
Kudin terkedu mendengar nada kasar isterinya itu.
“Peluang yang lain? kau tahu aku benci sangat-sangat dengan lelaki penipu. Tapi kau tergamak tipu aku pasal betina tu! kau tahu semua ni jadi sebab kau, jantan!” jerkah Edrina cukup kasar.
Wajah Kudin terus berubah ditampar kata-kata itu. “Apa sayang cakap ni? abang tak faham,” jawab Kudin dengan sedikit gelengan.
“Aku dengar daripada mulut kau sendiri yang rupanya dulu kau juga cintakan betina tu. Aku dengar kau sendiri yang ucapkan kata-kata tu, Kudin. Patutlah betina tu tak pernah jemu mencari kau. Kau pun tak sanggup nak jauhkan diri daripada dia. Kau tahu tak apa yang kau dah buat pada aku, Kudin? Kau menipu aku!!! Kenapa kau tergamak buat aku macam ni?” wanita itu memekik diakhir bicaranya. Air matanya ikut berderai di pipi tanpa dapat ditahannya.
Mak cik Kunah segera menuntaskan pandangannya kepada Kudin. “Apa semua ni, Kudin? Siapa perempuan yang Rina cakapkan ni? Lisa ke?” meledak suara Mak cik Kunah cukup terkejut mendengar itu.
Lembik lutut Kudin mendengar kenyataan yang dilahirkan oleh isterinya. Spontan wajahnya diraup menyesali kebodohannya sendiri. Sungguh dia tidak pernah tahu ucapan itu telah sampai ke telinga isterinya tanpa sengaja. Kelu lidahnya tiba-tiba untuk membela dirinya.
“Cakap dengan mak siapa perempuan tu? Lisa ke?”
“Lisa..” akui Kudin akhirnya. Kepalanya ditundukkan. Wajah si ibu tidak mampu dipandangnya. Dadanya terasa mahu pecah saat ini.
“Astaghafirullah..” hanya itu yang mampu diucap Mak cik Kunah dalam deruan nafas cukup kencang. Tidak disangkanya dalam diam-diam ada rahsia yang dia tidak pernah tahu selama ini.
“Sekarang kau mengakukan? Kau memang pernah ada apa-apa dengan dia. sebab tu kau tak sanggup tinggalkan tempat ni. Sebab dia ada di sini!”
“Sayang, demi Allah abang tak pernah terfikir macam tu,” ucap Kudin pantas.
“Aku dah tak percayakan kau lagi, Kudin. Kau tahu aku cukup tersiksa tengok keadaan tu tapi apa kau buat? Kau hanya diam! Kau lebih pentingkan ladang kau berbanding perasaan aku!” melengking lagi suara Edrina dalam tangisan yang pecah berderai.
“Rina, jangan macam ni. Sabar, sayang..” keluh Toh Puan Siti Aisyah tidak senang melihat Edrina menangis begitu.
“Aku benci lelaki penipu. Kau keluar!” Edrina terus memalingkan wajahnya daripada Kudin.
Kudin yang memandang hanya mampu menelan liur kepahitan. Hancur hatinya melihat kebencian yang sedang dihadapkan kepadanya. “Sayang.. abang tak bermaksud nak berbohong dengan Rina selama ini,” ucap Kudin cukup lembut. Jemari wanita itu cuba dicapainya namun Edrina lebih pantas menepis tangannya.
“Tak bermaksud? Puaslah hati kau sekarangkan? Puaslah hati kekasih kau tu? Pergi cakap pada dia.. dia dah boleh bertepuk tangan menang dengan keadaan aku macam ni. Aku dah hilang anak aku. Ini yang dia nak sangat selama ni. Dan kau.. hari ini aku dah faham.. kau memang tak akan tinggalkan apa-apa pun yang ada di kampung ni untuk aku? Semua yang ada di kampung tu terlalu bermakna pada kau tapi menyakitkan untuk aku, kau faham tak?” jerkahan itu terus melantun kuat segenap wad. Pandangan yang dilemparkan Edrina kepada Kudin mencerlang penuh dengan kebencian. Tidak ada terselit lagi biarpun setitis kasih sayang.
“Sayang, jangan cakap pada abang macam ni. Abang tak bermaksud macam tu. Abang tak pernah sayangkan dia macam abang sayangkan Rina selama ini,” rayu Kudin cuba menenangkan isterinya itu.
“Tapi kau takkan faham apa yang aku alami sekarang. Kau takkan rasa semua ni, Kudin. Kenapa kau tergamak tipu aku? Kau buat aku percayakan kau tapi..” semakin kuat tangisan wanita itu tanpa dapat meneruskan bicaranya lagi.
“Sayang, maaafkan abang..” Kudin cuba menyentuh Edrina namun wanita segera berpaling menghadap mamanya semula.
Toh Puan Siti Aisyah hanya mampu mengusap bahu anaknya itu. Simpati dia dengan apa yang berlaku. Dia juga kecewa dengan berita ini. Takdir Allah tiada siapa yang berhak menolaknya. Dia reda dengan kehilangan ini. Namun melihat keadaan hubungan Edrina dan menantunya berantakan begini, hatinya walang sewalang-walangnya.
“Sayang, maafkan abang. Abang tak bermaksud nak menyembunyikan tentang itu. Itu semua cerita dulu, sayang. Abang sayangkan Rina sangat-sangat,” ucap Kudin semakin bergetar suaranya. Matanya sudah mula berkaca sendiri.
“Aku dah tak mahu apa-apa lagi daripada kau, Kudin. Pergilah.. tinggalkan aku kat sini dengan mama,” ujar Edrina nekad.
“Sayang, jangan buat abang macam ni. Abang tahu sayang kecil hati dengan abang dua tiga hari ni. Abang akan pertimbangkan semula..”
“Aku tak perlukan keputusan kau lagi!” Edrina terus memintas kata-kata suaminya. “Aku tak akan pandang lelaki yang dah melukai hati aku, Kudin. Jangan membazirkan masa kau untuk perempuan macam aku. Pergilah balik pada kekasih kau tu. Dia kata aku perampas! Aku tak pernah tahu aku ni seorang perampas, Kudin. Tapi aku cukup faham apa perasaannya bila hak aku dirampas orang seperti mana anak aku hilang dari kandungan aku sekarang ni. Sakit sangat-sangat, Kudin! Hati aku hancur. Aku dah hilang semuanya,” ucap Edrina dengan tangisan kembali lebat. Wajahnya sudah merah dengan mata yang sudah sembab akibat terlalu banyak menangis semenjak tadi.
Air mata Kudin mula gugur mendengar luahan isterinya itu. “Pandang abang, sayang..” wajah wanita itu ditarik menghadapnya. “Abang akan tebus semuanya semula. Abang janji, sayang. Tolong bagi abang peluang,” rayu Kudin bersungguh. Suaranya menggigil menahan kesedihan yang menghujani jiwanya.
Edrina tidak menjawab namun tangan lelaki itu ditolaknya dari wajahnya.
“Takkan Rina sanggup tengok abang bersedih. Rina tahukan abang tak boleh hidup tanpa Rina? Abang memang salah. Abang minta maaf banyak-banyak, sayang.” Tenggelam timbul suara Kudin dalam rasa sebak yang semakin kuat mencengkam hati lelakinya.
“Mungkin aku yang patut minta maaf sebab menjadi penghalang kepada kebahagiaan kau dengan Lisa selama ni,” jawab Edrina tanpa memandang. Air mata di pipinya terus disekanya.
“Abang tak pernah sayangkan dia sedalam perasaan abang pada Rina. Takkan takde maaf lagi untuk abang, sayang?” wajah lelaki itu berkerut menahan tangisan yang mahu pecah saat-saat itu juga.
“Pergilah, Kudin. Aku tak mahu terus hidup tertekan begini. Lepaskan aku..” diakhir ayatnya Edrina menangis semula. Sesungguhnya dia tidak berupaya menepis kekecewaan yang sedang berlabuh di pantai hatinya.
“Jangan, sayang. Abang buat apa saja. Sayang nak panggil abang baby kan? Abang tak kisah. Abang suka.. asalkan Rina maafkan abang.” Air mata Kudin gugur setitis demi setitis saat bicara itu dilahirkannya. Jemari wanita itu digenggamnya erat. Hatinya tidak tertahan melihat derai air mata isterinya. Hatinya kian terdesak mahu merebut semula kepercayaan wanita itu biarpun dia tahu semua itu terlalu sukar buatnya selepas ini.
Edrina terus menggeleng. Tangganya ditarik kuat daripada genggaman lelaki itu. Sungguh! Kata-kata itu sudah tidak mampu membuatkan dia cair lagi. “Rina tak mahu tengok dia lagi, mama. Suruh dia keluar!” ucap Edrina dengan air mata terus berderai di pipi. Dia tidak ingin mendengar rayuan lelaki itu lagi.
“Astaghafirullah.. Bawak mengucap, Rina. Tak baik buat suami kamu macam ni,” balas Toh Puan Siti Aisyah. Bahu anaknya itu dipeluk dan diusap untuk menenangkan Edrina.
“Rina, abang minta maaf, sayang. Abang takde niat nak buat keadaan kita jadi macam ni.” Kudin cuba merayu lagi.
“Aku takkan maaafkan kau sampai mati. Sebab kau anak aku mati! Aku benci tengok muka kau, Kudin. Pergi!” pekik Edrina sudah tidak peduli lagi kepada orang di sekelilingnya yang memandang kepadanya.
“Kudin, keluarlah dulu. Biar Rina ni bertenang. Dalam keadaan dia macam ni, kamu tak boleh paksa dia. Salah seorang kena mengalah dulu.” Mak cik Kunah segera menarik anaknya itu agar menjauhi katil Edrina. Dia tidak sampai hati melihat keadaan Edrina terus tidak terkawal begitu.
Longlai langkah Kudin menuruti permintaan emaknya. Namun dia tidak terus keluar. Ketika di hujung katil itu kakinya terpaku di situ, memandang Edrina lagi. Sesungguhnya dia tidak sanggup untuk menjauhi wanita itu dalam keadaan begini.
“Baby Rina dah takde, mama. Kenapa Allah ambil anak Rina? Kenapa semuanya jadi macam ni, mama? Rina nak anak Rina balik!” Edrina terus memekik di situ, meluahkan kekecewaannya.
“Ya Allah.. bawak bertenang, sayang. Jangan cakap macam ni. Ini semua ujian Allah. Rina masih muda. Lain kali insya-Allah.. Rina boleh mengandung lagi,” ujar Toh Puan Siti Aisyah cuba memujuk anaknya itu. Tubuh Edrina dipeluknya erat.
“Rina dah hilang semuanya, mama. Kudin tipu Rina. Rina tak sanggup terus hidup kat situ lagi, mama. Rina nak balik KL dengan mama. Rina nak Kudin ceraikan Rina.” Tenggelam timbul suara Edrina di sebalik tubuh ibunya.
Kudin hanya memandang isterinya dengan seribu rasa bermain di jiwanya. Hancur hatinya mendengar kemahuan isterinya untuk berpisah. Namun lidahnya kelu untuk menjawab. Toh Puan Siti Aisyah sempat memandang wajah Kudin. Menantunya itu murung menundukkan wajahnya.
“Jangan cakap macam ni, Rina. Soal cerai berai ni bukan boleh dibuat main,” pujuk Toh Puan Siti Aisyah kesayuan. Belum setahun berkahwin sudah jadi begini. Namun dia tidak mahu terus melulu menghukum sesiapa. Semua yang terjadi pasti ada penjelasannya.
“Rina nak bali, mama. Tolong jangan paksa Rina lagi. Rina dah penat, mama..” rayu Edrina. Suaranya kedengaran sudah terlalu lemah. Tubuhnya melonglai dalam pelukan wanita itu.
“Yalah.. yalah.. kita balik rumah sana. Bertenang ya? Rina kena banyak bertenang. Tak boleh stress macam ni,” balas si ibu lembut.
Namun saat itu tiada balasan daripada Edrina.
“Rina?” panggil Toh Puan Siti Aisyah sambil meraih wajah anaknya itu. Mata Edrina dilihatnya sudah terpejam. Kepalanya terlentok di lengan wanita itu.
“Rina!” tubuh Edrina digoncang lagi. Kali ini mak cik Kunah ikut menggegarkan untuk menyedarkan Edrina.
“Panggil doktor, Kudin!” hanya itu yang mampu mereka lakukan sementelah Edrina sudah tidak memberi reaksi lagi.


Assalamualaikum.. salam hormat semua pembaca. kisah Si Kolot Suami Ku ini sampai di sini sahaja untuk saya sempurnakan manuskripnya. harapan saya semoga kisah ini dapat dibaca dalam versi cetak di masa akan datang. sepanjang bersama anda di dalam karya ini, segala kekurangan yang ada harap dimaafkan. bagi mereka yang memberi komen sy ucapkan terima kasih dan sy cukup menghargainya. Semoga ada peluang kita bersama lagi di karya yang lain nanti. Insya-Allah.. terima kasih semua dan selamat menempuhi tahun baru buat semua pembaca. Assalamualaikum. 
-Adnil Zaff-

4 ulasan:

  1. Best baca tulisan cik ct nih...nih abg kudin nih agak2 bila nak jumpa balik nih???? ;-)

    BalasPadam
  2. Hafisah, bila masa yang tepatnya sy x boleh janji. tapi Insya-Allah saya akan usahakan dlm tahun ni juga.

    BalasPadam
  3. Sedihh bab akhir ni��������

    BalasPadam