Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Sabtu, 18 Januari 2014

13-BUTAKAH CINTA

Pulang dari menonton wayang petang itu Regina lebih banyak berkurung di bilik. Sehinggalah ketika keluarganya mahu menikmati makan malam, dia dipanggil turun oleh adiknya.
“Akak tak mahu makan. Dah kenyang,” ucap Regina tanpa memandang Nirina yang berdiri di ambang pintu biliknya itu.
“Okay..” Nirina terus berpaling untuk turun ke bawah.
Regina kembali membelek kad ucapan bermuzik di tangannya itu. Kad itu diberikan Iqmal sempena hari jadinya semalam. Walaupun sekadar sekeping kad dan seutas jam tangan. Walaupun jam tangan yang dihadiahkan Iqmal harganya tidak setanding jam tangannya yang dibelikan mamanya, tetapi adat anak remaja seperti dia yang baru merasa ada pakwe.. jam tangan yang Iqmal hadiahkan itulah yang paling bermakna untuknya. Tak jemu-jemu dia membelek jam di pergelangan tangannya.
Teringat Regina kepada perbualan mereka siang tadi. Iqmal sudah mendapat tawaran menyambung pelajaran. Bermakna dia juga bakal menyusul jawapannya sedikit masa lagi.
“Abang tak mahu jauh-jauh dari Gina. Sebab itu abang pilih nak sambung di UM aja,” ujar Iqmal mengenai tawaran menyambung pelajaran di United Kingdom dalam bidang kejuruteraan.
“Papa abang marah tak?”
“Marah jugaklah. Tapi kat study kat UM aja pun apa salahnya kan? Abang dekat dengan Gina.. dengan mama abang. Abang takut kalau abang jauh takde siapa yang nak jaga mama abang.” Iqmal menjawab sambil tunduk merenung jemarinya sendiri.
“Jaga mama abang? Kenapa dengan mama abang? Kan papa abang ada?” tanya Regina tidak faham.
Iqmal diam pada permulaannya. Ayahnya mahu menjaga emaknya? Tidak! Dia tidak yakin dengan ayahnya itu. Selama ini saat mamanya kesunyian dia yang menemani emaknya. Ayahnya hanya buat tidak peduli. Bukan sehari dua keadaan mereka begini. Semenjak dulu ayahnya memang lebih banyak menghabiskan masa di luar berbanding dengan keluarga. maklumlah.. ahli perniagaan yang sibuk! Sebagai anak tunggal dan dia seorang lelaki, dia tahu tanggungjawabnya sebagai anak. Kerana itu dia rela melepaskan tawaran ke United Kingdom itu demi wanita-wanita yang dia sayang. Termasuklah juga Regina.
“Sebagai anak lelaki bertanggungjawab pada mama abang, Gina. Mama tu sunyi. Papa tak pedulikan dia sangat,” ujar Iqmal perlahan sahaja.
Regina mengangguk mengerti. “Gina suka abang belajar kat sini aja. Gina tak mahu abang pergi jauh-jauh. Nanti ramai minah saleh kacau pakwe Gina. Gina tak suka orang lain kacau abang.” Regina menyambut manja. Lengan Iqmal dipautnya mesra.
Iqmal ketawa kecil. Hidung wanita itu dipicitnya geram.
“Abang Iqmal, I love you so much..” Bibir Regina tersenyum lagi mengenang kenangan sebentar tadi itu. Rindunya aku dengan dia.. desis hati kecilnya sendiri. Baru beberapa jam mereka tidak bertemu namun kini seraut wajah itu sudah mula mengusik hatinya. Namun sedang dia khayal sendiri pintu bilik itu ditolak seseorang. Pandangan Regina terus tertuntas ke arah pintu itu. Batang tubuh emaknya sedang masuk melalui celahan pintu yang terbuka separuh sahaja. Regina terus bangun dari tilam.
“Mama nampak surat ni dalam peti pos kat depan rumah tadi. Surat untuk Gina.” Puan Iffah berkata lembut sambil menghulurkan sampul berwarna coklat di tangannya kepada Regina.
Laju tangan Regina menyambut surat itu. Tiga patah kata ‘Urusan Paduka Baginda’ yang tertera di hadapan surat itu membuatkan gadis itu mula teruja. Hujung surat itu terus dikoyakkan rakus. Puan Iffah mula duduk di sisi katil Regina. Dia juga mahu tahu apa isi kandungan surat itu.
“Mama, Gina berjaya dapat matriks.” Kuat suara anak dara itu memberitahu isi kandungan surat itu dalam rasa gembira tidak terkata. Ikutkan hatinya dia mahu melompat-lompat di atas katil itu. Tapi emaknya ada.. dia segan.
“Alhamdulillah.. baguslah kalau macam tu,” sambut Puan Iffah kelegaan. Selangkah Regina sudah berjaya menghampiri cita-citanya. Ibu mana yang tidak bangga. Namun kegembiraannya tidak dapat ditunjukkan sepenuhnya dalam pada perasaannya berperang hebat begini.
“Mama ada sesuatu nak tanya Gina. Mama nak Gina jujur dengan mama.” Puan Iffah berkata lagi dalam kelembutannya.
“Apa dia?” berubah sedikit wajah Regina melihat riak emaknya itu. Dadanya mula terasa lain macam. Seperti ada sesuatu yang serius sahaja mahu ditanyakan oleh emaknya.
“Mama nampak Gina berjalan dengan lelaki kat depan Sogo petang tadi. Mama ingat Gina keluar dengan Nita dan Ariya. Siapa lelaki tu?” ucap Puan Iffah tenang.
Regina tersentak. Spontan bibirnya merenggang menggambarkan rasa terkejutnya mendengar bicara mamanya itu. “Lelaki?” tanya Regina agak payah. Saat memandang wajah emaknya, liurnya terasa tidak tertelan!
“Jangan buat-buat terkejut. Mama tahu Gina faham apa yang mama maksudkan tadi. Gina nak mama tanya Nita ke?” balas Iffah serius.
“Ma.. bukan macam tu.” Regina terus mendekati emaknya. Tangan wanita itu dicapai. “Gina takde niat nak tipu mama pasal dia. Gina memang nak bagitahu mama tapi Gina tunggu masa yang sesuai,” jawab Regina mendayu-dayu.
“Bila masa yang sesuai tu? Lepas mama nampak dengan mata kepala mama sendiri? Mama tak suka Gina menipu mama macam ni,” tekan Puan Iffah sambil menggeleng sendiri.
“Gina minta maaf, ma..”
“Siapa lelaki tu? Boyfreind Gina? Semenjak bila Gina pandai buat benda macam ni? Tak bagitahu mama pulak tu!” pintas Puan Iffah tanpa sempat Regina menghabiskan ucapannya.
“Nama dia Iqmal. Dia bekas senior Gina waktu kat sekolah dulu. Gina..” Regina meneguk liurnya sendiri. Payah benar mahu membuatkan pengakuan itu. Bimbang emaknya tidak boleh menerimanya dengan hati yang terbuka.
“Gina suka dia, ma..” ucap Regina lantas menunduk. Malu benar mahu menadah wajahnya di hadapan emaknya itu.
Puan Iffah bungkam mendengar pengakuan anak daranya itu. rasanya usia Regina baru sahaja mencecah 18 tahun. Sudah ada teman lelaki pulak sekarang. Dia tidak sangka secepat ini Regina akan belajar tentang cinta.
“Dia?” tanya Puan Iffah setelah puas dia memandang wajah anaknya itu.
“Dia pun suka Gina.” Perlahan sahaja jawapan Regina. Tilam yang menjadi alas duduknya itu dicubit-cubit dalam pada dia cuba mengawal debaran yang memalu kuat dadanya.
“Semenjak bila Gina kawan dengan dia?”
“Dah dekat 3 bulan..” jawab Regina rendah.
“Dah 3 bulan baru mama tahu pasal ni? Kenapa tak berterus terang dengan mama? Mama tak mampu nak halang kamu semua nak berkawan. Mama faham itu semua lumrah anak remaja macam Gina ni. Tapi mama tak suka anak-anak mama jadi penipu, Regina!” serius nada Puan Iffah saat itu.
“Gina memang nak bagitahu mama. Tapi Gina takut mama marah,” jawab Regina perlahan sahaja.
“Jadi buat macam ni Gina ingat mama tak marah ke?”
“Ma, Gina minta maaf. Gina tak bermaksud nak menipu mama selama ni,” rayu Regina sayu. Dia tidak sangka secepat ini mamanya dapat menghidu apa yang disimpannya selama ini. Malu benar dia.
“Mama tak suka Gina dengan Iqmal duduk berpeleseran macam tadi. Gina ingat elok ke duduk berpeluk-pelukkan berdua. Langsung takde segan silu sedangkan orang semua nampak. Mana maruah Gina sebagai perempuan? Mana mama nak letak muka kalau kawan-kawan mama tahu perangai anak dara mama macam ni?” marah Puan Iffah.
Regina terdiam tidak mampu menjawab. Dia terus menunduk memandang tilam.
“Siapa nama dia?”
“Iqmal..”
“Tinggal kat mana?”
“Damansara Height.”
“Kalau Iqmal nak jumpa Gina, jumpa kat rumah! Mama tak benarkan Gina keluar lagi lepas ni. Mama tak suka tengok kamu berdua berpeluk-pelukkan macam tadi lagi. Kalau mama tahu Gina buat macam tu lagi.. tahulah apa yang mama nak buat!” ucap Puan Iffah cukup serius.
Regina mengangguk sahaja dengan muka orang bersalah. Langsung dia tidak mampu mengangkat pandangan kepada emaknya itu.
“Nanti aja dia datang rumah. Mama nak kenal lelaki mana yang dah buat anak dara mama jadi merenyam macam ni sekali. Hebat sangat ke dia tu?” getus Puan Iffah sebelum mengangkat punggungnya.
Regina mengangguk lagi.
Baru sahaja Puan Iffah mahu keluar langkahnya terhenti di hujung katil. “Apa tu?”
“Apa?” kali itu gadis itu mula mengalihkan pandangannya kepada si ibu.
Puan Iffah segera menunding kad yang berada di tepi bantal. “Kad apa tu? Siapa bagi?” tanya Puan Iffah lantas mendekati anaknya itu.
“Emm.. Abang Iqmal yang bagi.”
“Bak sini mama nak tengok. Mama nak baca jugak apa yang dia tulis untuk Gina,” ucap Puan Iffah selamba.
Berubah wajah Regina mendengar keinginan emaknya. “Mana boleh, ma. Itu rahsia!”
“Ah! Takde rahsia-rahsianya antara anak dengan mak. Bak sini kad tu. Mama nak baca jugak.” Serius benar Puan Iffah mahukan kad itu. Tangannya terus dihulurkan agar Regina segera memberikan kad itu kepadanya.
“Mama, tak payahlah baca! Malulah..” rengus Regina tidak senang dengan kemahuan emaknya.
“Bak sini mama cakap!” getus Puan Iffah tidak peduli.
Lambat-lambat Regina memberi juga kad itu kepada emaknya. Malu mukanya tidak tertahan. Mahu sahaja dia menekup mukanya dengan bantal melihat emaknya menahan senyum saat membelek kad itu.
“Nak muntah mama baca ayat jiwang karat dalam ni.” Komen itu segera diberikan wanita separuh baya itu setelah membaca kad ucapan selamat hari jadi anaknya itu. Mahu tergelak pun ada melihat stail anak-anak remaja bercinta.
“Ma.. jangan kutuk boleh tak? Dia ikhlas, ma! Dia cakap macam tu sebab dia betul-betul sayang Gina,” jawab Regina tidak senang.
“Dah! Geli telinga mama dengar,” rengus Puan Iffah. Kad itu segera dikembalikan kepada Regina. “Jangan lupa apa mama cakap tadi. Mama percayakan Gina dan mama bukan jenis emak yang suka mengongkong anak-anak. Tapi Gina jangan ambil kesempatan pada kepercayaan mama, faham?” ucap Puan Iffah serius.
“Faham, ma..”
Tanpa kata lagi Puan Iffah terus keluar. Sebaik sahaja kelibat emaknya hilang Regina terus menghempas tubuhnya ke tilam. Bantal diambil lalu ditekup ke muka.

“Malunya!!!!!” jeritnya di bawah bantal itu.


"Gina dah dapat tawaran tu, abang." berita itu segera disampaikan Regina lewat pertemuan mereka hari itu. Kali ini mereka duduk melepak di halaman rumahnya. Maklumlah.. dia dan Iqmal sama-sama sudah diberikan amaran oleh mamanya tentang perintah berkurung yang sedang dijalaninya itu.
"Alhamdulillah. Kat mana?" tanya Iqmal sambil merenung gadis di sisinya itu.
"Melaka.."
Kali itu wajah Iqmal mula berubah. "Melaka?" tanya lelaki itu agak payah.
Bersungguh-sungguh Regina mengangguk. "3 tahun.." tambah Regina lembut.
Iqmal mengangguk perlahan dalam pada dia cuba mengawal perasaannya. Namun Regina sudah terperasan ada sedikit kemendungan di wajah lelaki itu dalam keakurannya. Perlahan senyum di bibirnya memudar.
"Kenapa? Abang macam tak suka aja?"
"Bukannya tak suka. Abang happy Gina dapat tawaran melanjutkan pelajaran. Tapi abang sedih nanti Gina jauh dari abang," ucap Iqmal rendah sahaja.
"Gina pun tak suka kita duduk jauh. Tapi nak buat macamana? Gina janji Gina akan call abang selalu, Gina tulis surat, Gina email.. semua Gina buat!" balas Regina separuh memujuk.
Kelat senyuman yang dipamirkan Iqmal. Dalam rasa hati yang tidak senang, dia tahu dia harus merelakan demi masa depan Regina. Dia tahu dia tidak boleh mementingkan diri sendiri.
"Alah.. bukannya jauh sangat pun, abang. Kat Melaka tu aja," pujuk Regina lembut.
Iqmal diam. Matanya terus dihalakan ke hadapan dalam pada dia memikir sendiri. Walaupun hanya di Melaka tetapi dia tetap tidak akan dapat bertemu Regina semudah sebelum ini.
"Abang.." getus Regina geram melihat lelaki itu berdiam. Lengan lelaki itu terus digoncangnya.
"Apa?" soal Iqmal macam orang tengah mamai.
"Berangan apa? Dengar ke tak apa Gina cakap tadi?"
"Dengar.." hambar sahaja jawapan lelaki itu sambil mengeluh sendiri. Regina sudah mendapat tawaran memasuki Kolej Matrikulasi. Bermakna mereka akan berjauhan dalam tempoh 3 tahun ini. Keadaan itu membuatkan fikirannya kusut. Takut bunga yang dipuja diambil orang. Seketika kemudian dia memandang gadis di sisinya itu. Regina sedang memerhatikan dirinya.
"Abang susah hati.." luah Iqmal perlahan sahaja.
"Susah hati kenapa pulak?"
"Buah hati abang cantik sangat. Nanti ada orang kebas." Iqmal tercebir sendiri.
Mahu tergelak Regina mendengar ucapan lelaki itu. "Takde siapa pun yang nak kebas Gina ni."
Namun Iqmal terus menunjuk muka sedih. Kata-kata itu langsung tidak mampu memujuk hatinya. "Gina duduk jauh-jauh dari abang, Gina jangan lupakan abang tau?" ucap Iqmal sayu sahaja.
"Gina takkan buat macam tu. Gina tahu abang sayang Gina," jawab Regina bersungguh.
"Janji lepas habis belajar nanti Gina kahwin dengan abang?" ucap Iqmal masih tidak berpuas hati.
"Janji.."
"Janji jangan dimungkiri ya?" ucap Iqmal sedikit polos.
Regina tergelak melihat kegelabahan lelaki itu. Kepalanya digelengkan perlahan.
"Kenapa ketawa pulak ni?" tanya Iqmal hairan.
"Abang, Melaka tu masih ada dalam negara Malaysia ni. Dari sini pergi Melaka cuma 4 jam. Apa yang abang melalut sampai bab kahwin ni?" getus Regina gelihati.
"Gina memang tak faham perasaan abang," sambut Iqmal terus sayu.
"Gina faham. Gina pun sayang abang. Gina dah janji nak call abang hari-hari, email, surat.. apa lagi? Ha.. sms! Abang tak percaya Gina lagi ke?" ucap gadis itu bersungguh.
Iqmal diam sambil menunduk. Rasa hati tengah menggebu-gebu.. manalah dia sanggup berjauhan dari Regina? Siksa!
"Kita kahwin sekaranglah!" ucap Iqmal tiba-tiba.
Terbeliak mata Regina mendengar ucapan lelaki itu. Kahwin sekarang? Gila! 
"Abang, cubalah bawak bertenang. Gina bukannya nak pergi bercinta dengan orang lain. Gina pergi belajar, bang."
Iqmal meraup wajahnya seketika. Macamana dia nak bertenang. Hanya Tuhan sahaja yang tahu ketakutan yang bersarang di dalam hatinya ini. Bimbang Regina berpaling kasih darinya. Mahu makan tak kenyang seumur hidup dia nanti.
"Janji ya.. lepas habis belajar nanti Gina kahwin dengan abang?"
"Janji.. janji.. janji.." ucap Regina bersungguh.
Iqmal tersenyum lagi. Hidung gadis itu dipicitnya geram. "Abang main-main aja. Pergilah.. abang tahu ini cita-cita Gina. Takkanlah abang nak halang Gina nak berjaya." Iqmal berkata lembut.
"Mengada!" rengus gadis itu manja. Lengan Iqmal sempat dicubitnya.
"Belajar rajin-rajin. Nanti dah jadi doktor, Gina boleh ubatkan abang kalau abang sakit," ucap Iqmal sambil tersenyum.
"Okay.."
"Nanti dah berjaya jangan lupa abang tau," kata Iqmal lagi.
"Iya.. takkanlah Gina nak lupakan abang. Hari-hari Gina ingat abang," sambut Regina mesra. Sayang punya pasal, pesanan emaknya dia sudah lupa. Lengan Iqmal dipautnya. kepalanya dilentokkan ke bahu lelaki itu. 
"Sayang abang.."
"Abang lagilah sayang.."

2 ulasan: