Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Khamis, 16 Januari 2014

11-BUTAKAH CINTA

Ya! benar kata Iqmal. Jika dia tidak membenci lelaki itu, dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk berdiri di hadapan Iqmal dan Zahnita begitu sahaja. Tanpa ada hati yang pedih. Tanpa ada rasa yang beperang sendiri! Itulah yang dia rasai semenjak dia mendengar luahan Iqmal. Dia tidak mampu memandang Iqmal begitu sahaja setiap kali lelaki itu berada di hadapan matanya.
“Kamu tak pergi ziarah Nita di hospital hari ni?” tanya Bibik Ruyati lembut kepada Regina pagi itu. Dia lihat Regina sekadar bersiap dengan pakaian santai di rumah.
“Tak, bik. Nita dah balik ke rumah semalam. Gina nak relax kat rumah aja,” jawab Regina lembut. Hari ini dia lambat bersarapan. Semua orang sudah pergi kerja. Tinggal dia dan bibik Ruyati di rumah berdua.
 “Kamu baik-baik ajakan?” tanya Bibik Ruyati lembut. Tampang gadis itu tidak jemu langsung untuk ditatapnya.
“Gina okay. Kenapa? Bibik nampak Gina macam tak okay ke?” tanya Regina lantas memandang wanita itu.
“Kamu tak senyum langsung dari tadi. Senyum kamu tu manis, Gina. Kalau disimpan di dalam nanti jadi kencing manis,” ujar wanita Indonesia itu.
Regina terus tergelak. “Bibik ni pandai-pandai ajalah! Tak pernah Gina dengar ada orang tak senyum boleh kena kencing manis,” sambut Regina mula sedikit terhibur perasaannya dibuat oleh wanita itu.
“Kamu nanti bila udah mula kerja mesti susah bibik mahu lihat muka kamu di rumah lagi. Pasti sibuk macam si Nina. Perginya pagi.. baliknya pasti udah lewat malam baru nampak di rumah,” ujar Bibik Ruyati biasa.
“Nina tu sebab dia sibuk melayan boyfreind dia. Bukannya sebab kerja,” jawab Regina selamba. Cawan teh dianggkat ke mulut sambil memandang ke hadapan. Baru-baru ini dia terdengar Nirina sudah mula serius bercinta dengan seorang lelaki. Kawan satu pejabat dengan dia.
“Kamu sendiri kapan mahu mencari pacar lagi?” soalan itu dibalikkan kepada Regina pula.
“Gina nak kerja dulu, bik.”
“Belum kerja pun apa salah kalau punya pacar. Lagi bagus. Kamu bisa luangkan masa senggang sama pacar kamu,” komen Bibik Ruyati pantas.
“Memanglah. Tapi Gina malas nak fikir sangat pasal ni semua,” jawab Regina pula.
Bibik Ruyati menghela nafas perlahan. “Jangan ditunggu sesuatu yang bukan untuk kamu lagi, Gina. Kamu ni cantik. Di luar sana pastinya ada yang suka sama kamu.” Nasihat pendek itu segera diluahkan Bibik Ruyati.
Regina terdiam tidak menjawab. Kali ini dia tunduk menyuap mehoon goreng di dalam pinggannya itu. Jelas benarkah sikapnya sampai semua orang boleh membaca isi hatinya?
“Hari ni Gina tolong bibik kemas ruang tamu. Bibik masak ya?” ucap Regina usai dia menikmati sarapan paginya.
“Iyalah..” sambut wanita Indonesia itu senang.
Berbekalkan kain lap dan bulu ayam dengan penuh kegigihan Regina mengemas ruang tamu rumah itu. Dua jam kemudian dia sudah mula menghela nafas puas hati walaupun agak keletihan. Sejuk matanya melihat susun atur perabut di ruang tamu itu sudah berubah. Bibik Ruyati masih sibuk seorang diri di dapur. Akhirnya bertemankan air teh pagi tadi, dia duduk melepak di ruang tamu itu menonton tv seorang diri.
Namun fikirannya terus berpusar sendiri. Mencari kenangan lalunya bersama Iqmal.

“Kalau Gina tak senang dengan apa yang abang cakap tadi, abang minta maaf.” Iqmal di sisi berkata lembut sambil memandang raut gadis itu. Dia perasan Regina hanya membisu semenjak dari dalam tren tadi. Resah hatinya melihat gelagat gadis itu. Mungkin hanya dia seorang sahaja yang berperasaan begitu selama ini.
“Takpe. Gina tak kisah pun,” ucap Regina dalam pada dia meneruskan langkahnya untuk keluar dari stesen komuter itu.
“Abang takut Gina dah tak mahu jumpa abang lagi lepas ni,” ujar Iqmal di sebelah.
“Kenapa selama ni abang tak pernah tegur Gina kalau betul abang sukakan Gina?” tanya Regina terus menoleh kepada lelaki yang sedang berjalan seiringan dengannya itu. Dia macam tak percaya luahan Iqmal sebentar tadi. Selama ini lelaki itu hanya buat tidak nampak sahaja kepadanya.
“Sebab abang segan. Lagipun kita di sekolah. Tak elokkan kalau kita campur adukkan hal-hal macam ni dengan pelajaran? Lagipun kita masih terikat dengan peraturan sekolah.” Iqmal menjawab tenang.
Regina diam memikirkan jawapan lelaki itu. Ada betulnya juga. Sebaik sahaja mereka selesai menuruni tangga stesen komuter itu, di sisi jalan Iqmal menarik tangan gadis itu. Mereka terhenti seketika di situ.
“Abang cuma nak peluang untuk dekat dengan Gina. Walaupun mungkin Gina tak boleh terima abang lebih daripada seorang kawan buat masa ni, abang faham. Tapi abang nak Gina kenal siapa abang sebenarnya. Tolong jangan ambil hati dengan apa yang abang cakap kat dalam tren tadi tu.” Iqmal menambah bicaranya bersungguh.
“Gina bukannya tak suka abang. Tapi Gina terkejut dengar apa yang abang cakap tadi. Macam mimpi pulak. Selama ni abang macam sombong sangat. Senyum pun tak mahu. Tiba-tiba aja abang cakap abang sukakan Gina,” jawab Regina sambil tersenyum sedikit.
Berubah wajah Iqmal kala itu. “Gina sukakan abang?” tanya Iqmal dengan sorotan mata mencerun tajam ke wajah gadis itu.
“Lain kali tegur.. jangan buat bodoh aja! kalau Nita tak ajak abang keluar agaknya sampai bila-bila abang takkan tahu yang Gina suka abang selama ni,” jawab Regina lantas menarik tangannya daripada lelaki itu. Pandangannya dialihkan kepada jalan raya yang sibuk.
Iqmal akhirnya ikut tersenyum memandang sisi wajah gadis itu. Mereka melintas jalan bersama.
“Kenapa selama ni Gina pun tak pernah tegur abang?” tanya Iqmal pula setelah selamat berada di seberang sana.
“Eee.. takkanlah Gina yang nak mulakan. Malulah!” rengus gadis itu pantas.
Iqmal ketawa perlahan sambil memandang gadis itu. Macam bermimpi sahaja akhirnya dia dapat berjalan seiringan dengan gadis ini. “Selama ni abang selalu pandang Gina dari jauh aja. Abang selalu tengok Gina melepak dengan kawan-kawan Gina tu kat tempat Gina selalu lepak lepas habis waktu rehat. Harap-harap lepas ni abang tak perlu lagi curi-curi pandang Gina macam dulu. Tapi.. honestly pandang dekat-dekat macam ni lagi best. Kecantikan tu abang boleh nampak dengan lebih jelas.”
Regina tersenyum memandang lelaki itu sekilas. “Mulut maniskan?” sambut Regina malu-malu.
“Oh.. sebelum keluar rumah tadi abang memang ada makan buah kurma. Kawan mama abang hadiahkan sebab dia baru balik dari Iran. Memang manis kurma tu. Tu yang mulut abang jadi manis macam ni bila jumpa Gina,” jawab Iqmal sambil menyeringai nakal.   
“Iyalah sangat..” cebik Regina sambil menjeling. Kuat tali begnya yang tersangkut di bahunya dipegang erat. Maklumlah.. dada tengah berdebar semacam.
Iqmal ketawa kecil memandang gadis itu. Gelagat malu-malu dan mahu tapi mahu si Regina benar-benar membuatkan hatinya kembang semacam.
Sebaik sahaja bertemu dengan Zahnita dan Ariya di tempat yang mereka janjikan sebelum ini, mereka berempat terus mencari tempat melepak sambil makan. Ariya asyik mengeluh kelaparan menunggu Regina dan Iqmal. Medan Selera The Mall menjadi pilihan remaja seperti mereka.
Tetapi hanya mereka bertiga yang makan. Iqmal sudah kenyang. Jadi dia hanya minum sambil memerhatikan gadis di sebelahnya makan. Ariya dan Zahnita tersenyum-senyum melihat gelagat tak senang duduk Regina tatkala dirinya diperhatikan Iqmal.
“Abang asyik pandang, Gina rasa macam nak tercekik. Boleh tak pandang tempat lain?” getus Regina geram. Bertambah geram meluhat ada bibir yang tersenyum-senyum mengajuk dia.
“Abang nak tengok buah hati abang makan.” Perlahan sahaja suara Iqmal menjawab kepada Regina. Sengaja.. kerana hanya mahu kata-kata itu Regina seorang sahaja yang mendengarnya.
Berderau darah Regina mendengar kata-kata Iqmal. Terus terencat seleranya. Aku belum cakap apa-apa lagi.. dia dah pandai-pandai mengaku aku buah hati dia, bisik hati Regina sendiri.
“Pasal tu kita cakap nanti ya? Kat sini ramai orang. Seganlah..” ucap Regina juga sengaja memperlahankan nadanya.
“Kan elok kalau abang nombor telefon Gina? Dari tadi abang tunggu Gina bagi abang nombor phone, Gina buat bodoh aja,” ucap Iqmal sengaja berkias-kias. Pandangannya mula dialihkan ke arah lain. Buat seketika dia memerhatikan kawasan tempat makan itu yang sudah sesak dengan orang ramai.
“Tak mintak manalah nak tahu,” bebel gadis itu seorang. Dia kembali meneruskan suapannya.
  “Kalau boleh bagilah alamat rumah sekali,” bisik Iqmal tanpa mempedulikan pandangan dua teman Regina itu. Tersenyum-senyum dia memandang paras gadis itu.
“Nak buat apa alamat rumah?” getus Regina lantas menoleh.
“Sebab abang nak tahu rumah Gina kat mana,” jawab Iqmal selamba.
Regina tidak menjawab. Namun dia sudah tersenyum sendiri melihat gelagat lelaki di sebelahnya itu. Matanya dihalakan semula ke arah pinggannya. Nak tahu rumah? Buatnya Iqmal buat kerja gila datang ke rumah, apa dia jawab pada mamanya?
“Boleh ya? Kata orang.. bila kita tengah angau, tak dapat tengok orangnya tengok bumbung rumah pun jadilah. Macamana abang nak tengok bumbung rumah Gina kalau rumah Gina pun abang tak tahu?” ucap Iqmal sambil menyeringai kepada gadis itu.
“Siapa yang cakap macam tu? Tak pernah dengar pun ada pepatah melayu ke.. pepatah Inggeris yang bunyinya macam tu?”
“Itu pepatah yang abang reka sendiri sebab abang nak mengorat Gina,” jawab Iqmal cukup bersahaja. Hujung jari telunjuknya menguis-nguis lengan Regina yang terdedah.
Regina segera menoleh dengan renungan tajam. Ada sahaja ulah lelaki ini yang membuatkan dia tidak senang untuk makan. Zahnita dan Ariya saling berpandangan melihat gelagat dua manusia di hadapan mereka itu.
“Ehemm... kat meja ni ada empat orang semuanya. Apasal aku terasa macama ada dua orang aja ek? Dah mabuk cinta ke apa ni?” perli Ariya sengaja menguatkan suaranya. Sepasang manusia lagi terus memandang Ariya. Wajah Regina mula berubah warna.
“Ary, kau dah habis makankan? Jom kita tengok magazine kat sana?” ajak Zahnita sambil menunjukkan satu kedai buku kecil di pintu masuk medan selera itu.
“Jomlah.. tak senang merpati dua sejoli ni kita ada kat sini,” ujar Ariya sengaja memerli Regina dan Iqmal.
Iqmal tersenyum senang hati melihat dua sahabat Regina yang begitu sporting dengannya. Macam tahu aja dia memang sangat menginginkan ruang berdua sahaja dengan Regina.
“Seganlah, abang. Janganlah buat macam tadi.” Regina terus merengus sebaik sahaja Zahnita dan Ariya berlalu. Pinggan nasi ayamnya ditolak ke hadapan. Gelas jus tembikainya terus dicapai.
“Bagi no phone Gina,” pinta Iqmal lembut.
Regina akur. Mujurlah dalam begnya memang ada pen. Tapi kertas pulak takde. Puas dicarinya di mana resit bayaran tadi. tiada! Takkan nak koyak majalah kesayangannya? Tak kuasa..
“Kertas takde. Bak sini tangan abang,” ucapnya sambil memandang lelaki itu. lelaki itu sedang sibuk menjenguk isi begnya.
Dengan senang hati lelaki itu terus menghulurkan tangannya. Matanya memerhatikan apa yang ditulis Regina. “Alamat rumah?”
“Tak payahlah..” getus Regina tidak senang. Segan dia mahu membiarkan Iqmal datang ke rumahnya.
“Kenapa pulak tak payah? Abang nak tahu rumah Gina kat mana. Nanti senang abang nak cari Gina. Kalau abang tak jumpa Gina, boleh abang tanya pada mama Gina.” Iqmal menjawab selamba.
Regina merenung sebal lelaki itu. Nak tahu rumah jugak buat apa?
“Bolehlah.. manalah tahu nanti abang nak tulis surat. Senanglah alamat rumah dah ada. Tulis nama penuh Gina sekali.” Iqmal terus petah meluahkan ayat-ayat powernya kepada gadis itu sambil menyengih.
“Nama jiran sebelah rumah tak mahu ke?”
“Jiran tak payahlah. Nanti bila abang dah kahwin dengan Gina, abang berkenalan sendiri dengan jiran-jiran rumah mak mertua abang tu nanti. Nama penuh Gina aja dah cukup buat masa ni,” balas Iqmal terus menyeringai pada gadis itu.
“Mengada!” getus Regina pantas.
“Cepatlah.. kalau tak abang tanya Nita ya?” ucap Iqmal setelah melihat Regina hanya memandang tajam kepadanya.
Regina menghela nafas perlahan sambil mendecit sendiri. Akhirnya dia menulis juga alamat rumahnya di lengan lelaki itu.
“Okay.. bak sini pen tu. Abang pun nak conteng tangan Gina.” Terus pen di tangan Regina diambil Iqmal. Tanpa meminta, tangan gadis itu segera diambilnya.
“Hmm.. tangan lembut,” ucap Iqmal tanpa memandang. Tangan gadis itu terus dibalikkannya.
Regina segera memandang wajah lelaki itu yang berada dekat dengannya. Lelaki ini memang mulut manis! Saja nak buat dia jadi tak tentu arah macam sekarang ini.
Di sebalik lengan Regina dicoretkan Iqmal beberapa angka. Kemudian dilukis pula imej kartun seorang budak perempuan dan di bawahnya tertera.. ‘I love you, Regina Fatyma’. Iqmal tersenyum saat melepaskan jemari gadis itu.

Lama pandangan Regina terpasak pada lukisan dan coretan aku cinta pada mu itu. Nombor telefon itu dia tidak peduli sangat. Tetapi tiga patah kata itu benar-benar membuatkan dia terasa macam sedang dilambung ke udara. Macam nak pengsan pun ada. Tapi indahnya memang tidak terkata! Begini rupanya rasanya bila jatuh cinta pada seseorang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan