“Gina datang,” ucap Iqmal kepada Zahnita sebaik sahaja batang
tubuh Regina dilihatnya berada di ambang pintu. Regina masuk ke wad itu dan
Iqmal memilih untuk keluar.
“Dah lama ke kau sedar? Semalam aku tunggu kau tapi kau
tak sedar lagi.” Regina menyapa sambil meletakkan bungkusan makanan yang
dibawanya.
“Aku terjaga pagi tadi. Lama betul rasanya aku tidur,”
balas Zahnita tanpa memandang.
“Macamana keadaan kau? Demam lagi?” tanya Regina sambil
menyentuh leher Zahnita. Lega hatinya saat dia terasa bahagia leher Zahnita
suam-suam sahaja.
“Aku okay. Cuma doktor kata aku dah buta. Mungkin sampai
bila-bila aku takkan dapat tengok kau lagi. Takpelah.. asalkan kau boleh nampak
aku dan aku boleh bercakap dengan kau syukur alhamdulillah,” ucap Zahnita
sebaik sahaja dia terdengar kerusi di sebelah katilnya itu diduduki seseorang.
Regina tidak menjawab. Namun matanya terus berkaca
mendengar ucapan Zahnita itu. Cepat sungguh kolam matanya penuh. Butiran itu
laju sahaja jatuh ke pipinya.
“Kenapa kau diam?”
“Ha? Err.. takde apa-apa. Aku tengah tengok wad ni.”
Regina menjawab pantas dalam tangisan yang sengaja dikawalnya.
“Kau menangis?” tanya Zahnita sambil menoleh ke tepi.
“Takdelah. Mana ada..”
“Aku tahu kau
menangis. Hanya mata aku aja yang tak nampak lagi. Tapi telinga aku ni masih
boleh dengar suara kau, Gina.”
Regina pantas menekup mulutnya. Tidak mahu esakannya
terlepas pada pendengaran wanita itu.
“Kenyataan ni memang pahit untuk orang macam aku. Tapi
aku dah lama bersedia. Aku tahu sampai satu saat ini semua pasti akan terjadi
jugak. ini juga petanda umur aku dah tak panjang lagi.” Zahnita tersenyum
sambil sebelah tangannya mengusap lengan Regina.
“Nita, jangan cakap macam ni. Bila aku menangis kau tak
suka. Tapi kau suka buat aku menangis,”sambut Regina pantas.
“Tapi inilah kenyataannya.” Zahnita menjawab rendah.
Regina tak mampu membalas. Mulutnya ditekup kuat.
Esakannya sedaya upaya ditahan. Namun pipinya lencun juga dengan air mata.
“Gina..” panggil Zahnita lembut.
“Iya..” agak lambat Regina menjawab.
“Kalau aku ceritakan kau tentang sesuatu, berjanjilah
dengan aku kau akan maafkan aku dan Iqmal.”
“Aku janji, Nita.” Tanpa berfikir lagi Regina terus
menyambut.
“Selama aku menjadi isteri Iqmal.. rasanya dah tak
terkira berapa kali dia tersasul panggil nama aku. Tapi aku tak pernah ambil
hati. Sebab waktu dia lamar aku dulu, aku cukup sedar dia kahwin dengan aku
bukan untuk mencari kebahagiaan seperti mana yang pernah dia harapkan dengan
kau selama ini. Dan aku sendiri tak pernah harap kasih sayang yang setara itu
sebab aku sendiri pun tak mampu beri dia apa-apa dalam keadaan aku macam ni.”
Zahnita menarik nafas perlahan. Seketika kemudian
tercalit sedikit senyuman pahit di bibirnya. “Lelaki macam dia hanya ada satu
dalam sejuta, Gina. Dia mampu bertahan di sisi aku walaupun dia tak pernah cintakan
aku. Dia tak pernah berpaling dari aku walaupun hati dia tak pernah mampu
lepaskan kau. Kebencian dia pada kau hanya pura-pura. Sebab nak jaga hati aku. Dia
pernah luahkan perasaan dia pada aku tentang kau. Lepas apa yang berlaku pada
dia, dia tak pernah letak harapan lagi supaya kau terima dia. Dia nak kau
bencikan dia sampai bila-bila. Dia malu pada kau dengan keadaan hidup dia macam
tu. Aku rasa bersalah pada dia, Gina. Sebab mempertahankan aku akhirnya dia
jadi begitu. Tapi aku tahu hakikatnya. Setiap kali aku suruh dia pujuk kau, dia
kata dia dah lupakan kau. Kalau betul dia dah lupa takkan dia selalu tersasul
bila panggil aku dengan nama Gina?” luah Zahnita tenang sahaja.
Regina menyeka sebutir air mata yang mengalir.
“Dia dah cukup sarat dengan segala macam jenis sengsara
selama ini, Gina. Kau jangan salahkan dia atas semua ni. Bila aku sakit dia
suruh aku bertahan.. sebab dia kata persahabatan kita bertiga takkan sama lagi
kalau aku dah takde. Dia kata dia tak pernah tengok ada tiga orang sahabat
macam kita yang boleh kekal lama sehingga lepas habis sekolah. Dan dia nak
sangat tengok kita bergelak ketawa, macamana kita di sekolah dulu. Dia selalu
mengintai kita dulu rupanya kan? Kau pun selalu curi-curi pandang dia. Kau malu
nak tegur dia.. dia pun malu nak tegur kau. Kau ingat lagi?” Zahnita ketawa
perlahan mengenang kisah lalu itu.
“Aku ingat lagi..” jawab Regina sedikit
tenggelam suaranya. Semakin laju butiran air matanya jatuh ke pipi.
Tawa Zahnita memudar tidak lama kemudian. Sayu hatinya
mengenang lelaki bernama Iqmal itu. Kelam pandangan lelaki itu merenung
segala-galanya sering dilihatnya. Dia tahu bukan sedikit kesedihan lelaki itu
selama ini.
“Aku selalu dengan dia kata dia nak kau bencikan dia
supaya dia mudah nak lupakan kau. Tapi sebenarnya apa yang tafsirkan.. dia
sendiri pun tak mampu lepaskan kau. Setiap kali aku suruh dia hubungi kau, tak
pernah sekali pun dia buat. Aku tahu dia sebenarnya tak sanggup. Mungkin dia
takut keadaan dia akan lebih susah bila kau ada depan mata dia. Mungkin jugak
sebenarnya dia tak mampu nak lepaskan kau selama-lamanya. Lepas kau balik ke
sini aku minta dia berbaik dengan kau. Aku tak mahu tengok kau orang berdua
terus mengelak antara satu sama lain. Tapi dia jawab dia tak mahu aku terasa
hati. Apalah ertinya semua tu, Gina? Kenapa mesti aku terasa hati kalau betul
dia memang dah tak sayangkan kau lagi? Sepanjang masa kami menjadi suami isteri
dia tak pernah sentuh aku bila aku ada upaya. Bila aku tanya dia.. dia kata dia
tak sampai hati nak beratkan aku dengan semua tanggungjawab tu. Ajaibnya
seorang lelaki boleh bertahan hidup di sisi seorang isteri bertahun-tahun tanpa
menyentuhnya walaupun sekali. Mungkin jugak dia tak selera tengok aku asyik
pucat aja. Rambut pun dah takde.. kulit dah berkedut.”
Regina memandang sayu wajah sahabatnya itu. Tidak terdaya
dia untuk membalas dalam keadaan hatinya begini.
“Aku takkan marah kalau kau juga masih ada menyimpan
perasaan pada Iqmal, Gina. Sebab selama ini aku bukannya memiliki dia.. tapi
aku sekadar pinjam dia daripada kau. Untuk aku bergantung selama nafas aku ni
masih ada. Akan sampai masanya nanti aku akan pulang dia pada kau semula.”
“Nita, aku tak suka dengar apa yang kau cakap ni. Aku dah
lama terima hakikat yang Iqmal suami kau,” ucap Regina pantas.
“Jujurlah pada diri kau sendiri, Gina. Kenapa kau
mengelak dari dia selama ni?”
Regina terdiam tidak mampu membalas.
“Gina, kisah kau dengan dia masih tergantung sebab dia
tak pernah letakkan noktah. Semua tu pasti ada hikmahnya,” ucap Zahnita lembut
tegak sahaja memandang ke hadapan.
“Siapa cakap Iqmal tak pernah letakkan noktah tu, Nita.
Dia pernah cakap dengan aku, dia mahu aku teruskan hidup dengan lelaki lain.”
“Bila dia cakap macam tu? Lepas kau tanya dia baru dia
nak cakap macam tu?” teka Zahnita cukup mudah. 6 tahun dia memandang lelaki itu
sebahagian sikap Iqmal dia sudah faham benar.
Regina meneguk liurnya tidak sanggup untuk menjawab.
Sekarang dia juga bimbang Zahnita kecil hati dengan dia.
“Dia tunduk ajakan bila bercakap dengan kau?” tanya
Zahnita lantas tersenyum sendiri.
“Mana kau tahu?” balas Regina dengan soalan itu.
“Sebab bila dia bercakap pasal kau dengan aku, dia akan
tunduk aja. Dia tak mampu nak pandang muka aku. Aku tahu dia tak mahu aku
nampak apa sebenarnya yang ada dalam hati dia.” Zahnita menjawab tenang sambil
menoleh ke tepinya. Namun hanya hitam. Wajah Regina tidak lagi dapat dicarinya.
“Entahlah.. aku pun tak perasan sangat dia pandang aku ke
tak.”
“Aku sikit pun tak kecil hati kalau betul dia masih ada
hati pada kau. Dalam keadaan aku macam ni, memang ajaib bila ada seorang lelaki
sudi datang temankan aku setiap hari, jaga aku waktu aku sakit. Jaga makan
minum aku, sampailah kepada biaya perubatan aku semuanya dia yang tanggung. Sedangkan
untuk aku yang sakit ni pun dia sanggup bersusah payah, Gina. Bayangkanlah apa pulak
yang dia sanggup buat untuk perempuan yang dia sayang ni,” ucap Zahnita lantas
mencari tubuh Regina. Sebaik sahaja tersentuh bahu Regina tangannya naik ke
pipi wanita itu. Bibirnya tersenyum lagi.
Regina tidak terkata. Mujurlah hanya mereka berdua di
situ. Jika tidak pasti orang lain melihat pipinya sudah merona.
“Kenapa dalam keadaan macam ni pun kau masih boleh
tersenyum, Nita?” tanya Regina seketika kemudian.
“Sebab kalau aku menangis air mata darah sekali pun takde
faedahnya bagi aku. Penyakit aku tak baik-baik pun. Aku hanya buat orang
sekeliling aku jadi makin susah hati. Aku hanya nak menikmati hidup ni selagi
ada kesempatan, Gina. Tuhan tak bagi kita cubaan supaya kita putus asa,” jawab
Zahnita tenang.
Terdiam Regina memandang wajah cengkung itu. Betapa dia
kagum dengan kesabaran yang dimiliki Zahnita. Sedangkan dia? Sedangkan sedikit
itu dia diuji dia sudah hampir kalah.
“Aku ni selfish. Aku tak sekuat kau, Nita. Aku hanya
hilang Iqmal dari hidup aku. Tapi aku putus asa melebihi orang lain. Aku hukum
semua orang di sekeliling aku. Ary yang takde kena mengena pun ikut terkena
tempiasnya juga. Akibatnya dia pun dah tak ingin pandang muka aku. Hanya kau
aja yang sudi terima aku di sini,” ujar Regina sayu.
“Ary takkan boleh bencikan kau, Gina. Dia cuma berubah
kerana keadaan. Keadaan juga akan kembalikan dia kepada Ariya yang dulu. Kau
kena sabar,” pujuk Zahnita lembut.
Regina mengangguk. Terlupa pula dia yang Zahnita tidak
mampu melihat dirinya lagi. “Jangan pergi tinggalkan aku, Nita. Aku tak tahu
macamana nak hadapi semua ni kalau kau dah takde lagi di sini,” luah Regina
perlahan.
Zahnita terdiam tidak mampu menjawab. Namun sebelah
tangannya itu diangkat tinggi. Rambut Regina diusap lembut. Seketika kemudian
Regina menjatuhkan kepalanya di atas paha Zahnita.
“Aku minta maaf atas segala-galanya, Nita. Aku tak
sepatutnya salahkan kau dengan Iqmal atas semua ni. Aku khilaf,” ucap Regina
mula bergetar suaranya.
“Aku tak pernah tak maafkan kau, Gina. Aku tak pernah
simpan dalam hati.”
Perbualan Regina dan Zahnita terhenti apabila ada lagi tetamu
datang ke bilik itu. Regina menoleh. Sangkanya Ariya yang datang. Tetapi bukan.
Emak dan ayah Iqmal kini berada di hadapan matanya. Dua orang tua itu sedikit
kaget melihat dia.
“Ha.. dah balik Malaysia ke Gina? Bila balik?” sapa Puan
Sri Bainun tanpa sempat memberi salam kepada manusia di dalam bilik itu.
“Dah 2 bulan, auntie..” Regina terus bangun menyalami
wanita itu.
“Hmm.. balik juga akhirnya ya? Ingatkan nak jadi minah
saleh kat sana,” ucap Puan Sri Bainun selamba.
Regina menelan liurnya. Macam ada yang tidak kena saja
dengan nada wanita itu. namun didiamkan sahaja rasa tidak enak itu.
“Uncle apa khabar?”
“Baik.. alhamdulillah. Gina dah kerja ke?” tanya Tan Sri
Ansor lembut
“Baru dapat tawaran. Bulan depan baru mula kerja kat Hospital
Klang,” jawab Regina biasa kepada lelaki itu.
“Eloklah tu. Dah jadi doktor bolehlah rawat Nita yang
tengah sakit ni. Janganlah biar macam tu aja,” ucap Puan Sri Bainun sambil
mendekati katil pesakit.
Regina berpandangan seketika dengan Tan Sri Ansor. Lelaki
itu tersenyum sambil menggeleng sedikit seolah-olah meminta dia jangan ambil
hati dengan kata-kata isterinya itu.
“Uncle nak tengok Nita sekejap ya?” ucap lelaki tua itu
lembut.
“Pergilah. Gina nak ke bawah sekejap. Nak beli air,”
balas Regina.
Ketika di luar pandangan Regina menyapa batang tubuh
Iqmal. Lelaki itu berdiri nun di hujung koridor sana yang lengang tanpa orang.
Memandang ke luar melalui celahan tingkap kecil di hadapannya. Lama Regina
memandang lelaki sebelum dia memilih untuk mendekati Iqmal yang sedang
termenung sendiri.
“Abang..” seru Regina sebaik sahaja berdiri di belakang
lelaki itu.
Iqmal menoleh kepada wanita itu. Saat dia memusingkan tubuhnya
matanya tidak mampu dikalihkan daripada raut Regina.
“Mama dengan papa abang datang. Abang tak masuk ke?”
Iqmal terus menggeleng. “Biarlah..” jawab Iqmal ringkas
sahaja.
“Doktor kata Nita akan buta kekal ke?” tanya Regina
sengaja memancing perbualan dengan lelaki itu.
Iqmal mengangguk dengan sedikit helaan nafas. “Sel
tumornya dah merebak lagi. Takde apa lagi yang boleh dibuat selain reda aja
dengan keadaan ni,” jawab Iqmal rendah sahaja.
“So abang macamana?”
“Macam nilah.” Lemah sahaja jawapan lelaki itu. Tubuhnya
terus disandarkan ke dinding di belakangnya itu dengan sebuah keluhan.
“Gina harap abang boleh bersabar dengan keadaan ni,” ujar
wanita itu lembut sahaja.
“Takde apa lagi yang abang boleh buat selain daripada
bersabar, Gina. Ini bukan kali pertama abang terima berita yang macam ni.
Insya-Allah abang akan dapat biasakan diri nanti,” jawab Iqmal biasa.
“Kenapa setiap kali abang bercakap dengan Gina, abang
suka pandang tempat lain?” soal Regina sengaja menduga. Dia mahu lihat sejauh
mana kebenaran kata-kata Zahnita sebentar tadi.
Iqmal membisu sambil meraup wajahnya. Memang raut wanita
itu tidak lagi mampu dipandangnya. Entah kenapa hatinya hiba. Melihat Regina dia
hiba.. memandang Zahnita dia sedih. Ikutkan hatinya dia mahu menangis
sepuas-puasnya untuk melepaskan sesak di dadanya ini. Tetapi entah kenapa air
matanya terlalu degil.
“Kalau abang berterus terang apa yang berlaku sebelum ni
keadaan takkan jadi macam ni,” ucap Regina nekad. Kalau Iqmal susah benar mahu
bercakap, biarlah dia yang bercakap.
“Gina tak tahu apa yang Gina cakap ni,” balas Iqmal mula
mengalihkan pandangan ke arah tingkap itu semula.
“Jadi abang bagitahulah! Kalau sangkaan Gina ni salah..
Gina nak tahu apa yang benar. Selagi abang berdiam diri selagi itulah keadaan
akan terus tergantung macam ni,” cabar Regina selamba.
“Untuk apa kita bercakap kisah lama tu?” jawab Iqmal
sedikit tertekan suaranya.
“Abang ingat Gina boleh terima macam tu aja? Abang ingat
abang boleh lepaskan diri tanpa beri penjelasan pada Gina?”
“Gina dah tahukan? Jadi apa lagi yang Gina nak dengar
dari abang?” tanpa sedar mereka berdua saling balas membalas soalan.
Regina menghela nafas perlahan. “Gina nak tahu kenapa
abang biarkan Gina macam tu aja selama ni? Kenapa abang tak berterus terang
keadaan sebenarnya. Abang sengaja nak biarkan Gina tersiksa sendiri. Itu ke niat
abang?”
Iqmal menggeleng berkali-kali sambil memandang ke luar. Lidahnya
ini terlalu ingin berkata-kata. Tetapi.. ah! Akhirnya nanti dia juga yang
tersiksa.
“Abang, tolong jangan berdiam diri macam ni lagi! Abang
tahu tak sikap abang ni betul-betul menyiksa perasaan Gina? Sampainya hati
abang buat Gina macam ni. Dulu waktu abang nak Gina abang cakap terus terang
dengan Gina. Tapi bila dah tak mahu abang biarkan Gina macam tu aja?” tekan
Regina semakin tidak tahan dengan kebisuan lelaki itu.
“Abang tak tahu apa nak cakap pada Gina,” jawab Iqmal
cukup perlahan.
“Tak tahu apa nak cakap? Abang tahu tak.. abang buat Gina
makin benci dengan abang!” getus Regina geram.
Iqmal segera menoleh kepada wanita itu. Memang itu yang
dia nak dengar sangat selama ini.
“Memang abang ada seribu satu sebab untuk berdiam diri
semenjak awal lagi, Gina. Tapi hanya satu aja sebab yang abang pegang kukuh
sehingga ke saat ini! Memang keadaan takkan seteruk ini kalau abang berterus
terang dari awal. Tapi keadaan hati abang ni yang paling menyedihkan berbanding
yang lain. Gina nak tahu kenapa? Sebab abang terpaksa lepaskan seseorang yang paling
abang sayang. Tetapi dia sentiasa ada depan mata abang untuk abang pandang. Abang
terpaksa tahan semuanya yang ada dalam hati abang ni, Gina. Untuk Nita! Selagi dia
hidup abang tak mahu beri dia kesakitan lagi selepas apa yang ayah abang dah
buat pada keluarga dia. Gina tak tahu pedihnya hati abang bila abang terpaksa
pilih untuk sakitkan Gina. Abang nak berterus terang macamana dalam keadaan
hati abang sendiri pun menangis, Gina? Kekecewaan abang sendiri pun tak
tertanggung! Abang tak mampu nak pandang kekecewaan Gina pulak.” Tajam nada
Iqmal bersama dengan renungan dalam ke dalam anak mata wanita itu.
Regina tidak terkata mendengar itu. Namun setiap patah
kata Iqmal membuatkan matanya berkaca pantas. Betapa murahnya air matanya
kerana cinta.
“Bencilah abang. Abang sedia mengutip setiap cebisan
kebencian tu untuk abang teruskan hidup abang. Tapi bukannya balik ke sini
untuk buat abang lebih tersiksa, Gina. Sampai satu masa nanti pendirian abang
akan goyah juga akhirnya. Abang tak tahu macamana abang nak bertahan lagi.”
“Gina tak pernah berniat nak buat abang macam tu.
Sekurang-kurangnya Gina akan ada di sini untuk berkongsi segala-galanya dengan
abang.”
“Gina tak faham ya apa yang abang cakap tadi?” balas
Iqmal pantas.
Regina menggeleng pantas, tidak mampu menerima kata-kata
lelaki itu. Air mata semakin laju menuruni pipinya.
“Jangan menangis depan abang! Gina tahu tak apa yang Gina
buat pada abang sekarang? Dengan dugaan yang dah cukup banyak sekarang.. abang
tak mampu berdiri di sini pandang Gina dengan hati yang tenang. Seolah-olah
takde apa-apa pada kita sekarang! Hati abang tersiksa sangat. Hanya Tuhan aja
yang tahu apa yang abang rasa bila abang pandang Gina semula. Gina tahu apa
rasanya bila orang yang kita sayang berdiri depan mata kita tapi kita tak mampu
nak capai dia lagi.. tak mampu jugak nak menolak dia jauh?” menggigil suara
Iqmal mengucapkan kata-kata itu.
“Gina pernah cuba
lupakan abang. Tapi Gina tak boleh! Gina tak percaya abang sanggup lepaskan
Gina macam tu aja. Gina tunggu abang hubungi Gina tapi sampai ke sudah abang
tak pernah hubungi Gina.”
“Jangan tunggu abang lagi. Takde apa yang istimewanya
lagi pada abang ni, Gina. Abang bukan lagi Iqmal yang dulu. Waktu abang susah memang
abang nak sangat dengar suara Gina. Tapi bila abang pandang semula semuanya,
abang hilang kekuatan untuk berdepan dengan hakikat yang abang dah tak boleh
sayangkan Gina lagi. Sedangkan itulah yang paling membahagiakan hati abang
selama ini. Lidah ni keras bila abang terpaksa menyebut nama orang lain waktu
akad nikah dulu. Dulu waktu abang minta Gina tolak tawaran di Ireland tu..
abang terlalu takut untuk kehilangan Gina. Akhirnya apa yang paling abang
takutkan itu juga yang terjadi pada kita.”
Setelah berdiam seketika untuk menenangkan hatinya, Iqmal
menyambung kata lagi. “Nita tu kawan baik Gina. Apa Gina akan rasa kalau Gina
tahu apa yang ayah abang dah buat pada keluarga Nita? Apa yang Gina akan kata
pada abang kalau abang pun sama macam ayah abang, biarkan saja keadaan Nita
serba daif begitu? Mama Gina nak bantu? Abang tahu mama Gina sendiri sedang menanggung
pelajaran Gina di Ireland. Patut ke abang bebankan mama Gina lagi? Dalam keadaan
keluarga abang sendiri pun berpecah belah.. abang takde jalan lain selain
daripada mengambil tindakan yang macam ni,” luah Iqmal semakin merendah
nadanya. Semakin sayu riak wajahnya.
Perlahan lelaki muda itu menggeleng sendiri. “Keadaan
waktu tu terlalu kusut, Gina! Dugaan datang sekaligus! Mama abang sedih bila
dapat tahu ayah abang curang pada dia. abang sendiri pun tak tahu apa yang
patut abang gambarkan perasaan abang bila abang tahu ayah abang yang sebabkan kematian
mak dan ayah Nita. Kemudian dia buat tak tahu aja. Macam dia takde buat salah
langsung. Padahal abang tahu dia berbohong pada polis siapa sebenarnya yang
memandu kereta tu. Dia sanggup mengaku dia yang memandu sebab nak selamatkan
perempuan tu daripada dipersalahkan.”
“Maksud abang?” tanya Gina pantas.
Iqmal menghela nafas perlahan. “Mama abang bagitahu..
yang memandu kereta tu sebenarnya perempuan yang ayah abang bawa tu. Sebab
sayang kononnya papa benarkan walaupun dia tahu perempuan tu tengah mabuk.”
Iqmal ketawa sendiri sambil menggeleng. Pedih hatinya
mengenang itu semua. Dadanya terasa mahu pecah saat memandang dua jenazah
terbujur kaku di dalam bilik mayat itu. Dia masih ingat semuanya!
“Kalau dah bergelak ketawa.. bersenda gurau waktu
memandu, dalam keadaan pemandunya pun tak berapa siuman, memang pantaslah orang
lain jadi mangsanya, Gina. Tapi sebab nak selamatkan perempuan tu dan nama baik
dia.. papa mengaku konon dia yang memandu kereta tu. Dan polis lepaskan dia tanpa
sebarang dakwaan sebab papa bagi statement pada polis yang dia nampak mak dan
ayah Nita menunggang motor merentang arus jalan raya. Tanpa topi keledar. Hanya
abang dan mama yang tahu cerita sebenarnya tentang kemalangan tu, Gina. Sekarang
Gina pun dah tahu. Abang bagitahu Gina supaya Gina faham keadaan sebenarnya. Nita
ditinggalkan begitu saja. Dalam keadaan dia sendiri pun tak bersedia dengan
berita macam tu. Dia pengsan depan abang bila dapat tahu siapa sebenarnya yang
bertanggungjawab pada kemalangan tu. Semenjak dari kemalangan tu sampailah kami
dapat tahu Nita sakit, papa langsung tak mahu beri sebarang ganti rugi. Sesen pun
tak mahu bersedekah dalam keadaan Nita terumbang ambing begitu! Sedangkan papa
lebih dari mampu untuk bantu Nita. Abang sedih tengok keadaan Nita. Abang tak
sampai hati..” sayu benar suara Iqmal bercerita tentang itu.
Regina tidak terkata mendengar ucapan Iqmal. Matanya berkaca
lagi. Tidak sangka ini yang akan didengarinya.
“Dalam keadaan Nita baru aja menerima berita yang dia ada
tumor, abang sendiri pun dapat berita gembira yang ayah abang nak kahwin lagi
satu. Mama abang terlalu sedih. Tapi pada pandangan mata abang yang naif ni..
abang anggap masalah Nita lebih utama kerana ini tentang nyawa dia. Papa abang
tak boleh terima. Kata dia masalah Nita bukan masalah dia. Masalah perempuan
muda tu lebih menarik untuk dia selesaikan. Mama abang pulak lebih banyak diam.
Dia sendiri pun takut.. takut papa akan tinggalkan dia terus. Apa yang patut
abang buat, Gina? Minta bantuan sana sini? Sedangkan doktor minta Nita dibedah
segera untuk selamatkan nyawa dia. Kalau papa abang tak sebongkak itu, kita
berdua tak perlu jadi macam ni dan keadaan Nita takkan seburuk sekarang. Bila
abang dengar papa kata Nita tu bukan masalah dia.. abang jadi nekad. Abang nak
jadikan masalah Nita tu sebagai masalah papa abang jugak. Waktu tu muncul idea
abang berkahwin dengan Nita. Tapi sayangnya papa betul-betul marah dengan
tindakan abang. Abang dibuang dari keluarga akhirnya. Sebab abang kahwin dengan
Nita abang ni jadi anak tak guna. Papa tak benarkan abang ambil apa-apa pun harta
yang datang daripada dia. Waktu tu bukan setakat Nita aja yang hidup terumbang
ambing. Abang pun sama! Abang betul-betul hilang arah waktu tu, Gina. Fikiran abang
kosong sama sekali! Gelap habis semuanya. Ikutkan hati abang, abang nak
berhenti belajar. Tapi Ariya tak benarkan. Abang sendiri pun tak tahu apa yang
harus abang buat.. apa yang harus abang dulukan dan siapa yang patut abang pentingkan.
Hanya ini yang terdaya untuk abang buat.” menggigil suara Iqmal menyudahkan
ceritanya.
“Kalau Gina rasa abang dah buat salah pada Gina selama
ini, abang minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki. Abang berdiam
supaya Gina bencikan abang. Supaya abang tahu takkan ada harapan yang akan Gina
letakkan pada abang. Abang tak mahu bawa Gina dalam kesengsaraan yang sama.
Abang nak tengok Gina bahagia. Kalau bukan dengan abang.. mungkin dengan orang
lain,” luah Iqmal sayu. Saat ini sudah ada segumpal kesedihan menyumbat
kerongkongnya membuatkan dadanya sakit menahan rasa.
Regina menggeleng perlahan. Kata-kata Iqmal terlalu sukar
untuk ditelannya begitu sahaja. Bahagia dengan lelaki lain dalam keadaan
hatinya masih ada pada lelaki lain? Macamana? Tetapi memikirkan Zahnita, Regina
tidak jadi mahu meluahkan kata.
“Gina pergi dulu, abang. Kirim salam pada mak dengan ayah
abang.” Hanya itu yang mampu diucapkan Regina. Seterusnya dia terus berlalu
daripada situ. Kerana jika dia menunggu lagi pasti tangisannya akan pecah di
hadapan Iqmal.
cedeyyyy...cian iqmal...cian gina n cian nita
BalasPadamSoobbss.. sian iqmal��
BalasPadamsedihnyeee :'(
BalasPadam