Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Ahad, 29 Disember 2013

Bab 30-31 SI KOLOT SUAMI KU

30-  Tunku Zainab yang baru tiba di meja itu untuk bersarapan pagi terus memandang hairan anak lelakinya. Tengku Ahmad Ehsan sedang memegang dada. “Kenapa ni, Ehsan?” tanya wanita itu tua itu pantas.
“Dada ni sakit sangat, bonda. Sesak nafas,” jawab lelaki itu cukup payah.
“Sakit dada?” wanita tua itu terus bangun mendekati Tengku Ahmad Ehsan. Tali leher anaknya itu segera dilonggarkan. “Aisyah!” laungnya sambil memandang sekeliling mencari kelibat Toh Puan Siti Aisyah.
“Aisyah!! Sini lekas!” sekali lagi dia menjerit. Tunku Zainab sudah benar-benar panik. Keadaan Tengku Ahmad Ehsan semakin teruk dilihatnya. Anaknya itu tercungap-cungap macam orang baru habis acara lumba lari.
“Ya, bonda. Ai datang ni.” Tidak lama kemudian Toh Puan Siti Aisyah muncul dari arah dapur.
“Apa yang kamu buat lama-lama di dapur tu? Sini lekas.. tengok suami kamu ni,” degus Tunku Zainab dalam kekalutan yang sudah tidak terkawal. Tangannya asyik mengusap dada Tengku Ahmad Ehsan.
“Ya Allah.. Ehsan, kenapa ni?” Toh Puan Siti Aisyah pula yang kalut melihat suaminya begitu. “Ehsan! Pandang saya.” Dia cuba memanggil lagi sambil meraih wajah suaminya. Mulut lelaki itu terbuka dengan lidah sedikit terjelir. Mata hitamnya kelihatan naik ke atas.
“Bonda, kenapa dengan Ehsan ni?” hampir menangis Toh Puan Siti Aisyah ketakutan. Tubuh suaminya digoncangkan lagi.
“Ehsan!” kali Tunku Zainab pula cuba menggoyangkan tubuh lelaki itu. Namun panggilannya tetap tidak mendapat sebarang jawapan. “Biar bonda panggil ambulan,” Tunku Zainab terus meninggalkan meja makan itu untuk ke ruang tamu.
5 jam kemudian Tengku Ahmad Ehsan sudah pun ditempatkan di wad untuk menjalani bermacam-macam lagi jenis ujian lanjutan. Namun pada peringkat awal setelah selesai melakukan pemeriksaan ECG, doktor menjangkakan yang lelaki itu telah mengalami serangan jantung akibat masalah angina tidak stabil. Lelaki itu terpaksa direhatkan dengan ubat pencair darah.
Selepas makan tengahari itu Farah tiba di hospital seorang diri. Mahu tidak mahu dia terpaksa memberitahu apa yang pernah dilihatnya tentang bosnya itu.
“Berapa kali awak nampak dia sakit di pejabat?” soal Toh Puan Siti Aisyah agak terkejut mendengar berita itu daripada mulut Farah.
“Sebelum ni Tengku ada meminta untuk berjumpa Dr. Mohammad. And then after a few days.. I ada nampak dia lain macam waktu lepas meeting. I tanya dia, dia kata dia sesak nafas. I advice dia supaya pergi hospital terus tapi Tengku tak mahu. Dia kata nak tunggu temujanji dia dengan Dr. Mohammad.” Farah berkata sambil memandang dua wanita di hadapannya itu.
“Kenapa awak tak bagitahu saya tentang itu?” tekan Toh Puan Siti Aisyah kesal. Bukan kesalkan Farah sebaliknya kesal kerana dia tidak perasan kelainan suaminya selama ini. Dia tidak tahu langsung yang suaminya sedang menderita penyakit jantung.
Farah sekadar mendiamkan diri. Dia juga kesal kerana tidak memberitahu hal itu kepada isteri bosnya sedangkan mereka sering berhubung selama ini. Ah! Sesal sekarang pun apa guna. Semuanya dah berlaku.
“Sudahlah.. benda dah jadi. Tak perlu kita perbesarkan benda yang tak mampu kita tarik semula.” Tunku Zainab segera mencelah. Anaknya di atas katil itu dipandang sekilas. Sayu hatinya melihat wayar-wayar yang menyelimuti tubuh itu dan mesin-mesin yang setia mengapit lelaki itu.
“Macamana dengan Rina? Bila nak beritahu dia?” Tunku Zainab kembali memandang menantunya itu.
“Tak tahulah, bonda. Ai bimbang.. takut Rina tu terkejut.” Toh Puan Siti Aisyah menjawab perlahan. Semakin resah memikirkan penerimaan Edrina yang sedang hamil sekarang.
“Seeloknya kamu beritahu dia, Ai. Jangan sampai dia dapat tahu daripada orang luar. Kata-kata Tunku Zainab ikut dipersetujui oleh Farah yang menelinga sahaja perbualan dia manusia itu. Wanita itu mengangguk pantas.
“Ai, tak sanggup nak bagitahu dia, bonda. Ai takut dia tak mampu kawal perasaan,” ujar Toh Puan Siti Aisyah agak payah.
“Apa pun keadaannya beritahu dia, Ai. Dia perlu dan dia berhak tahu apa yang berlaku pada papa dia. Keadaan ni harus diharungi oleh semua ahli keluarga ni. Ini masalah kita bersama. Insya-Allah dia akan baik-baik saja,” ujar Tunku Zainab tenang sahaja.
Toh Puan Siti Aisyah mengangguk perlahan. Mulalah fikirannya mencongak ayat apa yang hendak dipersembahkan kepada anaknya itu. Namun sedang wanita itu berfikir sendiri wajah menantunya melintas di benak tiba-tiba. Rasanya lebih baik dia memberitahu kepada Emran tentang hal ini. Macamana caranya Emran mahu memberitahu Edrina, terpulanglah kepada lelaki itu. Lelaki itu pasti tahu apa yang perlu dilakukan nanti.

“Okay.. nanti saya bagitahu dia, ma. Mama jangan bimbang. Tahulah saya nak cakap dengan dia macamana,” ujar Kudin melalui corong itu.
“Insya-Allah, ma. Mama dengan nenda jangan stress sangat. Saya akan bawak dia ke sana secepat mungkin,” jawab Kudin bersungguh.
“Kenapa?” Mokhtar tercengang sedikit melihat reak wajah Kudin yang sudah berubah usai berbual melalui telefon itu.
“Bapak mertua aku sakit. Aku kena balik ni, Mokhtar. Beberapa hari ni kau tolong jaga kolam dan ladang kita. Ada apa-apa call aja aku. Aku nak ke KL sekejap lagi ni.” Kudin terus bangun dari kerusinya. Poket seluarnya diseluk untuk mencari kunci keretanya.
“Baik-baik memandu tu, Kudin. Jangan kau pulak yang lalai,” pesan Mokhtar ikut terasa kebimbangan Kudin.
“Insya-Allah..” jawab Kudin pendek sebelum berlalu ke keretanya. Namun ketika di luar dia ternampak Lisa berjalan ke arahnya. Lisa mula berlari anak apabila ternampak Kudin sedang menuju ke arah keretanya.
“Abang nak ke mana?” tanya Lisa sebaik sahaja tiba di tepi kereta Kudin.
“Nak balik. Ada hal penting,” jawab Kudin biasa. Pintu keretanya terus dibuka.
“Hal apa, bang?” tanya Lisa mula terdesak mahu tahu.
“Ayah mertua aku sakit. Aku nak balik cepat,” jawab Kudin lantas meloncat masuk ke dalam keretanya. Namun Lisa menahan pintu kereta itu saat ditarik Kudin.
“Abang nak pergi KL ke?” tanya Lisa lagi.
“Ya..”
“Mak abang ikut sekali?”
“Ikutlah. Takkanlah besan tengah sakit, dia nak duduk buah kuih pulak kat rumah tu?” getus Kudin sedikit tajam.
Lisa termanggu seketika. Ya tak ya juga.. “Jadi berapa hari abang nak ke KL tu?” tanya Lisa lagi.
“Lisa, aku dah takde masa nak layan soalan remeh kau ni. Boleh tak kau lepaskan pintu tu. Aku nak balik lekas ni,” getus Kudin sedikit keras. Nak suruh aku jadi kaunter pertanyaan pun nanti-nantilah! Tanya banyak dalam keadaan aku tengah serabut macam ni memang mintak kena marah ajalah, desis hati Kudin menyampah kepada gelagat gadis itu. Ramah tak kena masa inilah dia.
Wajah Lisa terus berubah kala itu. Berlagak betullah dia ni. Aku tanya dia baik-baik, dia sedap-sedap aja tengking aku, getus hatinya sendiri. Namun akhirnya dia melepaskan juga pintu kereta itu tanda membiarkan Kudin berlalu.
Kudin pulang ke rumah emaknya terlebih dahulu. Sekadar memberitahu dan meminta emaknya bersiap untuk mengikutnya ke Kuala Lumpur. Kemudian dia pulang ke rumah pula.
“Rina..” panggil Kudin sebaik sahaja dia naik ke atas rumah.
“Ya, Rina kat sini.” panggilan Kudin bersambut dari arah dapur. Kudin terus menghalakan kaki ke sana. Edrina sedang memasak rupanya. Melihat wajah ceria isterinya itu tiba-tiba lidahnya terasa berat mahu mencalarkan keceriaan itu dengan berita penting yang sedang dipendamnya.
“Awal abang balik?” Edrina tersenyum kepada suaminya itu.
“Kita kena pergi KL,” jawab Kudin tanpa secalit pun senyuman di wajahnya.
“Pergi KL? Ada apa?” tanya Edrina sedikit terkejut.
Kudin tidak segera menjawab. Api yang menyala di atas dapur dimatikan serta merta sebelum dia kembali memandang raut isterinya isterinya itu. Edrina sedang memerhatikannya dengan reaksi kabur.
“Papa sakit. Mama call abang tadi bagitahu yang papa dimasukkan ke IJN akibat serangan jantung.” Saat itu barulah Kudin menjelaskan hal yang sebenarnya.
Edrina terkedu memandang wajah Kudin. Seketika kemudian tangannya terus melekap di bibir bagaikan sedang cuba menahan dirinya daripada hilang kawalan.
“Sayang, abang tahu sayang terkejut. Sabar ya? Mama kata papa stabil. Takde apa yang nak dirisaukan. Tapi kita kena pergi KL cepat. Kita siap sekarang ya? Abang dah suruh mak bersiap kat rumah. Lepas ni kita ambik mak, lepas tu terus pergi.” Kudin segera memaut tubuh isterinya itu. Bimbang wanita itu tumbang pula.
“Papa sakit jantung?” tanya Edrina masih dengan rasa terkejut yang membukit. Dia tidak pernah tahu ayahnya ada penyakit itu.
“Itu yang doktor kata pada mama tadi,” jawab Kudin rendah sahaja.
“Tapi papa sihat selama ni, bang..”
“Shhhttt..” Kudin mengeleng sambil meletakkan jarinya di bibir isterinya. “Sakit ni ujian Allah. Bila masanya penyakit nak datang pada tubuh kita dan bila dia nak pergi semuanya ketentuan Allah. Jangan kesalkan semua ni. Kita kena sabar dengan semua dugaan ni,” pujuk Kudin lembut.
Edrina termanggu. Dia benar-benar tidak tahu apa yang harus diucapkannya. Sungguh! Dia benar-benar tidak bersedia untuk menghadapi semua ini.
“Jom kita masuk bilik. Abang tolong sayang kemaskan baju kita.”
Edrina masih kebingungan tatkala tangannya ditarik pergi oleh Kudin. Dia terasa mahu menangis namun air matanya seperti takut untuk keluar. Di dalam kereta sepanjang jalan itu Edrina terus membisu melayan keresahan di dalam dadanya. Pandangannya terus dihalakan ke luar jendela sambil membayangkan keadaan ayahnya saat ini.
Sebaik sahaja tiba di wad orang pertama yang ditemui Edrina adalah emaknya. Dia terlupa langsung dirinya sedang berbadan dua. Wanita itu terus diterpanya. “Mama..”
Tubuh anak itu terus didakap Toh Puan Siti Aisyah erat. Edrina menangis sayu di dalam dakapan wanita itu. “Sabar ya, sayang. Jangan menangis. Tak baik untuk baby Rina,” pujuk wanita itu lembut.
“Kenapa mama tak call Rina?” tanya Edrina sebaik sahaja tubuhnya dilepaskan oleh si ibu.
“Mama tak berani, sayang. Mama takut Rina terkejut. Mama bimbang sesuatu akan terjadi pada Rina. Sebab tu mama call Emran. Sekurang-kurangnya Emran tahu apa nak buat kalau Rina tak kuat,” jawab Toh Puan Siti Aisyah lembut. Wajah menantu dan besannya itu sempat dipandangnya.
Edrina mengangguk tanda menerima alasan emaknya itu. Perlahan air matanya diseka dengan jemarinya. “Rina nak masuk tengok papa.”
“Marilah.. nenda pun ada di dalam temankan papa.”
Kudin terus mendapatkan Tunku Zainab sementara Edrina mendapatkan ayahnya. Tangan wanita itu diciumnya penuh hormat. Mak cik Kunah sempat berpelukan dengan Tunku Zainab.
“Papa, Rina datang ni.” Air mata Edrina gugur tatkala dia mencium tangan kaku lelaki tua itu. Betapa hatinya sayu tidak terucap saat memandang keadaan ayahnya begitu. Sedarlah dia kini.. akan sampai juga satu masa nanti Tuhan akan menarik semula masanya dengan seorang lelaki bernama ayah. Sedangkan dia tidak pernah berusaha menjadi anak yang baik kepada ayahnya selama ini. Dia tidak pernah peduli kepada perasaan ayahnya. Dia tidak pernah kisah untuk membahagiakan lelaki itu. Dia culas untuk mengorbankan kehendaknya demi seorang ayah.
“Jangan menangis, sayang. Papa baik-baik aja,” pujuk Tunku Zainab lembut. Belakang cucunya itu diusap lembut. Kudin hanya mampu memandang sayu isterinya itu.
“Rina rindukan papa, Nenda.” Edrina meluahkan bicaranya perlahan. Dia sendiri sudah lupa bila kali terakhir dia ada menghubungi lelaki ini. Dia hanya tahu menghubungi ayahnya bila dia ada masalah. Selalunya dia hanya berbual dengan emaknya sahaja di telefon.
“Insya-Allah papa akan sembuh, sayang. Doa kita akan Allah makbulkan nanti. Yakin dengan Allah,” ucap Tunku Zainab tetap tenang, memujuk anak itu.
“Apa rawatan yang sesuai untuk penyakit papa ni, nenda?” celah Kudin tiba-tiba.
“Doktor mencadangkan pembedahan pintasan jantung. Tapi semua tu hanya akan diputuskan bila semua pemeriksaan susulan selesai. Papa masih perlu menjalani beberapa ujian lagi untuk mengesan tahap penyakitnya.” Tunku Zainab menjawab tenang.
“Bypass ke, nenda?” soal Edrina dengan mata kembali berkaca. Tunku Zainab hanya mengangguk. Edrina tidak terkata lagi mendengar itu.
“Rina, setiap penyakit Allah beri, DIA juga akan beri penawarnya. Insya-Allah semuanya akan baik-baik aja,” ucap Mak cik Kunah pula. Risau dia melihat Edrina asyik menangis sahaja dalam keadaan dia berbandan dua begitu.
Edrina kembali memandang ayahnya itu. Wajah lelaki itu dipandang tanpa putus. Perlahan dia mengusap lengan lelaki itu. Jangan tinggalkan Rina, papa. Rina tak sanggup kehilangan papa secepat ini. Rina sayang papa.. bisik Edrina saat matanya terus terhala kepada lelaki itu.
Kudin mula mendekati Edrina. Bahu wanita itu diusapnya lembut sebagai penyokong kepada isterinya itu. Harap-harap Edrina tabah melalui keadaan itu.
“Rina takut, abang. Rina tak sanggup kehilangan papa seawal ini. Rina banyak buat salah dengan papa selama ni,” keluh Edrina kesayuan.
“Jangan cakap macam tu, sayang. Insya-Allah.. Allah akan kembalikan papa pada kita semua. Kita kena banyak berdoa. Allah bagi ujian sebab DIA nak dengar suara kita meminta pada DIA. Jangan fikir yang bukan-bukan dulu dalam keadaan macam ni. Kita kena usaha untuk mencari penawarnya disamping berdoa. Kemudian barulah bertawakal pada Allah,” pujuk Kudin lembut.
Edrina segera menyeka air mata yang mengalir lagi di pipinya. Ya! tangisannya tiada erti dalam keadaan seperti ini. Sebaliknya doa adalah senjata orang mukmin sepertinya.

“Emran..” panggil Toh Puan Siti Aisyah kepada menantunya yang duduk menanti di ruangan lobi hospital itu seroang diri.
“Ya, ma..” Kudin segera menoleh ke sisinya. Spontan dia bangun tanda menghormati wanita itu.
“Emran, bawak Rina balik ya? Dah malam ni. Pelawat tak boleh ramai sangat dalam tu. Seorang saja yang boleh temankan papa malam ni,” ujar wanita itu lembut. Bonda mertuanya dan besannya itu sudah pulang petang tadi. Hanya tinggal mereka bertiga di situ.
“Rina mana?”
“Dia kat dalam. Mama dah suruh dia balik tapi dia degil nak temankan papa jugak malam ni. Kamu pergi pujuk dia. Ajak dia balik,” jawab Toh Puan Siti Aisyah.
“Takpe ke mama yang jaga? Kalau mama tak kisah, saya boleh temankan papa. Mama boleh balik dengan Rina,” jawab Kudin lembut.
Wanita itu terus menggeleng dengan sedikit senyuman. “Yang kat dalam tu suami mama. Biarlah mama yang jaga dia, Emran. Kamu bawak Rina balik. Mama tak mahu dia terlalu tertekan sangat dalam keadaan dia macam tu. Biar dia berehat kat rumah aja,” ujar Toh Puan Siti Aisyah sambil memandang wajah menantunya itu.
Kudin tunduk memikir seketika. Namun akhirnya dia mengangguk.
“Emran, mama nak ucapkan terima kasih banyak-banyak pada kamu.”
Kudin sempat termanggu dengan kerutan di kening memandang wajah emak mertuanya itu. “Kenapa pulak mama terima kasih dengan saya?” soalnya hairan. Takkanlah sebab dia membawa Edrina ke sini emak mertuanya berkata begitu?
“Mama nampak Rina dah cukup banyak berubah sekarang. Mama senang sangat tengok dia yang sekarang ni. Mama anggap mungkin kamulah yang dah berjaya ubah dia jadi macam tu. Rina nampak lebih matang sekarang,” ujar Toh Puan Siti Aisyah lembut.
Kudin menelan liur perlahan. Dia tidak pernah meminta Edrina berubah. Perubahan itu datang sendiri atas kesedaran isterinya. Itu yang dia percaya selama ini.
“Rina berubah kerana kehendak diri dia sendiri, ma. Saya tak pernah buat apa-apa pun supaya dia jadi begitu. Allah dah gerakkan hati dia untuk menjadi wanita seperti yang hari ni,” jawab Kudin tidak bersedia untuk menerima pujian itu. Dia juga hanya manusia biasa yang sarat dengan kelemahan.
Toh Puan Siti Aisyah tersenyum lembut sambil memandang paras menantunya itu. “Mama dengan papa, kami memang tak tersilap bila membuat keputusan menerima Emran sebagai menantu kami. Mama rasa bersyukur sangat Rina ada suami seperti Emran. Mama boleh nampak kebahagiaan tu pada wajah dia sekarang.” Wanita itu berkata bersungguh. Hakikatnya dia terasa seperti sedang bermimpi. Tidak sampai setahun dia melihat Edrina berubah menjadi wanita yang sederhana dan merendah diri.
Kudin tersenyum seketika. “Saya tak pernah menyesal sikit pun dengan takdir ni, mama. Saya ada seorang isteri yang baik walaupun mungkin dia tak sesempurna untuk dibariskan dengan isteri para Rasul. Apa yang ada pada dia dah cukup menyejukkan hati saya. Saya terima dia seadanya dan saya sayangkan dia sepenuh hati saya, mama. Dia isteri saya dunia akhirat,” jawab Kudin jujur. Tiada apa yang dapat disembunyikan daripada emak mertuanya itu. Memang dia ikhlas menerima Edrina dan dia bahagia dengan pilihan yang telah dibuat oleh hatinya ini.
“Kamu berdua bahagia, kami pun tumpang bahagia, Emran. Mama harap dia mampu menjadi isteri dan ibu yang baik pada masa depan.”
Kudin mengangguk sambil tersenyum. Kata-kata baik dari seorang ibu adalah satu doa yang mustajab. Dia tahu Edrina akan menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anaknya.
“Pergilah ajak dia balik,” ucap Toh Puan Siti Aisyah enggan berlama-lama lagi di situ.
“Ya, ma..” tanpa menunggu lagi Kudin terus berlalu ke wad rawatan rapi yang menempatkan bapa mertuanya itu. Edrina dilihatnya sedang termenung merenung ayahnya.
“Sayang..” panggil Kudin sambil menyentuh bahu isterinya. Edrina segera menoleh kepada suaminya itu.
“Kita balik ya? Rina kena berehat,” pujuk Kudin.
“Rina nak duduk sini,” jawab Edrina sambil menggeleng.
Kudin meraih jemari isterinya. “Dengar cakap abang. Malam ni kita balik, esok pagi kita datang semula. Biar mama yang temankan papa kat sini ya? Dalam wad ni hanya seorang aja yang dibenarkan temankan pesakit,” pujuk Kudin sambil diperhatikan oleh Toh Puan Siti Aisyah dari arah belakang.
Edrina terdiam merenung suaminya itu. Belas hati Kudin melihat pandangan sarat kemendungan milik isterinya itu. Dia tahu Edrina susah hati memikirkan ayahnya. Perlahan bahu wanita itu didakapnya erat. Dahi wanita itu dikucup lembut.
“Takpe kalau jasad kita takde di sini dengan papa, sayang. Yang penting Allah ada melihat hati kita dan DIA ada mendengar doa daripada kita semua. Itu yang paling penting sebenarnya,” ujar Kudin separuh berbisik kepada wanita itu.
Wanita itu meraup wajahnya perlahan. Sedaya upaya dia cuba juga memujuk hatinya agar menerima nasihat Kudin itu.
“Kita balik ya? Kesihatan Rina pun kena jaga jugak. Esok kita boleh datang lagi,” ucap Kudin lagi.
Edrina akhirnya mengangguk akur kepada permintaan suaminya. Dia menoleh mencari mamanya. Toh Puan Siti Aisyah masih ralik memerhatikan anak dan menantunya itu. Kagum dia melihat Emran dengan mudah dapat memujuk Edrina.
“Mama, Rina balik dulu ya? Esok Rina datang lagi.” Edrina berkata perlahan kepada mamanya itu.
“Yalah.. jangan terlalu stress, sayang. Jangan lupa Rina ada baby kat dalam tu,” pesan Toh Puan Siti Aisyah setelah mendekati anaknya itu.
Edrina mengangguk dengan sedikit senyuman hambar. Perlahan tubuh ibunya itu dipeluknya erat. “Tolong jaga papa baik-baik, mama.” Sempat juga dia membisikkan pesanan itu kepada emaknya.
“Dah tentu mama akan jaga papa baik-baik sebab dia suami mama. Semuanya akan okay, sayang. Percayalah..” balas si ibu lembut.
Sepanjang perjalanan pulang ke rumah keluarga Edrina di Bukit Bandaraya itu Edrina hanya membisu sahaja. Kudin lihat isterinya asyik memicit dahi.
“Sakit kepala ke?”
Edrina menoleh kepada lelaki itu sebelum mengangguk. Memang semenjak petang tadi kepalanya merasa sakit.
Kudin segera menarik sebelah tangan isterinya itu. “Sampai rumah nanti terus tidur ya? Rina dah letih sangat ni,” ucap Kudin lembut.
“Tak tahulah boleh tidur ke tak dalam keadaan macam ni,” jawab Edrina agak perlahan. Hampir saja tidak kedengaran suaranya.
Kudin menoleh sekilas kepada isterinya itu. “Kalau tak mampu nak lelapkan mata pun, sekurang-kurangnya Rina kena rehatkan minda dan perasaan. Jangan terlalu banyak berfikir. Nak-nak lagi yang tak elok. Itu semua kerja syaitan nak mengkucar-kacirkan iman kita. Kita berserah segala-galanya pada Allah, sayang.” Nasihat itu terus diberikan Kudin tanpa jemu.
Edrina mengangguk lagi kepada nasihat suaminya itu.
Malam itu wanita itu tetap tidak mampu melelapkan mata biarpun tubuhnya itu sudah terlalu keletihan. Fikirannya asyik terbang mencari ayahnya di hospital sana. Kudin menoleh ke sebelahnya. Dalam kelam bilik itu dia dapat melihat mata putih wanita itu menandakan isterinya masih berjaga. Dia sendiri pun lebih kurang sama. Risaukan ayah mertuanya itu dan risaukan ladang dan kolam ikan di kampungnya.
“Sayang fikir apa?” tanya Kudin lantas mengiringkan tubuhnya menghadap wanita itu. Tangannya mula dialihkan ke atas perut Edrina. Kandungan isterinya sudah masuk 2 bulan.
“Papa..” Edrina menjawab bersama sebuah helaan nafas.
“Sini baring dengan abang,” ucap Kudin lantas menepuk lengannya.
Edrina menurut tanpa kata. Tubuhnya dirapatkan kepada lelaki itu sambil kepalanya berbantalkan lengan Kudin. Demi Tuhan dia bersyukur lelaki ini ada menemaninya di kala dia hebat teruji begini.
“Insya-Allah papa akan sihat nanti, sayang..” pujuk Kudin lembut sekali. Belakang wanita itu diusapnya lembut.
“Rina cuma harap Allah akan beri Rina peluang untuk balas segala jasa-jasa papa kepada Rina. Selama ni Rina tak pernah fikirkan semua tu. Rina ni anak yang degil, abang. Rina tak pernah jaga hati papa sedangkan papa dah buat segala-galanya untuk Rina.” Sayu kedengaran luahan wanita itu.
“Abang faham, sayang. Abang percaya papa dah maafkan semua kesalahan Rina pada dia selama ni. Takde manusia yang sempurna dalam dunia ni. Sabar ya? Kita doakan papa baik-baik aja,” jawab Kudin lembut.
Edrina mengangguk perlahan.
“Dah! Jangan fikir jauh sangat. Dalam keadaan macam ni.. lagi kita banyak berfikir, lagi senang emosi kita dipengaruhi iblis. Kita kena bersangka baik dulu. Selebihnya kita berserah pada Allah.” Kudin mengusap rambut wanita itu.
“Rina tak boleh tidur,” adu wanita itu perlahan.
“Peluk abang. Dah peluk abang nanti mesti boleh tidur,” bisik Kudin mesra.
Spontan Edrina tertawa perlahan. Lelaki ini memang pandai membuatkan jiwanya terhibur walaupun dalam keadaan begini. Tanpa kata tubuh lelaki itu dipeluknya erat. Lega hati Kudin melihat tawa yang sempat singgah di bibir wanita itu. Harap-harap esok mereka tidak diuji dengan sesuatu yang lebih berat lagi.


31-  Pembedahan pintasan jantung selamat dijalani oleh Tengku Ahmad Ehsan. 7 jam setelah pembedahan itu lelaki itu sedar sepenuhnya. Dia sudah mampu tersenyum kepada orang di sekelilingnya. Bagi mereka yang menanti dengan sabar tiada lain melainkan kalimah syukur yang tidak terhingga dipanjatkan kepada Yang Maha Kuasa atas kejayaan mereka mengharungi dugaan ini.
Semenjak waktu melawat bermula Tengku Ahmad Ehsan mula diziarahi ramai sahabat-sahabatnya. Tidak ketinggalan juga sepasang suami isteri dengan seorang lelaki muda. Mungkin sebaya dengan Kudin. Sebaik sahaja masuk ke wad itu manusia pertama yang ditegur lelaki itu adalah Edrina.
“Lama tak jumpa you,” ucap lelaki muda itu sambil memandang Edrina atas ke bawah.
“I dengan husband. Takde masa nak jumpa you dah,” jawab Edrina ringkas sahaja.
“I see. Sorry, hari tu waktu wedding you, I tak dapat datang. Ada hal,” ujar lelaki itu lagi tanpa mempedulikan Kudin di sisi Edrina.
Edrina menjungkit bahu. “It’s okay. You takde pun I tetap selamat berkahwin jugak, ya tak?” selamba sahaja Edrina menjawab begitu. Nadanya kedengaran agak aneh. Kudin terkebil-kebil di tepi Edrina menelinga perbualan dua manusia itu.
Lelaki muda itu ketawa pula seolah-olah tidak kecil hati langsung dengan kata-kata Edrina. “You ni masih juga macam dulu kan, Ed? Sombong.. sacarstik. Tak pernah berubah,” komen lelaki itu sambil menayang gigi.
Edrina segera mengukir tawa sebagai responnya kepada komen itu. Namun tawanya kedengaran agak hambar. Semacam mengejek pun ada.
“Bad..” panggilan wanita itu menggugah perbualan dua manusia itu. “Sinilah.. yang sakit Uncle Ehsan. Bukannya Edrina!” wanita agak berusia itu segera melambai ‘Bad’ itu agar mendekatinya.
“Excuse me..” ucap lelaki itu lantas mendekati katil pesakit.
Kudin hanya memandang sahaja lelaki itu. Lelaki itu juga tidak kelihatan seperti mahu berkenalan dengannya. Namun tidak lama kemudian Kudin akhirnya terpaksa memilih duduk di lobi hospital memandangkan di dalam wad itu sendat dengan manusia yang dia langsung tidak kenal. Kakinya pun sudah letih berdiri sahaja dari tadi. edrina dibiarkan sahaja di dalam itu melawan wanita yang menjadi tetamu itu.
Namun hampir setengah jam kemudian Edrina keluar mencari suaminya yang tiba-tiba menghilang.
“Kat sini rupanya dia. Puas Rina cari abang,” ucap Edrina sebaik sahaja melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan Kudin. Kudin sekadar memandang wanita itu.
“Kenapa duduk sini?”
“Saja. Sesak kat dalam wad tu. Lagipun mana ada tempat nak duduk,” jawab Kudin biasa. Memang pun sesak. Ruangan wad itu bukannya besar mana. Lagipun suasana riuh rendah begitu membuatkan dia rimas.
 “Siapa lelaki tadi tu?” tanya Kudin tidak mahu menunggu lama untuk menghuraikan tanda tanya di benaknya ini.
“Badrul Hisyam, anak kepada Tan Sri Ghafur. Tan Sri Gahfur tu salah seorang share holder dalam Semarak Holding,” jawab Edrina perlahan sahaja.
“Dia tu salah seorang daripada bekas teman lelaki Rina jugak ke?” teka Kudin tidak begitu mempercayai kenyataan Edrina itu sebenarnya sudah lengkap. Dia perasan pandangan lelaki itu kepada isterinya sebentar tadi ketika Edrina sedang memandang ke arah lain.
“Kawan lama lebih sesuai kut,” jawab Edrina sambil mendegus sedikit. Dia tidak gemar dikaitkan lagi dengan lelaki itu. Badrul memang pernah cuba memikatnya suatu masa dulu. Tetapi dia memang tidak pernah berkenankan lelaki itu selama ini. Sehingga sekarang! Bukan taste dia anak Tan Sri perasan romeo macam itu.
Edrina menoleh kembali kepada suaminya. "Kenapa tanya pasal dia?"
"Takde apa-apa. Saja je," jawab Kudin lantas memandang ke arah lain. Rasa hati yang aneh itu segera disembunyikan daripada isterinya.
Edrina mencebik sedikit melihat gelagat Kudin. Huh! kalau jelous cakap ajalah.. detik hatinya sendiri. Lama wanita itu memandang suaminya. Sengaja dia menunggu sehingga lelaki itu mengalihkan pandangan kepadanya semula. Tatkala pandangan mereka berpadu, wajah Kudin mula berubah.
“Apa?” tanya Kudin buat-buat tidak mengerti dengan makna pandangan itu.
“Yang abang tu pandang sana kenapa?” ucap Edrina semula dengan kerlingan sinis.
“Saja je nak pandang sana. Tak boleh ke pandang sana?”
“Kalau ada apa-apa yang abang tak puas hati baik cakap aja. Tak payah nak berlakon pandang sana sini,” perli Edrina dengan senyum tertahan. Kelakar pulak gelagat suaminya bila dilanda cemburu.
“Okay.. abang ingat dia tu bekas teman lelaki Rina. Kalau bukan, baguslah. Itu aja yang abang nak cakap. Mana ada abang cemburu,” ujar Kudin lembut.
“Rina takde mention pun pasal cemburu ni semua. Rina cuma kata kalau ada yang abang tak puas hati.” Edrina segera menyambut sementelah Kudin sendiri sudah berjaya memasukkan diri ke dalam perangkapnya. Spontan wanita itu terus ketawa.
Kudin terus terkedu. Mulutnya terbuka memandang Edrina. Cis! Buat malu aku aja.
Semakin galak tawa Edrina melihat wajah Kudin masam kelat. Perlahan lengan lelaki itu dipautnya. “Kalau jelous tu cakap ajalah. Nak buat apa simpan-simpan,” ucapnya dengan senyuman yang cukup lebar.
“Yalah.. memang abang jelous tengok dia tegur Rina tadi. Dia tegur Rina sorang aja. abang dia tak tegur pun. Patutnya dia kena mintak izin abang dulu nak bercakap dengan Rina,” cebir Kudin sambil dengan suara rendah. Mengaku juga dia akhirnya.
“Dia tu memang macam tu. Abang janganlah fikir yang bukan-bukan. Rina daripada dulu memang tak ngam dengan dia tu. Tak berapa gemar,” ujar Edrina bersungguh.
Kudin mengangguk perlahan. Patutlah dia dengar nada isterinya macam malas sahaja mahu melayan si Badrul itu.
“Papa nampak dah okay sikit. Dia dah tak lemah macam hari semalam. Semalam abang tengok nak bercakap pun macam tak larat.” Kudin mula mengalihkan topik tentang Tengku Ahmad Ehsan pula.
Edrina segera mengangguk. “Tapi papa kena bergantung pada ubat sampai bila-bila. Papa takkan boleh kembali sihat macam dulu,” ulasnya rendah sahaja.
Kudin merenung seketika wanita di sisinya itu. Ada terselit sedikit kemendungan di wajah itu dalam menungan isterinya itu. Dia simpati tetapi ini semua sudah takdir Allah. “Tapi sekurang-kurangnya papa masih ada dengan kitakan?” ucap Kudin lembut.
Edrina mengangguk pantas. Dia reda dengan cubaan ini walaupun dia sedih melihat ayahnya sudah tidak sesihat dulu. Sekurang-kurangnya penyakit ayahnya tidak sekronik penyakit orang lain. Dia juga sedar akan sampai satu masa Allah pasti mencabut satu persatu nikmat pada kehidupan manusia. Mungkin ini salah satu daripadanya.
“Kalau Rina nak tunggu sini temankan papa untuk sementara waktu, abang tak kisah. Abang izinkan. Biar abang dengan mak balik dulu. Nanti bila Rina dah sedia nak balik kampung, Rina bagitahu abang. Abang datang ambil.” Kudin berkata lagi tanpa mengalihkan pandangannya daripada raut itu.
Kali itu Edrina mengalihkan tatapan bola matanya kepada Kudin. “Betul ke, bang?” wajahnya mula berubah ceria mendengar cadangan lelaki itu.
“Inilah waktu yang tepat untuk seorang anak menunjukkan kasih sayangnya pada seorang ayah. Orang sakit ni, semangat dia pasti akan lemah. Perhatian orang sekeliling dia akan buat dia kuat semula macam dulu. Insya-Allah..” balas Kudin benar-benar tulus.
“Abang nanti macamana?” soal Edrina sambil merenung tampang lelaki itu.
Kudin tersenyum lagi, cuba untuk mengusir keraguan wanita itu. “Takkanlah abang tak boleh mengalah sikit dalam keadaan papa macam ni? Takpelah.. tahulah abang uruskan diri abang sendiri. Rina jangan susah-susah hati fikir tentang makan minum abang. Lagipun mak adakan? Insya-Allah semuanya akan okay nanti,” jawab Kudin bersungguh.
Edrina diam seketika memandang ke hadapan. Buat seminit dua masa yang berlalu itu dia mula memikirkan tentang sesuatu. Sesuatu yang dirasakannya amat perlu dilakukan dalam sedikit masa lagi.
“Kenapa diam ni?” tanya Kudin hairan melihat kekusutan yang masih terpampang di wajah isterinya itu.
“Apa kata kita pindah KL, bang? Kalau boleh Rina nak papa bersara dalam waktu terdekat ni. Tapi nak bersara pun papa kena lantik pengganti. Siapa lagi yang akan gantikan tempat papa dalam company tu kalau bukan kita?” ujar Edrina lembut sahaja.
“Pindah?” soal Kudin sedikit terkejut apabila soal itu tiba-tiba dibangkitkan Edrina.
Edrina segera mengangguk.
Kudin terdiam sambil menggaru kepalanya. Permintaan itu bukan setakat terlalu susah untuk ditunaikannya. Sebaliknya teramat mustahil untuk dilakukan dalam tempoh terdekat ini. Projek ternakan ikan dan udangnya baru sahaja bermula dan ladangnya sedang rancak membuahkan hasil.
“Kenapa? Abang tak suka ke?” soal Edrina seakan sudah mendapat jawapannya dalam kebisuan suaminya itu.
Kudin menghela nafas perlahan. Serba salah dia. Antara kemahuannya sendiri dan permintaan Edrina, dia tidak tahu yang mana harus dipilihnya.
“Abang, kalau bukan kita berdua, papa terpaksa serahkan jawatan tu pada Bad. Sebab dalam keluarga kita dah takde sesiapa lagi yang layak mengambil alih jawatan tu. Kalau nak diikutkan Bad tu pun tak layak sebab yang menjadi share holder adalah ayah dia. Tapi Tan Sri mesti akan jadikan Bad sebagai proksi dia,” ujar Edrina cuba memujuk lelaki itu.
“Penting sangat ke jawatan tu pada keluarga ni? Kalau Bad yang ambil alih pun kita masih juga pemegang sahamkan? Tak kisahlah sebagai proksi ke apa. Selagi dia amanah kepada tanggungjawab dia, takde apa yang nak kita pertikaikan ,” jawab Kudin pantas.
“Abang rasa hal ini tak penting ke?”
Sekali lagi Kudin menghela nafas perlahan. “Abang nak Rina faham, abang pun ada tanggungjawab di kampung. Abang tak boleh tinggalkan macam tu aja,” ujar Kudin dengan nada serius.
“Abang anggap Semarak Holding tu bukan tanggungjawab abang ke?” nada Edrina mula berubah. Sudah diagaknya. Kudin memang tidak pernah berhasrat mahu mengubah pendiriannya tentang itu.
“Bukan macam tu..” Kudin menggaru kepalanya perlahan. Otaknya terus ligat merangka kata-kata yang sesuai untuk membuat isterinya memahami dirinya. “Abang tak boleh paksa diri abang buat sesuatu yang abang tak suka, Rina. Ladang dan kolam ikan tu adalah kehidupan abang, cita-cita abang selama ini. Bertahun abang menunggu, Rina. Baru sekarang abang dapat rasai hasilnya. Sayang kalau abang tinggalkan macam tu aja,” jelas Kudin lembut.
Edrina diam seketika dalam pada dia cuba menerima pendirian lelaki itu.
“Sayang, abang nak Rina faham abang. Abang tak suka bergantung pada orang lain baik dalam soal apa pun,” ucap Kudin cukup lembut. Bimbang juga dia Edrina merajuk dengannya tentang masalah itu.
    “Rina susah nak percaya Bad tu, bang.” Edrina mengeluh perlahan sambil meraup wajahnya.
“Maksudnya?”
“Entahlah.. mungkin ini perasaan Rina aja kut. Dia tu semenjak dulu memang jenis kaki joli,” jawab Edrina perlahan.
“Tabiat dia di luar waktu kerja, kita tak boleh nak halang. Lagipun tak baik kita berburuk sangka pada orang, sayang. Rina dah lama tak jumpa dia. Manalah tahu dia dah berubah. Masa mampu mematangkan seseorang,” sambut Kudin penuh rasional.
Edrina segera menoleh kepada lelaki di sebelahnya itu. “Abang bercakap macam ni, sebab nak suruh Rina setuju biarkan Bad tu ambil alih tempat papa kan?”
“Bukan macam tu maksud abang. Tak baik kita sangka dia bukan-bukan. Entah-entah dia tak macam tu,” ujar Kudin.
“Huh! Rina tengok dia tu tak banyak berubah pun. Sama aja,” jawab Edrina semula. Dia masih terbayangkan renungan lelaki itu sebentar tadi. Biarpun Badrul tahu dia sudah bersuami lelaki itu masih juga mahu bermain mata dengannya. Meluat dia!
“Siapa yang benar-benar tahu tentang hati manusia melainkan orang tu sendiri dan Allah yang mengizinkan manusia itu berubah? Tengok contoh yang paling dekat dengan abang ni. Bad kata tadi Rina ni tak pernah berubah. Masih juga macam dulu-dulu. Ya, memang dulu Rina tak suka abang sebab abang kolot, abang lelaki kampung. Tapi sekarang? Lelaki kampung ni jugaklah yang jadi bantal peluk Rina tiap-tiap malam. Dia pun tak tahu yang sebenarnya Rina dah tak macam dulu. Betul tak apa abang cakap ni?” Kudin sempat tersenyum saat membalas pandangan isterinya itu.
“Iyalah sangat!” getus Edrina akur dalam keterpaksaan dengan kata-kata suaminya.
 Kudin tersenyum lembut sambil meraih bahu isterinya itu. “Bukan abang tak mahu, sayang. Tapi abang tak mampu nak ambil semua tanggungjawab tu serentak. Apa salahnya kita bahagi-bahagikan antara satu sama lain,” pujuk Kudin lagi.
Edrina menghela nafas perlahan. Wajahnya diraup seluruhnya sambil memikirkan reaksi papanya nanti jika inilah keputusan suaminya. Bertahun-tahun ini keluarga mereka yang memonopoli Semarak Holding. Kali ini demi statusnya sebagai isteri dia terpaksa akur dengan keputusan Kudin walaupun hatinya benar-benar tidak rela. Ah! Harta dunia tidak boleh dibawa ke mati, Edrina. Hatinya berbisik begitu.
“Bila abang nak balik kampung?” Edrina menoleh semula kepada suaminya.
“Esok..”
“Cepatnya? Papa kan baru aja habis operation?”
“Abang ada banyak kerja di kolam dengan ladang tu. Ada masa nanti abang akan datang jenguk papa dan bini abang ni sekali. Rina kena jaga kesihatan ya? Makan jangan sengaja dilambat-lambatkan. Jangan lupa.. baby kita ni bergantung hidup pada ibunya,” jawab Kudin lantas meletakkan telapak tangannya di atas perut isterinya itu.
“Insya-Allah, bang..” jawab wanita itu akur akhirnya.
“Kalau rindu dengan abang, nyanyi aja lagu dangdut kegemaran abang tu.”
“Tak kuasalah nak nyanyi lagu sabun mandi tu!” getus Edrina mula menjeling lelaki itu yang sudah seronok ketawa di sebelahnya.
“Okay.. kalau Rina malu nak nyanyi lagu tu, telefon abang. Biar abang tolong nyanyi lagu sabun mandi tu,” sakat Kudin seronok melihat isterinya itu naik angin.
“Boleh tolong tak?” tanya Edrina bersungguh.
“Tolong apa?”
“Tolong jangan nyanyi apa-apa. Suara abang tu nak kata sedap pun tak! Nak kata merdu tu, memang bidaah sangat-sangat. Pendek kata kalau tak nyanyi tu lagi baguslah!” jawab Edrina sedikit keras.
“Tengok tu? Tak baik tipu tau. Cita-cita abang masa kecil dulu nak jadi penyanyi, tau tak? Tapi mak tak bagi abang jadi penyanyi. Sebab mak takut peminat abang nanti terlalu ramai. Susah nak layan surat peminat-peminat abang tu nanti,” ucap Kudin sambil menyeringai.
Edrina terus menekup telinganya. “Boleh tolong diam tak? Nak muntahlah rasanya,” ucap Edrina kuat dalam mata yang terpejam rapat. Tak sanggup dia mendengar Kudin menceceh bab peminat itu. Belum apa-apa dah perasan dia ramai peminat.
Semakin galak tawa si Kudin melihat reaksi Edrina. Bahu wanita itu terus dipeluknya erat. Sempat juga pipi mulus itu dikucupnya. “Nanti kalau rindu, call abang ya? Abang Kudin tunggu..” ucap Kudin mula kembali serius.
“Okay..” jawab Edrina sambil menunduk sedikit. Dia sendiri pun tidak tahu selama mana dia mampu menjalani kehidupannya di sini tanpa Kudin berada di sisinya seperti hari ini dan semalam-semalam. Jangan dia angau lagi macam hari itu sudahlah! 

1 ulasan: