Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Rabu, 25 Disember 2013

Bab 28-29 SI KOLOT SUAMI KU

28-   Tengku Ahmad Ehsan mengurut dadanya perlahan. Dadanya berdebar-debar entah kenapa. Berkerut-kerut wajah lelaki itu menahan ketidakselesaan pada dirinya. Di rasa seperti sedang tercekik. Nafasnya sedikit sesak. Akhirnya interkom di hadapan ditekan oleh Tengku Ahmad Ehsan.
“Farah..” serunya sambil memandang alat komunikasi itu.
“Yes, Tengku..” jawab satu suara melalui interkom itu.

“Cancel meeting petang ni,” ujar lelaki itu agak payah.
“Okay..”
“I tak mahu sesiapa ganggu I buat masa ni, Farah. No phone call for me, please..”
“Noted that, Tengku. You perlukan apa-apa ke?” wanita bernama Farah itu bertanya lagi. Lembut sahaja suaranya.
“No, thanks. I cuma nak berehat sekejap,” jawab Tengku Ahmad Ehsan melalui alat itu.
Usai bercakap dengan pembantu peribadinya lelaki tua itu bersandar ke penyandar kerusi sambil memegang dadanya. Semenjak kebelakangan ini rasa tidak selesa dan debaran itu sering melanda dirinya. Sakitkah dia? Entah..
Aku ni dah tua. Dah sampai masa kena berehat agaknya.. ucap hatinya sendiri. Tapi siapa yang nak gantikan tempat aku? keluh hatinya lagi. Lama lelaki tua itu termenung sendiri memikirkan tentang pengganti kedudukannya di syarikat ini. Sehingga akhirnya Tengku Ahmad Ehsan mengeluh lagi buat kesekian kalinya.
Edrina.. fikiran Tengku Ahmad Ehsan pula melayang mengenang anak tunggalnya itu. Dia tahu kini anaknya itu sedang bahagia dengan Emran. Alhamdulillah.. dia tumpang gembira dengan perkembangan itu. Tetapi sayangnya sehingga kini masih tiada tanda-tanda menantunya itu mahu meninggalkan lubuk rezekinya di kampung untuk menjawat jawatan ini. Sedangkan dia sudah tiada sesiapa lagi yang mahu diharapkan. Masakan dia harus memanggil Edrina pulang dan memaksa anaknya meninggalkan suaminya di kampung untuk ini semua. Tidak mungkin!
Tengku Ahmad Ehsan cuba menenangkan dirinya sambil mengusap dadanya. Berkali-kali dia menelan liurnya. Tekaknya masih terasa seperti sedang tersekat. Ketat dan membuatkan dia semakin tidak selesa.
“Aduh..” keluh lelaki itu dengan wajah berkerut tatkala dadanya terasa ngilu seperti sedang ada benda tajam menikam otot dadanya.
Tengku Ahmad Ehsan tahu.. inilah petanda dia berkemungkinan sudah mendapat penyakit jantung. Namun untuk pergi membuat pemeriksaan, dia terasa gentar pula. Bimbang dia tidak mampu menerima hakikatnya jika benar penyakit itu sudah bersarang di dalam dirinya.
Memang dia ingin benar berehat. Tetapi satu masalah itu terus membuatkan dia tidak mampu melepaskan tanggungjawab itu. Sampai bila dia mampu berada di sini? Tidak tahu!
“Tak boleh jadi ni. Aku kena buat medical check up jugak.”
Lelaki tua itu kembali memanggil pembantunya melalui ganggang talian. “Farah, call Dr. Mohammad. Kalau dia free petang ni, bagitahu dia I nak jumpa dia di hospital.”
“Yes, Tengku. Emm.. Dr. Mohammad? Tengku tak sihat ke ni?” nada Farah sedikit berubah kala itu.
“Saya sakit sikit, Farah..” jawab Tengku Ahmad Ehsan lembut.
“Nak saya panggilkan Zamarul?”
“Takpe. You call dulu Dr. Mohammad tu. Kalau dia free I terus ke hospital saja dari ofis. Kalau dia tak boleh jumpa I hari ni, I ingat nak balik aja ke rumah berehat. Lain kali aja I pergi jumpa dia,” jawab Tengku Ahmad Ehsan melalui ganggang itu.
“Okay.. I’ll inform you later, Tengku.”

“Mana kamu pergi ni, Kudin? Dah berjam-jam mak menunggu kamu tak balik-balik? Bini kamu tu melepek aja dari tadi. Tak daya nak bangun buat apa-apa. Makan pun tak lalu. Lekaslah bawa pergi klinik! Dah tinggi benar demamnya tu.” Mak cik Kunah terus membebel sebaik sahaja Kudin terjengul di rumah.
“Makin teruk ke demamnya?” tanya Kudin sambil membuka kasut.
“Kalau tak teruk takdelah mak heboh macam ni, Kudin oi!” getus wanita tua itu meninggi. Waktu macam ini dia nak tanya soalan tak berilmu begitu. Memang menaikkan darah sungguh si Kudin.
“Kudin ada kerja kat ladang tadi. Ni Kudin balik nak bawak Rina pergi kliniklah ni, mak..” jawab Kudin perlahan.
Mak cik Kunah menggeleng. “Utamakan yang bernyawa ni dulu berbanding yang lain. Dah dua hari demamnya tak kebah. Kamu tak risau ke? Jangan pandang ringan aja demam ni semua, Kudin. Kalau dah makin panas badannya sampai tahap macam tu, kena cepat-cepat bawak pergi klinik. Jangan nak buat sambil lewa aja! Kerja kat ladang tu memang penting tapi orang dalam rumah ni lagi penting!” getus Mak cik Kunah tidak puas hati dengan jawapan anaknya itu. Geram dia kerana Kudin sudah dua hari bertangguh untuk membawa isterinya ke klinik disebabkan kerja-kerja di ladangnya.
Kudin terdiam menadah telinganya kepada ceramah emaknya. Isterinya di dalam bilik terus dicarinya. Dia lihat mata isterinya terpejam dengan sehelai tuala basah di atas dahinya. Kudin terus menjamah pipi wanita itu. Memang panas!
“Yang..” panggil Kudin setelah duduk di sisi katil. Lengan isterinya disentuhnya lembut.
“Kita pergi klinik ya?” ucap Kudin sebaik sahaja wanita itu membuka mata memandang kepadanya.
“Tak laratlah. Kepala ni sakit sangat-sangat,” jawab Edrina lantas memejamkan mata semula. Kalau boleh dia mahu tidur sahaja agar kesakitan yang sedang ditanggungnya ini tidak dirasainya. Sayangnya dia langsung tidak dapat tidur biarpun matanya terpejam.
Kudin terdiam seketika sambil terus memandang isterinya itu. Belas benar dia melihat keadaan Edrina. Sebuah keluhan dilepaskan perlahan. “Kita pergi klinik ya?” ucap Kudin lembut.
Edrina kembali membuka mata kepada suaminya. Perlahan dia mengangguk sahaja. “Tolong Rina bangun kejap. Nak pergi bilik air,” bisiknya sambil menghulurkan tangan.
Kudin terus menarik tubuh wanita itu. Berkerut-kerut wajah Edrina menahan denyutan di kepalanya tatkala tubuhnya dibangunkan. Dunia di sekeliling terasa seolah-olah sedang berputar ligat. Rasa nak muntah pun ada.
“Sakit sangat-sangat kepala ni, abang. Tak tahanlah..” keluh Edrina tidak tertahan. Kepalanya terus disandarkan ke bahu Kudin.
“Sabar ya? Sekejap lagi kita pergi klinik, ambil ubat,” pujuk lelaki itu lembut. Belakang wanita itu diusapnya lembut. “Rina nak pergi bilik air? Biar abang angkat.” Kudin terus bangun dari situ dengan penuh hati-hati.
Wanita itu tidak mampu menjawab apa-apa. Apa yang Kudin lakukan kepadanya dibiarkan sahaja. Dalam keadaan begini dia memang tidak mampu melakukan apa-apa pun biarpun sekadar berjalan ke bilik air. Usai membersihkan diri sedikit sebanyak Kudin membantu wanita itu menyalin pakaian pula.
Petang itu di klinik..
“Dah pregnant memanglah sakit kepala.” Tersenyum sahaja doktor wanita itu memberitahu hal itu kepada Edrina.
“Pregnant?” bulat sedikit mata Edrina memandang doktor wanita itu. Kudin pula terus ternganga di sebelah katil rawatan itu.
Doktor itu mengangguk. “Dah 5 minggu, puan. Tahniah..” jawabnya lembut.
Spontan Edrina memandang suaminya. Kudin masih terlopong memandang muka doktor itu. Apa yang pelik benar di muka doktor itu entahlah sampai dia melopong begitu sekali.
“So demam ni sebab kandungan nilah?” tanya Edrina masih keliru. Yalah.. ini kali pertama. Manalah dia tahu apa tanda-tanda kehamilan.
“Yup.. you mengadu ada masalah waktu buang air kecil. Kita dah buat urine test tadi, you ada alami masalah kencing kotor. Tapi jangan bimbang.. ini memang biasa berlaku pada ibu yang sedang hamil. Untuk sementara ni I akan berikan ubat untuk membantu neutralkan asid yang berlebihan dalam urine dan juga vitamin. Tapi you kena banyakkan minum air masak ya? 6-8 gelas sehari sehingga you rasa masalah tu berkurangan. Kurangkan minuman bergula dan berkafien. Kalau ada rasa nak buang air, jangan tahan-tahan. Kerana bakteria tu akan membiak melalui urine kita. So memang kena selalu buang air kecil,” ujar doktor itu lembut.
“Bahaya ke masalah kencing kotor tu, doktor?” Kudin mula bersuara setelah sekian lama dia mendengar sahaja.
“Kalau tak dicegah dari peringkat awal memang boleh mengakibatkan masalah pada ginjal dan juga baby. Yang penting you kena ikut nasihat I tadi dan jangan lupa ambil ubat dan vitamin. Masalah kencing kotor ni memang ramai wanita hamil pernah mengalaminya. Ada yang hilang macam tu aja. Bergantung kepada macamana cara kita menjaga diri kita ketika sedang hamil,” jawab doktor itu kepada Edrina.
Edrina mengangguk sahaja.
“Puan Edrina, I cadangkan you pergi buat pemeriksaan di klinik khas untuk ibu mengandung. Dapatkan temujanji untuk pemeriksaan kandungan di sana.”
“Kat sini tak boleh?” tanya Kudin macam bijak pandai sahaja gayanya.
“Encik.. ini klinik kecil aja. Kelengkapan kita tak cukup untuk kendalikan kes-kes kehamilan ni. Saya pun tak galakkan mana-mana wanita buat pemeriksaan kandungan di klinik saya ni. Lebih baik di klinik yang dikhaskan sebab peralatannya cukup dan pakar pun ramai,” jawab doktor itu sambil tersenyum memandang Kudin.
“Yalah..” tergaru-garu Kudin sambil diperhatikan Edrina. Macam-macamlah laki aku ni.. getus hatinya sendiri.
 Sebaik sahaja masuk ke dalam kereta Kudin memandang seketika isterinya itu. Edrina sudah tersandar sambil memegang kepala.
“Sakit kepala lagi?” tanyanya cukup lembut.
Edrina mengangguk sahaja dalam pada matanya memandang ke luar tingkap.
“Makan dulu ya? Mak kata seharian ni Rina tak makan. Rina nak makan kat mana? Abang boleh bawakkan,” pujuk Kudin sambil menarik wajah isterinya itu agar memandang kepadanya.
“Tak seleralah. Kalau Rina selera tak payah tunggu abang bawak Rina pergi kedai makan. Kat rumah mak tadi Rina dah makan,” jawab Edrina dengan pandangan tanpa cahaya kepada lelaki itu.
“Tapi kalau tak mahu makan macamana nak makan ubat? Macamana sakit kepala tu nak hilang?” tanya Kudin lembut.
Edrina terdiam seketika. Ya tak ya juga.. so nak kena makan jugaklah jawabnya.
“Makan dulu ya?”
Edrina mengangguk sahaja.
“Kalau nak buang air, cakap cepat-cepat dengan abang ya?”
Spontan Edrina tersenyum. “Yalah, bang. Cepatlah jalan. Nak balik lekas ni,” getusnya sudah tidak sanggup berlama-lama lagi di luar.
Kudin tersenyum sahaja. Kereta terus digerakkan pergi daripada situ. Patutkah dia bergembira dalam keadaan isterinya tidak sihat seperti itu? Memang tidak patut tetapi mengenang dirinya bakal menjadi seorang ayah, perasaan itu tidak mampu ditepis. Rasa macam mimpi aja semua ini.
“Rina nak ambil kesempatan ni untuk ingatkan abang tentang sesuatu.” Edrina tiba-tiba bersuara sambil menoleh kepada lelaki di sebelahnya itu.
“Apa dia?” kening Kudin berkerut sedikit memandang isterinya itu.
“Rina masih ingat, abang pernah cakap sesuatu dulu waktu abang tengah berusaha keras tackle Rina sangat-sangat dulu. Abang kata begini.. nanti bila kita dah ada anak-anak, semua anak-anak pun abang yang akan mandikan. Sebab abang ni diakui memang rajin mandikan orang, so Rina nak ingatkanlah perkara tu seawal yang boleh. Jangan buat-buat tak ingat pulak nanti bila dah tiba masanya,” jawab Edrina dalam nada memerli.
Ujaran wanita itu membuatkan Kudin tergelak sambil menggeleng. Ingatkan apalah yang penting benar. Rupanya itu aja. “Amboi.. ingat aja janji abang kalau pasal tu ya?”
“Kenapa pulak tak boleh ingat? Kata-kata abang waktu tu sekadar janji manis mu ke apa tu?”
“Takdelah.. abang mana pernah buat janji manis mu. Anak abang mestilah abang yang kena pikul tanggungjawab tu. Insya-Allah, sayang.. janji akan ditepati,” jawab Kudin bersungguh.
“Good! Itu yang Rina nak dengar sangat tu,” sambut Edrina sambi kembali bersandar. Kereta suaminya dilihat masih tidak keluar dari kawasan pekan itu. Entah ke mana Kudin mahu membawa dirinya.
“Kita nak ke mana ni?”
“Lah.. tadi kata nak makankan?” Kudin menoleh sekilas kepada isterinya.
“Yalah.. tapi kat mana. Ni asyik berpusing-pusing dalam kawasan pekan ni. Orang dahlah tengah pening ni. Dia lagi berpusing-pusing kat sini, lagi tambah pening.”
“Adalah.. Rina dengan baby jr duduk diam-diam. Nanti dah sampai abang bagitahu,” ucap Kudin lembut. Hari ini sempena berita gembira itu dia mahu membawa isterinya makan besar. Bijak sungguh si Kudin. Waktu isteri dia tak lalu nak makan itulah dia sibuk nak bawak pergi makan besar.
“Okay.. mummy duduk diam-diam ni!” Edrina terus bersandar ke kerusinya sambil memandang ke luar. Matanya cuba dipejamkan sementara menanti tiba ke tempat yang mahu dibawa oleh suaminya.
Kudin tersenyum sahaja sambil mengemudi keretanya. Petang-petang begini pekan ini agak sesak. Tersengguk-sengguk keretanya melayani kehendak jalan.
Namun seketika kemudian setelah merasakan kereta itu berhenti tiba-tiba Edrina kembali membuka mata. Sangkanya mereka sudah tiba. Tetapi rupanya mereka sedang beratur panjang menanti lampu isyarat bertukar hijau. Sambil mengeluh sendiri dia memandang ke arah deretan kedai di sisi jalan itu. Manusia yang sedang berpusu-pusu berjalan di kaki lima hadapan deretan kedai itu diperhatikan penuh minat.
“Eh! Eh! Abang..” suara Edrina melengking tiba-tiba setelah ternampak kelibat sebuah kedai tidak jauh daripada mereka. Tanpa memandang ke arah Kudin, Edrina mencapai lengan suaminya.
“Apa dia?” Kudin menoleh pantas kepada Edrina. Apahal pulak bini aku terteleng-teleng pandang ke sana. Kudin ikut memandang apa yang sedang dipandang Edrina. Yang memanggil macam tu sekali tadi, dia nampak orang kena ragut ke?
Edrina mula menoleh kepada suaminya. Tanpa terus menjawab dia termanggu memandang wajah Kudin. “Emm.. cuba abang pandang leher Rina ni. Ada apa-apa tak?” tanya Edrina sambil mendongakkan sedikit kepalanya sambil mengelus-elus lehernya.
“Ada apa-apa? Takde apa pun?” jawab Kudin setelah dia memandang leher wanita itu bersungguh-sungguh.
“Memanglah takde apa-apa sekarang ni! Habis tu takkan takde apa-apa lagi kut?” getus Edrina geram melihat Kudin tidak memahami kiasannya.
Kudin memandang kereta hadapan seketika sebelum memandang lagi isterinya dengan kerutan di kening. “Apa yang takde apa-apanya? Abang tak faham,” ucap Kudin lembut
Edrina menggertap bibir memandang wajah kabur suaminya itu. Namun seketika kemudian dia tersenyum pula. “Rina dah pregnant. Abang tak mahu bagi Rina hadiah apa-apa ke?” tanyanya cukup lembut.
“Hadiah apa pulak ni?” tanya Kudin mula cuak dengan soalan wanita itu.
“Apa-apalah..” jawab Edrina dengan muka selamba. Namun tangannya asyik memegang lehernya sambil memandang ke satu arah. Alah.. Abang Kudin ni. Jangan buat-buat bendul boleh tak?
Kudin terus mengerutkan kening tanda semakin tidak faham dengan gelagat yang dibuat oleh isterinya itu. Nak kata leher isterinya terkena penyakit gatal-gatal takde pulak. Habis tu yang tergaru-garu ni kenapa?
“Sayang cakap apa ni?” tanya Kudin akhirnya.
“Tu.. tu..” Edrina memuncungkan mulutnya ke satu arah. Dah macam orang ke strok rupanya semata-mata mahu Kudin melihat ke arah yang ditunjukkan.
Kudin mula memandang ke arah itu. Keningnya berkerut.. apa yang hendak ditunjukkan Edrina sebenarnya? Yang dia nampak, ada kedai seng-seng.. ada kedai jual top-up.. seven E.. kedai makan mamak.. kedai jual motorsikal dan ada kedai..
Erk! Liur Kudin tidak tertelan. Kedai emas Wah Chan! Sekarang dia sudah faham apa maksud Edrina menggaru lehernya tadi. Kudin terus memandang ke hadapan.
“Abang!” getus wanita itu apabila melihat Kudin buat tidak tahu aja kepada apa yang disampaikan.
“Apa?” Kudin mendegus sedikit.
“Saja jekan? Buat tak faham pulak!”
“Rina demamkan? Tadi kata nak balik cepat,” ujar Kudin sengaja tidak mahu memandang ke arah yang dilihatnya tadi. Suwei poket dia nanti!
“Jomlah singgah kat situ sekejap,” pujuk Edrina mula menempel di bahu suaminya.
“Tak payahlah. Lepas makan ni terus balik. Rehat kat rumah,” jawab Kudin malas.
“Naklah, abang!”
“Nak abang nanti kat rumahlah. Takkan kat sini pulak?”
“Abang ni main-mainlah! Jomlah pergi kedai tu, abang.” Merengek-rengek wanita itu meminta Kudin menuruti kehendaknya.
Kudin mendegus malas mahu melayan. “Dulu waktu kita nak kahwin, barang kemas abang bagi Rina tak pakai pun? Ni nak beli lagi. Membazirlah,” getus Kudin tidak senang.
“Itu lain. Ini lain!”
“Apa yang lainnya?”
“Barang kemas tu semua pada mama. Abang cepatlah..”
Kudin mendecit tidak gemar mahu melayan kehendak isterinya itu. Sebaik sahaja bahagian hadapan dikosongkan dia terus jalan tanpa menoleh kepada kedai emas yang mula ditinggalkan mereka.
Namun Edrina di sebelah sudah memuncung menunjukkan bengkak hatinya. Sehingga Kudin menberhentikan kereta di sebuah restoran besar pun dia masih tegak di kerusinya tidak bergerak. Langsung tidak berminat.
“Jomlah pergi makan,” pujuk Kudin lembut.
“Tak nak! Merajuk ni..”
Kudin tersenyum sendiri sambil menggeleng. Aku takde tanya pun dia merajuk ke tidak..
“Jomlah.. nanti masuk angin perut tu, lagi sakit kepala. Dahlah hati tengah sakit, kepala pun sakit. Semua sakitlah!” ucap Kudin memujuk lagi.
Edrina bungkam lagi sambil memandang tajam ke hadapan.
Kudin menghela nafas perlahan. “Tengok tu? Tak kesiankan abanglah tu, buat abang macam ni. Takpelah.. Rina tak mahu makan, abang pun tak mahu makan sampai bila-bila. Biar kita sama-sama sakit,” ucap Kudin rendah. Dia menegakkan tubuhnya memandang ke hadapan sambil mengeluh sendiri.
Edrina mula menoleh kepada suaminya. Mendengar Kudin pun mahu mogok makan sama dengan dia, tiba-tiba dia jadi takut pulak. Takut Kudin pula yang jatuh sakit sebab dia. Baru sahaja Kudin mahu menghidupkan enjin kereta itu kembali Edrina terus memegang lengan lelaki itu.
“Apa dia?”
“Nak makanlah,” jawab Edrina dengan mata terkebil-kebil memandang wajah serius Kudin. Takut juga dia menjadi mangsa kemarahan suaminya itu kalau terlebih sangat membuat perangai.
Kudin memandang isterinya seketika. “Ingatkan dah tak sayangkan abang.”
“Mana ada macam tu!” getus Edrina sebal.
“Habis tu kenapa tak mahu dengar cakap abang?”
“Ni Rina nak dengar cakap abanglah ni,” balas Edrina dengan mata terkebil-kebil sendiri. Dia sedar mungkin dia sudah terlebih menduga kesabaran suaminya.
Kudin diam merenung ke wajah isterinya. Namun dia tersenyum akhirnya. Tak susah rupanya nak mencairkan hati perempuan ini. “Macam-macamlah bini Abang Kudin sorang ni. Tadi demam sampai tak lalu nak bangkit.. lepas tu nampak kedai emas, tiba-tiba mintak rantai emas pulak. Nampak kedai emas terus elok demam! Pengsan Abang Kudin macam ni,” bebel Kudin sambil menggeleng sendiri. Akibat bicaranya itu Kudin sempat merasa cubitan di lengannya sebelum dia keluar dari kereta.



29-  Dua manusia itu ralik berbual sambil merenung ke arah ratusan ikan keli yang sedang menggeliat merebut makanan di permukaan air itu. Kudin menoleh kepada Mokhtar di tepinya.
“Bila stok makanan ikan tu sampai?”
“Petang nanti,” jawab Mokhtar.
“Jangan sampai dia orang tak datang pulak. Kau call supplier sekejap lagi, confirmkan pasal tu,” ucap Kudin biasa.
“Nanti kau call.”
“Lepas ni aku akan minta budak Husin tu ambil alih tempat kau kat sini, Mokhtar. Dia pun dah mahir dengan kerja-kerja di kolam ni. Kau jaga kolam kita yang sebelah hulu sana tu,” ujar Kudin lagi sambil memandang raut sahabatnya itu.
“Okay.. takde masalah,” jawab Mokhtar senang dengan tanggungjawab yang diberikan Kudin kepadanya. Dia sudah tahu dalam beberapa hari lagi kolam itu akan memulakan operasinya. Bekalan anak-anak ikan dan udang yang mereka pesan akan sampai tidak lama lagi. Dia sendiri pun bagaikan sudah tidak sabar.
Kudin menghela nafas perlahan. “Harap-harap semuanya berjalan lancar,” ujar Kudin senang. Hatinya puas dengan perkembangan usahanya itu.
“Insya-Allah.. semuanya akan berjalan lancar, Din. Allah lihat jerih payah kita semalam ni. Eh! Aku nak pergi hujung sana. Ada kerja aku belum siapkan ni,” ucap Mokhtar mula meminta diri. Kudin sekadar mengangguk dengan sedikit senyuman buat temannya itu.
Kudin kembali menyambung kerja memberi makan ikan itu. sesekali dia terhenti memerhatikan ikan-ikan itu berebut makanan. Seronok benar dia melihat keadaan itu.
“Abang..” panggilan itu teralun lembut. Mendayu-dayu menggambarkan betapa si pemanggilnya sememangnya cukup ayu bak wanita Melayu terakhir.
Kudin terus menoleh ke tepinya untuk mencari si pemanggil. Saat terpandangkan langkah Lisa menghampirinya, sebuah keluhan terhela dalam diam. Tanpa menyambut sapaan itu dia kembali berpaling ke arah kolam ikan keli di hadapannya itu. Apalah halnya dia ni asyik datang sini cari aku? Dah takde kerja lain ke apa dia ni? Dia dah tak kerja kat KL lagi ke? keluhnya dalam hati.
“Kenapa monyok aja abang ni? Tak suka Lisa datang sini ke?” tanya Lisa sambil menyeringai memandang sisi wajah lelaki itu.
Kudin hanya buat pekak sahaja. Makanan ikan di tangannya terus ditaburkan ke dalam kolam seolah-olah tiada sesiapa yang berada di situ dengannya. Sambil itu dia menyelusuri tepian kolam itu memerhatikan ikan-ikannya.
“Abang, Lisa bercakap dengan abang ni!” degus gadis itu lantas menarik lengan Kudin.
“Kau nak apa lagi ni, Lisa?” soal Kudin dingin. Kepalanya digelengkan sedikit tatkala memikirkan gelagat Lisa yang semakin lama semakin menyakitkan kepalanya. Tak faham bahasa ke dia ni?
“Abang ni.. tak baik buat Lisa macam ni,” cebir Lisa sayu. Sedih hatinya dengan sambutan yang diberikan oleh Kudin dengan kehadirannya di situ.
“Aku takde masa nak main-main. Banyak lagi kerja aku nak kena buat ni. Ada apa kau cari aku? Cakaplah cepat!” tegas Kudin tidak peduli. Kau nak nangis kat situ pun aku tak hairan. Jangan ganggu hidup aku aja sudah!
“Abang Kudin, sampai bila abang nak layan Lisa macam ni? takkanlah abang suka bermusuhan dengan Lisa? Apa salah Lisa?”
Kudin menoleh dengan mata mencerum tajam. “Kau sendiri tahu apa kau dah buat. Jangan buat-buat tak tahulah! Aku dah terlalu banyak berkorban untuk kau selama ini, Lisa. Tapi ini yang kau balas pada aku,” cemuh Kudin tajam.
Lisa tergamam seketika menadah telinganya kepada bicara Kudin. Tertunduk dia dibuatnya.
“Aku tak pernah harap kau akan balik sini mengambil berat pada aku semula. Cukuplah kau jangan jadi duri dalam rumahtangga aku. Hanya itu yang aku harap, Lisa! Besar sangat ke permintaan aku ni?” ucap Kudin sedikit keras.
“Okay.. kalau pasal peristiwa kat tepi kolam udang abang dulu tu, Lisa minta maaf banyak-banyak. Lisa datang sini sebab Lisa nak berbaik dengan abang. Salah ke, bang?” ujar Lisa rendah sahaja.
Kudin diam tidak menyambut ujaran gadis itu. Dia sebenarnya tidak berminat mahu berbaik dengan Lisa atau mana-mana ahli keluarga gadis itu. Entah kenapa semenjak kebelakangan ini hatinya cukup tawar kepada keluarga Wak Sukiman. Untuk Lisa pula.. hatinya benar-benar kosong!
“Abang tak mahu mafkan Lisa ke?” tanya Lisa sambil memerhatikan Kudin yang membisu sahaja.
“Aku boleh maafkan kau kalau kau betul-betul ikhlas. Tapi aku tetap tak suka kau ganggu rumahtangga aku, Lisa. Aku dengan kau tak pernah ada apa-apa hubungan cinta selama ni. Aku tak mahu Rina salah faham lagi pada aku nanti,” ujar Kudin mula mengendurkan suaranya. Namun pandangan matanya langsung tidak dikalihkan kepada gadis itu.
Kali ini giliran Lisa pula berdiam. Sakit telinganya mendengar Kudin menyebut nama isterinya itu. Macamlah best sangat nama tu!
“Apa lagi yang kau nak dari aku?”
“Abang, Lisa takde niat apa-apa pun. Bini abang tu yang tak suka pada Lisa. Lisa tak pernah buat apa-apa pun pada dia. Lisa cuma nak berbaik dengan dia.. dengan abang,” ujar Lisa cukup lembut membersihkan air mukanya di hadapan Kudin.
Kudin menggeleng perlahan. “Aku nampak apa yang kau buat, Lisa. Aku bukannya lelaki tolol! Kau jangan memperbodohkan aku lagi,” tegas lelaki itu sambil menoleh tajam kepada wanita itu seketika.
Lisa membisu lagi memikirkan ayat yang mahu dilahirkan untuk melembutkan hati lelaki itu. Bibirnya dikertap perlahan sambil merenung lelaki itu.
“Rina tengah mengandung sekarang. Aku tak mahu dia tertekan,” tambah Kudin lagi tanpa memandang Lisa. Macam sudah jelik benar matanya mahu menjamah lama-lama wajah sarat kepalsuan itu.
Tiba-tiba terbeliak mata Lisa. “Abang nak dapat anak?” soal Lisa meninggi.
Kudin sekadar mengangguk dengan sedikit senyuman. Sebut tentang kehamilan isterinya riak wajah Kudin serta merta berubah manis. Seronok benar dia mengenangkan itu. Semenjak kebelakangan ini hidupnya terasa lebih bermakna. Dia semakin bersemangat setiap kali di pagi hari dia keluar mencari rezeki.
Lisa meneguk liur, terkulat-kulat sendiri memandang reaksi Kudin. Kalau tadi wajah lelaki serius sahaja kini sudah ada tercalit sedikit keceriaan di wajah itu walaupun sebenarnya Kudin tidaklah kelihatan seperti sengaja mahu menunjuk-nunjuk kepadanya.
“Tahniah, bang. Semoga abang bahagia dunia akhirat,” ucap Lisa agak hambar. Langsung tidak ikhlas. Kata-kata itu sekadar pemanis mulut sahaja. Hati Lisa terlalu sakit. Berita itu benar-benar membuatkan angan-angannya berkecai seribu kini.
Kudin menoleh kepada gadis itu dengan sedikit senyuman. Lisa segera membalas senyuman lelaki dengan senyuman palsu agar perasaannya yang sebenar tidak terlepas pada pandangan Kudin.
“Terima kasih,” ujar Kudin lembut.
“Lisa harap lepas ni kita boleh berbaik macam dulu, bang. Lisa tak senang hati bermusuhan dengan abang. Lisa tahu abang masih marahkan Lisa pasal dulu. Sekali lagi Lisa minta maaf. Lisa mengaku memang Lisa pernah menghina abang. Lisa dah sedar sekarang.. abang tak seperti yang Lisa fikirkan,” ujar Lisa cukup lembut memainkan watak ayunya.
“Aku ni tak macam yang kau fikirkan?” ucap Kudin sambil tersenyum sendiri. seketika kemudian barulah dia memusingkan tubuhnya menghadap kepada gadis itu. “Kalau dulu kau hina aku sebab aku kolot, tak moden macam bekas teman lelaki kau tu.. jadi aku ni macamana pada mata kau sekarang?” tebak Kudin selamba dengan sedikit senyuman sinis.
“Apa maksud abang cakap macam ni?” wajah Lisa mula berubah.
“Kalau bukan sebab aku kahwin dengan Edrina kau takkan tahu siapa aku sebenarnyakan? Kau takkan datang minta maaf pada aku! Kau takkan tebalkan muka kau datang merayu supaya aku terima kau semula,” ucap Kudin cukup sinis. Dia masih ingat Lisa pernah merayunya sehari selepas habis kenduri kahwin di rumahnya dulu.
“Lisa buat macam tu sebab Lisa menyesal, abang. Lisa dah salah sangka pada abang selama ini. Sayangnya kesedaran Lisa datang lambat,” jawab Lisa dengan suara sedikit bergetar. Perasaannya kian bercelaru mendengar hal itu diungkap semula. Kata-kata Kudin benar-benar membuatkan dia terasa mahu menangis.
“Salah sangka kau tu masih belum mati pada aku kalau kau masih menganggap aku memang pernah cintakan kau. Salah sangka kau tu memang dah kronik kalau kau rasa dengan berbuat macam ni aku akan jatuh cinta pada kau, Lisa. Aku nak kau sedar yang semua ni sia-sia. Aku takkan pernah ada perasaan yang mendalam pada kau. Kau tu macam adik aku aja selama ini. Aku layan kau baik sebab aku sayangkan kau macam adik kandung aku sendiri,” ujar Kudin serius.
Lisa terkebil-kebil sendiri dibuat Kudin. Namun biarpun keras nada Kudin mempertahankan kenyataan itu, dia tahu Kudin berbohong. Dia yakin lelaki itu memang pernah tergila-gilakan dia suatu masa dulu.
“Baliklah.. takde urusan kau selalu ada di sini, Lisa. Kalau tergelincir jatuh dalam kolam ni, aku juga yang susah nanti. Lagi susah kalau ikan-ikan aku dalam tu mati kena hempap dek kau,” ujar Kudin dengan muka cukup bersahaja memuncungkan mulutnya ke arah ikan-ikannya itu. Tanpa membiarkan sesaat dibazirkan Kudin terus meninggalkan Lisa di situ untuk ke stor makanan ikan.
Lisa menggertap bibir menahan geram mendengar ucapan Kudin. Nampak sangat Kudin lebih sayangkan ikannya itu berbanding dirinya. Sampai hati abang! Jerit hati gadis itu sebal.

Setelah menyimpan baki makanan ikan itu Kudin terus ke keretanya. Enjin terus dihidupkan sebelum dia mengundurkan keretanya untuk pergi dari situ. Dia mahu pulang makan tengahari di rumah.
Setiba di rumah Kudin lihat pintu hadapan bertutup. Dia mengagak aktiviti isterinya saat ini ialah tidur!
“Assalamualaikum.. sayang, bukak pintu ni. abang dah balik.” Pintu kayu itu diketuk Kudin beberapa kali.
Tidak lama kemudian dia terdengar selak sebelah dalam mula dibuka. Wajah Edrina terjengul dengan rambut sedikit kusut dan mata merah.
“Tak sihat ke ni?” tanya Kudin sebaik sahaja melangkah masuk.
“Mengantuklah..” jawab wanita itu lantas menyandarkan tubuhnya kepada lelaki itu. Semenjak hamil masalah mengantuk tak kira masa itu memang menjadi-jadi pula. Lesu aja badannya. Asalkan letak kepala ke bantal memang hanyutlah dia.
Kudin tersenyum sambil mengucup dahi isterinya itu. “Abang pergi beli lauk dulu ya?” ucap Kudin lembut.
“Eh! Tak payah. Rina dah masak tadi,” jawab Edrina pantas.
“Aik? Dah masak? Betul ke?” terbeliak sedikit mata Kudin mendengar itu. macam tidak percaya pula dia. Tengah tak mengandung dulu susah pula Edrina sukarela mahu memasak di dapur. Melainkan moodnya tengah berbintang-bintang. Tengah mengandung ini sukarela pula dia. Ini sudah bagus!
“Rina dah masak dan dah makan pun. Lapar sangat tadi. Abang makan seorang ya? Rina dah kenyang,” jawab Edrina selamba.
“Patutlah mengantuk. Dah kenyang rupanya. Takkan abang makan seorang aja?” ucap Kudin lantas menggeleng sendiri. Pelik betul perangai bini aku ni semenjak mengandung. Rajin memasak. Lepas tu makan tak tunggu dia. Dia dah sebat dulu seorang diri. Takpelah.. yang penting dia tak perlu susah payah ke kedai lagi untuk membeli lauk.
“Rina temankan abang makan ya?” ucap Edrina segera tersenyum manis kepada suaminya itu. Walaupun perutnya sudah terasa penuh tidak sampai hati dia mahu membiarkan Kudin makan sendiri.
“Jom lekas.. abang dah lapar ni,” sambut Kudin mesra.
Di meja makan Edrina sekadar berteleku memandang gelagat Kudin. Segala perlakuan lelaki itu dipandang penuh erti.. sarat dengan kasih sayang. Dia suka melihat Kudin berselera makan begitu. Lebih-lebih lagi jika dia yang memasaknya. Ah! Itu memang ayat klise bagi semua isteri yang baru dikahwini. Tetapi hakikatnya kini dia ingin mengakui segala nasihat, petua dan tunjuk ajar daripada emak mertuanya itu memang terlalu berguna untuk dirinya.
“Abang ni makan banyak-banyak tapi tak gemuk-gemuk jugak ya?” ucap Edrina tiba-tiba dalam pada Kudin masih menumpukan perhatian kepada nasinya. Pelik juga dia kadang-kadang. Sekali makan boleh sampai tiga kali tambah tapi Kudin tak gemuk dan tak buncit.
Kudin mula menoleh ke arah wanita di sebelahnya. “Abangkan kuat? Kenalah makan banyak barulah boleh jadi kuat,” jawab Kudin selamba.
“Apa yang kuatnya?” tanya Edrina mula memberikan pandangan jengkel. Macam tahu aja dia maksud Kudin itu.
“Kuatlah.. kuat kerja, kuat tenaga.. emm.. yang satu lagi tu tak payah bagitahulah. Rina dah tahu pun,” ujar Kudin selamba.
“Geli dengar yang last tu,” cebir Edrina sambil mencebik sedikit. Yang satu tu tak payahlah mention! Ngeri dia!
“Apa nak geli pulak? Amboi.. hari tu kata dah tak geli dengan abang. Ni dah geli balik?” Kudin tersengih sendiri sebelum menyuap nasi yang masih bersisa.
Wanita itu sekadar diam malas mahu menjawab loyar buruk lelaki itu. Tatkala suaminya menoleh dia segera menjeling Kudin yang sedang mempamirkan wajah nakalnya.
Kudin sempat tergelak melihat gelagat isterinya itu. “Maksud abang tadi.. kuat berusaha. Rina jeling-jeling abang tadi, ingat abang maksudkan apa sebenarnya?”
“Tak payah nak poyo, puji diri sendiri. Kuat berusaha konon! Kuat memonteng kerja pun ya jugak,” cebir Edrina selamba.
Semakin kuat gelak Kudin mendengar komen Edrina. “Alah.. sehari itu aja abang mc, yang. Mana ada abang selalu buat macam tu,” sambut Kudin sambil tersengih-sengih gelihati.
“Malas nak layan.”
Usai makan dan mandi Kudin dengan kain pelekatnya itu mula melepak di hadapan tv sementara menanti waktu zuhur. Edrina terus berbaring di ribaan lelaki itu. Bila dah terbaring begitu matanya mula kelayuan. Macam disuruh-suruh pula.
“Sembahyang zuhur dulu, baru boleh tidur, sayang. Dah lelap mata tu, nanti nak bangun semula jadi malas. Sembahyang pun nanti di hujung-hujung waktu aja. Itu pun kalau lalu nak bukak mata.” Kudin segera menegur sambil menepuk lembut bahu isterinya.
“Mengantuk sangatlah, bang. Tak tahu kenapa macam ni semenjak kebelakangan ni,” adu wanita itu perlahan.
“Ini semua dugaan sementara untuk perempuan yang tengah mengandung. Kena banyak sabar. Tabiat tak elok yang ibu amalkan waktu macam ni akan menurun kepada anak,” pujuk Kudin. Tangannya laju membelai rambut wanita itu.
Perlahan Edrina bangun dari baringnya. Kali itu tubuhnya disandarkan ke badan lelaki itu. Si lelaki terus sahaja memaut erat pinggang si isteri. Buat seketika mereka berdiam. Kudin terus memandang tv manakala Edrina melentokkan kepala ke bahu lelaki itu. Fikirannya mula memikirkan tentang lelaki yang sedang mendakapnya itu. Melayang-layang perasaannya tatkala belakang tubuhnya dibelai lembut oleh tangan kasar lelaki itu.
Namun tiba-tiba wanita itu tersenyum pula sambil meletakkan dagunya di atas bahu Kudin. Raut lelaki itu dipandang tanpa jemu. Hujung jarinya menyelusuri halus pipi lelaki itu yang sudah ditumbuhi tunggul-tunggul bulu jarang.
Edrina sedar.. semakin lama hatinya semakin terikat kukuh kepada lelaki ini. Tanpa sebarang paksaan. Semuanya berlaku begitu sahaja dan kini dia merasakan memiliki si kolot ini adalah sesuatu yang paling indah di dalam hidupnya.
“Rina sayang abang sangat-sangat,” ucap Edrina separuh berbisik. Jemarinya mula turun ke leher lelaki itu pula sebelum berpindah ke bahu lelaki itu yang terdedah. Atas bahu Kudin dielusnya dengan hujung jari telunjuk. “Sayang sangat-sangat,” ucapnya lagi sebelum pipi lelaki itu dikucupnya sekilas.
“Sayang sangat-sangat..” semakin tenggelam suara perempuan itu sambil memindahkan jemarinya ke dada lelaki itu. Sesungguhnya dia terlalu ingin mendampingi lelaki ini sepanjang hidupnya. Terlalu sangat!
Kudin mula tidak keruan dengan perlakuan wanita itu. Alahai.. romantiknya bini aku ni. Ni yang rasa nak mc setengah lagi hari ni. Hati Kudin sudah mula berbunga-bunga kala itu. Aksi menggoda Edrina benar-benar membuatkan dia terlupa segala-galanya akibat mabuk cinta!
“Cute tau baby ni! Rasa macam nak picit-picit aja,” getus Edrina tidak tertahan lantas memiat telinga Kudin.
 Terlopong mulut Kudin dibuat wanita itu. Pulak dah! Itu macam tengah geram aja? Tak sempat dia mahu membalas ucapan cinta Edrina tadi telinganya dah menjadi tempat Edrina melepaskan geram. Baby yang mana cute? Yang kat dalam ke yang kat luar? Yang kat luar ni rasanya dah lama letak jawatan daripada jadi baby. Cukuplah lebih 28 tahun dulu dia dah pernah jadi baby. Dah tua bangka macam ni tak sesuai kut jadi baby lagi.
Kudin menoleh kepada Edrina. Buat seketika dia terpukau sendiri menikmati renungan bercahaya milik si wanita. Ikutkan hasutan perasaan lelakinya bibir segar itu mahu sahaja dijamahnya. Tetapi takut terbabas pulak nanti.
Sabar, Kudin.. ini cuma dugaan kecil! Akhirnya bibirnya dilekapkan buat beberapa detik ke atas kening Edrina. Wanita itu kemudian ditarik lebih rapat kepadanya. Tanpa disuruh kepala Edrina melentok lagi di bahu Kudin lalu mereka saling berpelukan erat.
“Abang pun sayangkan Rina sangat-sangat. Abang akan bahagiakan Rina dan anak-anak kita sepanjang hidup abang ni. Insya-Allah..” bisik Kudin lembut.  

1 ulasan: