Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Jumaat, 20 Disember 2013

Bab 24-25 SI KOLOT SUAMI KU

24-   Pagi itu Edrina turun bersarapan seperti biasa. Namun di meja makan hanya ada emaknya dan neneknya. Ayahnya sudah keluar ke pejabat. Sambil duduk dia sempat menyapa neneknya itu.
“Apa Rina nak buat hari ni? Nenda tengok semalam Rina tak ke mana-mana. Tak bosan ke duduk di rumah aja?” tanya Tunku Zainab lembut.
“Nenda, emm.. sebenarnya Rina nak balik sekejap lagi,” jawab Edrina perlahan.
“Lah.. kenapa nak balik pulak? Kata nak stay kat sini seminggu? Emran dah izinkan kan?” Toh Puan Siti Aisyah terus mencelah sambil memandang hairan anak perempuannya itu.
“Tak jadilah, ma. Rina nak balik. Tak sampai hati nak biarkan Emran sorang-sorang kat sana,” jawab Edrina rendah. Manalah dia mahu mengungkapkan yang dia sudah terlalu angaukan lelaki di kampung itu. Tidak tentu arah dia tidak nampak bayang Kudin. Rasa macam tidak bermaya benar hidupnya sehari dua ini. Dia sudah tidak sanggup!
Dua wanita tua itu sempat berpandangan.
“Emran datang ambil Rina ke?” soal Toh Puan Siti Aisyah lagi.
“Rina balik sendiri,” jawab Edrina lantas menghirup air di dalam cawannya. Dua wanita itu tidak dipandangnya. Kerana dia tahu nendanya sedang membaca apa yang sedang tertera di wajahnya.
Emak Edrina tersenyum memandang anaknya. Apa yang terlukis di wajah anaknya itu tidak sukar untuk ditekanya. Namun demi Tuhan dia amat bersyukur melihatnya.
“Baguslah.. tempat seorang isteri memang seharusnya dengan suami,” sambut Tunku Zainab setuju dengan keputusan Edrina. Dia bersyukur jika Edrina sudah mula memahami tentang hakikat itu.
“Boleh ke drive seorang ni? Kenapa tak suruh Emran datang jemput aja?” tanya Toh Puan Siti Aisyah sedikit ragu.
“Lambatlah nak tunggu dia, ma. Rina boleh je balik sendiri. mama jangan risau,” ucap Edrina selamba. Manalah dia mahu menunggu lagi dalam keadaan hatinya sarat dengan rindu yang sedang meronta-ronta?
“Okaylah.. mama tak boleh nak kata apa. Cuma mama nak pesan, bawak kereta baik-baik tau,” ucap ibu Edrina itu lembut.
Edrina mengangguk sahaja.

Dari jauh Kudin sudah ternampak sebuah kereta hitam terpakir elok di hadapan rumahnya. Tajam mata Kudin memerhati. Rasanya dia memang kenal dengan kereta itu.
Edrina.. bisik hatinya penuh debar. Kudin segera memakirkan keretanya di sebelah kereta itu. Usai mematikan enjin dia terus dia melompat keluar dari keretanya. Tanpa sempat memberi salam Kudin meluru naik ke atas rumah untuk mencari wanita itu. ruang tamu rumah itu lengang sahaja tanpa sesiapa.
Akhirnya Kudin menemukan susuk tubuh isterinya sedang termenung memandang ke luar. Edrina masih ralik sendiri tanpa menyedari dia sedang memandang. Kala itu kesakitan yang dirasai oleh hatinya itu luruh seperti hujan yang lebat mencurah.
“Rina..” panggil Kudin lembut.
Edrina menoleh perlahan. Tanpa senyum dia sekadar memandang suaminya sedang merenung kepadanya.
“Bila sampai?”
“Tengahari tadi,” jawab Edrina hambar sahaja.
“Kenapa balik awal?” tanya Kudin lantas mendekati wanita itu. Langkahnya terhenti di hadapan Edrina yang sedang bersandar ke tepian jendela sambil berpeluk tubuh.
Edrina tidak menjawab. Hanya matanya menjamah pandangan lelaki itu kepadanya.
“Kenapa balik awal?” tanya Kudin sekali lagi. Seisi raut itu dipandangnya tanpa puas.
“Sebab aku tak sampai hati biarkan kau seorang kat sini,” jawab Edrina biasa. Pandangannya terus dialihkan daripada wajah Kudin. Memandang wajah Kudin entah kenapa hatinya jadi terlalu sayu. Matanya berkaca tiba-tiba.
“Iya? Hanya sebab tu?” tanya Kudin lembut.
Edrina tidak menjawab. Juga tidak memandang lelaki itu. Ada sedikit rasa malu menghambat dirinya daripada membiarkan Kudin melihat apa yang terlakar di wajahnya saat ini. Tadi dia memang berkobar-kobar. Tetapi sekarang lidahnya benar-benar kelu apabila berhadapan dengan lelaki itu. Seolah-olah sudah berkurun lamanya mereka tidak bertemu.
Kudin menghela nafas perlahan. “Yalah.. mungkin hanya aku seorang aja yang rindu.” Rendah sahaja nada Kudin meluahkan kata-kata.
“Kudin!” panggil wanita itu pantas tatkala Kudin mahu menghindar darinya. Tangan lelaki itu sempat dicapainya. Pandangan redup lelaki itu benar-benar membuatkan dia seperti tidak jejak di bumi kala ini. Tetapi dia benar-benar tidak tahu bagaimana mahu memulakan kata. Dadanya ini seperti mahu pecah.
“Apa yang kau dah buat pada aku sampai aku jadi macam ni?” tanya Edrina bersungguh.
“Aku buat apa?” soal Kudin semula. Dia benar-benar tidak faham dan dia tidak tahu apa yang membuatkan Edrina kelihatan begitu sedih. Mata isterinya berkaca saat memandangnya.
“Kenapa bila takde kau, aku jadi macam ni? Kenapa aku asyik fikirkan kau, Kudin? Kenapa bila kau takde depan aku, aku rasa hidup aku dah tak bermakna?” bergetar suara Edrina saat dia meluahkan bicaranya itu.
Kudin menelan liurnya perlahan. Sayu hatinya melihat sejalur air mata gugur di pipi wanita itu. Barulah dia tahu rupanya bukan hanya dia yang melalui semua ini. Edrina juga sama seperti dia.
“Aku rasa tak boleh hidup bila kau takde dengan aku. Aku rasa terlalu kosong! Kenapa aku jadi macam ni?” luah Edrina sayu. Semakin laju air matanya mengalir.
“Rina..” lelaki itu pantas mendekati isterinya. Wanita itu terus dibawa ke dalam pelukannya.
 “Aku rindukan kau sangat-sangat. Aku tak mampu nak hadapi keadaan tu seorang diri. Aku rasa macam nak gila,” luah Edrina di sebalik tubuh lelaki itu. Perasaan yang terkurung terlepas sudah. Tangisannya menghebat. Tubuh lelaki itu dipautnya erat sehingga tiada ruang yang membataskan mereka. Sesungguhnya saat ini dia sedar yang dia tidak mampu kehilangan lelaki ini.
“Jangan menangis..” pujuk Kudin perlahan. Belakang wanita itu diusap lembut. Ya Allah.. syukurlah Kau kembalikan isteri aku pada aku, bisik hati Kudin penuh rasa terharu.
“Aku pun rindukan kau, Rina. Rindu sangat-sangat..” bisik Kudin lembut. Dahi isterinya dikucupnya lama. Betapa segala kerinduan yang dirasakan kini sudah gugur semuanya dengan kehadiran wanita itu di dalam pelukannya.
Perlahan lelaki itu meleraikan pelukannya. Pipi wanita itu diusap lembut. Air mata Edrina dikeringkannya. Akhirnya sebuah senyuman terukir untuk wanita itu yang tergadah memandang kepadanya.
“Kita saling memerlukan. Bila kau takde dengan aku, aku rasa sangat-sangat kehilangan. Aku rasa sunyi yang teramat sangat sampai aku tak mampu nak buat apa-apa untuk diri aku. Aku tahu semua tu terjadi sebab dalam hati aku ada kau. Aku dah lama jatuh cinta pada kau,” ucap Kudin perlahan.
“Kalau kau rindukan aku kenapa kau tak pernah call aku waktu aku kat sana?”
“Sebab aku dah janji aku akan berikan kau masa untuk bertenang dan berfikir baik-baik tentang kita. Aku tak mahu mendesak kau, Rina. Aku bukan jenis lelaki begitu,” balas Kudin lembut.
Edrina diam seketika sambil memandang lelaki itu. Ah! Dia pun lebih kurang sama. Dia pun kenapa tak call Kudin kalau dah rindu sangat?
“Bukan senang aku nak jatuh cinta pada seseorang walaupun ramai lelaki yang datang dekat pada aku. Dan aku tak pernah serahkan hati aku pada mana-mana lelaki lain sebelum ini, Kudin. Tapi dengan kau, aku tiba-tiba jadi separuh gila. Tolong jangan lukai hati aku. Aku tak sanggup lalui keadaan tu. Aku tak sanggup bersaing dengan orang lain dan aku takkan boleh terima kalau hak aku diambil orang. Aku sayangkan kau,” ucap Edrina separuh merayu. Tiada dayanya menahan semua ini melainkan hanya kepada lelaki ini dia bergantung harap agar dia tidak dibiarkan merana suatu hari nanti.
Kudin tidak mampu bertahan. Tubuh isterinya itu dipeluknya lagi. Erat dan cukup erat! Betapa hangat perasaannya mendengar ucapan wanita itu. Bahagianya dia tidak terucap. Akhirnya dia dapat mendengar yang dia juga diperlukan oleh Edrina. Ya! dia juga terlalu memerlukan wanita ini sepanjang hidupnya. Terlalu amat!
 “Aku takkan buat macam tu, Rina. Aku pun sayangkan kau. Takde siapa yang boleh ambil tempat kau di sisi aku. Selagi ada nyawa aku di tubuh aku ni, aku akan terus bahagiakan kau. Sebab kau adalah seorang wanita yang Allah datangkan pada aku waktu aku masih sendiri. Aku takkan lupa semua tu,” ucap Kudin separuh berbisik.
“Aku nak bersama dengan kau sampai akhir hayat aku. Sampai mati! Aku rela hilang semuanya tapi bukan perasaan ni.” Tubuh lelaki itu dijadikan tempat dia melepaskan kerinduannya. Habis ronyok baju Kudin digenggamnya. Dia tidak peduli. Memendam rasa sendiri dia lebih sakit!
“Sampai mati!” balas Kudin sebagai tanda sumpah dan janji mereka akan terus tersimpul sehingga akhir hayat nanti.
Tidak lama kemudian wanita itu dilepaskan Kudin. Pipi basah Edrina diusapnya lembut. Lelaki itu tersenyum menatap raut sedikit kemerahan wanita itu. Memandang raut ini rasanya seperti ada sinar yang telah disuluhkan kepadanya di saat dia dalam kegelapan.
“Janji jangan tinggalkan aku lagi. Walau apa pun keadaannya jangan pilih berjauhan dari aku, Rina. Aku tak mampu melalui keadaan yang aku lalui semalam-semalam tu. Bila kau takde dengan aku, aku buntu. Aku tak mampu nak buat apa-apa,” pinta Kudin bersungguh. Redup matanya menentang pandangan berkaca wanita itu.
Edrina mengangguk perlahan sambil tersenyum kepada lelaki itu. “Kau suami aku. Mestilah aku nak selalu di sisi kau. Walaupun kau ni memang kolot! Tapi kasih sayang tak kenal semua tu.”
Kudin ketawa perlahan mendengar ucapan isterinya itu. betapa damai jiwanya saat ini hanya Tuhan sahaja yang tahu. Akhirnya apa yang diangankan kini menjadi miliknya. Dia merasakan saat ini adalah pengubat jiwanya setelah dua hari dia hidup berduka lara.

Berkepit! Itulah istilah yang sesuai untuk merpati dua sejoli itu malam itu. Melepaskan rindulah katakan! Usai makan makan mereka ‘berdating’ lagi di tempat biasa. Di mana lagi kalau bukan tempat kegemaran Kudin duduk termenung selepas makan malam.
“Pergi KL jauh-jauh tu takkan takde beli hadiah untuk Abang Kudin?” tanya Kudin sambil memandang si isteri yang sedang duduk bersandar di tubuhnya. Bahu wanita itu dipaut mesra.
“Takde hadiah!” jawab Edrina selamba.
“Takkanlah takde hadiah langsung?” soal Kudin lunak.
“Tak sempat beli.” Edrina menjawab sambil menggeleng sedikit.
“Habis tu takde apa-apalah untuk Abang Kudin? Abang Kudin tunggu je ni,” ucap Kudin sambil tersengih sendiri.
“Manalah tahu nak kena beli hadiah..” sambut Edrina sambil menjeling. Jeling manja!
“Tadi kata sayang Abang Kudin. Tapi tak beli hadiah pun. Habis tu tangan kosong ajalah ni?” ucap Kudin macam bersungguh aja bunyinya.
“Lain kali kalau nak hadiah, bagitahulah! Tak kirim manalah tahu nak beli apa?” ujar Edrina polos.
Kudin terkedu. Alahai.. lugu pulak bini aku ni. Dia tak faham maksud aku tadi.. bisik hati Kudin sendiri.
“Alah.. biasanya suami isteri bila berjauhan, memang kena bagi hadiah bila dah berjumpa semula,” ucap Kudin penuh makna.
Edrina terus menoleh kepada suaminya itu. Semenjak bila pulak nak kena hadiah-hadiah segala ni? Lain macam aja bunyinya? Hadiah apa yang dia maksudkan ni? Buat seketika Edrina berfikir sendiri sehingga sesuatu terdetik di fikirannya. Wajahnya mulai berubah.
“Malas nak layan!” getus Edrina tiba-tiba. Dia bangun lantas masuk ke bilik.
Terkulat-kulat Kudin memandang isterinya. Alahai.. takkan dia tak faham apa aku maksudkan? Kudin menggaru kepalanya. Namun seketika kemudian dia kembali memandang ke luar.
Namun sedang Kudin termenung sendiri dia terdengar satu suara halus, mendayu-dayu memanggilnya.
“Abang Kudin..” begitulah bunyinya panggilan yang beralun-alun itu.
Kudin terus menoleh ke arah biliknya. Edrina kelihatan sedang menjenguk sedikit melalui ambang berlangsir itu. Hanya sebelah mata sahaja yang kelihatan. Selebihnya tersembunyi di dalam bilik.
“Ya..” sambut Kudin biasa.
Edrina tersenyum sendiri. Sebelah tangannya mula melambai manja si Kudin. “Marilah sini..” ucapnya dan sepantas kilat dia menarik kepalanya ke dalam. Langsir ambang bilik itu ditariknya dan dipintal-pintal miang.
Kudin terus bangun sambil ketawa melihat gelagat malu tapi mahu si Edrina. Sambil bersandar di dinding luar itu dia menjenguk sedikit isterinya yang mula bersembunyi di dinding sebalik sana. “Ada apa panggil Abang Kudin?” tanya Kudin lunak.
“Marilah tidur. Dah malam ni..” ucapnya malu-malu pula.
Kudin tersengih. “Kat dalam ke?” tanya Kudin dengan perasaan mula berubah teruja.
“Habis tu takkan nak tidur depan pintu tu pulak?” jawab Edrina dengan senyum malunya. Alah! Buat-buat tanya pulak Abang Kudin ni.. getus hatinya segan.
Kudin menyeringai lebar. Jom tidur? Macam best aja bunyinya tu? “Okay.. Abang Kudin pergi mandi dulu. Lepas tu Abang Kudin pakai wangi-wangi, pakai seksi-seksi ya? Rina tunggu Abang Kudin kat dalam,” jawab Kudin nakal.
Edrina mahu mengangguk. Tapi sebelum dia mengangguk wajahnya ditekupnya dengan langsir itu. Kemudian barulah kepalanya dianggukkan. Gelagat isterinya itu membuatkan Kudin tergelak besar. Alahai.. pemalunya bini aku ni, getusnya hati gembira tidak terkata.
Usai mewangikan diri Kudin menjengah di dalam kelambu. Wah.. isterinya sudah bersiap sedia dengan baju tidur seksi rupanya! Menyeringai Kudin dibuatnya.
“Assalamualaikum, buah hati Abang Kudin..”
“Waalaikumussalam, Abang Kudin ku sayang..” Edrina terus tersenyum mekar.
“Tunggu Abang Kudin ke?”
“Iyalah. Siapa lagi yang selalu ada kat sebelah ni kalau bukan Abang Kudin?” jawab Edrina sambil tersenyum manis.
“Abang Kudin baca doa dulu ya?” ucap Kudin sambil berbaring. Tangannya ditadahkan. Bukan main laju mulutnya terkumat-kamit membaca doa.
“Doa apa tu?” tanya Edrina setelah lelaki itu usai menadah tangan. Doa ke jampi tu? Macam berjampi aja gayanya?
“Doa tak bagi syaitannirrajim kacau kita. Nanti kalau kita dapat anak pun, anak yang soleh,” jawab Kudin sedikit berlagu-lagu.
“Oh..” Edrina memandang seketika suaminya itu. Lelaki itu juga sedang memandang kepadanya sambil tersenyum.
“Abang Kudin tanya sesuatu boleh?” ucap Kudin separuh berbisik. Bukan main mesra lagi nadanya. Kembang kuncup hidungnya menahan perasaan bahagia yang tidak terkata.
“Apa?” balas Edrina lembut.
“Abang Kudin hitam.. tak hensem.. orang kampung.. ada ke orang nak sayang dengan Abang Kudin ni?” ucap Kudin dengan sengih romeonya.
“Ada!” Edrina tersengih malu.
“Siapa?” tanya Kudin mula seronok melihat warna merah menyimbah di wajah wanita itu.
“Alah! Tak payahlah cakap banyak kali. Tadi dah cakapkan?” getus Edrina tidak senang.
“Abang Kudin banyak bulu dada. Suka lagu dangdut. Takpe ke? Tak geli dah dengan Abang Kudin?” tanya Kudin dengan suara halus. Dagu isterinya itu diusap dengan ibu jarinya.
Edrina tergelak perlahan. Spontan tangannya dialihkan ke dada lelaki itu. Kemudian telapak tangannya dilekapkan ke kawasan itu sebelum dia kembali memandang suaminya. “Tak geli dah..” ucapnya lantas tersenyum sendiri.
Tak sangka.. si kolot yang dibencinya itu akhirnya telah menjadi suaminya. Dahulu dia berkata begitu sebab bencikan Kudin. Sekarang dah sayang.. bulu dada pun bulu dadalah!


25-  Edrina terkebil-kebil memandang lelaki di sebelahnya. Kudin sedang tersenyum memandang ke atas sambil berfikir-fikir sendiri. Melihat kebahagiaan di wajah lelaki itu dia tersenyum sendiri. Dia juga turut bahagia. Kini dia seorang isteri zahir dan batin kepada seorang lelaki. Bersama seorang lelaki yang amat menyayanginya, hidupnya sudah terasa lengkap kini.
“Abang Kudin fikir apa?” tanya Edrina lembut.
“Tak lama lagi Abang Kudin nak besarkan lagi rumah ni. Kita tambah bilik.. besarkan dapur, lepas tu kita buat bilik air dengan jamban kat dalam. Kita buat rumah batu,” luah Kudin tentang angan-angannya.
“Bila?” tanya Edrina mula teruja dengan rancangan suaminya itu. Tang ‘rumah batu’ memang dia suka benar. Setuju 5 ratus peratus!
“Sekarang Abang Kudin kena dulukan projek kat atas tanah sebelah kubur tu. Projek tu tak lama lagi siap. Abang Kudin boleh mula bela ikan kat situ. Lepas tu baru Abang Kudin boleh mula baiki rumah ni,” ucap Kudin lembut.
“Okay.. tapi jamban tu pastikan ada lampu tau! Tak mahu pakai lilin dah..”
Spontan Kudin tergelak mendengar pesanan isterinya itu. Tubuhnya mula diiringkan menghadap isterinya. Tangan kasarnya mula merayap ke arah pipi wanita itu. “Rina nak rumah yang macamana? Cakap aja dengan Abang Kudin. Nanti Abang Kudin buatkan!”
Edrina tersenyum manis. Tangan lelaki itu dicapainya lalu dikucup penuh kasih sayang. “Rina nak rumah yang ada Abang Kudin kat dalam tu,” jawabnya bersungguh.
Berbunga-bunga perasaan Kudin melihat cara isterinya menzahirkan perasaan sayangnya. Tidak pernah dia nampak Edrina selembut ini. Perlahan Kudin mengusap rambut isterinya. “Mestilah Abang Kudin ada dalam tu,” sambut Kudin mesra.
“Kalau Abang Kudin mintak sesuatu boleh?” tanya Kudin lembut.
“Apa?” Edrina kembali mencapai tangan suaminya. Lengan lelaki itu dipeluknya.
“Takkanlah sampai bila-bila Rina nak panggil Abang Kudin ni Abang Kudin? Macam tak best aja? Macam adik angkat dengan abang angkat,” ucap Kudin cukup lembut.
“Habis tu nak panggil apa?” balas Edrina sambil tersenyum kepada suaminya.
“Abang?”
“Tak naklah panggil abang. Kolot!” getus Edrina sambil mengusap manja lengan suaminya itu.
Kudin menyeringai tidak tertahan dengan gelagat manja lain macam isterinya itu. Ai.. macam ada can aku nak makan besar lagi.. bisik hati Kudin seronok.
“Habis tu nak panggil apa pulak?” tanya Kudin mesra.
“Rina nak panggil Abang Kudin baby, nak tak? Special sikit,” ucap Edrina.
Kudin terkedu. Merudum jatuh mood bunga-bunganya. Baby?? Tak mahulah! Tak sesuai dengan Abang Kudin yang macho ni, sayang.. hati Kudin menjerit tidak rela.
“Panggil baby ya?” tanya Edrina sekali lagi.
“Err.. err..” liur Kudin tidak tertelan. Macam janggal benar telinganya mendengar. Geli pun ada jugak. Tapi mahu menolak dia bimbang Edrina kecil hati pula.
“Kenapa? Tak suka ke?” Edrina bertanya lagi sambil meratah reaksi di wajah suaminya. Kenapa lain macam aja muka Kudin? Macam tak suka aja?
“Ba.. baby? Su.. suka! Siapa cakap Abang Kudin tak suka. Tapi macam tak cukup manja aja tu?” ucap Kudin tergagap-gagap. Janganlah hendaknya Edrina serius dengan permintaan itu. Kalau dengar dek orang.. mahu dia terjun ke dalam kolam ikan keli dia untuk menutup malu.
“Tak cukup manja? Alah.. baby ni. Dah habis manja dah tu, baby.” Edrina menahan senyum entah kenapa.
Kudin terasa mahu menutup telinganya dengan bantal mendengar Edrina mula menggelarkan dia dengan panggilan keramat itu. Adui.. bukan Abang Kudin tak suka, sayang. Tapi gelilah! Mengongoi-ngongoi hati Kudin tidak rela dipanggil semanja itu.
“Abang Kudin pun kena bahasakan diri baby jugak ke?” tanya Kudin agak lugu.
“Yalah.. macam tu barulah romantik. Cuba baby praktis,” jawab Edrina. Lengan lelaki diusap lagi sambil memandang reaksi suaminya itu.
“Macam keras aja lidah Abang Kudin ni, sayang..” Masam kelat muka Kudin kala itu. Sudahlah dia tidak rela dipanggil begitu.. sekarang isterinya juga mahu dia membiasakan diri dengan panggilan keramat itu. Nak demam rasanya dia..
“Cepatlah! Sebut baby..” gesa Edrina lantas menggoncang lengan suaminya itu.
Adui.. main paksa-paksa pulak dia! Berpeluh dahi Kudin dibuatnya. “Bab.. err.. macam janggallah, yang. Susah Abang Kudin nak sebut,” ucap Kudin benar-benar payah.
“Cepatlah praktis! Baby.. baby..” Edrina dengan senang hati mengajarkan suaminya itu. Mahu juga dia panggil baby itu walau apapun yang terjadi.
“Tak naklah, sayang. Abang Kudin tak biasalah..” desah Kudin tidak rela.
“Alah.. cubalah dulu. Cepatlah sebut!” rengek Edrina tetap dengan kehendaknya. Saat itu dia sebenarnya mahu tergelak melihat muka suaminya.
Kudin menelan liurnya. Kelat! Alahai.. nanti nak tersama dengan cik B. Tergaru-garu Kudin sambil diperhatikan Edrina. Wanita itu menekup mulutnya. Agaknya dia pun takut termuntah kalau mendengar Kudin membahasakan dirinya seperti.
“Ba.. by..” ucap Kudin akhirnya. Namun wajah Edrina tidak dipandangnya. Malu!!!!
“Tak dengar pun?”
“Abang Kudin dah sebut tadi,” getus Kudin tidak senang.
“Tengok tu? Tak naklah panggil Abang Kudin. Baby! Cepatlah, baby. Kata sayang?” desak Edrina semakin seronok ‘mengerjakan’ suaminya itu. Ambik kau, Kudin. Selalunya kau yang kenakan akukan? Sekarang giliran aku pulak.. desis hatinya nakal.
“Memanglah sayang. Tapi perlu ke panggil baby?” tanya Kudin rendah sahaja.
“Mestilah! Kalau tak manalah romantik,” sambut Edrina selamba.
“Panggil abang pun romantik jugak apa?” balas Kudin agak pahit. Cis! Menyesal aku bangkitkan soal ni. Aku juga yang merana dibuatnya.. hati Kudin yang sedang menderita itu terus berkata-kata sendiri.
“Tak nak sama dengan orang lain! Cepat sebut baby!” arah Edrina dengan lagak queen controlnya.
“Baby..” perlahan sahaja suara Kudin menuruti kehendak isterinya. Tetapi sungguh! Kena kahwin paksa pun tak semenderita ini perasaannya. Rasa macam nak bunuh diri pun ada.
“Ha! Kan manja bunyinya tu? Macam ni barulah Rina bertambah sayang dengan baby Rina ni,” ucap Edrina lantas memicit dagu Kudin yang berwajah masam manis.
Terkulat-kulat Kudin memandang isterinya itu. “Tapi kalau depan orang jangan panggil baby tu kuat sangat ya?”
“Alah! Biarlah semua orang dengar. Barulah semua orang tahu yang Abang Kudin ni baby Rina,” jawab Edrina selamba.
Aku baby dia? Liur Kudin tidak tertelan. “Bukannya ba.. baby tak suka. Tapi.. gelilah, yang!” ucap Kudin. Walaupun agak payah mengaku juga dia akhirnya. Bertambah payah dia mahu membahasakan dirinya baby kepada Edrina. Kalau dia yang memanggil isterinya begitu masuk akallah juga. Ini dia pulak yang jadi baby rebina kepada isterinya.
Edrina menekup mulut. Dia mahu tergelak benar melihat Kudin terdera oleh kehendaknya. Hatinya seperti sedang digeletek-geletek sadis sebenarnya. “Kenapa macam tak happy je ni? Tak senyum pun, baby?”
“Happy.. happy..” Kudin memaksa dirinya menayang gigi di hadapan Edrina. “Err.. tapi kalau yang ni baby, nanti anak kita baby jugak ke? Biarlah anak kita aja yang jadi baby,” ucap Kudin agak polos sambil menunjukkan kepada dirinya sendiri. Alasan dia mahu mengelak sebenarnya tu.
Edrina ketawa perlahan. “Yang kecik tu nanti jadi baby jr. Alah.. tapi lambat lagikan?” jawab Edrina mudah.
Aduhai.. kalau macam ni nak kena cepat-cepat dapatkan yang baby jr tu. Baru aku terlepas dari siksaan ni, keluh hati Kudin.
“Baby..” panggil Edrina.
Kudin tiba-tiba buat-buat menguap. Macam dah mengantuk benar kononnya. Padahal tadi ada juga angan-angan dia mahu makan besar sekali lagi. Sekarang seleranya dah terbantut. Dia sungguh-sungguh tidak lalu untuk mendengar panggilan itu.
“Tengok tu? Tak jawab pulak! Tak sukalah macam ni. Malam nanti jangan peluk. Boikot!” ucap Edrina serius.
“Yalah.. nak jawablah ni. Ba.. baby mengantuklah, yang. Rasa macam nak terlelap dah ni,” jawab Kudin macam orang terpaksa.
“Tadi tak mengantuk pun? Saja je kan baby ni.”
Adoi.. dengar dek mak aku muntah pulut orang tua tu nanti.. “Abang Kudin rasa tak sesuailah panggil baby, yang. Nanti mak dengar.. malu mak kat jiran-jiran semua!” ucap Kudin akhirnya.
“Mak yang malu ke siapa yang malu sebenarnya ni?” perli Edrina menahan gelak.
“Abang Kudin malulah nak bahasakan diri baby. Tak sanggup! Macam pondan aja bunyinya. Tersiksa jiwa Abang Kudin yang macho ni,” luah Kudin rendah sahaja.
Edrina terus tergelak melihat muka suaminya itu. “Macho konon! Menyampah! Saja je Rina nak kenakan abang. Baru padan muka dengan muka tu!” ucap Edrina lantas ketawa lagi. Melihat Kudin tersekat-sekat mahu bercakap dia benar-benar mahu berguling ketawa. Dia sendiri pun mahu termuntah mendengar Kudin membahasakan diri seperti itu.
Kudin terus mengusap dadanya tanda kelegaan. Baru lancar aliran darahnya mendengar Edrina memanggilnya begitu. Baby? Mintak simpang! Tak sanggup aku!
“Nak kena ni budak manja sorang ni. Tak nak teman pergi jamban lagi baru tahu,” getus Kudin geram. Perempuan itu ditariknya dekat dengannya.
“Apa abang cakap?” geram punya pasal Edrina menerkam lelaki itu. Pipi lelaki terus dicubit-cubitnya geram. Ada hati nak ugut akukan? Kalau aku suruh dia tidur luar baru dia tahu nak tayang muka seposen dia!
Kudin mengilai dikerjakan isterinya. Kebas pipinya dicubit wanita itu berkali-kali. Namun sedang dua manusia berguling-guling di atas katil itu tiba-tiba..
Gedebuk! Tusss!!
Dua manusia yang tadi sakan bergelak ketawa terus terdiam di atas lantai kayu itu. Edrina lebih lagi. Kudin yang terlentang di atas lantai terkebil-kebil memikirkan apa yang berlaku. Ada kain yang membuluti mereka berdua.
"Letrik mati ke?" tanya Edrina sambil teraba-raba. Tiba-tiba dia rasa lemas dan sempit.
"Taklah.."
"Habis tu kenapa gelap ni? Tak nampaklah.."
"Emm.. kelambu kita runtuh kut," jawab Kudin rendah sahaja.
Kelambu runtuh? Edrina terkedu. Muka Kudin dia tidak nampak. Memang ada sesuatu yang sedang membaluti mereka berdua. Puas dia menepis namun makin banyak pula kain itu. Memang kelambulah tu!
“Bangunlah cepat! Tak nampak ni..”
Kudin terus terkebil-kebil memandang ke atas. Macam ada bintang-bintang bertaburan di atas sana. Sudahlah terjatuh di atas lantai kayu. Edrina pula elok terjatuh di atasnya. Macam nak patah rasa tulang belakangnya dihempap Edrina. Perlahan dia meraba belakang kepalanya.
“Abang..” panggil Edrina setelah dia berjaya menguak kelambu yang menyelimuti mereka. Barulah dia ternampak wajah Kudin. “Abang okay ke ni?”
“Kepala abang benjollah, yang..”
“Mana?” tanya wanita itu pantas.
Kudin meraba bawah kepalanya. Edrina ikut menyentuhnya. Memang dia terasa ada bonggol kecil di belakang kepala suaminya.
“Ya Allah.. kesiannya laki aku ni. Itulah.. suruh panggil baby tak mahu. Kan dah benjol kepala tu?” ucap Edrina sambil menahan ketawa.
“Jangan.. jangan diulang lagi panggilan tu. Bertambah sakit kepala abang ni. Adui.. sakitnya.” Kudin mengongoi sendiri. Sebab panggilan baby tulah dia jadi macam ni. Kelambu pun habis runtuh. Alamatnya malam ni tidur bernyamuklah mereka berdua. Baby punya pasal!
Edrina tergelak juga melihat suaminya. “Sorry.. Rina main-main aja tadi.” Kepala lelaki itu diangkat lalu diletakkan di atas ribanya. Rambut Kudin diusap lembut.
Kudin terdiam membiarkan belaian wanita itu bermain-main di kepalanya. Hilang sakit terus! Nyaman aja rasanya tatkala dirinya dibelai-belai begitu..
“Baby..”
“Jangan!”
Edrina tergelak lagi. Seronok benar melihat wajah masam manis suaminya itu. Kalau dia mengusik orang, boleh aja! Cuba dia yang kena.. sampai benjol kepala. Nasib baik tak bocor! 


2 ulasan: