Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Selasa, 17 Disember 2013

Bab 22-23 SI KOLOT SUAMI KU

22-  Terkebil-kebil Kudin memandang isterinya itu berlalu. Sebuah keluhan terhela kuat. Tiada angin tiada ribut tiba-tiba sahaja Edrina naik angin kepadanya. Dia sendiri tidak tahu apa puncanya yang membuatkan isterinya itu marah benar. Seketika kemudian Kudin memandang Lisa yang menangis teresak-esak.
“Apa yang Lisa cakap dengan Rina tadi sampai dia jadi macam tu?” soal Kudin serius.
“Mana ada cakap apa-apa,” ujar Lisa pantas.
“Mana boleh takde apa-apa. Orang gila aja yang naik angin tiba-tiba ni!” bentak Kudin geram.
Lisa terus mengongoi menangis. Tiada lain saat ini.. dia hanya mahu merih simpati Kudin dengan tangisannya. Seolah-olah malang benar nasibnya.
“Apa yang Lisa cakap dengan Rina tadi, Lisa? Abang nak tahu!” Kudin terus bertanya. Selagi dia tidak mendengar daripada mulut gadis ini dia tidak akan pergi.
“Lisa cuma berbual dengan dia pasal kita dulu. Lisa cakap kita rapat. Tiba-tiba aja dia naik angin. Bini abang tu jahatlah. Habis muka Lisa jadi macam ni,” ucap Lisa penuh sendu.
“Apa lagi Lisa cakap dengan dia? Tak mungkin pasal tu aja dia boleh marah dengan abang sampai macam tu sekali. Cakap Lisa!” bentak Kudin sudah tidak tahan melihat drama sedih Lisa itu.
“Mana ada Lisa cakap apa-apa lagi. Itu ajalah!”
“Kalau itu aja kenapa Rina boleh tuduh abang ni penipu? Kenapa dia boleh sebut pasal bekas kekasih tu semua. Abang belum pekak lagi, Lisa. Cakap cepat!!!” herdik Kudin meninggi tiba-tiba suaranya.
Lisa tersentak ditengking Kudin. Semakin hebat tangisannya. “Lisa cuma bagitahu dia yang abang pernah cintakan Lisa dulu. Salah ke apa yang Lisa cakap ni?” ucap Lisa dalam raungannya.
“Apa dia?” Kudin terkedu tidak mampu meneruskan kata-kata. Patutlah Edrina marah benar kepadanya. Menggelegak rasanya darah Kudin saat itu. Ikutkan hatinya dia pula yang mahu menempek selut ke muka Lisa.
“Kenapa Lisa buat abang macam ni?” tanya Kudin kesal.
“Abang Kudin.. abang tak kasihankan Lisa ke?” ucap Lisa tidak menjawab soalan Kudin.
Kudin menggeleng perlahan. Drama gadis itu semakin membuatkan dia mual. “Kenapalah dengan mulut kau ni, Lisa? Dulu tak habis-habis merendah-rendahkan aku sebab aku ni hanya lelaki kampung. Sekarang mulut kau asyik nak memusnahkan rumahtangga aku? Kau dah takde kerja lain ke? Kalau setakat ini aja kerja kau, lebih baik kau tak payah balik kampunglah!” ucap Kudin meninggi dengan renungan tajam kepada Lisa.
Lisa tertunduk tidak terdaya mahu menentang pandangan Kudin.
"Kau nak aku kasihan dengan kau? Sebelum tu aku nak tanya.. bila masanya aku ada bagitahu kau yang kita ni pernah jadi kekasih?" soal Kudin sambil bercekak pinggang memandang wanita itu.
Lisa terus teresak tidak mampu menjawab. Sambil itu dia mengorek kelopak matanya yang diberati oleh tanah.
"Tak pernah sekali pun seumur hidup aku, aku ada katakan yang aku pernah cintakan kau, Lisa. Fitnah apa yang kau bawa pada rumahtangga aku ni?" tempelak Kudin terus meninggikan suaranya.
"Habis tu dulu abang rapat dengan Lisa, apa maknanya?" soal Lisa sambil menangis.
"Ya! Kita memang pernah rapat. Tapi hakikatnya kita tak pernah jadi kekasih. Cuba ingat baik-baik! Aku tak pernah kata yang aku cintakan kau selama itu, Lisa! Macamana kau dengan beraninya beritahu bini aku yang aku pernah ada hati dengan kau," tegas Kudin semakin keras. Seingat dia memang tidak tidak pernah mengucapkan perkara seumpama itu kepada Lisa walaupun perasaan itu memang ada. Dia pernah hampir meluahkan sebelum dia mendengar Lisa terlebih dahulu merendah-rendahkan dirinya sebagai lelaki kampung. Semuanya terhenti setakat itu sahaja.
“Memang selama ini abang tak pernah luahkan perasaan abang pada Lisa. Tapi Lisa tahu abang memang pernah sukakan Lisa dulu. Abang jangan nak nafikan! Lisa boleh nampak perasaan tu dalam mata abang,” balas Lisa sayu.
Kudin menggeleng perlahan. “Ya.. aku memang pernah sukakan kau. Tapi tak lebih sebagai seorang adik. Aku tahu itu bukan cinta sebab aku tak pernah merana bila kau tinggalkan kampung ni dulu. Aku tak pernah rasa apa-apa pun dari semua tu, Lisa! Hidup aku baik-baik aja walaupun kau takde dengan aku,” tegas Kudin semakin meninggi.
“Abang tipu! Lisa tahu abang cakap macam ni sebab nak jaga hati Edrina. Abang jangan nak hipokrit pada diri abang sendiri. Lisa tahu perasaan tu masih ada pada abang. Edrina tu yang menjadi penghalang,” tekan Lisa sedikit meninggi.
“Apa yang kau merepek ni, Lisa? Kau sedar ke tidak sebenarnya ni?” ucap Kudin sudah semakin hilang sabar. Nampaknya Lisa sekadar mahu menyulitkan lagi keadaannya.
“Lisa tak merepek! Lisa tahu dulu abang memang cintakan Lisa. Walaupun abang tak pernah luahkan tapi Lisa tahu!” tegas Lisa berani.
“Aku tak mungkin cintakan seseorang yang memandang hina pada diri aku ni, Lisa. Kau dekati aku semula sebab apa? sebab aku ni bukan Tengku yang sekadar bernama Tengku, betulkan?” ucap Kudin semakin meninggi suaranya. Matanya mencerlung tajam kepada gadis itu. Kudin tahu Lisa tidak pernah ikhlas kepadanya. Gadis ini hanya memandnagnya sesudah dia ada segala-gala yang diperlukannya.
Lisa tiba-tiba terdiam memandang Kudin. Wajah lelaki itu cukup garang di matanya. Takut pula dia melihatnya.
“Lisa mintak maaf, abang. Lisa cuma tak mahu kehilangan abang lagi. Lisa nak tebus segala kesalahan Lisa dulu pada abang,” ujar Lisa tanpa segan silu.
Kudin menggeleng perlahan. “Aku tak boleh terima kau lebih daripada sepatutnya, Lisa. Aku bukan sesiapa lagi pada kau. Tolong jauhkan diri kau daripada hidup aku.”
“Abang!” Lisa cuba mencapai tangan Kudin.
“Cukuplah! Kau jangan dekat dengan isteri aku lagi,” ucap Kudin tajam. Tanpa menunggu lagi dia terus mendapatkan keretanya. Dia mahu segera pulang ke rumah untuk memujuk Edrina. Namun sepanjang perjalanan itu Kudin mengeluh sendiri.
Dia tahu dia bersalah kerana menyembunyikan kenyataan sebenar tentang perasaannya kepada Lisa suatu masa dulu. Namun hakikatnya dia hanya melakukan kerana tidak mahu Edrina terus bergelumang dengan perasaan cemburu. Sayangnya Lisa sudah merosakkan semuanya. Dia sendiri tidak faham apa lagi mahunya Lisa daripadanya sedangkan sebelum ini dia pernah menjelaskan semua kekeliruan tentang hubungan mereka dulu. Tentang perasaan itu biarlah hal itu menjadi rahsia dia seorang. Lisa dan Edrina tidak perlu tahu kerana itu semua kisah lama.

Sesampai di rumah Kudin melihat pintu hadapan rumah terbuka. Lega hatinya menyedari Edrina sudah tiba di rumah. Mahu naik ke atas dia pula sedang basah kuyup dengan serpihan tanah yang melekat di bajunya. Akhirnya Kudin pergi ke tepi rumah. Tingkap bilik mereka yang sedang terbuka luas dipandangnya.
“Rina..” panggil Kudin dari bawah.
“Rina, Abang Kudin panggil ni,” pujuk Kudin mendayu-dayu. Harap-harap Edrina lembut hatilah dengan suara lembutnya. Namun Kudin tersentak apabila penutup tingkap itu tiba-tiba bergerak dan tertutup agak kuat.
“Aik? Marah benarlah tu sampai tutup tingkap. Berhantu ke apa rumah ni sampai tingkap boleh tertutup sendiri?” Kudin berkata sendiri.
“Rina, bagi abang Kudin tuala. Abang Kudin tak boleh naik atas rumah ni. Kotor nanti rumah kita,” ucap Kudin kepada tingkap yang tertutup itu. Dia tahu Edrina ada di dalam bilik.
Permintaan Kudin tidak mendapat sebarang reaksi. Kudin menghela nafas perlahan. Nampaknya gayanya dia kena menajamkan lagi skill memujuk isterinya.
“Rina, Abang Kudin nak mandi ni. Bagi tuala kejap. Kalau takde tuala, macamana nak mandi? Nanti nak lap pakai apa? Abang Kudin nak balut kat bawah ni dengan apa? Kalau tak pakai apa-apa nanti orang nampak. Abang Kudin jugak yang berdosa,” pinta Kudin panjang lebar dan semakin mendayu-dayu.
Sesaat kemudian tingkap itu terbuka semula dan sehelai tuala tercampak keluar tanpa kelihatan si pencampaknya. Tuala itu jatuh tepat di atas muka Kudin. Seketika kemudian jendela itu tertutup semula tanpa dapat dilihat Kudin siapa yang menutupnya.
“Terima kasih. Sayang buah hati Abang Kudin ni. Marah-marah dengan Abang Kudin pun, sanggup jugak bagi tuala. Tak nak mandi sekali?” tanya Kudin dari bawah.
Diam! Kudin memandang lagi jendela itu. berharap benar dia jendela itu akan terbuka dan wajah Edrina terjengul di situ. Namun seminit kemudian dia terus hampa.
“Abang Kudin mandi dulu ya? Kalau nak mandi sekali turunlah bawah,” ucap Kudin lembut.
Sepi lagi tanpa jawapan.
“Abang Kudin pergi mandi dulu ya?”
“Pergi ajalah mandi! Sibuk ajalah dia ni! Tahulah orang nak mandi nanti,” pekik Edrina dari dalam bilik.
Terkejut Kudin mendengar suara Edrina menerpa tiba-tiba. “Yalah..” rendah sahaja jawapan Kudin sambil mengatur langkah ke belakang rumahnya.
Usai mandi Kudin masuk ke dalam bilik. Edrina sedang tertiarap di atas katil. Kudin segera mencari pakaiannya. Setelah dirinya lengkap berpakaian barulah Kudin mendekati wanita itu.
“Rina..” panggil Kudin lembut.
“Tak nak bercakap dengan kau! Kau tipu aku!” ucap Edrina lantas mengambil bantalnya. Wajahnya ditekup ke muka.
“Janganlah macam tu. Dengarlah dulu apa aku nak cakap ni,” pujuk Kudin lembut. Bantal itu cuba diambilnya. Namun Edrina memegangnya erat.
“Tak nak! Jangan kacau aku,” jawab Edrina keras.
“Mana ada aku tipu kau, Rina. Apa yang Lisa cakap tu tak betul. Aku tak pernah ada hati pada dia selama ni. Dulu aku memang rapat dengan dia. Macam adik dengan abang. Tapi itu dulu. Sekarang kami dah kehidupan masing-masing. Hidup aku dengan kau sekarang,” pujuk Kudin lantas menyentuh belakang isterinya itu.
“Aku tak nak percaya cakap kau lagi. Kau cakap dia tu macam adik tapi kau selalu layan dia,” balas Edrina setelah bantal dialihkan. Namun wajah suaminya itu tidak mahu dipandangnya.
“Mana ada aku layan dia..”
“Ada! Aku nampak kau berborak dengan dia kat belakang rumah mak dulu. Lama pulak tu! Kalau kau takde apa-apa dengan dia, kenapa kau pergi tolong dia hari tu?” ucap Edrina sendu.
Kudin mengeluh perlahan. Soal perbualan dia dan Lisa di belakang rumah emaknya itu tidak dapat disingkapkan isi kandungannya. Keadaan mereka akan bertambah buruk nanti. Apa yang diucapkan Lisa hari itu memang tidak elok untuk diperdengarkan kepada Edrina. Dia tidak mahu soal itu menjadi barah dalam rumahtangga mereka sementelah dia sendiri lihat sikap Edrina apabila berdepan dengan saingannya.
“Aku tolong dia bukan sebab aku sayangkan dia, Rina. Tapi sebab kasihan dia. Itu aja! Aku tak pernah terfikir nak buat hubungan gelap di belakang isteri aku. Aku bukan jenis lelaki macam tu. Aku sayangkan isteri aku,” ucap Kudin bersungguh.
Edrina terdiam. Namun bahunya terhinggut-hinggut meneran tangisan. Baru sekejap dia merasa nyaman dengan perasaannya. Kini semuanya musnah dengan kehadiran Lisa. Lebih dari itu dia terhiris benar dengan kenyataan Lisa tadi. Rupanya dia sekadar pilihan kedua kepada Kudin sedangkan Kudin adalah lelaki pertama yang dia suka. Sesungguhnya dia tidak mampu menahan hatinya setiap kali dia melihat Lisa mendekati suaminya. Biarlah dekat sebagai apapun. Dia tidak mampu menerima kenyataan yang Kudin pernah ada hati kepada gadis itu!
“Rina, janganlah menangis..” pujuk Kudin lagi. Bahu isterinya ditarik agar memandangnya. Namun Edrina menepis tangannya.
“Biarkan aku sendiri, Kudin..” ucap Edrina sambil menyapu air matanya.
“Janganlah macam ni. Macamana aku nak biarkan kau macam tu aja? Kalau kau terus marahkan aku macama ni, macamana aku nak senang hati?” keluh Kudin lembut.
“Aku tak boleh terima semua ni macam tu aja. Kau takkan faham perasaan aku!” tegas Edrina setelah dia menoleh seketika kepada suaminya itu.
“Rina, jangan jadikan apa yang Lisa katakan tu sebagai masalah antara kita. Dia boleh cakap apa dia nak. Tapi hakikatnya ada tetap di tangan aku. Aku tak cintakan dia. Sikit pun tidak,” ucap Kudin bersungguh.
“Kalau kau tak pernah ada apa-apa dengan dia, kenapa dia asyik datang cari kau? Kau jangan main-main perasaan aku, Kudin. Aku takkan maafkan lelaki yang mempermainkan perasaan aku!” Edrina menjawab tajam. Kata-kata Kudin tidak mudah lagi untuk dipegangnya.
“Astagafirullah.. siapa pulak yang main-main ni? Kalau aku setakat nak bermain-main, kita takkan jadi suami isteri, Edrina. Jangan tuduh aku seburuk itu. Aku cuma sayangkan kau seorang, Rina. Percayalah!” tekan Kudin sambil menyentuh bahu isterinya itu.
Edrina terus menggeleng. “Keluar! Aku tak nak dengar lagi semua ni. Kau tipu! Kau cuma sayangkan aku sebab aku isteri kau, Kudin. Kau tak cintakan aku. Takde apa yang istimewa pada aku berbanding diakan?”
“Rina, apa kau cakap ni? Ya Allah.. jangan anggap aku macam ni. Apa yang ada dalam hati aku sekarang ni.. semuanya untuk kau. Takde kena mengena langsung dengan Lisa tu,” jawab Kudin sedikit terkejut dengan telahan Edrina itu.
“Aku memang tak cukup kenal kau waktu kita kahwin. Dia lagi kenal kau sebab kau pernah kawan rapat dengan dia. Sebab tu kau pun berat nak tinggalkan kampung nikan? Sebab dia ada kat sini?” tebak Edrina semakin jauh telahannya.
Kudin terpaku seketika memandang mata merah isterinya itu. Akhirnya dia menghela nafas perlahan sambil menggeleng sendiri. “Rasanya tak elok kalau kita berbincang dalam keadaan hati tengah macam ni. nanti lagi banyak benda mengarut yang keluar dari mulut kau. Aku sendiri pun tak pernah terfikir begitu selama ni, Rina. Lisa ada atau tidak di sini itu semua langsung tak bermakna pada aku.” Kudin berkata lembut.
Perlahan dia bangun meninggalkan bilik itu. Dia tahu Edrina perlukan masa untuk menenangkan dirinya. Tiada guna dia memaksa.
Usai Isyak itu Kudin menjenguk lagi isterinya. Edrina langsung tidak mahu keluar bilik semenjak habis mandi petang tadi. Diajak makan pun tidak mahu. Hati lelaki itu semakin gusar melihat angin pasang isterinya itu.
“Marilah makan. Nanti sakit lagi macam hari tu,” pujuk Kudin lembut.
“Tak nak!” Edrina terus mengeraskan dirinya.
“Jangan macam ni, Rina. Jangan buat aku risau. Kalau kau sakit nanti, aku jugak yang susah.” Kudin mengeluh perlahan.
“Biarlah aku sakit pun! Kenapa kau nak susah hati sebab aku? Pergilah layan Lisa tu!” cebir Edrina sendiri.
“Tak baik cakap macam ni pada suami, Rina. Takkanlah sebab orang lain kita nak bergaduh macam ni?” keluh Kudin kesal.
Edrina tiba-tiba bangun. Tanpa mempedulikan Kudin yang memandangnya dia terus keluar dari bilik. Kudin sekadar memandang.
“Nak pergi mana?” tanya Kudin sebaik sahaja melihat isterinya menghalakan kaki ke arah dapur.
“Jambanlah! Sibuk aja nak tahu orang pergi mana,” jawab Edrina kasar.
“Nak aku temankan?” tanya Kudin. Kedengaran agak polos suaranya.
“Tak payah!” getus Edrina pantas.
“Tak takut dah ke? Kat luar tu ada..”
“Cepatlah temankan! Dah tahu orang takut, buat-buat tanya lagi,” marah perempuan itu sebelum sempat Kudin menghabiskan bicara. Dah tahu dia memang jenis penakut pergi sebut-sebut lagi pada kubur tu buat apa! Tak guna punya, Kudin!
Kudin mahu ketawa pula melihat gelagat isterinya. Sekejap tak payah. Sekejap suruh teman pulak. Takut punya pasal hilang dia punya boikot. Kudin terus mengekori isterinya itu. Harapannya selepas pulang dari membuang, Edrina akan lembut hati kepadanya.
Namun tidak. sedang Kudin termenung sendiri di hadapan pintu rumahnya merenung kegelapan di luar Edrina keluar daripada biliknya. Dia duduk di hadapan tv.
“Kudin, untuk sementara waktu ni aku nak balik KL,” ucap Edrina bersahaja. Seolah-olah tiada apa yang berat kepada permintaannya itu.
Kudin terus menoleh dengan wajah terkejut. Lama pandangannya singgah di wajah mendung Edrina sebelum beroleh kekuatan untuk bersuara. “Balik KL nak buat apa pulak?” tanya Kudin sambil menelan liur kepahitan. Permintaan itu memang tidak disenanginya langsung. Takkanlah kerana hal siang tadi Edrina nekad membuat permintaan itu?
“Aku nak jumpa mama dengan papa. Aku nak berehat?” jawab Edrina terus bersahaja.
“Tak boleh!” sambut Kudin pantas. Nak berehat apanya? Bukannya Edrina ada buat kerja berat di sini.
Jawapan Kudin membuatkan dada Edrina turun naik menahan marah. Lelaki itu dipandang tajam. “Kenapa pulak tak boleh?” soal Edrina.
“Tempat kau dengan aku. Di sini!” tekan Kudin serius lantas mengalihkan pandangannya ke arah luar.
"Aku tak kira, aku nak balik KL jugak!" tegas Edrina tidak peduli. Air mata yang mula mengalir di pipinya disapu kasar. Matanya sudah terlalu sembab akibat banyak menangis semenjak siang tadi.
Kudin termenung lama di ambang pintu. Hatinya semakin gusar mendengar permintaan isterinya mahu kembali ke rumah orang tuanya. Sanggupkah dia melepaskan dengan mudah? Kudin menggaru kepalanya bersama helaan nafas perlahan. Buntu benar dia mahu memujuk Edrina dalam keadaan hati wanita itu masih begini.
"Kudin, kau dengar tak?" bentak Edrina semakin geram melihat kebisuan lelaki itu.
"Sampai bila? Takkan kau tak kasihankan aku duduk sini sorang-sorang?" ucap Kudin rendah sahaja setelah memandang wanita itu semula.
Edrina menjeling. Lisa kan ada? Pergilah layan dia lagi.. getus hatinya meluat memandang suaminya itu.
“Berapa lama?” soal Kudin lagi apabila Edrina hanya diam tidak membalas soalannya tadi.
“Tak tahu..”
“Tempat terbaik seorang isteri adalah dengan suaminya, Rina. Aku perlukan isteri aku di sini dengan aku,” ucap Kudin dengan suara sayu.
“Aku tahu tu! Tapi aku tak boleh pandang kau dalam keadaan hati aku macam ni. Aku makin sakit hati. Aku tak boleh terima semua ni macam tu aja, Kudin. Aku paling benci orang yang menipu aku!” sambut wanita itu keras.
“Apa yang aku tipu kau? Aku dah jelaskan semuanya tadikan? Aku dah tak tahu nak jelaskan macamana lagi, Rina. Aku dengan dia cuma..”
“Kalau semua tu tak betul, kenapa Lisa cakap macam tu? Kenapa dia asyik cari kau tak kira masa.. tak kira tempat? Kau jangan ingat aku bodoh, Kudin. Aku tahu memang ada sesuatu antara kau dengan dia selama ni. Aku tahu dia bukan sekadar adik kepada kau tapi lebih dari itu!” pintas Edrina tetap tidak mampu meletakkan kepercayaan kepada suaminya itu. Matanya tidak buta melihat ada sesuatu yang disorokkan Kudin daripadanya.
Kudin menghela nafas perlahan sambil menyandarkan kepalanya ke dinding di sebelahnya. Matanya kembali memandang ke luar. Kalau dia mengaku memang dia pernah mencintai Lisa mahukah Edrina menerima kenyataan itu? Lebih dari itu dia sendiri tidak tahu apa kepentingan kisah itu untuk dibuka semula?
“Aku nak balik, Kudin!” tegas Edrina tetap dengan kemahuannya.
“Aku ni macamana? Siapa nak temankan aku? Siapa yang nak layan aku berborak?” keluh Kudin tetap tidak senang dengan permintaan Edrina.
“Lisakan ada?” perli Edrina pantas.
Jawapan Edrina membuatkan Kudin menghela nafas perlahan. “Tapi dia bukan isteri aku dan aku tak sayangkan dia sikit pun!” rendah sahaja suara Kudin menyatakan pendiriannya tentang wanita itu. Namun Edrina sekadar mencebik sendiri.
“Berapa lama?” tanya Kudin mula membuat muka sedih kepada isterinya itu.
“Tengoklah dulu. Seminggu ke.. dua minggu ke..”
“Seminggu! Tak boleh lebih. Habis seminggu nanti aku ambil kau,” putus Kudin pantas sebelum Edrina habis meluahkan keinginannya. Memikirkan sudah hampir 4 bulan Edrina tidak bertemu dengan emak dan ayahnya rasanya biarlah dia mengalah sahaja.
Edrina memandang sebal suaminya itu. Seminggu aja? Dia baru ingat nak melepaskan gian bershopping sakan di sana nanti. Seminggu mana cukup!
“Okaylah.. esok aku hantarkan. Nanti aku ambil kau balik. Nanti aku rindu takde siapa aku nak peluk,” ucap Kudin lembut dengan muka seposennya.
“Yalah..” jawab Edrina sambil mencebik sendiri. Seminggu pun seminggulah! Daripada takde langsung?
Perlahan Kudin bangun dari duduknya. Kini dia mula berkalih di sisi Edrina yang memandangnya. “Jangan lama-lama yang? Nanti Abang Kudin takde siapa nak sayang,” pujuk Kudin sambil meraih jemari isterinya itu. Jemari itu dibawa ke bibirnya seketika sebelum diramas lembut.
Edrina terdiam memandang wajah suaminya. Tiba-tiba dia jadi kasihan pula melihat wajah sayu Kudin. “Aku cuma nak jumpa papa dengan mama. Aku betul-betul rindukan dia orang, Kudin.” Wanita itu berkata perlahan.
Kudin tersenyum lembut mendengar nada polos isterinya itu. Tubuh wanita itu kemudian ditarik dengan kepadanya. Buat seketika wanita itu didakapnya erat. Dahi yang sedang terdedah itu dikucup bersama rasa kasih yang tidak bertepi.
“Aku tahu kau rindukan papa dengan mama. Esok aku hantarkan. Nanti aku jemput kau semula,” jawab Kudin cukup memahami walaupun hatinya masih berat mahu berpisah dengan Edrina untuk seminggu ini. Dia tahu dia tidak boleh menganggap kerinduan isterinya kepada orang tuanya itu sebagai satu perkara yang remeh.
Edrina akhirnya mengangguk akur. Kini sebuah senyuman terbit juga pada ulas bibirnya. “Terima kasih, Kudin.” Edrina berkata perlahan.
“Sama-sama.


23-  Sepanjang perjalanan menuju ke KL itu mereka berdua tidak banyak berbual. Masing-masing lebih banyak mengelamun sendiri. Kudin hanya fokus kepada pemanduannya. Senda gurau tidak mampu dihidupkan dalam keadaan hatinya seperti ini.
Edrina sendiri asyik memikirkan dirinya. Semalam dia terasa berkobar-kobar benar. Sekarang ini entah kenapa moodnya seperti sudah menghilang entah ke mana. Rasa macam nak suruh Kudin patah balik pun ada jugak. Tapi tak mahulah! Dia dah berangan nak keluar shopping nanti. Bukan selalu ada peluang macam ni..
Kudin mula menoleh kepada isterinya setelah agak lama membisu. Dia sudah tidak tahan dengan kebisuan ini. Edrina dilihatnya sedang tersandar merenung keluar. Marah lagikah Edrina kepadanya? Entah.. pagi tadi Edrina elok sahaja.
“Kenapa diam aja ni?” tanya Kudin lembut.
Edrina menoleh sedikit kepada suaminya. “Takde apa nak cakap..” jawabnya perlahan sahaja.
Kudin diam. Dia juga begitu. Tiada apa yang hendak dibualkan dalam keadaan hatinya berat begini. Fikirannya sarat dengan macam-macam perkara. Yang utamanya ialah.. bolehkah dia tidur malam nanti tanpa memeluk bantak peluknya ini?
“Nanti kalau rindu dengan Abang Kudin, telefonlah Abang Kudin selalu.” Tiba-tiba suara Kudin kedengaran semula. Polos benar nadanya saat mengungkapkan biara itu.
“Yalah..” jawab Edrina dengan sedikit senyum hambar. Rindu? Akankah dia merindui lelaki ini? Entahlah.. dia masih belum pasti.
Kudin berfikir lagi idea untuk menghidupkan suasana. Nanti takdelah dia rindu mahu mendengar suara Edrina.
“Jangan marah Abang Kudin lama-lama. Nanti Abang Kudin tak lalu nak makan. Rindu..” ucap Kudin sambil tersengih sendiri. Alah, Kudin.. cakap jelah I love you. Kan senang! Tiba-tiba malu-malu kucing pulak.. detik hatinya sendiri.
“Lisa kan ada kat kampung? Takkan kau nak rindukan aku lagi?” cebir Edrina sendiri.
Senyum Kudin mula memudar mendengar ucapan itu. Entah kenapa hatinya pedih tatkala nama itu diperdengarkan lagi kepadanya. “Dia takkan boleh duduk dalam hati aku, Rina. Tempat untuk dia memang takde langsung. Aku tak pernah rasa memerlukan dia macam aku memerlukan kau,” jawab Kudin perlahan.
Edrina diam sahaja. Mengenang Lisa hatinya sakit yang teramat sangat. Entah kenapa hanya ada kebencian kepada gadis itu semenjak awal pertemuan mereka dulu. Dia tahu gadis itu sentiasa mencari peluang untuk mencelah dalam hubungannya dengan Kudin.
“Rina..” panggil Kudin lembut.
Barulah saat itu Edrina menoleh kepada Kudin. Sayu sahaja wajah Kudin di matanya.
“Jangan jauhkan diri lama-lama ya? Aku tak mahu hidup sendiri lagi. Aku sangat-sangat perlukan kau, Rina. Aku nak hidup dengan kau sampai akhir hayat aku.” Tulus benar ucapan itu kedengaran di telinga wanita itu. Buat kesekian kalinya hatinya tersentuh lagi dengan lelaki ini.
“Ye ke? Dulukan kau bencikan aku?” ucap Edrina selamba dalam pada dia cuba mengawal perasaannya.
“Itu dulu.. sekarang aku dah sayang. Kata orang tak kenal maka tak cinta,” sambut Kudin lantas tersenyum manis.
“Kau cintakan aku ke?” soal Edrina sedikit ragu. Sayang Kudin kepadanya memang tidak mampu dinafikan. Tetapi cinta? Entahlah.. sementelah dia hanya pernah mendengar Kudin mengatakan yang lelaki itu sayang kepadanya kerana dia adalah isterinya. Jadi dia beranggapan Kudin hanya menyayanginya kerana tanggungjawab sebagai suami. Tidak lebih dari itu.
“Cinta dengan sayang tak sama ke?” soal Kudin lugu.
“Entah.. kalau kau nak tahu sama ke tak, kau carilah sendiri maksudnya.” Edrina menjawab mudah.
“Kau nak aku buat apa supaya kau percaya yang aku memang ikhlas dengan kau? Aku tak main-main, Rina.” Kudin menyambut bersungguh.
“Aku nak kita pindah KL,” putus Edrina cukup selamba.
Permintaan itu membuatkan wajah Kudin berubah. Pindah KL? Hanya itu syaratnya untuk membuatkan Edrina mempercayai keikhlasan hatinya? Kudin menghela nafas perlahan. Tiada jawapan yang mampu diberikan kepada Edrina kala itu. Kini dia mula serba salah dengan kemahuan Edrina dan kehendak dirinya sendiri.
Edrina kembali memandang ke luar. Kebisuan Kudin sudah diagaknya. Kudin takkan mahu meninggalkan tempat itu! Dia pula tidak mahu terus berada di situ sampai tuan dan sekampung dengan perempuan gatal yang mahu memikat suaminya. Dia tidak rela! Nampaknya jalan mereka tidak sama.
Setiba di rumah keluarga Edrina, mereka disambut meriah walaupun kepulangan mengejut itu memeranjatkan seisi keluarga. Kudin bermalam di rumah mertuanya. Esok barulah dia akan pulang semula ke kampung.
Malam itu..
Edrina duduk di luar rumah setelah selesai makan malam. Dia hanya bersendirian. Kudin tidak dipedulikan sangat. Mogoknya sudah kembali semula kepada lelaki itu.
“Rina, jangan macam ni..” pujuk Kudin lembut. Bahu isterinya dipeluk lembut. Dia perasan isterinya seperti menjauhkan diri daripadanya semenjak dari dalam kereta siang tadi.
Edrina terus diam memandang halaman rumah itu. Dalam kebisuannya itu dia asyik menimbang sejauh mana pergi perasaannya kepada Kudin. Namun tiba-tiba suaminya itu memusingkan tubuhnya menghadap kepada lelaki itu. Edrina sekadar memandang kosong wajah Kudin.
“Kalau kita ada masalah pun, jangan tunjukkan sangat depan orang tua kita. Jangan bagi dia orang fikir yang tidak-tidak tentang kita. Aku tak mahu nenda risau,” kata Kudin perlahan.
Kudin menghela keluhan melihat kebisuan Edrina. “Apa salahnya duduk di kampung, Rina? Kita ada semuanya kat sana,” pujuk Kudin lembut.
“Termasuk Lisakan?” sambut Edrina sinis.
“Kenapa mesti nama dia ada sekali? Berapa kali aku nak terangkan tentang hal itu? Pedulilah dia nak ada di mana pun. Lantaklah dia nak reka cerita apa. Yang penting hidup kita, Rina. Jangan jadikan dia sebagai masalah besar dalam rumahtangga kita,” ucap Kudin bersungguh.
Edrina menolak perlahan tangan Kudin di bahunya. “Aku ada keinginan aku dan kau ada kehendak kau. Tapi sebab aku ni isteri kau, aku kena dengar cakap kau. Aku kena pandang saja semua benda yang aku tak suka depan mata aku. Terutama sekali si Lisa tu! Daripada hati aku terus sakit, lebih baik aku hidup sendiri, Kudin! Aku tak suka bersaing dengan sesiapa,” ucap Edrina serius.
Kudin terkedu mendengar ucapan nekad isterinya itu. Betapa remuk hatinya kala itu hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tetapi dia memilih untuk mengunci mulutnya demi mengelakkan keadaan ini akan bertambah buruk.
Edrina memandang semula suaminya yang sedang merenung sayu kepadanya. “Aku nak gunakan masa yang ada ni untuk bertenang. Tolong biarkan aku di sini buat sementara waktu ni, Kudin. Aku tak boleh paksa hati aku terima semua kehendak kau sedangkan kehendak aku lain!” ujar Edrina lagi.
Kudin menghela nafas perlahan. “Okaylah.. aku izinkan.” Kudin mengalah juga walaupun hatinya benar-benar tidak rela. Apa yang paling dia bimbang jarak yang ada ini membuatkan perasaan Edrina semakin kosong kepadanya. Tetapi memaksa wanita itu dalam keadaan begini, itu juga mustahil.

“Jom keluar? Kita pergi Pavi nak?” ajak wanita itu sebaik sahaja terpandangkan anaknya mengelamun sendiri di sofa ruang tamu itu. Tv yang sedang menayangkan cerita tidak dipandang Edrina sebaliknya anak itu sedang merenung halaman rumah melalui kaca pintu luncur di hadapannya.
Edrina menoleh malas kepada emaknya itu. “Malaslah, mama..” jawab Edrina perlahan.
“Kenapa pulak malas?” soal Toh Puan Siti Aisyah hairan. Selalunya Edrina memang pantang kalau diajak keluar bershopping. Dia yang paling laju.
“Takde mood nak pergi mana-mana,” jawab Edrina rendah.
Tampang tanpa senyuman si anak dipandang lama oleh wanita itu. Aneh benar dia melihat gelagat Edrina.
“Mama tengok Rina macam tak happy aja balik ke sini? Kenapa?” soal Toh Puan Siti Aisyah lekas terperasan kelainan anaknya itu. Semenjak tadi dia memerhatikan sahaja tindak tanduk Edrina. Anak itu jarang mahu berbual dan selalu mahu bersendirian. Di meja makan tadi pun Edrina lebih banyak membisu.
“Rina happy je ni,” jawab Edrina kosong. Happy? Dia sudah tidak kenal apa maksudnya itu dalam keadaan hatinya begini.
“Ada masalah dengan Emran ke?” teka wanita tua itu lembut.
“Takdelah!” jawab Edrina pantas.
“Habis tu sebab apa sampai takde mood macam ni? Takkan dah rindu kat orang sana kut? Baru beberapa jam Emran balik, anak mama ni dah monyok semacam. Angau ke ni?” usik Toh Puan Siti Aisyah lantas ketawa sendiri.
“Mama ni ada-ada ajalah!” rengus Edrina tidak senang.
Wanita tua itu ketawa lagi. “Mama ni orang tua. Mama tahulah..” duga Toh Puan Siti Aisyah lembut.
Edrina mendecit sendiri. Apa yang dia rasa saat ini biarlah dia seorang sahaja yang tahu. Memang sebab Kudin. Apa yang berlaku pagi tadi benar-benar membuatkan jiwanya terkesan sehingga sekarang. Hatinya benar-benar lemah! Lelaki itu memang pakar membuatkan jiwanya bergelora begini.
“Kenapa tak call aja. Tanya Emran dah sampai kampung ke belum? Dah makan ke belum?” pujuk Toh Puan Siti Aisyah lembut.
“Nantilah..” jawab Edrina malas. Bukannya dia malas mahu menelefon Kudin. Tapi dia bimbang tatkala mendengar suara suaminya itu tangisannya akan pecah berderai. Itu yang paling dia tidak mahu.
Reaksi Edrina itu terus membuatkan Toh puan Siti Aisyah yakin dengan kebenaran telahannya. Memang sebab Emran anaknya jadi begini. Menggeleng sendiri dia melihat anak perempuannya itu. Tidak pernah pula dia melihat Edrina berkelakuan sampai begini sekali kerana seorang lelaki.
“Kalau rindu call ajalah dia. Ini memang perasaan biasa bila kita berjauhan daripada suami. Mama dulu pun macam tu, Rina.”
Edrina mengeluh sendiri. “Rina naik atas dulu, ma. Mengantuk mata ni,” ucap Edrina sengaja memberi alasan untuk bersendirian.
“Yalah..” Toh Puan Siti Aisyah akur juga membiarkan Edrina berlalu.
Tanpa memandang si ibu, Edrina terus mengatur langkah naik ke kamar tidurnya. Di kamar itu dia mengeluh sendiri dalam pada hatinya semakin longlai. Sunyinya.. hati wanita itu menjerit sendiri.
Tubuhnya dibaringkan di atas katil. Namun matanya terus memandang bahagian sebelahnya itu. Semalam dia tidur bertemankan Kudin. Di situlah lelaki itu merehatkan dirinya. Sekarang ini dia hanya berseorangan. Buat kesekian kalinya Edrina menghela nafas untuk meredakan perasaan yang kian mencengkam hebat di sanubarinya ini.
Kenapa aku jadi macam ni? Kenapa aku asyik fikirkan dia? soal hatinya sendiri.
“Jangan lupa call Abang Kudin. Abang Kudin tunggu..” kata-kata itu terimbas lagi di benak Edrina.
Itulah ucapan yang membuatkan dia menjadi pemenung sepanjang hari ini. Pandangan yang sarat dengan harapan dan kehangatan jemari Kudin tatkala meramas jemarinya sebelum lelaki itu pulang ke kampung pagi tadi membuatkan Edrina menjadi pengenang yang setia. Lelaki itu seolah-olah cukup berat mahu meninggalkan dia di situ. Dia dapat merasakan betapa payahnya suaminya itu mahu melepaskan jemarinya.
Melihat lelaki itu terlalu baik kepadanya dia jadi tidak tega. Dia tersiksa sendiri entah kenapa. Suasana sekeliling yang suatu masa dulu menjadi kebiasaan kepadanya kini dirasakan benar-benar asing. Dia tidak betah berada di sini. Seolah-olah ini bukan tempatnya.
 “Kudin, apa yang kau dah buat pada aku ni?” ucap Edrina sambil terus memandang pembaringan di sebelah yang kosong.
Perlahan jemarinya merayap ke arah itu, mengusap bahagian itu seolah-olah tubuh hangat suaminya sedang berada di bawah telapak tangannya. Edrina terasa mahu menangis saat ini. Ketenangan apa yang boleh dia dapati jika keadaan ini yang harus dia lalui? Edrina sedar dia sedang dihukum oleh perasaannya sendiri.
“Mamat kolot!” getus wanita itu sendiri tiba-tiba. Segala perilaku lelaki itu kembali mengitari ruang fikirannya. Membuatkan dia tersenyum sendiri tiba-tiba. Ada sahaja gelagat Kudin yang menarik di matanya.
Namun seketika kemudian senyuman Edrina memudar. “Kudin..” bisik wanita itu sayu.
“Aku cintakan kau,” luah Edrina akhirnya.

Suapan Kudin terhenti juga pada kali ke tiga. Seleranya benar-benar tidak mampu dihadirkan dalam keadaan ini walaupun nasi dan lauk yang dibekalkan emaknya petang tadi nampak sedap. Akhirnya Kudin bangun membasuh tangan dan mengemas tempat makannya.
Usai itu dia kembali ke tempat dia termenung. Seperti semalam.. dia berseorangan di rumah ini. Dia nanar menahan rindu. Makannya tidak lalu. Mahu mandi pun terasa malas. Mahu bekerjanya pun dia tiada mood. Semuanya kerana Edrina. Dia hanya mampu duduk termenung mengenang wanita itu yang sudah dua hari tidak kelihatan di hadapan matanya. Sekali pun dia tidak ada dihubungi Edrina dan dia pula segan mahu menelefon. Bimbang wanita itu tidak senang dengan panggilannya.
Berkali-kali dia bertanya kepada dirinya sendiri. Tidakkah ada terdetik sedikit pun kerinduan di hati wanita itu kepadanya? Sedangkan dia di sini seperti mahu gila menahan rasa. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia pergi ke sana mengambil isterinya semula. Namun memikirkan janjinya kepada Edrina, semua itu terpaksa dia lupakan. Dia sudah berjanji akan memberikan wanita itu masa untuk dirinya sendiri.
Kudin tidak tahu apa akan terjadi kepada dirinya sekiranya Edrina memilih tidak mahu hidup lagi dengannya. Dia tidak tahu sejauh mana kekebalan hatinya menahan semua ini. Hakikatnya baru dua hari, dia sudah terdera oleh rindu yang teramat sangat. Semalam.. dia terpaksa mencium bantal Edrina barulah dia dapat tidur. Bantal itu dipeluknya seolah-olah wanita itulah yang sedang berada di dalam pelukannya.
“Aku teramat sayangkan kau, Rina. Kenapa kau tak faham perasaan aku? Kenapa kau lebih suka berjauhan daripada aku? Teruk sangat ke lelaki kampung macam aku ni?” keluh Kudin kecewa sendiri. Hatinya sayu mengenangkan isterinya itu. Kini dia mula sedar.. dia tidak mampu meneruskan hidupnya tanpa wanita itu. Wanita itu disayanginya sepenuh hati. Kehadiran wanita itu didambakan oleh seluruh jiwanya.
“Baliklah pada aku, Rina. Aku tak sanggup terus hidup begini. Aku rindu sangat-sangat..” ucap Kudin kesayuan.
Namun di hujung kata-kata itu, sejalur air mata lelakinya gugur tiba-tiba di pipi demi menangisi kesepian hati seorang lelaki bernama suami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan