Shhtt.. ada orang sedang berjiwang.

Isnin, 16 Disember 2013

Bab 20-21 SI KOLOT SUAMI KU

20-      “Hari ni aku nak pergi rumah mak ya?” ucap Edrina pagi itu. Dia bersandar di ambang pintu biliknya memandang ke arah Kudin yang sedang berpakaian.
“Nak buat apa pergi rumah mak?” tanya Kudin. Sempat juga dia disapa kehairanan. Tv dah ada takkan bosan lagi kut?
“Saja je..”
“Yalah..” sambut Kudin senang. Boleh juga dia tumpang bersarapan pagi di rumah emaknya.
Edrina menanti di bawah sementara Kudin mengunci pintu rumah. Seketika kemudian lelaki itu terus menggamit isterinya itu ke arah kenderaannya. Namun Edrina terpaku seketika tatkala melihat Kudin mengeluarkan motorsikalnya daripada bahagian bawah rumah mereka itu.
“Motor kesayangan aku..” luah Kudin bangga sambil menepuk sit motornya itu.
“Nak naik benda ni ke?” tanya Edrina dengan pandangan jelik kepada motor itu.
“Motor ni dah lama tak jalan. Aku nak bawah motor hari ni,” jawab Kudin lantas meloncat naik ke atas motornya dengan penuh senang hati. “Dah! Naik lekas,” ajak Kudin lantas menepuk kusyen di belakangnya itu.
Edrina termanggu seketika. Nak naik macamana? Dia mana tahu..
“Kenapa tak naik kereta aja?” getus Edrina tidak senang.
“Alah.. sesekali naik motor apa salahnya. Dapat peluk Abang Kudin,” jawab Kudin sambil menyeringai ceria.
“Tak mahulah naik benda ni, Kudin! Malulah..” Edrina menggeleng bersungguh.
“Nak malu apanya?”
“Kena peluk-peluk?” sambut Edrina pantas.
Jawapan Edrina membuatkan Kudin tergelak perlahan. “Suami isteri takpe peluk-peluk atas motor. Tak berdosa! Mat rempit dengan Minah rempit yang belum kahwin aja yang tak boleh. Berdosa! Meh lekas. Abang Kudin ajarkan macaman nak naik,” ajak Kudin sambil mencapai tangan isterinya itu. Namun Edrina menarik semula tangannya.
“Tak mahu..”
“Cuba dulu. Cuba sekali mesti nak lagi..” ajak Kudin bersungguh.
Edrina memandang seketika suaminya itu. Namun anggukan Kudin membuatkan dia akur juga akhirnya. Kudin meletakkan tangan isterinya di bahu. “Kaki pijak kat situ, lepas tu baru naik. Tangan tu pegang Abang Kudin kuat-kuat!” Kudin segera memberikan tatacara untuk naik kenderaan beroda dua itu kepada isterinya.
Tidak sampai seminit kemudian Edrina selamat berada di atas motor buruk itu, di belakang Kudin. Tepian baju Kudin digenggam kemas dek kerana gayat saat Kudin menghidupkan motor itu.
“Selamat merempit, Puan Edrina! Pegang Abang Kudin kuat-kuat..” ucap Kudin. Spontan itu motor itu terus menderu ke hadapan. Dek kerana tidak bersedia Edrina hampir terpelanting ke belakang.
“Kudin!!!” hanya jeritan itu yang kedengaran di belakang Kudin.
“Peluklah..” ucap Kudin sambil menoleh ke belakang. Tangan Edrina ditariknya ke hadapan supaya memeluk pinggangnya.
“Tak payahlah peluk-peluk!” getus Edrina kembali memegang tepi baju Kudin. Dia tahu Kudin sengaja mahu mengambil kesempatan kepadanya. Sudahnya dia tegak di belakang macam patung cendana.
Tak nak peluk aku ya? Okay.. bisik hati Kudin nakal. Sepanjang perjalanan keluar daripada kawasan ladang itu, Kudin sengaja melalui kawasan berlubang. Macam kera jadinya Edrina, melonjak-lonjak di atas motor itu. Kemudian Kudin sengaja menekan break dan minyak dipulas kuat sehingga wanita di belakangnya itu mahu terlonjak ke belakang.
“Kudin!” Edrina memukul bahu lelaki itu.
“Kalau jatuh tak tahu,” ucap Kudin sambil ketawa seronok mengusik Edrina. Break ditekan lagi. Kali ini agak kuat sehingga tubuh Edrina terdorong pula ke hadapan. Duduknya pun sudah tergelongsor ke hadapan.
Kemudian Kudin kembali memperlahankan motornya. Sesekali minyak dipulas kuat sehingga wanita di belakang tidak mampu duduk dengan aman. Tubuhnya asyik melekap di belakang Kudin akibat pergerakan motor itu yang tersengguk-sengguk.
“Kau ni memang gatalkan?” getus Edrina. Sebelah tangannya sempat memukul belakang Kudin.
“Mana ada aku gatal? Jalan ni tak eloklah,” ucap Kudin sengaja tidak mahu mengaku. Jalan pulak yang disalahkannya. Padahal bila ternampak lubang besar, situlah di halakan motornya.
“Aku tahu kau sengaja jalan kat lubang-lubang tu,” balas Edrina di belakang Kudin.
“Alah.. macam ni barulah advanture.” Kudin terus ketawa besar dengan kata-katanya sendiri. Namun belakangnya menjadi mangsa pukulan wanita itu.
Ketika ternampak satu lopak air yang agak besar di hadapan Kudin mula menghalakan motornya ke situ. Makin tinggi tanduknya mahu mengenakan isterinya itu.
“Kudin, janganlah! Kau ingat motor kau ni motorcross punya motor ke nak masuk dalam lopak tu?” ucap Edrina sudah seriau melihat lubang yang mahu diranduk oleh motor Kudin. Spontan dia memeluk pinggang Kudin sambil berdoa. Janganlah apa-apa berlaku. Paling dia tidak mahu saat ini ialah berenang di dalam lopak air itu!
“Jangan pandang rendah kat motor aku ni. Ada 4x4 ni..” jawab Kudin selamba. Dengan penuh keyakinan lopak itu dilanyaknya jugak dengan motor cabuknya itu.
Namun sayang seribu kali sayang. Lopak air yang diranduk Kudin rupanya agak dalam. Separuh tayar itu tenggelam sehingga kaki mereka ikut terkena air lopak itu. Apa yang lebih menduka citakan, sebaik sahaja naik semula ke atas darat motor itu tiba-tiba mengeluarkan bunyi aneh. Semakin minyak dipulas semakin aneh bunyi motor itu sehingga akhirnya motor itu mati tiba-tiba.
“Alamak..” keluh Kudin.
“Kenapa pulak ni?” getus Edrina sudah tidak senang hati.
“Kaborator masuk airlah,” ucap Kudin setelah motor itu berhenti sepenuhnya.
Edrina terdiam. Apa yang Kudin ucapkan dia tidak faham dan dia tidak tahu apa yang hendak dilakukan saat itu.
“Turun dulu..” ucap Kudin sambil menoleh kepada isterinya. Itulah.. jahat sangat pada orang. Inilah padahnya.
“Ini semua kau punya pasal!” rengus Edrina geram. Namun dia akur juga. Liar sahaja matanya memandang sekeliling. Mereka masih lagi berada di dalam kawasan ladang. Namun sunyi sahaja kawasan itu tanpa kehadiran pekerja. Mungkin masih belum masuk kerja atau pekerja berada di tempat lain.
Berkali-kali Kudin menghidupkan motornya sambil diperhatikan Edrina. Masuk kali ke 30, Kudin sudah berpeluh sendiri. Motor itu masih juga mogok.
“Ada 4x4 konon! Kalau dah buruk tu buatlah cara buruk! Buang ke laut lagi elok,” cemuh Edrina sebal. Kalau bukan sebab bijak sangat Kudin mahu melanyak lopak air itu, entah-entah sekarang ini dia sudah sedap bersarapan di rumah emak mertuanya.
Kudin diam tidak mampu menjawab. Malu sendiri dia pada Edrina. Padan muka kau, Kudin! Gatal sangat!
“Dahlah! Penat aku start tak hidup jugak. kita tolak aja sampai rumah mak,” ucap Kudin mengalah akhirnya. Dia tahu selagi air di dalam kaborator itu tidak kering, tiada gunanya dia menghidupkan.
“Ah! Tak de mananya aku nak tolak besi buruk ni sekali dengan kau. Kau yang nak sangat naik benda nikan? Kau tolaklah sendiri!” ucap Edrina sebal.
“Okay.. kau jalan kat belakang aku. Biar aku tolak motor ni,” sambut Kudin akur. Nak patah balik ke belakang pun sudah jauh. Jadi maju ajalah ke hadapan.
“Tak nak jalan kaki!” getus Edrina tetap berdegil.
“Habis tu macamana? Takkan nak balik rumah semula. Jauh tu..” ucap Kudin sedikit tertekan suaranya.
“Aku naik atas ni. Kau tolak sampai rumah mak!” putus Edrina cukup mudah.
“Ha?” Kudin tercengang.
“Cepat! Kau yang buat sampai jadi macam ni,” ujar Edrina nekad. Jalan kaki? Tak ingin! Daripada berjalan kaki, dia rela turun tahta naik besi buruk itu. Dengan muka tidak berperasaan Edrina mula memanjat motor itu sambil dipegang oleh Kudin.
“Cepat tolak!” arah Edrina macam bagus aja.
“Beratlah!” keluh Kudin.
“Cepat! Kalau tak aku cakap dengan mak, kau yang buat sampai aku kena jalan kaki hari ni,” ugut Edrina serius.
Kudin memandang isterinya seketika. Takkanlah dia seorang aja jalan kaki dan Edrina sedap duduk di atas motor itu? Kejam betul namanya tu..
“Cepat Kudin! Kalau tak malam ni kau tidur kat luar.” Edrina nekad memajukan lagi satu ugutan khas buat si Kudin.
“Yalah.. yalah!” Kudin akur akhirnya. Ugutan yang kedua itu dia memang tidak sanggup. Daripada kena tolak keluar bilik malam nanti, tolak motor pun tolaklah, Kudin!

Setiba di rumah Mak cik Kunah, wanita tua itu bercekak pinggang memandang dua manua itu. Seorang di atas motor macam bos besar, seorang lagi terjelir lidah tercungap-cungap menolak.
“Apa kenanya kamu berdua ni? Mana kereta kamu, Kudin?” dua soalan itu menerpa kepada Kudin sebaik sahaja dia tiba di hadapan pintu dapur rumah emaknya itu.
“Ada kat rumah. Kudin ingat nak bawak motor hari ni. Tengok-tengok mati pulak motor ni,” ucap Kudin sambil mengelap keringat di wajahnya dengan lengan bajunya. Dia terus duduk kepenatan di ambang pintu itu.
“Padan muka dia, mak. Rina suruh bawak kereta, dia nak jugak bawak motor buruk dia tu. Tengok-tengok mati tengah jalan,” ejek Edrina dengan senang hati.
Mak cik Kunah hanya mampu menggeleng sambil ketawa sendiri. Nasib kamulah, Kudin. Yang kamu pergi bawak bini kamu naik motor cabuk tu buat apa.. ucap hati tuanya. “Dahlah. Mari masuk. Mak baru aja nak sarapan ni. Mari kita makan sekali,” ucap mak cik Kunah lantas masuk ke dalam.
Edrina terus tersenyum lebar mendengar ajakan itu. Elok benarlah tu sementelah dia sudah letih benar duduk di atas motor Kudin.
“Takde pulut kukus, mak?” soal Kudin sebaik sahaja membuka tudung saji. Hanya ada mee goreng dan kuih muih sahaja di atas meja itu.
“Takde. Manalah mak tahu kamu nak makan kat sini hari ni. Sebab tu mak tak buat. Nanti mak buat kamu tak datang. Kuih tu pun mak cik Kalsom yang bagi pagi tadi,” ucap Mak cik Kunah biasa.
“Mee pun meelah! Janji kenyang,” ucap Kudin lantas duduk.
“Kuih apa ni, mak?” soal Edrina pelik melihat kuih yang berbentuk bulat sebesar tapak tangan yang di lapisi daun pisang di bawahnya. Inilah pertama kali dia melihat kuih ini.
“Apam beras. Cuba rasa. Sedap kuih tu. Kuih tu memang rajin orang kampung ni buat,” jawab Mak cik Kunah kepada menantunya itu.
Edrina terus mencuba. Sekali mencubit, dia terus mencubit kuih itu berkali-kali. Memang sedap rasanya dengan struktur kuih yang sangat lembut dan dia suka.
“Sedapkan? Kuih ni di KL sana susah nak jumpa yang bentuk macam ni. Banyak orang dah buat dalam loyang. Yang ini istimewa sebab dikukus atas daun pisang. Sebab tu sedap rasanya,” jelas Mak cik Kunah senang hati melihat Edrina berselera menikmati kuih kampung itu.
“Sedap..” ucap Edrina. Tanpa sedar sebuku sudah dihabiskannya.
“Best duduk kampung ni sebenarnya,” ucap Kudin sambil menyudu mee gorengnya.
“Memang best selain daripada naik motor buruk kau tu,” sambut Edrina selamba.
Kudin terkedu diperli Edrina.
“Dah! Makan tu jangan bertekak. Kamu berdua ni tak habis-habis nak bergaduh.” Mak cik Kunah menggeleng sedikit melihat anak dan menantunya itu.
“Mak ada nak apa-apa ke sebelum Kudin pergi tengok tanah kat hulu sana tu?” tanya Kudin sambil memandang emaknya.
“Pisang kat belakang tu banyak dah tua Kudin. Ubi tu pun dah banyak boleh diambil. Baik ambil pisang tu sebelum kera yang bawak lari,” pinta wanita tua itu lembut. Harapkan dia yang sudah tua ini memang dia tidak berupaya lagi melakukan kerja itu.
“Kejap lagi Kudin buat.” Kudin menjawab sambil mengangguk.
Selesai makan itu Kudin naik ke atas rumah. Mahu berehat sekejap katanya. Pagi itu dengan berbesar hatinya Edrina meminta untuk berguru dengan emak mertuanya tentang ilmu di dapur. Sesi permulaan ini dia belajar memasak pulut kegemaran Kudin.
“Senang aja ya, mak?” ucap Edrina setelah dia melihat apa yang dibuat oleh Mak cik Kunah. Sekadar basuh beras pulut, masukkan santan dan sedikit garam. Itu sahaja!
“Senang kalau cukup bahannya. Ni dah masuk cukup santannya, dah boleh naik atas dapur. Tapi api jangan besar sangat. Nanti melekat di bawah. Esok mak ajar macamana nak buat cara kukus pulak. Kukus ni susah sikit. Tapi Kudin tak kisah masak cara kukus ke atau tanak macam nasi biasa ni. Semua dia hentam,” ucap Mak cik Kunah sambil tersenyum.
Edrina mengangguk sahaja.
“Ha.. bila dah naik atas dapur, bolehlah letak daun pandan. Lepas tu tutup.”
“Okay.. biar Rina ambil daun pandan,” ucap Edrina.
“Tahukan daun pandan yang mana? Daunnya yang panjang-panjang tu. Pokoknya ada kat tepi pili air. Ambil tiga helai,” ucap Mak cik Kunah senang hati melihat Edrina mahu membantu menyenangkan kerja dia.
“Nanti Rina pergi tengok,” ucap Edrina lantas meninggalkan emak mertuanya.
Tidak sampai seminit kemudia Edrina masuk semula ke dalam dapur itu. “Apa nak buat ni, mak?” ucap Edrina. Emak mertuanya itu sedang bertinggung di tepi dinding. Entah apa dibuatnya di situ.
“Basuh bersih-bersih, simpulkan.. lepas tu masuk aja dalam periuk tu,” ucap Mak cik Kunah tanpa menoleh.
“Okay..” seperti yang diarahkan emak mertuanya, Edrina membasuh daun itu dan memasukkan ke dalam periuk itu.
“Dah masuk?” tanya Mak cik Kunah sambil menoleh sekilas kepada menantunya yang sedang berdiri di hadapan dapur itu.
“Dah..”
“Biarkan.. nanti dah hampir masak baru kacau sikit-sikit,” ucap Mak cik Kunah sebelum kembali menyiang rebung di atas lantai itu.
Sepuluh minit kemudian..
Edrina sudah menghilang di atas rumah. Tinggal Mak cik Kunah di dapur itu sendiri.
“Kenapa pelik benar bau pulut aku ni?” ucap Mak cik Kunah sendiri. Matanya dihalakan ke arah periuk di atas dapur itu. Seketika kemudian wanita tua itu terus bangun.
Penutup periuk dibuka. Bau aneh itu semakin kuat. Pulut yang sudah hampir masak itu digaulnya dengan menggunakan senduk. Gaul punya gaul akhirnya dia melihat sesuatu di dalam pulut itu.
“Ai.. bertuah punya menantu. Aku suruh ambil daun pandan. Dia ambil daun ini pulak! Patutlah pelik baunya,” ucap Mak cik Kunah spontan sebaik sahaja melihat daun yang dimasukkan Edrina. Kepalanya digaru sendiri. Akhirnya pulut itu dikaut daripada periuk dan diletakkan di atas meja.
Sedang Mak cik Kunah sibuk menyiang ikan di hadapan pili air di sini, Kudin turun semula ke bawah. Dia baru bangun daripada tidur. Segar biji matanya melihat pulut kukus kegemarannya ada di atas meja itu. Lapar balik rasa perutnya.
Tanpa menunggu dia terus mencuit sedikit pulut itu. Bukan sedikit sebenarnya.. tapi banyak! Segumpal pulut itu dimasukkan ke dalam mulutnya. Kunyahan pertama semuanya okay.. kunyahan kedua mula perlahan. Kunyahan ke tiga Kudin sudah tidak lalu. terus isi di dalam mulutnya diludahkan melalui ambang pintu ke tanah.
“Mak, kenapa pulut ni rasa macam ni?” ucap Kudin dengan muka berkerut.
Mak cik Kunah mula menoleh apabila terdengar suara anaknya. “Astaghafirullah.. kamu makan ke pulut tu?” tanya Mak cik Kunah agak kuat.
“Yalah.. dah mak masak, Kudin makanlah! Kenapa teruk rasanya? Pahit, mak!”
Mak cik Kunah terus tergelak. “Bini kamulah.. nak belajar buat pulut tu. Tapi mak suruh letak daun pandan, dia pergi letak daun bunga kantan.” Meledak lagi tawa Mak cik Kunah.
“Daun bunga kantan?” soal Kudin meninggi.
“Dia tak tahulah tu. Mak kata pokoknya sebelah pili, daunnya panjang. Pokok itu dia hentam,” jawab Mak cik Kunah sambil tergelak melihat muka anaknya itu.
Cis! Kenapa dalam ramai-ramai manusia aku juga yang terkena dek olah si Edrina hari ni? “Rina..” laung Kudin agak kuat.
“Iya..” sahut Edrina tidak lama kemudian. Mukanya berseri sekali entah kenapa.
“Rina belajar masak pulut dengan mak?” tanya Kudin.
“Iya.. sedap tak?” soal Edrina sedikit manja dan bangga.
“Meh abang Kudin kasi kenal mana satu daun pandan,” ucap Kudin dengan sengih palsunya. Soalan Edrina tidak dijawabnya.
“Kenapa? Salah ke?”
“Salah banyak! Daun bunga kantan orang tak buat letak dalam pulut. Mana boleh dimakan daun tu. Pulut tu pahit jadinya!” ucap Kudin sebal. Aku pulak yang termakan pulut daun bunga kantan tu. Cis!
“Kau makan ke tadi?” Edrina sudah menekup mulut. “Sorry..” ucapnya kemudian dengan wajah sudah memerah. Malu benar dia dibuatnya.

Mak cik Kunah terus tergelak melihat muka masam manis anaknya. Nasib kamulah, Kudin. Bukannya orang lain, bini kamu jugak..

21-    “Rina..” panggil Mak cik Kunah kepada menantunya yang sedang seronok menonton tv di ruang tamu.
“Ya, mak..” Edrina menjawab sambil menoleh kepada emak mertuanya itu. Mak cik Kunah sudah siap bertudung macam mahu keluar pula.
“Sekejap lagi hantar air atas meja makan tu pada si Kudin di belakang sana. Mak nak pergi rumah Mak cik Som ni. Kamu duduk rumah elok-elok ya?” ucap Mak cik Kunah lembut.
“Okay..” jawab Edrina akur sambil memandang emak mertuanya itu berlalu ke pintu rumah. Sepeninggalan Mak cik Kunah, Edrina terus memadamkan tv dan turun ke dapur. Ada seteko air kopi dan sebiji gelas putih sudah tersedia di atas meja itu. Dia terus mencapainya dan menuju ke pintu dapur.
Di belakang itu Edrina melihat Kudin sedang sibuk menghayun cangkul, menanam batang ubi dan anak pisang. Buat seketika dia duduk di atas pangkin sambil memandang pekerjaan suaminya itu. Rajin betul Kudin. Semenjak pagi tadi Kudin masih mengerjakan kebun ubi dan pisang di belakang itu.
Seketika kemudian Kudin menoleh. Baru dia perasan Edrina ada di situ sedang memandang kepadanya.
“Mak dah buat air,” ucap Edrina kepada lelaki itu.
Mendengar itu Kudin terus meninggalkan cangkulnya. Dia mendekati pili air untuk mencuci tangan. Setelah itu barulah dia duduk di pangkin itu. Tuala putih yang tersangkut dibahunya dikibaskan ke muka sebelum wajah dan lengannya yang basah oleh keringat dilapkan dengan tuala itu.
“Panas betul..” keluh Kudin sambil menanggalkan bajunya. Baju itu disangkutkan ke bahunya.
“Itulah.. lain kali pakailah topi,” sahut Edrina sambil memerhatikan lelaki itu. Eee.. suka betul pakai seluar koyak dia. Macamanalah laki aku ni tak selebet! Sambung Edrina sekadar dalam hati.
Tanpa menjawab kata-kata isterinya, Kudin menuang air kopi itu ke dalam gelas. Air kegemarannya itu dihirup sedikit-sedikit. Hilang sedikit dahaganya gelas itu diletakkan semula ke dalam talam.
“Banyak pulak ubi dapat hari ni. Pisang pun dapat enam tandan,” ucap Kudin kemudian.
“Mak nak buat apa dengan benda tu semua tu?” soal Edrina pantas.
“Separuh buat kuih. Separuh lagi jual,” ucap Kudin tatkala matanya memandang ke arah kebun itu. Puas hatinya melihat hasil yang didapatinya. Tidak sia-sia dia membanting tulang di situ selama ini.
Edrina diam sambil memandang ke hadapan. Dia tahu emak mertuanya itu memang rajin di dapur. Ada sahaja benda yang mahu dibuatnya. Setiap kali dia datang ada sahaja kuih yang dibuat oleh Mak cik Kunah.
“Kau memang tak mahu berpindah ke KL langsung ke, Kudin?” tiba-tiba soalan itu dilahirkan Edrina setelah mereka membisu seketika.
Kudin menoleh kepada isterinya itu. Wanita itu sedang termenung sendiri.
“Kenapa kalau kita duduk sini pun?” tanya Kudin biasa.
Edrina tidak terus menjawab. Fikirannya sarat memikirkan keadaan mereka. Mahukah dia menghabiskan masa di sini sehingga tua? Inikah impiannya selama ini? Sudah tentulah tidak. Tetapi takdir sudah menentukan dia berjodohan dengan lelaki ini. Jadi salah seorang daripada mereka harus mengorbankan prinsip mereka. Keadaan pula seakan-akan memberitahu dia yang harus mengubah pendiriannya. Kerana dia harus taat pada suami. Tetapi relakah dia terus menetap di tempat ini?
“Kau masih tak suka tempat ni?” tanya Kudin sambil memandang isterinya itu.
“Macamana dengan Semarak Holding kalau kita berdua terus di sini? Siapa yang akan ambil alih nanti?” tanya Edrina semula.
Kali ini giliran Kudin pula berdiam diri. Entah! Soal itu dia tidak tahu dan dia tidak pernah terfikir langsung tentang itu.
“Aku sanggup jadi isteri sepenuh masa kalau kau ambil alih tempat papa, Kudin.” Edrina berkata perlahan.
“Maknanya kalau aku memilih tak mahu ambil alih Semarak Holding, kau tak sudi jadi isteri sepenuh masa untuk aku?” teka Kudin sambil melirik kepada isterinya itu.
“Bukan macam tu..” Edrina menghela nafas perlahan. Dia sendiri tidak tahu apa yang mahu diucapkan kepada Kudin saat ini. Dia serba salah. Dia tahu nendanya meminta dia menerima Kudin sebagai suami sebab nendanya mahu dia memujuk Kudin mengambil alih syarikat keluarganya itu.
“Semarak Holding pun perlukan kau, Kudin.” Edrina menyambung kata seketika kemudian.
“Bukan aku tak mahu tapi aku ada tanggungjawab di sini, Rina. Aku ada ramai pekerja yang bergantung hidup pada ladang tu.” Kudin menjawab perlahan.
Kata-kata Kudin cuba dimengertikan Edrina. Namun sukar.. kerana dia juga tahu Semarak Holding juga ada ramai pekerja yang bernaung, mencari rezeki untuk kelangsungan hidup. Sama sahaja keadaan mereka.
Entahlah.. dia sendiri tidak tahu. Tiba-tiba dia kasihan kepada ayahnya itu. Semenjak dahulu dia hanya tahu berjoli sana sini. Tidak pernah berhasrat meringankan beban ayahnya. Sekarang dia terperuk di sini lagilah tiada apa yang dapat dilakukannya lagi. Harapan yang boleh disandarkan hanya kepada Kudin. Masalahnya Kudin juga tidak mahu.
Kudin menoleh kepada isterinya itu. Hatinya tidak senang melihat Edrina membisu sahaja. “Nantilah aku fikir dulu,” ucap Kudin setelah melihat kemendungan di wajah isterinya itu.
Edrina mengangguk perlahan. Harap-harap Kudin sudi mengubah pendiriannya nanti.
“Anak ayam..” tegur Edrina sebaik sahaja bola matanya ternampak kelibat anak-anak ayam yang sedang membuntuti ibunya.
Kudin yang sedang meneguk air kopi itu memandang ke arah yang sama. Kenapa pulak dengan anak ayam tu? Hairan dia seketika.
“Aku nak pegang anak ayam tu, boleh tak?” ucap Edrina tiba-tiba.
“Hish! Marah mak dia nanti. Mak ayam tu garang kalau orang usik anak-anak dia,” tegah Kudin sambil menggeleng.
“Alah.. sekejap aja,” rengek Edrina.
Kudin bangun juga sambil mendekati emak ayam yang sedang mengais. Derap perlahannya diikuti oleh Edrina dari arah belakang. Agaknya dek kerana sudah terbiasa melihat muka Kudin, emak ayam itu tidak melarikan diri tatkala dia didekati. Mereka berdua mencangkung dekat dengan kelompok ibu dan anak-anak ayam itu.
Buat seketika Kudin memerhati gelagat emak ayam itu. Ketika ibu ayam itu sedang asyik mengais Kudin mengambil seekor anak ayam berbulu kuning yang berada paling belakang sekali tanpa disedari oleh emak ayam itu.
“Nak.. nak.. bak sini cepat!” teruja benar Edrina melihat anak ayam itu sudah berada di tangan Kudin.
“Jaga.. jangan bagi mak dia nampak. Mak dia patuk nanti,” ucap Kudin lembut. Anak ayam itu diberikan juga kepada Edrina.
Edrina terus mengusap bulu kekuningan anak ayam itu dengan jari telunjuknya. “Lembutnya bulu dia,” ucap wanita itu sambil terus tersenyum. Inilah pertama kali dia memegang ayam yang masih bernyawa. Selama ini dia hanya pernah merasa memegang ayam di dalam pinggan sahaja.
Kudin tersenyum senang melihat keceriaan di wajah wanita itu. Dia pun pelik.. dalam banyak-banyak benda anak ayam pula yang disukai oleh Edrina. Tapi memang pun anak ayam yang baru menetas dari telur itu comel!
“Comel?”
“Comel!” jawab Edrina terus mengusap bulu halus di kepala anak ayam yang berada di telapak tangannya itu. Jinak sungguh anak ayam itu. Terkedip-kedip matanya saat diusap. Geram pula dia melihatnya. Macam nak dipicit-picitnya anak ayam itu.
“Tapi Abang Kudin berganda-ganda lagi comelkan?” kembang kuncup hidung Kudin saat melontar pertanyaan itu. Wajah isterinya yang sedang merenung anak ayam itu dipandang dengan senyuman.
Edrina mengerling sedikit. “Sama comel! Sama banyak bulu macam anak ayam ni,” jawab Edrina selamba. Namun saat merenung anak ayam itu bibirnya tersenyum sendiri. Mengada-ada betul Abang Kudin ni! desis hatinya tiba-tiba malu-malu ayam pula.
“Okay.. tapi Abang Kudin penyayang. Abang Kudin berani dan gagah perkasa,” ucap Kudin memuji diri sendiri sambil tersengih-sengih.
“Eee.. geli betul dengar orang puji diri sendiri ni,” ucap Edrina dengan senyum tertahan. Macam ni rupanya gaya Kudin mengorat dirinya. Tetapi entah kenapa dia macam senang aja.
“Bukan puji tapi kenyataan! Abang Kudin memang suami penyayang dan hensem,” sambut Kudin bersungguh.
“Tengok Abang Kudin ni, mak ayam. Cuba patuk dia ni sekali. Biar dia rasa. Suka perasan hensem,” ucap Edrina bercakap dengan emak ayam itu pula. Tiba-tiba keluar pula istilah ‘Abang Kudin’ itu tanpa disedarinya.
Mendengar dirinya diseru emak ayam itu menoleh kepada dua manusia itu. Namun matanya lebih terpusat kepada Edrina yang sedang memegang anaknya. Tiba-tiba sahaja bulunya mengembang seolah-olah mahu menyerang mereka berdua.
“Lepas! Letak cepat anak dia!” ucap Kudin lantas mengambil anak ayam di tangan Edrina.
Namun usaha Kudin melepaskan anak ayam itu untuk mengelakkan serangan emak ayam itu tidak berjaya. Si emak ayam terus terbang ke arah Edrina untuk menuntut bela bagi pihak anaknya. Mujurlah Kudin sempat menarik isterinya ke belakang bagi mengelakkan Edrina daripada cakaran emak ayam itu. Bertempiaran semua anak-anak ayam itu ketakutan melihat si emak sudah naik angin.
Namun akibat insiden itu Edrina jatuh terduduk di atas tanah itu dalam keadaan terkejut dengan kejadian tidak disangka itu. Hari ini bukan setakat dia merasa pengalaman pertama memegang anak ayam, dia juga merasa pengalaman pertama diserang emak ayam!
Kudin segera menghalau ayam itu jauh daripada mereka dalam pada Edrina bingung sendiri. Dia menoleh kepada Kudin di sebelahnya.
“Itulah.. siapa suruh panggil mak ayam tu. Kan aku dah cakap, mak ayam ni garang,” ucap Kudin mahu ketawa melihat isterinya itu.
“Kau tulah! Sakit punggung ni aku tahu tak!” getus Edrina macam mahu menangis.
“Apasal aku pulak?” Kudin ketawa melihat wajah merah padam Edrina. Dia terus bangun. Tangannya dihulurkan kepada isterinya itu. Namun Edrina hanya buat tidak nampak dengan muka mencuka. Dia sibuk membuang batu-batu kecil yang melekat di telapak tangannya.
“Alahai.. kesian buah hati Abang Kudin ni. Nyaris kena sambar dek mak ayam. Nasib baik Abang Kudin ni penyayang lagi gagah perkasa,” ucap Kudin. Wanita itu terus dicempungnya sebelum sempat Edrina berbuat apa-apa.
Berdegup kencang jantung perempuan itu saat dia dibawa ke pangkin semula. Merah mukanya menahan malu kepada lelaki itu.
“Sakit lagi?” soal Kudin setelah meletakkan isterinya itu di atas pangkin. Sambil duduk bersebelahan dengan wanita itu, telapak tangan Edrina dibeleknya. Telapak tangan itu ditiupnya lembut.
“Sikit..” jawab Edrina tiba-tiba tidak keruan dengan perbuatan lelaki itu. Tatkala Kudin sedang merenung tangannya, wajah lelaki itu sempat dipandangnya. Ada sejenis rasa sedang mengalir deras di hatinya kala memandang perbuatan lelaki itu.
“Nak pegang anak ayam lagi?” soal Kudin dengan senyum tertahan.
“Tak nak!” getus Edrina dengan bibir termuncung sebal. Tak guna punya mak ayam! Aku suruh kau patuk si Kudin ni, kau serang aku pulak.. ucap hati Edrina geram kepada emak ayam yang sudah membawa jauh anak-anaknya itu.
“Okaylah.. jom Abang Kudin tolong cucikan tangan ni,” ucap Kudin lembut. Isterinya ditarik ke arah pili air.
Edrina terus terpaku memandang gelagat suaminya. Kalau tadi Kudin membelek telapak tangannya, kini Kudin membantu membasuhkan tangannya. Siap tolong sabunkan lagi.
Ya Allah.. baiknya lelaki ni, bisik hati Edrina sayu tiba-tiba. Tidak pernah ada seorang pun lelaki yang pernah mendampinginya mampu menyentuh hatinya dengan perbuatan seperti mana yang dilakukan Kudin saat ini.
“Dah siap!” ucap Kudin sebelum kembali menarik isterinya ke tempat duduk mereka tadi. Edrina kembali membelek telapak tangannya yang kemerahan.
“Terkejut lagi?” soal Kudin lembut. Bahu wanita itu ditarik rapat kepadanya. “Takde apalah. Mak ayam tu memang macam tu. Nanti kita kasi potong dia buat sup!” pujuk Kudin lembut. Pipi wanita itu dikucupnya sekilas. Kasihan pula dia melihat Edrina. Dia tahu isterinya trauma dengan serangan ibu ayam itu tadi.
Edrina terkedu dengan perbuatan Kudin. Suara lembut Kudin tiba-tiba membuatkan dadanya sesak. Dia terasa sukar mahu bernafas. Wajah lelaki di tepinya dipandang seketika. Kudin sedang merenung kepadanya.
“Kenapa kau cantik sangat, Rina?” soal Kudin perlahan. Seisi wajah perempuan itu diratah dengan dua bola matanya. Memandang wanita ini sedekat ini, hatinya mula disapa pesona.
Edrina sekadar memandang Kudin dengan sedikit senyuman hambar. Jari lelaki itu yang mula mengusap lembut pipinya benar-benar membuatkan dia tidak mampu berkata-kata. Renungan lunak sang suami menghangatkan wajahnya. Kalaulah boleh.. dia mahu memetik mana-mana suiz agar dirinya tidak berada di hadapan Kudin saat ini.
Akhirnya Edrina tunduk merenung telapak tangannya yang masih terasa pedih. Sesaat dua itu dia bungkam sendiri memikirkan apa yang sedang berlaku kepada dirinya. Layanan Kudin benar-benar membuatkan dia tidak tentu rasa. Dia tidak arif tentang ini. Tapi rasanya pintu hatinya sedang terbuka sedikit untuk dimasuki oleh lelaki itu.

Petang itu saat dia mahu bersiap-siap pulang ke rumah ada panggilan telefon masuk ke telefon bimbitnya. Sangka Kudin itu panggilan daripada peraih yang mahu berurusan dengannya. Tetapi suara Lisa yang kedengaran menyapa derianya.
“Ada apa?”
“Abang, tolong Lisa. Tayar kereta Lisa pancit. Abang datang sini kejap,” keluh Lisa di hujung sana.
Kudin diam seketika. Datang ke mana pulak?
“Cepatlah, bang. Lisa sorang-sorang aja kat sini. Lisa takut ni,” ujar Lisa lagi.
“Kat mana ni?” tanya Kudin kemudian.
“Kat Batu 19 Kampung Cenderong Balai. Lisa ada kat tepi jalan besar ni,” jawab Lisa pantas.
“Mak ai? Jauhnya? Kenapa tak call mekanik aja?” soal Kudin sedikit terkejut. Rasanya jarak kampung itu ada lebih kurang 70 km daripada kampung mereka. Berat pula hatinya mahu pergi ke sana. Sementelah waktu pun sudah lewat. Dia bimbangkan Edrina tinggal sendiri di rumah. Isterinya itu dahlah penakut.
“Mana Lisa kenal mekanik kat kawasan ni. Abang cepatlah datang sini. Dah nak petang sangat ni. Macamana Lisa nak balik kalau tayar pancit?” ucap Lisa benar-benar resah.
Ya tak ya juga.. Kudin berfikir seketika. “Yalah.. tunggu sana.” Kudin akur akhirnya.
Terus dia keluar daripada pejabatnya. Keretanya didapatkan sepantas yang boleh. Dengan kelajuan 120 km/jam Kudin melarikan keretanya ke arah tempat yang dinyatakan Lisa tadi. Tidak susah dia mencari walaupun keadaan sudah kelam benar. Kereta Lisa sudah dilihatnya tersadai di tepi jalan utama. Kudin memakirkan keretanya di belakang kereta wanita itu.
“Mana yang pancit?” soal Kudin segera meninjau bahagian tayar kereta gadis itu.
“Sini..” Lisa menunjukkan tayar hadapan keretanya.
“Tayar spare ada?” tanya Kudin lagi setelah dia melihat bahagian itu seketika.
“Kat belakang..”
Sementara Kudin mengganti tayar pancit itu Lisa berdiri di belakang Kudin, memerhatikan lelaki itu membuat kerja.
“Nasib baik abang ada. Lisa dah tak tahu nak mintak tolong siapa lagi,” ucap Lisa sekadar mahu mengisi suasana antara mereka.
“Dari mana tadi?” soal Kudin sambil menoleh sedikit.
“Lisa dari KL nak balik kampung. Tak sangka pulak tayar pancit kat sini.”
Oh ya.. hari ini hari Jumaat. Patutlah Lisa pulang ke kampung. Kudin tidak meneruskan perbualan. Dia hanya mahu lekas siap dan pulang segera.
“Lisa cuti seminggu. Lisa ingat nak berehat kat kampung,” ujar wanita itu mula memberitahu perihal dirinya.
Kudin mengangguk sahaja. Tiada apa yang hendak dikomennya daripada kenyataan itu. Selebihnya dia tidak merasakan itu adalah urusannya.
“Tolong abang masukkan skru ni,” pinta Kudin dalam pada tayar itu dipegangnya dengan kedua-dua belah tangannya.
Lisa ikut mencangkung di tepi Kudin. Satu persatu skru tayar itu dimasukkan.
“Dah..”
Kudin memulas keempat-empat skru itu sehingga ketat. Lisa terus mencangkung di sebelah lelaki itu memerhatikan perbuatan Kudin.
“Tepi sikit. Abang tak nampak ni,” pinta Kudin tidak selesa dengan kedudukan gadis itu yang menganggu dia membuat kerja. Sudahlah cahaya sudah tidak sebanyak mana. Lisa pulak menyempit di tepinya.
Mahu tidak mahu dia bangun juga memberi ruang kepada Kudin. Lelaki itu yang sedang memijak pengetat skru tayar berbentuk T dipandangnya lama. Akalnya sentiasa mencari idea untuk terus berdua-duaan dengan Kudin.
“Apa kata lepas ni Lisa belanja abang minum?” umpan Lisa sedikit manja.
“Tak payahlah. Abang nak balik cepat,” ucap Kudin tanpa menoleh.
“Alah.. sekejap aja. Takkanlah tak boleh?” pujuk Lisa lembut.
“Abang nak balik. Dah gelap benar ni. Bini abang sorang-sorang kat rumah tu,” jawab Kudin serius. Kalau setakat minum di rumah nanti pun dia boleh minum.
Lisa mendecit sedikit dengan jawapan lelaki itu. Asyik nak teman bini dia aja! getus hatinya sebal.
“Lain kali boleh ke? Lisa ada banyak masa kat kampung nanti.”
Kudin menoleh setelah selesai dia mengetatkan ke empat-empat skru tayar itu. “Dah siap.” Kudin tidak menjawab soalan Lisa tadi. Atau dalam erti kata lainnya dia malas dan tidak berminat. Tayar yang terbaring di atas tanah itu segera digolek Kudin ke bonet belakang. Selesai memasukkan tayar itu, bonet belalang ditutupnya.
“Terima kasih, abang..” ucap Lisa cukup lembut.
“Sama-sama..” jawab Kudin terus berjalan ke arah keretanya di belakang.
“Abang follow Lisa boleh tak? Lisa takutlah drive sorang-sorang magrib macam ni,” umpan Lisa sekali lagi meminta perhatian lelaki itu.
Kudin menoleh semula ke arah Lisa. “Tak payahlah nak berfollow-follow ni semua. Takde apanya,” ucap Kudin sebelum kembali ke arah keretanya. Selalunya elok aja. Tiba-tiba pulak takut nak kena berescort bagai.
Lisa mendegus sendiri melihat reaksi Kudin. Sekali lagi usahanya untuk mendekati Kudin tidak berjaya. Liat benar lelaki itu kepadanya. Akhirnya dia hanya mampu memandang Kudin berlalu pergi dengan keretanya.
Saat sampai di rumah Kudin lihat Edrina sudah seperti cacing kepanasan menunggu dia balik.
“Kenapa balik lambat?” soal Edrina mula kelegaan melihat wajah Kudin.
“Lisa mintak tolong gantikan tayar kereta dia. Pancit kat tepi jalan besar sana,” jawab Kudin terus masuk ke bilik. Dia mahu mandi segera.
“Lisa ada kat sini ke?” tanya Edrina sedikit terkejut.
“Dia dan nak sampai kampung sampai tadi. Tapi tengah jalan tayar kereta dia pancit. Itu yang dia call mintak tolong aku,” jawab Kudin sambil menanggalkan bajunya.
Edrina diam memandang suaminya. Entah kenapa dia tidak senang mendengar nama itu. Macam ada aura tak baik aja dengan nama wanita itu di telinganya. Dalam banyak-banyak lelaki, Kudin juga yang dicari Lisa.
“Dah mandi?” tanya Kudin sambil mendekati isterinya itu.
“Dah..” jawab Edrina perlahan.
“Baru nak mintak temankan. Abang Kudin takutlah.. ada kubur,” usik Kudin dah mula balik perangai miangnya.
“Tak nak!” wanita itu menjawab dengan senyuman ala-ala wanita Melayu terakhir. Dia pun dah berjangkit perangai miang si Kudin. Dinding ditepinya dicubit-cubitnya, malu-malu. Nak mintak teman? Dia pun takut lebih teruk dari itu.. nak teman apanya?
“Sehari tak jumpa Abang Kudin, tak rindu dengan Abang Kudin ke?” soal Kudin agak perlahan. Sambil menyeringai dia mencuit-cuit bahu perempuan itu.
“Entah..” jawab Edrina malu-malu. Dinding ditepinya dicubit-cubitnya lagi. Wajah Kudin malu untuk dipandangnya. Alah.. Abang Kudin ni! Gedik betul! Tapi dia pun sama jugak gedik. Suka melayan!
“Entah? Mana boleh jawab entah..” Kudin terus menyeringai. Macam ada respon aja? Hati Kudin tidak keruan memandang wanita itu.
Edrina tunduk seketika sebelum menentang renungan mesra suaminya itu. Jatuh hatikah dia kepada lelaki ini? Entah.. dia tidak tahu. Tetapi semenjak kebelakangan ini usikan Kudin membuatkan hidupnya menjadi terlalu indah. Dia sering mahu dekat dengan lelaki ini. sungguh! Perasaan ini tidak pernah dialaminya saat berhadapan dengan bekas teman lelakinya yang seramai-ramai tidak dulu.
Senyum Kudin mula memudar saat memandang paras wanita itu. Kecantikan milik isterinya itu benar-benar membuatkan mata lelakinya tidak mampu berkalih. Pipi yang sedang merona kemerahan itu sekali lagi membuatkan dia terpesona. Ingin benar dijamah pipi itu dengan jemarinya. Tetapi tangannya kotor pula dengan kesan minyak hitam. Akhirnya dia sekadar mampu menikmati keindahan di wajah isterinya itu dengan dua bola matanya.
“Pergilah mandi. Nanti tak sempat nak sembahyang,” ujar Edrina sambil tersenyum sedikit. Kalau dia Kudin terus buat begini mahu rebah dia nanti. Sekarang ini pun dah ada ura-ura lututnya mahu lembik.
“Okay.. lepas solat isyak nanti, kita makan malam. Lepas tu Abang Kudin bawak pergi dating ya?” ucap Kudin lembut.
“Kat mana?”
“Kat tempat biasa..” jawab Kudin sambil tersenyum.
“Tempat biasa tu kat mana?” Edrina menoleh dengan sedikit kerutan di kening. Mana Kudin biasa bawak dia keluar dating. Jadi di mana tempat biasa tu?
“Tu.. kat depan pintu tu,” jawab Kudin lantas memuncungkan mulutnya ke tempat biasa dia duduk termenung.
Edrina memandang ke arah yang ditunjuk Kudin. Sinar ceria diwajahnya tadi mula berubah. Dating kat situ aja ke? Apa kelas dating kat depan pintu rumah? Takde tempat lain ke yang lebih istimewa? Tak romantik betullah, Abang Kudin ni! Baru aja nak feel lebih ni, kutuk hatinya bengang tiba-tiba.
“Okay.. Abang Kudin pergi mandi dulu ya? Tunggu tau!” Kudin tergelak melihat wajah cemberut isterinya. Pipi wanita itu sempat dicubitnya sebelum berlalu.
Edrina sekadar memandang. Namun seketika kemudian bibirnya kembali terhias senyuman. Ah! Depan pintu pun depan pintulah! Janji Abang Kudin ada kat sebelah.

2 ulasan: